Saiful sedang duduk bersila di atas katilnya sambil
tangannya sedang dibalut oleh Cik Mia. Wajahnya tenang menahan kesakitan.
“Hati-hati
tau kat luar sana,” gumam Cik Mia.
“Saya
faham. Cik Mia pun kena hati-hati. Jangan biarkan diri Cik Mia kena kacau
dengan benda-benda itu tau?”
Cik Mia
mengangguk.
“Lagi
satu, jangan buat apa-apa aksi lasak. Awak kena ingat yang awak tu cedera,”
ucap Cik Mia. “Siap pun balutan.”
Serentak
itu, Saiful memusingkan tubuhnya menghadap Cik Mia.
“Saya
akan kembali dengan selamat. Kalau saya lama-lama dari Cik Mia, tak ada yang
nak jaga Cik Mia.”
***
Pintu
bilik Afiq diketuk oleh seseorang.
“Masuk.”
Panggil Afiq.
Tombol
pintu yang tidak berkunci itu dipulas dari luar. Kelihatan seorang gadis sedang
berdiri sambil merenung sayu ke arah Afiq.
“Acha…”
tutur Afiq sambil tersenyum melihat kelibat Acha di muka pintu.
“Kenapa?”
tanya Afiq yang sedang mengemas beg bajunya itu, memasukkan segal alongokan
baju yang diperlukannya. Mujurlah dia sempat menyambar beg bajunya daripada
pesawat beberapa bulan lepas sebelum dijilat oleh api.
“Ambil
ni…” tutur Acha sambil menyerahkan sebuah kalung kepada Afiq.
“Apa ni
Acha?” tanya Afiq.
“This
my lucky charm. Mak saya beri pada saya dulu. Dia suruh saya kasi pada sesiapa
yang saya sayang. Jadi, saya nak berinya pada awak,” ujar Acha.
Afiq
menoleh dengan sangat perlahan ke arah Acha.
“Awak
sayangkan saya?” tanya Afiq tidak percaya.
Acha
mengangguk sambil tersenyum.
“Tapi,
saya ni tak kacak, trouble maker…”
Jari
telunjuk Acha menyentuh bibirnya sendiri membuatkan Afiq terdiam.
“Jangan
cakap apa-apa. Yang penting, awak kena pergi dan balik dengan selamat. Saya
tunggu awak kat sini,” gumam Acha lalu berlalu pergi dari bilik Afiq.
***
Tengku
Nizarif sedang berdiri sambil diapit oleh Afiq dan Saiful. Koridor di tingkat
satu menjadi tempat mereka berhenti. Ummu dan Hakiman sedang berdiri tidak jauh
daripada mereka bertiga manakala Naim sekadar memerhati dari jauh, dengan
perasaan tidak puas hati. Orang di dalam hotel itu lebih mempercayai si Saiful
daripada genius seperti dirinya.
Saiful
sedang memegang sebuah tukul besi. Dia menoleh ke arah Afiq dan Zaff untuk
mendapat restu mereka menghancurkan dinding di koridor itu.
“Teruskan
Saiful,” gumam Afiq serius.
Zaff
dan Afiq berundur beberapa tapak ke belakang. Saiful menghayunkan tangan
kirinya ke belakang lalu mengenai dinding di hadapannya. Dinding itu sekadar
retak menerima hayunan tukul besi itu. Kali kedua, terdapat lubang kecil yang
Berjaya dihapuskan oleh Saiful. Seperti yang dijangka, terdapat ruang kosong di
belakang dinding tadi.
“Kita
kopek,” cadang Zaff.
Saiful
mengangguk. Dia menghulurkan tangan lalu mengopek dinding di hadapannya sambil
dibantu oleh Afiq dan Zaff. Beberapa ketika kemudian, kelihatan sesuatu
bergolek jatuh. Ummu menjerit spontan melihat tengkorak manusia yang dipenuhi
habuk jatuh tergolek di bawah kakinya.
“Innalilah…”
gumam Hakiman spontan.
Afiq
mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya yang kelihatan seperti kain putih lalu
mengutip sisa-sisa tengkorak yang tergeletak di atas lantai lalu membungkusnya
dengan penuh cermat dan hati-hati.
“Ada
lagi ke Saiful?” tanya Hakiman.
“Ikut
aku,” arah Saiful.
Mereka
telah menemui dua lagi tengkorak manusia. Semuanya telah dibungkus oleh Afiq
dengan cermat di dalam sehelai kain putih. Selepas itu, Hakiman mengambil alih
tugas memandikan seboleh mungkin tengkorak yang diumpai oleh mereka menurut
kaedah syarak.
Kemudian,
Hakiman sendiri menjadi imam solat jenazah kepada tiga tengkorak manusia yang
dijumpai oleh mereka. Hampir semua penghuni lelaki menyertai solat tersebut
kecuali Hafeez yang masih lagi trauma manakala Sarjan Azmi yang setia menemani
anak perempuannya.
***
Beberapa
orang penghuni Hotel Dino sedang berdiri di perkarangan luar hotel luar
tersebut. Kelihatan Dr Izwan, Acha dan Hafeez sedang berdiri, untuk mengiringi
pasukan enam orang yang ditubuhkan oleh Saiful untuk mencari tanah perkuburan
yang akan menjadi tempat persemadian tiga jenazah yang tinggal tengkorak.
Hakiman,
Afiq dan Zaff sudah membawa cangkul yang hampir berkarat yang dijumpai oleh
mereka di dalam stor. Selepas perbincangan, mereka dibahagikan kepada tiga
kumpulan.
Afiq
akan bersama Saiful. Hakiman dengan Naim manakala Zaff akan bersama Ummu.
“Kami
serahkan urusan hotel ini pada kau, Kapten Azrin dan Sarjan Azmi. Jaga Nazura
dengan baik sehinggalah kami kembali. Mungkin akan ada satu dua gangguan tetapi
bertahan,” tutur Saiful sambil bersalaman dengan Dr Izwan.
Afiq
pula sedang berbual mesra dengan Acha. Kadang-kadang hidung Acha dicuit oleh
Afiq dan ketawa kecil Acha meletus. Ummu pula memerhatikan dari jauh sambil
memeluk tubuh manakala Zaff sekadar tersenyum melihat gelagat Afiq.
“Diam-diam
kan dia buat kerja?” gumam Zaff tiba-tiba.
Ummu
menoleh ke arah Zaff dengan wajah yang masam.
“Kerja
apa?” tanya Ummu.
“Kerja
itulah,” ujar Zaff sambil menjuihkan bibirnya. “Diam-diam dia jual minyak.”
Zaff ketawa selepas menuturkan ayat itu.
Ummu
kembali menoleh depan.
“Kenapa
ni Ummu? Sejak kita jumpa, jarang kau bercakap dengan aku,” ujar Zaff.
Ummu
sekadar membisu. Tiba-tiba sahaja tapak tangan Zaff memegang bahu Ummu lalu
ditolak Ummu menghadapnya.
“Kau
masih cemburu kat aku masa aku nyanyi lagu Putih-Putih Melati hari tu?” tanya
Zaff.
Serentak
itu, wajah Ummu merona merah. Mujurlah kegelapan malam menyembunyikannya.
“Dengar
sini Ummu. Aku sengaja buat kau marah hari tu. Kau… comel sangat bila marah,”
ujar Zaff lagi. Ummu sudah tidak keruan mendengarkan ayat-ayat manis yang mula
ditabur oleh Zaff.
“Er…
rasanya kita kena pergi,” tutur Ummu yang cuba melangkah pergi dari Zaff.
Serentak
itu, pergelangan tangan Ummu dicapai oleh Zaff membuatkan langkah Ummu serta-merta
mati. Semua mata di situ menoleh ke arah Ummu dan Zaff. Lagak Zaff seperti
seorang hero filem yang tidak mahu membenarkan Ummu meninggalkannya lagi.
“Kenapa
nak pergi? Aku belum habis cakap lagi ni,” tutur Zaff.
Zaff
tanpa melepaskan pegangan tangannya kelihatan melangkah mendekati Ummu lalu
membisikkan sesuatu di telinga Ummu.
“Jangan
takut dekat sana nanti. Tengku Nizarif akan sentiasa melindungi kau,” ujar Zaff
lagi sambil tersenyum. Kemudian, pergelengan tangan Ummu dilepaskan oleh Zaff
dan Zaff terus berlalu ke arah Saiful, kelihatan mahu membincangkan sesuatu
dengan Saiful. Ummu memerhatikan sahaja Zaff dari jauh dengan dada yang
berdebar aneh.
“Ya ALLAH, kenapa dengan jantung aku ni?” tutur Ummu.
Afiq
pula merenung dari jauh adegan yang tidak tumpah seperti dalam filem itu dengan
kaku. Spontan tangan kanannya di angkat lalu menyentuh dada.
“Ya
ALLAH, kenapa dada aku rasa sakit sangat ni?” gumam Afiq.
“Fiq?”
panggil Acha sekaligus mematikan lamunan Afiq. Seulas senyuman terukir pada
wajah Afiq namun kelihatan agak kelat.
***
“Berdasarkan
peta, kita dah tak jauh daripada tanah perkuburan yang aku cakapkan,” tutur
Saiful sambil matanya menatap peta yang dijumpainya di puncak rumah api.
“Macam
mana kau boleh tahu semua ni?” tanya Hakiman tiba-tiba.
Saiful
menoleh belakang.
“Setiap
orang yang dilahirkan dikurniakan oleh ALLAH anugerah. Mungkin anugerah aku
mampu melihat mereka dan berbicara dengan mereka,” jelas Saiful tenang.
“Kau
nak cakap yang kau boleh nampak hantu?” tanya Naim sambil membetulkan kaca
matanya.
Saiful
mengangguk.
“Sejak
kecil lagi. Sebab tu aku selalu cakap, jalan hidup korang sangat membosankan,”
tambah Saiful lagi.
“Jadi…
selama ini awak bersikap pelik sebab benda ini ke?” tanya Ummu yang kelihatan
ingin tahu.
“Tak
jugak. Aku cuma tak biasa bergaul dengan manusia jer. Tapi, kalau korang baik
dengan aku, aku akan baik dengan korang,” balas Saiful. “Kita dah sampai…”
Langkah
Saiful mati di situ apabila mereka sedang berdiri di hadapan sebuah tanah
lapang, di tengah-tengah hutan tebal. Terdapat sebuah papan tanda terbaring di
atas tanah tertulis, “Tanah Perkuburan Islam.” Terdapat banyak batu nisan
terpacak di sekeliling tanah lapang itu.
Lampu
suluh yang dipegang oleh Saiful sedang menyuluh keadaan tanah perkuburan lama
itu.
“Siapa
sebenarnya penghuni pulau ni? Muzium, hotel, rumah api dan sekarang… tanah
perkuburan? Kita kat mana sebenarnya ni?” tanya Naim namun soalannya tidak
dijawab langsung oleh mereka yang ada di situ.
“Mari
masuk. Kita berpecah. Cari ruang kosong di sini, dan gali macam yang aku
ajarkan,” tutur Hakiman.
Kumpulan
mereka berpecah kepada tiga seperti mana yang dirancangkan. Saiful akan bersama
Afiq. Hakiman dan Naim manakala Zaff bersama Ummu.
***
“Dekat
sini,” tutur Saiful lalu mengambil cangkul yang dibawa oleh Afiq.
Namun,
belum sempat Saiful menghayunkan cangkulnya, keadaan di sekeliling mereka
tiba-tiba bertukar berangin. Saiful sekadar tersenyum melihat situasi yang
sedang melandanya.
“Kenapa
Saiful?” tanya Afiq.
“Ada
sesuatu yang perhatikan kita dari tadi,” gumam Saiful.
“Dinosaur?”
tanya Afiq.
Saiful
menggelengkan kepalanya.
“Tempat
macam ni, dinosaur pun tak berani nak jejak.”
“Habis
tu? Ada apa?”
“Atas
pokok sana,” kata Saiful sambil melemparkan padangan ke arah sebuah pokok yang
paling rendang di kawasan tanah perkuburan itu.
Afiq
melontarkan pandangannya ke arah tempat yang sama dengan Saiful namun matanya
tidak dapat melihat apa yang Saiful lihat.
“Hijab
kau dah lama ke terbuka?” tanya Afiq.
Saiful
sekadar mengangguk.
“Kau
nak apa daripada aku?” tanya Saiful separuh menjerit.
Tiba-tiba
sahaja kedengaran bunyi hilaian tawa memenuhi tanah perkuburan itu. Afiq sudah
kelihatan resah tetapi Saiful masih tenang luar biasanya.
“Dengan
nama ALLAH yang menciptakan kau, aku nak kau berambus dari sini. Aku datang
bukan untuk buat kacau tetapi melunaskan apa yang patut dilunaskan!”
Namun,
bunyi hilaian tawa terus bergema di kawasan tanah perkuburan itu.
“Kita
teruskan menggali. Pedulikan apa yang kau dengar dan lihat,” kata Saiful.
Afiq
mengangguk.
***
Zaff
tersenyum apabila Ummu kelihatan takut-takut berjalan meredah kubur-kubur yang
tidak diketahui penghuninya. Lengan kanan Zaff erat digenggam oleh jari jemari
Ummu.
“Hati-hati,”
gumam Zaff sekali-sekala ketika Ummu melangkah batu nisan yang sudah ditumbuhi
rumput dan semak samun.
Lama
juga Zaff dan Ummu berjalan mencari ruang kosong untuk menanam tengkorak yang
mereka temui. Akhirnya mereka menemui sebuah ruang kosong yang menurut Zaff
cukup untuk kerja mereka.
“Kita
berhenti kat sini. Kau tolong tengok-tengok keadaan sekeliling sementara aku
gali kubur dia. Nah, pegang kain putih ni sekali,” gumam Zaff.
Ummu
mengangguk. Zaff membuka baju-T hitamnya lalu terserlah tubuhnya yang sasa itu.
Ummu menelan air liur melihat Zaff hanya berseluar jeansnya. Baju-T hitamnya
itu dilemparkan ke arah wajah Ummu membuatkan Ummu bertukar bengang.
“Zaff!”
gumam Ummu geram.
Zaff
ketawa kecil melihat telatah Ummu. Zaff terus menggali kubur. 7 kaki dalamnya,
dan 3 kaki lebar menurut Hakiman. Ketika Ummu sedang asyik memerhatikan Zaff
berkerja keras, bahunya dicuit oleh seseorang dari belakang.
Ummu
menoleh belakang dan seorang lelaki yang sangat tidak dijangka oleh Ummu sedang
berdiri sambil tersenyum dalam pakaian serba putih. Jari jemari Ummu menggigil
tiba-tiba. Air matanya menitik tanpa sedar…
“Ayah…”
tutur Ummu perlahan.
Lelaki
tadi mengangguk sambil tersenyum. Kemudian, lelaki yang dikenali oleh Ummu
sebagai ayahnya berundur setapak demi setapak ke belakang sebelum berlari masuk
ke dalam hutan tebal yang mengelilingi kawasan tanah perkuburan itu.
“Ayah
jangan pergi!” teriak Ummu tiba-tiba.
Zaff
mendongak. Ummu kelihatan luar biasa resahnya.
“Kenapa?”
tanya Zaff sambil memanjat keluar dari lubang kubur yang digalinya itu.
“Zaff,
kau tunggu sini. Aku nak cari seseorang,” ujar Ummu tiba-tiba, lalu meletakkan
kain putih yang mengandungi sisa tengkorak manusia.
“Ummu!”
jerit Zaff apabila Ummu menghilang dalam kegelapan malam.
“Budak
perempuan ni…” gumam Zaff sambil menggelengkan kepalanya. Jejaka itu meletakkan
cangkul dan penyodoknya di tanah. Kemudian, dia mengambil bajunya yang dicampak
jauh oleh Ummu.
“Jangan
pergi jauh-jauh Ummu. Cukup sekali aku terpisah dengan kau.” Zaff sempat
menuturkan ayat itu kepada dirinya sendiri ketika belari mengejar langkah kaki
Ummu.
***
“Hakiman…”
panggil Naim tiba-tiba.
Hakiman
yang sedang menggali kubur di bawah kakinya menoleh ke arah Naim yang sedang
berehat selepas penat menggali tanah di bawahnya dengan Hakiman.
“Kau
percaya ke cerita Saiful yang dia boleh tengok benda-benda yang macam tu?”
tanya Naim.
Hakiman
sekadar tersenyum, dia tidak menjawab soalan Naim sebaliknya kembali menggali
kubur di bawahnya.
“Aku
tengah cakap dengan tunggul kayu ke?” tanya Naim.
“Naim,
itu soal dia dengan ALLAH. Kalau dia dibukakan hijabnya, itu adalah anugerah
ALLAH untuknya. Dia antara yang terpilih, dan ALLAH mempunyai sebab memilihnya.
Kita mungkin tak sekuat dia wahai Naim untuk dipilih melihat alam yang bukan
kita datang daripadanya,” gumam Hakiman.
Naim
mengangguk. Peribadi yang ditunjukkan oleh Hakiman benar-benar mencuri
perhatiannya. Ilmu agamanya juga sangat tinggi. Siapakah sebenarnya Mohammad
Hakiman yang berada di depannya?
“Awak…”
tutur satu suara yang mengejutkan Hakiman dan Naim.
Pantas
perhatian mereka teralih pada satu susuk tubuh gadis yang sedang berdiri di
hadapan mereka. Gadis itu memakai baju kurung putih. Rambutnya diikal sanggul
di belakang manakala senyuman manis terukir di wajahnya. Serentak itu, jari
jemari Hakiman menggigil, tapi bukan kerana takut.
“Hakiman…
awak ingat tak kat saya?” tanya gadis itu.
“Siapa
dia…” Naim hilang kata-kata dengan kemunculan gadis di hadapan mereka.
“Suhaila…”
tutur Hakiman. “Tapi macam mana… awak dah pergi..”
“Saya
nak bawa awak pergi dengan saya,” tutur Suhaila lagi. Kemudian, kelihatan
seorang budak kecil muncul dari kegelapan malam. Dia dan Suhaila kelihatan
bersinar anehnya.
“Sia…pa
dia?” tanya Hakiman.
“Anak
awak…” tutur Suhaila lagi.
Naim
lantas bangkit selepas mendengarkan ungkapan daripada Suhaila.
“Man…
sejak bila kau kahwin?” tutur Naim tidak percaya. Mata Naim berlegar
memerhatikan Hakiman dan Suhaila silih berganti.
“Papa…”
panggil budak kecil tadi membuatkan air mata Hakiman menitis jatuh. Lutut
Hakiman terasa longgar tiba-tiba.
“Ya
ALLAH, apakah ini caranya engkau mahu menunjukkan kepadaku betapa berdosanya
aku pada waktu silam?” tutur Hakiman yang sudah teresak-esak menangis. Cangkul
dan penyodok yang digunakan oleh Hakimah jatuh tergeletak.
“Aku
hidup untuk selama-lamanya!” tutur Hakiman yang kemudian membuatkan
rakan-rakannya ketawa terbahak-bahak.
Ibunya
menangis melihat telatah Hakiman. Botol yang mengandungi air setan yang sedang
dipegang oleh Hakiman diteguk oleh Hakiman seperti air itu ialah air zam-zam.
“Baliklah
nak… ayah kau tengah sakit tu,” gumam ibunya.
“Jangan
kacau aku! Aku bosan dengar kau meleter. Orang tua tu, suruh dia mampus!” tutur
Hakiman yang sedang berkepit dengan seorang gadis yang bernama Suhaila itu.
“Sayang…
I mengantuk,” tutur Suhaila sambil merenung jijik wanita tua yang sedang
berdiri di hadapannya.
“Nanti
I bawa you pergi dari sini. Tepi kau!” tempik Hakiman lalu menolak wanita tua
itu. Terjelopok jatuh manusia yang bernama ibu buat Hakiman itu. Dia hanya
mampu memerhatikan dengan sayu anak sulungnya itu berjalan berkepit dengan
perempuan yang tidak halal baginya.
***
Dataran
di hadapan kawasan perumahan PPR Relung Dalam, Pulau Eurasia itu kelihatan
meriah dengan geng-geng motor yang baru sahaja habis berlumba. Kumpulan RD,
geng mat rempit yang terkenal di Pulau Eurasia itu mempunyai seorang ketua yang
sangat mereka banggakan. Hakiman, sedang duduk di atas sebuah motor sambil
dikelilingi oleh anak-anak buahnya.
Kemudian,
muncul dari jauh seorang gadis yang lengkap berbaju kurung. Dia berjalan penuh
sopan, menghampiri kumpulan mat rempit itu. Hakiman yang sedang memeluk
pinggang seorang gadis yang dikenali sebagai Suhaila itu tidak menyedari akan
kehadiran gadis yang berbaju kurung itu.
Hakiman
yang menyarung jaket hitam itu ditepuk dari belakang bahunya. Pantas Hakiman
menoleh ke arah rakannya yang menepuk belakang.
“Cun
awek tu…” gumam rakannya itu.
Hakiman
sekadar diam apabila dirinya dihampiri gadis yang berbaju kurung itu.
“Abang…
emak panggil balik!”
Membuah
ketawa anak-anak buah Hakiman mendengarkan ungkapan gadis itu. Merah mula
Hakiman menahan malu. Penumbuk diggenggamnya.
“Berapa
kali aku cakap dengan kau, jangan datang sini lagi!”
“Tapi
emak…”
“Cakap
kat orang tua tu. Aku tahu bila aku nak balik! Aku bukan budak-budak lagi!”
Gadis
berbaju kurung itu tertunduk apabila ditengking oleh Hakiman di hadapan belasan
rakan-rakan mat rempit Hakiman.
“Pergi
balik!” arah Hakiman lagi. Gadis itu hanya tersengguk-sengguk lalu melangkah
meninggalkan Hakiman.
“Kiman…
apa kata kau kasi adik kau untuk aku ratah?” tutur seorang rakan mat rempit
Hakiman.
Apa
lagi, Hakiman yang tiba-tiba bertukar berang menolak Suhaila ke tepi lalu menerkam
rakannya itu. Mereka berdua bergelut untuk seketika sebelum diredakan oleh mat
rempit yang lainnya.
“Sabarlah
bro, aku gurau jer tadi…”
Kemudian,
Hakiman meludah tepat di lantai. Dia mengambil helmetnya lalu memakainya.
Kemudian, dia mengarahkan Suhaila untuk memboncengnya di belakang sebelum
Hakiman memecut laju meninggalkan kumpulan mat rempit itu.
“Hakiman
semakin sombong bila berada di atas…”
“Kita
kena buat sesuatu…”
***
Berkerut
dahi Hakiman mendengarkan kata-kata Suhaila di hadapannya. Patutlah gadis itu
menghilang daripada pandangan matanya sejak beberapa bulan ini. Kemudian, tidak
semena-mena pagi tadi dia menerima panggilan daripada Suhaila. Konon mahu
berjumpa…
“Mana
kau tahu dalam perut kau tu anak aku?” tanya Hakiman.
Suhaila
semakin kuat tangisnya di kedai mamak yang berdekatan dengan PPR tempat Hakiman
tinggal. Hakiman resah memandang kiri dan kanannya. Janganlah dia buat aku
malu…
“Nah
ambil tisu ni. Lap air mata kau,” tutur Hakiman.
Suhaila
mengangguk.
“Aku
kasi kau duit. Gugurkan budak dalam perut kau!” dingin sahaja suara Hakiman
menuturkan perkataan itu.
Suhaila
pantas menggelengkan kepalanya.
“Saya
dah buat dosa berzina dengan awak! Dan saya tak nak buat dosa membunuh pula!”
tinggi nada suara Suhaila membantah cadangan Hakiman itu.
“Perempuan
sundal macam kau ada hati nak bercakap pasal dosa?” Hakiman ketawa selepas
menuturkan perkataan itu membuatkan riak wajah Suhaila tidak dapat dibaca sama
sekali.
Suhaila
bangkit dari kerusinya secara tiba-tiba membiarkan Hakiman dengan senyuman
sinisnya. Kemudian, dengan air mata yang bercucuran jatuh, Suhaila melangkah ke
arah jalan raya dengan hati penuh walang. Hakiman sekadar memerhati Suhaila
melintas sehinggalah sebuah kereta…
“Suhaila!
Jangan!” teriak Hakiman memberi amaran. Namun, tubuh Suhaila sudah terpelanting
di udara. Hakiman spontan bangkit lalu berlari di tengah jalan raya. Kereta
yang melanggar tubuh Suhaila keluar, sambil menelefon ambulans.
Tubuh
Suhaila yang berlumuran darah itu diriba oleh Hakiman. Suhaila masih bernafas
ketika itu. Tercungap-cungap menahan kesakitan ketika malaikat maut sedang
menarik nyawanya.
“Awak…
kena jaga diri awak…” tutur Suhaila sambil tangannya cuba memegang pipi
Hakiman. “Jangan jadi macam saya. Saya hamba ALLAH yang penuh dosa… awak kena
berubah…”
***
Langkah
kaki Hakiman longlai ke arah Suhaila yang sedang berdiri dengan cahaya yang
berkilau anehnya. Air mata Hakiman menitik tanpa sedar, menuruni sehingga ke
bawah dagunya yang terdapat janggut sejemput itu. Jari-jemari Hakiman cuba
mengelus pipi Suhaila. Lembut…
“Awak
betul-betul wujud ke?” tanya Hakiman.
“Saya
ada kat depan awak,” tutur Suhaila lagi.
“Kenapa
awak datang… bukan ke awak dah tenang…”
Jari
telunjuk Suhaila tiba-tiba menyentuh bibir Hakiman. Indah senyuman yang
terukir, membuatkan hati Hakiman yang dilanda ombak resah itu kembali tenang,
seperti sedang diselimuti suasana alam.
“Sebab
saya rindukan awak.” Lembut suara Suhaila menuturkan perkataan itu.
“Hakiman!
Sedar kau daripada mainan syaitan! Ingat, kau ada benda lain yang perlu kau
uruskan!” teriak Naim tiba-tiba.
Hakiman
yang seperti disampuk itu menoleh ke arah Naim. Tetapi, dia kembali menumpukan
perhatian menatap wajah kesayangannya yang telah lama meninggalkannya. Pipi
Hakiman disentuh lembut,
“Pedulikan
dia… saya nak awak ikut saya,” tutur
Suhaila lembut.
***
Saiful
Hawiz sedang duduk berehat di bawah sebatang pokok di tanah perkuburan itu.
Kelihatan Afiq tenang menemaninya. Masing-masing seperti kehabisan nafas
membuat kerja pengebumian. Gangguan demi gangguan tidak langsung mematahkan
kerja mereka.
“Fiq!”
teriak seseorang tiba-tiba membuatkan Afiq berdiri. Saiful yang memejamkan
matanya untuk seketika turut kelihatan terkejut.
“Itu
suara Ummu…” gumam Afiq.
“Fiq!
Tolong Ummu. Zaff nak buat sesuatu!” Ummu menjerit lagi, tidak jauh daripada
mereka.
“Zaff?
Kurang ajar!” gumam Afiq geram.
Sebatang
kayu sebesar lengan diambil oleh Afiq. Tanpa mengendahkan Siaful yang
terpingga-pingga, Afiq sudah membuka langkah seribu ke arah punca suara Ummu
tadi.
“Tunggu
aku…” Lengan Saiful tiba-tiba ditangkap oleh seseorang. Pantas Saiful menoleh
belakang.
“Cik
Mia?” gumam Saiful tidak percaya melihat kelibat wanita itu.
“Saiful
sukakan Cik Mia ya?” tanya Cik Mia.
Saiful
terdiam. Dia merenung wajah Cik Mia tidak percaya mendengarkan soalan itu.
“Kenapa…”
Jari
telunjuk Cik Mia tiba-tiba membelai tubuh Saiful yang tidak berbaju, sekadar
berseluar jeans itu. Pantas Saiful menepis.
“Kenapa
ni Saiful?” tanya Cik Mia dengan kening yang terangkat.
“Apa
Cik Mia buat ni.. err… kita…”
Kemudian,
tubuh Saiful yang sasa itu dipeluk oleh Cik Mia.
“Astaghfirulah…
berambus kau syaitan!” teriak Saiful tiba-tiba lalu menolak Cik Mia ke
belakang, membuatkan wanita itu jatuh terlentang.
“Pergi
kau iblis. Jangan kau menyerupa lagi untuk menyesatkan anak Adam. ALLAHU
AKHBAR!” Sebaik sahaja takbir diucapkan oleh Saiful, tubuh Cik Mia hilang
seperti data di udara.
“Dia
sengaja lambatkan aku untuk membiarkan Afiq masuk perangkap…”
***
Dari
kejauhan, kelihatan Ummu sedang dipeluk dari belakang oleh Zaff, Meronta-ronta
Ummu cuba melepaskan diri. Afiq yang menyaksikan kejadian itu tambah terbakar.
Kurang
ajar punya manusia. Ketika aku tak ada di sisi Ummu dan percayakan dia, ini
balasannya yang dia berikan pada aku? Harapkan pagar, pagar makan padi! Afiq
memecut ke arah Zaff sambil menghayunkan kayunya.
“Fiq…”
tutur Zaff yang sempat memusingkan tubuhnya menghadap Afiq. Hayunan kayu tadi
sempat dielaknya.
“Kenapa?”
tutur Zaff yang tidak menyedari Ummu sudah berlari meninggalkannya.
“Awak
pergi cari Saiful. Biar saya uruskan si bedebah ni!” teriak Afiq sambil
merenung tajam Zaff.
“Kenapa
tiba-tiba ni Fiq?” tanya Zaff.
“Aku
dengar suara Ummu menjerit. Kau cuba ambil kesempatan ke atas dia sementara kau
berdua-duaan dengan dia!” tuduh Afiq berang sambil menundingkan kayu yang
sebesar lengan itu tepat di hadapan wajah Zaff.
“Astaga…
kau cakap apa ni?”
“Bangsat
kau! Jangan buat tak faham…” Afiq menghayunkan kayu itu berulang kali, namun
semuanya tidak mengena tepat pada sasaran.
“Terima
kasih awak…” tutur satu suara tiba-tiba dari belakang. Afiq menoleh dan Ummu
sedang berdiri sambil memegang lengan Afiq. “Nasib baik awak ada. Tadi dia…”
Kelihatan Ummu tidak mahu menuturkan perkataan terakhir itu.
“Ummu
macam mana…”
“Diam
kau! Perogol!” pintas Ummu. Kemudian, kelihatan Ummu membisikkan sesuatu di
telinga Afiq membuatkan Afiq mengangguk sambil tersenyum.
“Aku
akan pastikan kau menyesal dengan apa yang kau buat,” gumam Afiq bengang.
Sepertinya dia sedang dirasuk sesuatu, amarah barangkali.
“Dengar
penjelasan aku…
Belum
sempat Zaff mahu menghabiskan ayatnya, kayu tadi mengena perut Zaff membuatkan
Zaff tertunduk senak. Kemudian, kayu tadi menghentam pipinya membuatkan dia
jatuh terperosok.
“Sakit
Fiq…”
“Pukul
dia lagi Fiq! Pukul dia!” Kedengaran suara Ummu seperti mencurah minyak ke
dalam amarah Afiq.
“Dengarlah
dulu… aku cuma nak halang dia…”
“Daripada
melarikan diri daripada nafsu serakah kau?” celah Afiq sinis.
“Demi
ALLAH aku tak pernah buat…”
“Jangan
guna nama ALLAH untuk tutup apa yang kau buat, sial!” Kali ini, Afiq menumbuk
bibir Zaff. Darah tersembur membasahi baju Zaff.
“Fiq!”
teriak Saiful tiba-tiba dari belakang. Afiq menoleh dan… Ummu tadi ghaib begitu
sahaja.
“Tadi
bukan Ummu yang menjerit. Itu penghuni tanah perkuburan ni. Mereka nak halau
kita! Kita kena cari yang lain, segerakan apa yang perlu disegerakan dan pergi
dari tempat ni!”
Afiq
termengkelan. Dia melihat Zaff yang sedang terbaring lemah dengan mulut yang
berlumuran darah. Tulang pipinya kelihatan patah selepas menerima hentakan padu
daripada kayu Afiq.
“Pergi
kejar Ummu. Dia lari arah sana…” gumam Zaff.
“Aku
tolong Zaff. Kau pergi cari Ummu!” arah Saiful. Afiq mengangguk.