Home Novel Seram/Misteri JASAD
Prolog

PROLOG 1

Kematian adalah proses di mana roh meninggalkan jasad dan menetap di alam barzakh sebelum dibangkitkan semula pada hari kiamat kelak bagi dihitung segala amalannya. Manusia tidak terlepas daripada merasai kematian kerana setiap yang awal pasti ada akhirannya. Itu adalah hukum ALLAH yang harus kita patuh. Jika kita berlari ke serata alam sekalipun untuk mengelak maut namun tatkala ajal telah menjemput kita pasti kita akan kembali semula kepada-Nya.

Mati adalah lumrah kehidupan manusia biasa. Tetapi mati yang bagaimana yang kita nak lalui? Adakah mati dalam keadaan berdosa tanpa membawa sebarang amal? Atau mati sebagai manusia yang bertakwa sehingga namanya menjadi sebutan para penghuni langit? Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika perintah ALLAH dan Rasulnya kita patuhi hanya semata-mata untuk mengejar keredhaan maka selamatlah kita di sana kelak.

Bagaimana pula rasanya kematian? Pasti kita semua pernah terbaca kisah bagaimana sakitnya kematian itu seolah-olah 300 bilah pedang tercucuk di setiap anggota badan sedangkan itu adalah cara paling lembut malaikat Izrail mencabut nyawa hambanya yang bertakwa. Jadi bagaimana pula dengan sakitnya kematian kita? Pasti tidak terperi bukan?

Kita hanya boleh membaca, kita hanya boleh mendengar dan kita hanya boleh melihat tetapi kita tidak boleh merasai sendiri kematian itu. Kerana sekali kita mati, kita tidak mampu lagi kembali hidup ke dunia untuk menceritakan kepada manusia betapa sakitnya sakaratulmaut. Kita tidak mampu lagi berpesan-pesan pada yang hidup agar menjaga amal supaya tidak terseksa di sana kelak. Kerana kematian itu menjadi pemisah kepada segala-galanya.

Pemisah di antara suami dan isteri, pemisah di antara ibu atau bapa dengan anak, pemisah di antara adik beradik dan saudara mara, bahkan berpisah dengan orang yang kita cintai dan kasihi. Bersediakah kita menghadapi hari tersebut? Tepuk dada dan tanyalah diri masing-masing. Yang pasti sebagai seorang manusia tidak dapat dibohongi kiranya terdapat sekelumit rasa takut yang bersarang di jiwa tatkala panggilan maut bertandang. Itu adalah lumrah.

Bagaimana pula alam selepas kematian atau lebih dikenali dengan nama alam barzakh? Mendengar atau membaca tentangnya pun adakalanya dapat menaikkan bulu roma. Sebab apa? Sebab terlalu pedihnya azab seksaan yang ALLAH timpakan kepada hambanya yang berdosa. Tetapi amat hebat sekali berkat yang ALLAH limpahkan kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh.

Alam barzakh adalah satu persinggahan sebelum manusia menempuh alam akhirat. Jika manusia menganggap kehidupan adalah susah, maka alam barzakh adalah jauh lebih susah. Dan jika mereka menganggap alam barzakh adalah tersangat susah maka alam akhirat akan menjanjikan kesusahan yang tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.

Berakhir sudah kisah tentang kematian. Sekarang kita beralih pula kepada kehidupan yang dilalui kita kini. Alam dunia. Alam dunia adalah suatu keseronokan bahkan ibarat syurga bagi mana-mana manusia yang mengejar dunia. Tetapi bagi mereka yang mengejar akhirat, alam dunia ini diibaratkan hanya sebagai satu persinggahan. Persinggahan mengumpul pahala dan redha Ilahi sebelum bertemu denganNYA kelak.

Dunia ini menyimpan seribu satu macam kisah. Mungkin adakalanya kisah tersebut seolah-olah tidak masuk akal bahkan kedengaran seperti mitos dan tahyul semata-mata. Terpulang kepada fikiran manusia untuk menilainya sebagaimana. Tetapi yang pasti di sebalik kisah yang dikatakan tidak logik tersebut pasti ada kebenaran yang terselit di dalamnnya. Mungkin kita terlupa satu perkara. Apabila ALLAH berkehendakkan sesuatu maka jadilah ia. KUN FAYAKUN!!

Firman ALLAH S.W.T di dalam surah Yassin (ayat 82) yang bermaksud:

Sesungguhnya perintah-Nya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya ‘Jadilah!’ maka terjadilah ia.



PROLOG 2

Reykal menunggang motosikal manakala Hanif menjadi pemboncengnya. Tenku pula menunggang berseorangan. Mereka membelah kesunyian dan keheningan malam. Hanya deruman enjin motosikal yang menjadi halwa telinga. Tinga-tiang lampu memuntahkan cahaya namun jalan yang mereka lalui masih kelihatan suram dan kelam. Sang bulan pula tidak memunculkan dirinya. Bersembunyi di mana-mana di sebalik awan.

Walaupun ingin cepat pulang ke rumah namun mereka bertiga masih berhati-hati. Keselamatan itu tetap diutamakan. Tiada kenderaan yang berada di belakang mahupun menggunakan jalan bertentangan dengan mereka bertiga. Yang ada hanyalah mereka bertiga sahaja. Jam telah menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Lazimnya waktu-waktu begini sering menjadi pilihan pencanai cerita seram memunculkan momok di dalam kisah yang dibuat oleh mereka. Entah mengapa detik 12.00 malam seringkali dikaitkan dengan sesuatu makhluk yang bersifat halus tidak dapat dikenalpasti. Mungkin juga detik itu pintu-pintu yang membataskan di antara dua alam terbuka dengan luas. Makhluk-makhluk dari alam sana bebas masuk ke alam manusia bagi menyesatkan cucu cicit Adam. Atau juga mencari pendamping untuk mereka.

Pedal minyak terus dipulas. Jarum meter menunjukkan kelajuan dianggarkan 80 kilometer sejam. Tidak terlalu perlahan dan tidak juga terlalu laju. Masing-masing berharap dapat segera pulang ke rumah dan segera melupakan segala yang terjadi pada hari itu.

Selang setengah jam memulas pedal minyak, Reykal memberi signal lalu memberhentikan motosikal di bahu jalan. Tenku memperlahankan motosikal lalu berhenti bersebelahan Reykal dan Hanif.

“Kenapa kau berhenti?”tanya Tenku. Dia sebolehnya ingin segera cepat pulang ke rumah. Tidak mahu singgah di mana-mana lagi.

“Korang perasan tak satu benda?”tanya Reykal. Wajahnya beraut serius.

“Apa?”serentak suara Tenku dan Hanif berpadu menanyakan soalan yang sama.

“Kita dah lalu jalan yang sama dekat hampir tiga kali! Takkan korang tak perasan?”nada suara Reykal sedikit meninggi. Matanya merenung ke arah Hanif dan Tenku silih berganti.

Hanif dan Tenku terpempan seketika. Seolah-olah baru tersedar dari mimpi yang panjang. Mereka terlingas-lingas melihat jalan yang dilalui oleh mereka itu. Jalan yang lurus dan terdapat hutan kecil di simpang jalan tersebut. Setahu mereka hutan kecil itu menjadi laluan pintas oleh mereka untuk pulang ke rumah. Namun pada waktu-waktu begitu untuk meredah hutan tersebut selama 10 minit membuatkan mereka berfikir dua kali. Biar mereka menggunakan jalan jauh asalkan selamat tiba di rumah.

Tapi kini mereka bertiga kebingungan. Sepatutnya sejak dari tadi lagi mereka telah tiba di rumah. Tapi telah hampir setengah jam sejak keluar daripada hospital tetapi mereka masih tidak sampai-sampai juga!

Previous: Sinopsis
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.