Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 2

Tenku berbaring di dalam bilik. Dia tidak berbaju hanya mengenakan seluar pendek sahaja. Membiarkan hembusan daripada kipas angin menyapa tubuhnya. Cuaca di luar rumah terasa hangat. Itu sebab dia merancang untuk tidak keluar ke mana-mana sebaliknya hanya berkurung di dalam bilik sahaja.

Tenku tekun membaca buku Art of Deception yang ditulis oleh Jerry D.Gray. Buku yang berkisar tentang kejahatan Amerika Syarikat menjalankan pelbagai program serta usaha bagi menakluk dunia telah dibelinya minggu lepas tetapi masih belum berkesempatan untuk dibacanya sehingga kini. Rak buku di dalam biliknya, hanya dipenuhi dengan buku-buku yang berkenaan teori konspirasi, politik, buku ilmiah dan seram semata-mata. Lelaki ini begitu mencintai hal-hal berkaitan tersebut terutama tentang teori konspirasi.

Bagi sesetengah pihak, hal-hal begitu hanya dianggap membuang masa kerana apabila dinamakan sebagai teori maka pastinya hal tersebut boleh jadi benar mahupun tidak. Tetapi perkara ini sangat bertentang dengan diri Tenku sama sekali. Bagi dirinya, buku telah mendedahkan kebenaran yang nyata. Tiada jalan yang lebih baik bagi mendedahkan kebenaran melainkan hanyalah melalui buku sahaja.

Sebab itu lelaki ini lebih gemar bersahabat dengan buku sehingga kadang kala kawan-kawan menggelarnya sebagai ulat buku. Tetapi Tenku tidak kisah dengan semua itu. Hari dia tidak bekerja akan dihabiskan dengan menghadap buku semata-mata.

Alasan Tenku adalah mudah. Buku adalah sesuatu yang akan taat kepada kita di siang hari mahupun pada waktu malam. Buku akan setia baik ketika kita di luar rumah mahupun di dalam rumah. Buku tidak akan menyakiti ketika kita sedang tertidur. Buku adalah guru yang penting saat kita memerlukannya.

Walaupun kita selalu meninggalkannya, dia akan selalu taat. Walaupun orang di sekeliling memusuhi kita, buku tidak akan berpaling tadah sama sekali. Itulah buku dan itulah prinsip atau falsafah yang dipegang oleh Tenku. Bagi Tenku bercinta dengan buku adalah jauh lebih baik daripada bercinta dengan manusia. Kerana buku adalah jauh lebih setia.



Hanif mengurut-ngurut pergelangan tangannya. Sejak kejadian tersebut, pergelangan tangannya masih tidak surut kesakitan yang dirasakan. Ini semua gara-gara malam semalam. Hanif membelek tangannya. Semakin lama dirasakannya semakin sakit dan susah untuk bergerak.

Fikiran Hanif menerawang memikirkan kejadian pada malam tersebut. Selepas dia menumbuk muka hantu tersebut, dia terjaga daripada mimpinya. Rupa-rupanya dalam keadaan tidak sedar, Hanif telah menumbuk dinding. Lantas kesakitan yang dialami terasa membunuh lenanya. Tetapi dalam masa yang sama Hanif bersyukur kerana semua itu hanyalah mimpi semata-mata. Dia menarik nafas lega dan mengucapkan syukur yang teramat.

Tetapi rentetan daripada kejadian tersebut membuatkan dia terpaksa menanggung kesakitan. Rasa sakit yang dialami bukan kepalang. Hanif menarik nafas dan menghembus menahan kesakitan. Terasa begitu sengal dan menyucuk-nyucuk. Lantas Hanif mencapai kunci rumah dan mengenakan kasut Adidas sebelum melangkah keluar daripada rumah. Hendak menunggang motosikal, tangannya itu terasa tidak mampu untuk memegang hendal. Jadi dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki menuju ke klinik yang berdekatan untuk memeriksa tangannya tersebut. Bimbang jika berlaku perkara yang lebih serius jika tidak dirawat.



Reykal menunggang motosikal EX5 miliknya pulang ke rumah setelah bertemu dengan Ayu Emelda buat kali terakhir sebentar tadi. Hatinya masih sakit dan terluka dengan perbuatan Ayu Emelda yang telah berpaling arah daripada dirinya. Jika lukanya mengalirkan darah, Reykal pasti darah tidak akan berhenti mengalir dari hatinya itu. Sakitnya terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Batinnya cukup tersiksa.

Perutnya tidak semena-mena berasa sakit. Reykal mengetap bibir menahan rasa sakit. Hanya beberapa meter sahaja lagi dia akan tiba di rumah. Namun sakitnya itu dirasakan tidak dapat ditahan-tahan lagi. Reykal mengitari pandangan di kawasan tersebut. Lantas matanya tertancap ke arah sebuah masjid. Rumahnya tidak jauh daripada kawasan tersebut tetapi rasa sakit tersebut seolah-olah menyentak-nyentak ususnya. Mahu tidak mahu Reykal terpaksa membelok kenderaannya dan masuk ke perkarangan masjid tersebut bagi melepaskan hajat.

Reykal tercari-cari arah tandas. Sebaik menjumpai, dia bergegas masuk. Selang beberapa minit kemudian dia keluar dengan rasa yang lega. Reykal berlalu mendapatkan motosikalnya yang diparkir tidak jauh daripada kawasan tersebut.

Dia memandang ke arah masjid tersebut. Baru dia perasan akan sesuatu. Sepanjang dia tinggal di taman itu belum pernah sekali dia ke masjid tersebut. Ini buat kali pertama dia mencecahkan kaki ke masjid tersebut. Reykal tersenyum sendirian mengenangkan perkara itu. Terasa lucu apabila tersedar sendiri kedangkalannya dalam agama.

Reykal melabuhkan punggungnya di atas kusyen motosikal. Kakinya mencari-cari penghidup enjin.

“Assalamualaikum..”

Salam suci yang dilontarkan tersebut membuatkan Reykal tersentak. Dia menjawab salam lalu mengalihkan pandangan ke arah sebelah kanannya. Kelihatan seorang lelaki yang berusia lingkungan 40-an sedang berdiri di sebelahnya dengan tersenyum. Janggut sejemput menghiasi wajahnya yang kelihatan cerah berseri.

“Alhamdulillah kita dipertemukan di sini kerana ALLAH. Siapa nama awak?”tanya lelaki tersebut.

“Reykal.. Err.. Boleh panggil saya Rey..”tergagap-gagap Reykal menjawab.

“Sedap nama tu. Tak mengapa saya lebih selesa panggil awak dengan nama Reykal.”jawab lelaki tersebut.

Reykal tertanya-tanya dengan kehadiran lelaki tersebut secara tiba-tiba. Lantas soalan tersebut diajukan.

“Pak cik imam masjid ni ke?”tanya Reykal. Lelaki tersebut hanya menggeleng.

Reykal mengerutkan keningnya. “Ustaz?”Reykal sekadar menduga.

Lelaki tersebut sekali lagi menggeleng. “Saya cuma hamba ALLAH seperti kamu juga. Panggil saya pak cik Daud.”lembut suara lelaki tersebut mengenalkan dirinya.

‘Imam bukan. Ustaz pun bukan. Habis siapa lelaki ni? Alamak! Habis aku. Dia ni confirm tabligh dekat masjid ni. Aku yakin sangat. Lepas ni mesti dia ajak aku solat. Aduh.. Aku kena cepat pergi dari sini’

Reykal mula tidak senang duduk. Dia hanya tersengih-sengih sambil cuba mencari-cari jalan untuk lari daripada keadaan tersebut. Lelaki yang digelar sebagai Daud itu hanya tersenyum melihat ke arahnya.

“Syukur kepada ALLAH kerana masih dipanjangkan usia dan berpeluang menikmati segala nikmat yang diberi olehnya. Sebenarnya hidup ini adalah satu dugaan dan sebuah perjalanan yang sangat panjang. Jika hari ini kita ditimpa masalah, itu tandanya ALLAH masih sayang akan kita. Jika hari ini kita dilanda musibah, itu tandanya ALLAH masih ingat pada kita. Jika hari ini kita kehilangan segalanya, jangan lupa satu perkara kerana ALLAH masih bersama dengan kita lagi. Ingatlah, ALLAH itu Maha Pengasih Lagi Pemurah. Di setiap ujian yang diturunkan pasti ada hikmah yang berada di sebaliknya.”

Reykal yang mendengar hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu mengapa lelaki itu secara tiba-tiba mengatakan hal sedemikian kepada dirinya seolah-olah mengerti dia sedang mengalami masalah. Namun Reykal tidak begitu fokus dengan setiap baik kata yang terucap. Dia ingin segera pulang ke rumah.

“Jadi sebaik-baik cara adalah kita kembali kepada pencipta iaitu ALLAH S.W.T. Gantungkan hati mu pada Tuhan yang satu, maka pasti segala apa yang mendatang akan dapat diatasi dengan mudah. Insha ALLAH.”sambung Daud lagi.

Sebaik berkata sedemikian, azan telah dilaungkan menandakan telah masuk fardhu solat Asar. Daud menunggu seketika sehingga azan tamat sebelum menyambung berbual.

“Azan dah dilaungkan. Jom kita bersolat dahulu.”pelawa Daud sambil tersenyum. Memaniskan roman wajah.

Aku dah agak dah! Dah agak sangat-sangat. Aku kena cari jalan. Aku nak balik!!’teriak Reykal di dalam hatinya.

“Err.. Tak mengapalah pak cik. Saya solat dekat rumah. Lagipun kawan saya tengah menunggu.”Reykal berdalih.

“Solat di masjid kan lebih afdal. Lebih besar pahalanya. Tambah-tambah berjemaah macam ni. 27 kali ganda pahala daripada bersolat sendirian.”Daud cuba memujuk.

Reykal tergaru-garu kepalanya. “Esok ada lagi. Besok saya datang solat berjemaah dekat sini.”balas Reykal. Dia mula menghidupkan enjin motosikalnya.

Daud hanya tersenyum melihat kerenah Reykal. “Kamu yakin kamu sempat bersolat Asar di rumah sekejap lagi? Kamu yakin esok kita masih dapat berjumpa seperti hari ini?”

Soalan tersebut membuatkan Reykal tersentak. Seolah-olah satu tamparan keras hinggap di wajahnya. Wajah Daud diperhatinya. Lelaki itu hanya tersenyum kepadanya. Lantas bahu Reykal ditepuk beberapa kali dan dia berlalu masuk ke dalam masjid meninggalkan Reykal. Reykal terdiam memikirkan kata-kata Daud sebentar tadi. Enggan membejatkan fikiran lantas gear dimasukkan dan dia memecut motosikal berlalu keluar daripada masjid.

Daud yang berdiri di hadapan pintu masuk masjid hanya memerhati tindakan Reykal. Dia hanya menggelengkan kepala sambil mengucapkan nama ALLAH.

“Semoga ALLAH memberi hidayah kepada mu.”



Reykal menghempaskan tubuhnya di atas katil. Fikirannya menerawang mengimbau semula peristiwa pertemuan dia dan Ayu Emelda pada minggu lepas. Bohong jika dia mengatakan bahawa dia telah melupakan Ayu Emelda sepenuhnya. Hingga saat ini, hati dan jiwanya masih merindui wanita tersebut. Kenangan bersama wanita itu sukar untuk diluputkan dari ingatan.

Tetapi dia sesekali tidak akan menyesal dengan keputusannya melepaskan wanita tersebut pergi. Buat apa menyimpan wanita yang tidak lagi setia kepada dirinya. Yang tidak tulus menyayangi dan mencintai dirinya. Reykal mengeluh berat.

Reykal mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Fail galeri album dibuka dan dibeleknya. Beberapa keping gambarnya bersama Ayu Emelda yang ditangkap beberapa bulan yang lepas masih disimpannya. Sungguh bahagia mereka pada waktu itu. Secara tidak sedar, Reykal tersenyum sendirian apabila mengenangkan kenangan tersebut. Buat seketika dia terlupa perkara yang telah Ayu Emelda lakukan kepada dirinya.

Ketukan pintu telah mematikan lamunan Reykal. Wajah Ilham menjengah muka pintu. Lelaki itu melemparkan senyuman ke arah Reykal. Reykal hanya mengjungkitkan keningnya sebagai isyarat bertanyakan tujuan Ilham.

“Kalau iya pun takkan tak nak jemput aku masuk ke bilik kau.”getus Ilham seraya masuk ke dalam bilik tanpa dipelawa Reykal. Salah sebuah kerusi ditariknya lalu dia melabuhkan punggung.

“Ada apa Am?”soal Reykal.

“Kau free tak petang ni?”tanya Ilham.

Reykal berkira-kira sendiri. “Hmm.. Tak pasti lagi. Kenapa?”

“Aku ingat nak ajak kau teman pergi kedai Ah Chong. Aku nak usha sport rim baru untuk kereta aku tu.”ujar Ilham.

“Aku tak pasti lagi. Tapi mungkin aku tak pergi kut. Aku letih sikit lah.”balas Reykal.

“Kalau kau tak nak pergi tak apa lah. Aku tak memaksa.”

Reykal hanya mengangguk kecil. Ilham memerhati wajah rakan baiknya itu. Reykal tidak perasan dengan pandangan tersebut. Dia hanya termenung memikirkan masalah yang melanda dirinya itu.

“Kau ada masalah ke? Aku tengok kau asyik bermenung je semenjak dua ni?”tanya Ilham ingin tahu.

Reykal melihat Ilham sekilas. Dia mengeluh berat.

“Entah lar Am. Serabut fikiran aku.”keluh Reykal.

Dahi Ilham berkerut. “Cuba kau cerita dekat aku apa masalah kau?”

Reykal terdiam panjang sebelum bersuara.

“Sebenarnya aku dan Ayu dah putus.” Reykal berterus terang.

Ilham sedikit terperanjat dengan berita yang didengarinya itu. Setahunya kedua-dua pasangan itu saling sayang menyayangi. Bahkan bagaikam belangkas. Sentiasa berkepit sepanjang masa. Kini apa yang didengari mereka berdua telah berpisah.

“Apa punca sampai kau dan dia berpisah?”

“Dia curang dengan aku, Am.”luncur kata-kata itu keluar dari bibir Reykal.

Mata Ilham terbuntang luas dan mulutnya terlopong.

“Cu..curang? Kau biar betul. Aku tengok Ayu tu bukan main sayang dengan kau.”tanya Ilham tidak percaya dengan kata-kata Reykal.

“Sayang wanita ni hanya pada mulut sahaja Am. Aku dah serik. Dah berapa kali aku kena macam ni. Aku dah serik dengan wanita ni. Semua hanya pandang harta dan kekayaan semata-mata.”keluh Reykal.

Ilham hanya mendengar luahan hati rakannya itu. Sebenarnya dia turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Reykal.

“Tak semua perempuan macam tu Am. Mungkin kau belum berjumpa lagi dengan wanita yang benar-benar ikhlas mencintai kau. Menyayangi kau hanya kerana apa adanya kau dan bukan kerana kekayaan dan faktor-faktor yang lain. Harap kau sabar dan tabah menghadapi semua ni.”Ilham memberikan nasihat.

“Tapi masalahnya Ayu tu ada hubungan sulit dengan bos dia. Sebab apa? Nak kata bos dia hensem, aku hensem lagi. Semuanya sebab duit. Yelar sebab bos dia tu kaya, ada duit, ada pangkat. Aku ni kuli batak saja. Harta pun setakat motor cabuk saja. Naik dengan aku setiap masa mengaduh panas. Lainlah bos dia tu, siap kereta BMW 5 Series bagai. Kau nilai lah sendiri Am macam mana.”

“Kau ni berfikiran negatif. Cuba kau positifkan semua tu. Mungkin ini semua adalah takdir atau ujian yang Tuhan turunkan pada kau. Nak tengok kau masih ingat pada dia atau tak. Tak ada kena mengena soal kaya atau tak. Kalau Ayu tu pandang kekayaan dari dulu lagi dia dah tinggalkan kau.”kata Ilham. Kata-katanya seolah-olah menyebelahi Ayu Emelda tetapi pada hakikatnya lelaki itu cuba meneutralkan semula pemikiran rakan baiknya itu.

“Aku percaya ini semua takdir. Dan untuk pengetahuan kau, Ayu tu dulu tidak semewah ini hidupnya. Aku lelaki yang bertanggungjawab yang bawa dia sampai ke tahap ni, Mungkin dengar seperti mengungkit tapi itu hakikatnya yang sebenarnya. Mungkin kau tak mengerti. Tapi cuba lah kau ni tak ada kereta,fulus pun kurang, aku berani jamin wanita-wanita yang kau kawan sekarang belum tentu lagi nak stay dengan kau. Manusia hanya dianggap penting dan dihormati bila dia kaya dan pegang duit banyak. Tetapi bagi orang kebanyakan macam aku ni, semuanya dilayan seperti tidak bermaruah dan tiada harga diri.”

Serentak berkata sedemikian, Reykal terus bangun daripada katilnya dan keluar daripada bilik. Meninggalkan Ilham keseorangan. Kata-kata Reykal bermain-main di telinganya. Lantas Ilham mengeluh berat. Lelaki boleh dihadapkan dengan berjuta-juta masalah tetapi mereka lemah apabila berhadapan dengan masalah yang melibatkan wanita. Itu hakikat yang sebenar bagi seorang lelaki.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.