Home Cerpen Seram/Misteri HOTEL STALLION
HOTEL STALLION
Eqbal Mohaydeen
12/11/2014 02:05:36
5,181
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

HOTEL STALLION

Prolog

Aku berkurung di dalam bilik. Lebih tepat di dalam bilik air. Air mata membasahi pipi aku. Air di sinki aku biarkan mengalir sehingga melimpah ruah. Selajur membasahi lantai dan juga seluar aku. Aku tidak pedulikan semua itu. Aku benar-benar berada dalam tidak terurus.

Aku tidak lagi dapat membezakan antara ilusi dan fantasi. Realiti mahupun khayalan. Semuanya bersatu di dalam minda aku. Siang dan malam aku tak dapat bezakan. Aku benar-benar terperangkap di tempat ini.

Tempat yang aku tidak sangka akan membawa sejuta musibah kepada diri aku. Kini aku dapat merasakan aku bakal terperangkap di sini untuk selama-lamanya. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan aku. Tiada siapa yang dapat menarik tangan aku keluar dari tempat yang aku rasakan lebih teruk dari lubuk puaka ini.

Dentuman di pintu membuatkan tubuh aku menggigil ketakutan. Aku dapat rasakan ini adalah saat-saat terakhir dalam kehidupan aku. Tiada daya dan upaya lagi untuk aku melawan. Aku berada di dalam kawasan ‘jajahannya’. Aku benar-benar tidak bermaya. Wajah aku pucat seolah-olah darah aku telah disedut sehingga kering. Berjuta penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Andai waktu dapat diputar aku tak akan menjejak kaki ke hotel ini!

HOTEL STALLION. Anda boleh check out bila-bila masa. Tapi anda tak boleh keluar dari sini!

***

12.59 minit tengah hari. 1 April 2014

Semuanya bermula pada hari ini. Aku bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat terkemuka di tanah air. Bebanan kerja yang menimbun membuatkan aku menjadi tertekan ditambah dengan kerja aku yang menuntut ke sana ke mari berunding dengan pelbagai orang.

Lantas aku mengambil satu keputusan drastik untuk mengambil cuti tanpa gaji selama seminggu. Mujur permohonan aku diterima oleh pihak atasan. Kalau tidak diterima sekalipun aku nekad untuk bercuti sendiri. Tekanan dan stress yang melampau buatkan aku tidak boleh bekerja sama sekali. Tambah-tambah saat sakit kepala menyerang. Rasa macam hendak terjun bangunan saja rasanya.

Saat permohonan cuti aku diterima aku sendiri tak tahu ke mana aku hendak menghabiskan cuti tersebut. Yang pasti aku merancang ingin berjalan-jalan sekitar Malaysia sahaja tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Lagipun aku malas nak merantau jauh-jauh. Banyak pulak barang nak kena bawa dan sediakan. Aku tak suka semua tu.

Entah mengapa tiba-tiba hati aku tergamit untuk datang ke Melaka. Bandaraya bersejarah. Kenapa di panggil bandaraya bersejarah? Sebab disitu pelbagai peristiwa sejarah yang penting kepada negara pernah terjadi. Misalnya hikayat Hang Tuah Lima Bersaudara. Asal-usul yang aku tahu dari Melaka. Banyak lagi sejarah yang diketahui ramai dan tidak diketahui ramai berada di Melaka.

Sebaik keputusan diambil, aku rancang untuk drive seorang diri dari Selangor hingga ke Melaka. Lagipun jarak tidak begitu jauh. Hanya memakan masa beberapa jam sahaja. Sebelum keluar daripada rumah, sempat aku mesej seorang kawan perempuan yang kebetulan orang Melaka. Dalam perancangan aku ingin mengajaknya menemani aku bersiar-siar.

Aku tiba di Bandar Hilir setelah menempuh halangan lalu lintas yang menyesakkan jiwa. Aku lepak di Reggae Café yang terletak berdekatan Dataran Pahlawan. Sambil menghirup secawan kopi yang dipesan sebentar tadi lagu Hotel California menjadi halwa telinga. Meskipun aku tidak berapa minat dengan ahli kumpulan Eagle tetapi entah mengapa pada hari itu aku boleh layan lagu tersebut sehingga habis. Bila dihayati betul-betul liriknya kedengaran agak misteri tetapi aku tidak endahkan sangat. Kopi dihirup sehingga habis.

Aku melingas jam di tangan. Rakan wanita aku masih belum tiba meskipun setengah jam berlalu. Aku menunggu beberapa ketika lagi. Baru sahaja jam hampir menunjukkan pukul 4.05 minit petang, sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah berhenti di hadapan Reggae Café. Seorang wanita berskirt mini dan berambut perang keluar daripada kereta. Dia berjalan mendapatkan aku. Hampir kesemua mata yang berada di dalam kafe memandang ke arah kami berdua. Mungkin penampilan Sherry yang agak seksi menarik perhatian mereka.

“Awal kau sampai?”tegur aku dalam nada menyindir.

Sherry tertawa menampakkan lesung pipitnya. “Sorry late. Jamp masa nak datang tadi. Jangan marah ye.”

“Tak marah cuma geram saja.”jawab aku. Sherry tertawa lagi.

“Dah lama tak jumpa kau. Apahal simpan rambut panjang macam tu? Tapi smart jugak. Macam Antonio Banderas.”puji Sherry.

Aku hanya tersengih menerima pujiannya.

“So, kau nak pergi mana saja ni?”tanya Sherry.

Aku menjungkitkan bahu. “Entah. Kau bawa saja aku tempat yang best-best dalam Melaka ni. Aku tak ada idea.”

“Kalau macam tu jom kita gerak sekarang. Naik kereta aku ke kau?”tanya Sherry.

“Kereta aku.”jawab aku pendek.

Lantas kami berdua melangkah menuju ke arah Honda Civic yang diparkir tidak jauh daripada kafe tadi.

***

10.00 minit malam.

Hampir seluruh tempat di Melaka aku jelajahi dalam masa beberapa jam. Dari tempat yang aku tahu namanya sehinggalah tempat yang aku tak pernah dengar sama sekali. Walaupun agak letih tapi sebenarnya agak menghiburkan hati juga tambah-tambah dengan kerenah Sherry yang agak gila-gila bahasa.

“So, kau rancang nak ke mana pulak ni?”tanya aku.

“Aku rasa dah semua tempat aku bawa kau pergi. Sekarang tinggal nak balik jelah. Kau tidur hotel mana?”tanya Sherry.

Aku menjungkitkan bahu. “Aku tak tahu. Aku tak cari lagi.”

Sheery melopongkan bibirnya. “Kau datang redah saja? Dari tadi tak mandi? Patut aku bau tengik je.”

Aku tergelak kecil. “Kau kenal aku dari universiti. Aku mana pernah buat perancangan dalam apa-apa hal. Main redah je.”

“Redah pun agak-agak jugak. Pakai helmet lain kali.”tingkah Sherry.

Aku hanya tergelak kecil. “Kebiasaan lama-lama akan menjadi tabiat. Tabiat akan sebati menjadi tingkahlaku.”

Sherry mencebik. “Habis kau nak tidur mana malam ni?”

“Rumah kau boleh?”usik aku.

Sherry mengepalkan penumbuknya dan menunjuk ke arah aku. Aku tertawa terbahak-bahak. Aku kenal dengan sikapnya. Meskipun berpakaian agak seksi tetapi dia pandai menjaga batas-batas pergaulan. Setahu aku dia bukan jenis sosial cuma suka berpakaian menjolok mata.

“Kita pergi makan dulu. Nanti lepas hantar kau pandai-pandai aku cari hotel dekat kawasan ni.”ujar aku. Tumpuan masih terarah kepada pemanduan.

“Ikut suka kau lah sayang oi. Mengantuk pulak aku rasa.”nyata Sherry sambil menguap kecil. Matanya ku lihat agak layu.

Lantas kelajuan kereta aku tingkatkan supaya dapat menghantar Sherry pulang dengan segera.

***

12.00 minit malam

Selesai menghantar Sherry di kawasan Reggae Café, tempat dia memarkir kenderaan, aku memandu kereta berseorangan. Tujuan utama adalah mencari hotel. Sebenarnya dekat kawasan kafe itu bukannya tidak ada hotel cuma tak kena dengan selera aku. Aku bukannya demand sangat cuma aku pentingkan keselesaan dan lebih best kalau ada keindahan alam semula jadi yang berdekatan.

Sambil memandu aku melayan lagu di radio. Siaran Hot Fm menjadi pilihan. Lagu terbaru Akim berkumandang. Aku layan sambil menyanyi kecil mengikut rentak meskipun aku dapat rasakan ibarat langit dan bumi suara aku dan Akim. Aku tak pedulikan semua tu. Yang penting dapat mengubat kesunyian dan kebosanan memandu seorang diri. Mujur mata masih mampu celik meskipun tubuh terasa letih.

Jalan raya ku lihat lengang. Hanya sesekali kereta berselisih dengan kereta aku. Sambil itu aku memanjangkan leher melihat ke arah kiri dan kanan. Cuba mengesan mana-mana hotel yang berjaya mencuit hati aku untuk menginap di situ sepanjang percutian ini. Sempat aku kerling jam di dashboard. Jam menunjukkan 12.13 minit malam.

Tatkala aku mengalihkan pandangan ke arah hadapan, tidak semena-mena satu susuk tubuh perempuan kecil lengkap berpakaian baju tidur sedang berdiri di hadapan kereta aku. Aku terkejut. Serta merta kaki menekan brek. Tayar berdecit berusaha memberhentikan kenderaan namun gagal lantaran jarak terlalu dekat. Tubuh kanak-kanak perempuan itu dilanggar dan aku dapat rasakan tayar kereta menggelek tubuhnya. Kereta berhenti mendadak dan aku tergamam seketika. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Aku menelan liur lambat-lambat.

Peluh dingin terasa membasahi tubuh. Aku dapat rasakan seluruh tubuh aku menggeletar ketakutan. Bagaimana kalau budak tu mati? Mungkin tubuhnya telah bersepai dan berlumuran darah di bawah kereta aku. Aku membuka pintu kereta perlahan-lahan. Aku tertoleh-toleh melihat sekiranya ada mana-mana mata yang melihat. Mujur tiada siapa di kawasan sunyi tersebut.

Serta merta aku check di bahagian hadapan kereta. Tiada kerosakan yang dialami. Aku tunduk dan meniarap di atas jalan raya. Tiada jasad yang berada di bawah kereta. Lantas aku berdiri dan memeriksa seluruh kawasan kereta aku. Anehnya tiada sekujur tubuh pun yang dijumpai. Hatta walau setitis darah aku tak dapat kesan.

Kalau ikut logik akal memang parah keadaan budak tadi. Tapi peliknya bila jasadnya tidak ditemui. Aku berusaha mencari seluruh kawasan berdekatan tetapi tetap tidak dijumpai. Hampir setengah jam aku mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Lantas aku masuk semula ke dalam perut kereta. Aku berusaha menenangkan diri sendiri. Aku tarik nafas dan hembus berulang kali sehingga aku rasa stabil.

Aku tampar pipi berulang kali. Cuba menyedarkan diri yang mungkin sedang berhalusinasi lantaran keletihan menguasai tubuh badan. Aku mengepal stereng dan nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus kuat. Aku cuba melupakan kejadian sebentar tadi. Enjin kereta dihidupkan semula. Aircond sengaja aku pasang kuat-kuat. Berusaha mendinginkan tubuh yang terasa hangat. Lebih tepat kehangatan jiwa yang sedang merusuh.

Aku kerling jam di dash board. 

12.13 MINIT MALAM! 

Aku tergamam sekali lagi. Setahu aku sebelum kemalangan tadi jam menunjukkan waktu yang sama. Aku dapat rasakan agak lama masa aku ambil mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku lihat pula jam di tangan. Waktunya bersepadanan dengan waktu di dashboard. Liur di telan kasar dan keras. Enggan mengusutkan fikiran aku memandu kenderaan dengan emosi dan jiwa yang tidak selari.

***

Aku memandu perlahan dan lebih berhati-hati kali ini. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Walaupun aku tak tahu kemalangan tadi ilusi mahupun realiti tetapi aku tetap berwaspada. Pada anggapan mungkin keletihan yang melampau membuatkan minda tertipu. Aku menguatkan volum radio. Kali ini lagu A Thousand Years menjadi pilihan deejay yang bertugas. Walaupun bernada agak sentimental tetapi aku layan juga untuk mengubat kerusuhan jiwa.

Baru sahaja lagu ingin sampai di bahagian korus, siaran radio tidak semena-mena berdesir. Siaran terganggu. Ia berlangsung selama beberapa saat sebelum memainkan lagu semula. Lagu Hotel California berkumandang. Aku menekan butang memilih siaran Hot Fm. Lagu Christina Perry berkumandang semula. Namun tidak lama kemudian siaran bertukar lagi. Lagu Hotel California sekali lagi kedengaran di speaker.

“Apa masalah pulak radio aku ni.”rungut aku sendirian.

Aku menekan-nekan punat cuba menukar tune. Namun keanehan melanda diri aku sebab hampir seluruh siaran radio memasangkan lagu Hotel California. Aku merengus kecil lantas membiarkan lagu itu bermain.

“May God have mercy on your soul!!”

Suara jeritan itu membuatkan aku tersentak. Aku merenung lama ke arah radio. Setahu aku petang tadi dengar lagu ini tak ada pula ayat yang agak menyeramkan itu. Tapi malam ini lain pulak. Aku cuba menyedapkan hati dengan menganggap mungkin ini adalah versi terbaru lagu itu. Tapi dalam masa yang sama radio aku off sebab tidak semena-mena bulu roma aku meremang selepas mendengar suara jeritan yang parau dan kasar itu.

Tatkala itu aku terpandang sebuah hotel yang terletak di bahagian kiri aku. Aku memasang signal dan membuat pusingan U menuju ke arah hotel itu. Aku sendiri pun tak tahu apa yang membuatkan hati aku tertarik ke arah hotel itu. 

Dari luar memang agak tidak menarik. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni bina yang agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu kalimatang (mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama. Tidak besar dan tidak kecil. Hanya sederhana sahaja. Aku kira mungkin dalam 2 tingkat sahaja.

Aku memarkir kereta di satu ruangan. Aku matikan enjin dan keluar dari kereta. Aku tinjau sekeliling. Baru aku perasan tiada sebuah kereta pun di kawasan itu. Berhadapan dengan hotel itu terdapat hutan tebal. Namun di belakang hotel itu ku lihat ada sebuah pantai yang tersergam. Aku mengukir senyuman, Itu ciri-ciri yang aku idamkan. Bagasi kecil aku keluarkan dari bonet dan dibawa bersama.

Aku melangkah dan berdiri di hadapan hotel tersebut. Aku mendongak dan melihat banner berwarna coklat kekusaman, Aku kira ia diperbuat daripada sejenis papan.

“HOTEL STALLION. Since 1914.”

Saat itu angin sejuk menerpa tubuh aku. Aku mengzipkan jaket sehingga ke bahagian leher. Kedinginan mulai terasa. Kemudian aku melangkah masuk ke dalam hotel tersebut.

***

“SELAMAT DATANG KE HOTEL STALLION”

Ucapan pertama yang aku terima sebaik kaki menginjak lantai hotel itu. Senyuman manis wanita pembuka pintu mencairkan hati lelaki aku. Bila aku perhati wajahnya sukar untuk aku mengesani jenis kaumnya. Pada anggapan aku mungkin wanita itu campuran Barat kerana wajahnya agak berbeza dengan orang Asia.

Dia membawa aku menuju ke kaunter pendaftaran. Di situ terdapat dua wanita bertugas. Masing-masing menyambut kedatangan aku dengan senyuman yang tak lokek daripada bibir. Mungkin salah satu cara bagi menarik perhatian pelanggan. Aku memerhati kedua-dua pekerja wanita itu. Rupa mereka juga tidak iras dengan mana-mana jenis kaum yang terdapat di Malaysia. Seolah-olah mereka adalah orang Eropah. Aku mengitari kawasan sekeliling.

Hampir keseluruhan ruangan hotel diperbuat daripada kayu yang aku tak pasti jenisnya. Bahkan lantai tempat aku berpijak kini. Aku seolah-olah berada di zaman Inggeris kuno. Rata-rata pekerja pula kebanyakan berwajah ala-ala Eropah. Bahkan cara mereka berpakaian juga agak pelik pada pandangan aku. Lelaki memakai sut serba hitam. Begitu juga dengan wanita. Walhal aku pasti hotel ini bukan bertaraf lima bintang.

“Bilik untuk seorang.”kata aku.

Tanpa banyak bertanya, wanita berambut perang menyerahkan kunci kepada aku. Aku menyambut kunci tersebut. Lazimnya kunci akan diberi selepas mendaftar tetapi ini sebaliknya. Kemudian dia menyerahkan buku pendaftaran kepada aku. Aku memerhati nama-nama yang menginap di hotel tersebut.

Linsdsay. 12 Mac 1917

Anthony. 1 May 1919

Micahel. 28 December 1935.

Itu adalah secebis daripada keseluruhan nama yang terdapat di dalam buku tersebut. Dahi aku berkerut melihat tarikh-tarikh yang tertera. Agak mustahil hotel ini masih menyimpan senarai nama pelanggan sejak berkurun yang lalu. Buku tersebut juga telah agak kusam dan kekuningan warnanya. Enggan membejatkan fikiran, aku menulis nama dan tarikh pendaftaran. Kemudian buku diserahkan kepada pekerja wanita itu.

Baru sahaja aku ingin berlalu, nama aku dipanggil sekali.

“Tolong turunkan tandatangan di borang ini.”ujar wanita itu.

Aku mengambil kertas berwarna coklat itu. Tanpa melihat butiran isi kandungan aku mencapai pen dan menurunkan tandatangan. Saat itu sesuatu yang tajam sifatnya berada di hujung mata pen telah mencucuk ibu jari aku. Pen terlepas dari pegangan. Setitis darah tumpah di atas kertas tersebut. Aku mengulum jari cepat-cepat bagi menghentikan pendarahan. Selajur aku menunduk mengambil pen yang berada di atas lantai.

Sebaik aku berdiri, kelibat dua orang wanita tadi telah tiada. Aku tertoleh-toleh mencari mereka. Tetapi tiada seorang pekerja pun yang kelihatan. Bahkan borang yang berada di atas kaunter sebentar tadi juga telah lenyap. Aku menghela nafas kasar dan meletakkan pen di atas meja. Aku mengheret bagasi dan menuju ke arah tangga kayu yang terletak di bahagian tengah ruangan bawah hotel itu.

Semasa aku mendaki tangga, aku melihat seorang lelaki berpakaian sut serba hitam menuruni tangga. Rambutnya beruban keputihan. Wajahnya berkedut dimamah usia. Namun fizikalnya ku lihat masih gagah dan bertenaga. Dia merenung ke arah aku dan tersenyum.

“Selamat datang ke Hotel Stallion. Saya kapten di sini.”ucapnya dengan nada suara yang mendatar dan seolah-olah berbisik.

Aku hanya tersenyum dan mengangguk sebelum berlalu. Tangan aku dipegang olehnya membuatkan pergerakan aku terhenti. Tapak tangannya aku dapat rasakan kasar dan tersangat dingin. Aku berkalih. Lelaki itu merenung lama ke arah aku.

“Kami akan bawa anda ke satu dunia yang anda tak pernah lalui. Tapi ingat! Anda boleh checkout bila-bila masa. Tapi anda tak boleh keluar dari sini.”

***

Aku memasukkan anak kunci dan membuka pintu. Sebaik pintu dibuka, mata aku merayapi susun atur di dalam bilik itu. Dekorasinya agak menarik dan vintage. Mungkin pemilik hotel ini menyukai corak dekorasi rumah Inggeris lama. Jadi dia telah menerapkan di dalam hotelnya ini. Aku meletakkan bagasi dan beg galas di atas lantai. Aku melangkah menuju ke tingkap.

Tingkap kayu aku buka penyendaknya dan ditolak keluar. Sebaik terkuak, angin sejuk menerpa tubuh aku. Aku tersenyum melihat pemandangan. Bulan kelihatan separa penuh. Manakala air ombak galak menghempas pantai. Bunyi yang terhasil terasa mendamaikan jiwa aku. Mata sengaja aku pejam bagi menikmati rasa yang sukar untuk ditafsirkan itu.

Sebaik mata aku dibuka, nun di hujung pantai aku terlihat kelibat seseorang sedang berdiri sambil merenung ke arah aku. Aku memicingkan anak mata bagi melihat dengan jelas. Sebaik mengenali kelibat tersebut hati aku tidak semena-mena berdetak kencang. Kanak-kanak perempuan berbaju tidur yang aku langgar sebentar tadi! Dia sedang berdiri sambil merenung tajam ke arah aku. Biasan cahaya rembulan membantu aku untuk melihat.

Aku menarik nafas dan memejamkan mata. Aku berharap semua ini hanyalah ilusi semata-mata. Aku berharap apabila aku bukakan mata nanti budak itu akan lenyap dari pandangan. Aku mengumpul nafas dalam-dalam lantas mata dibukakan.

Serentak itu, satu tangan asing menyentuh bahu aku. Aku terkejut dan berkalih pantas. Hampir-hampir luruh jantung aku lantaran dihambat kejutan. Aku mengurut dada sambil memandang ke arah kapten yang sedang berdiri di hadapan aku.

“Tuala untuk awak.”ujar kapten tersebut sambil mengunjukkan sehelai tuala kepada aku.

“Terima kasih..”ucap aku setelah berasa kembali stabil.

Kapten tersebut terus berlalu keluar daripada bilik tanpa berkata hatta sepatah. Sebaik pintu bilik ditutup, aku melontarkan pandangan ke arah pantai semula. Ternyata kelibat kanak-kanak tadi telah tiada. Aku menghembus nafas kelegaan. Ternyata aku hanya berimaginasi. Lantas tingkap aku katup semula.

Aku merebahkan badan di atas katil yang empuk. Tubuh aku tenggelam dalam keempukan tersebut. Telefon bimbit aku berbunyi. Lantas aku keluarkan dan ku lihat sekejap. Ternyata bateri hanya tinggal satu bar sahaja. Aku bangun dengan rasa malas menyelongkar beg galas yang dibawa. Carger dikeluarkan dan aku mencari-cari suis untuk mencucuk plug.

Aku mencari hampir keseluruhan kawasan bilik ternyata tiada suis yang terdapat. Aku menghempaskan keluhan kasar. Terpaksa aku gunakan power bank yang aku spare untuk keadaan terdesak. Sebaik selesai aku berbaring di atas katil semula. Keletihan yang menyarung tubuh membuatkan aku terus terlelap dibuai mimpi.

***

1.00 pagi. 3 April 2014.

Aku terjaga daripada tidur dalam keadaan mamai dan kepala yang teramat berat. Aku bangun perlahan-lahan dan duduk melunjur. Aku urut tengkuk bagi melancarkan aliran darah. Hampir beberapa minit aku dalam keadaan begitu barulah keadaan aku kembali normal.

Aku bangun dan terus menuju ke tingkap. Aku harapkan dapat menjamu pandangan dengan sinaran mentari pagi. Sebaik tingkap dibuka keadaan gelap dan kelam. Dahi aku berkerut. Lantas aku berlalu menuju ke katil mencapai telefon bimbit. Hampir-hampir terkeluar biji mata sebaik melihat waktu dan tarikh tertera. Ini bermakna aku telah tidur hampir satu hari suntuk! Aku menelan liur basi ku sendiri. Tidak pernah seumur hidup aku tidur selama sehari suntuk. Aku meramas rambut berulang kali. Peti mesej dan panggilan aku semak. Mesej dan panggilan dari Sherry memenuhi skrin telefon.

12.34 p.m @Jawab call please.

12.40 p.m @Kau ada mana ni? Call dari tadi x angkat.

12.42 p.m @Kau tido lagi k?

2.03 p.m @Jawablah call.

2.15 p.m @Bro. Aku risau pasal kau ni. Jawab call or mesej please.

3.00 p.m @Kau ada dekat mana? Aku risau ni!

Mesej selanjutnya aku tidak buka lagi. Baru aku teringat aku ada berjanji untuk menjemput Sherry pada hari ini. Pantas aku membuat aku membuat panggilan telefon. Tetapi panggilan tidak bersambung. Baki menunjukkan RM 0.00 ringgit.

“Masa ni kau nak buat hal pun!”rungut aku sambil merengus kasar.

Aku melangkah menuju ke bilik air. Sebaik selesai menyegarkan diri dan menyalin pakaian, aku melangkah keluar daripada bilik. Aku merancang untuk keluar ke kedai serbaneka berdekatan untuk membeli kredit dan sedikit makanan bagi mengisi kekosongan perut.

Sebaik tiba di ruangan bawah, hampir kesemua pekerja berhenti melakukan kerja mereka dan mula merenung ke arah aku.Aku yang menapak pantas sebentar tadi mula mengatur langkah perlahan sambil memerhati wajah-wajah mereka yang merenung ke arah aku. Renungan mereka amat tajam seolah-olah berbaur dendam yang bernanah. Aku cuba untuk tidak mengendahkan renungan mereka tetapi hati aku berasa tidak senang. Satu perkara yang mula perasan. Wajah mereka masing-masing memucat seolah-olah pesakit leukemia.

“Encik nak ke mana?”tegur pekerja wanita di kaunter pendaftaran.

“Kedai sekejap. Beli barang.”jawab aku acuh tidak acuh. 

Bagi aku itu adalah privasi diri untuk keluar ke mana-mana sahaja. Tak perlu untuk memberitahu atau meminta kebenaran sesiapa pun.

“Maaf encik. Encik boleh checkout. Tapi encik tak boleh tinggalkan tempat ini.”balas wanita itu dengan nada suara yang perlahan tetapi tegas.

“Apa maksud awak?”aku menyoal.

“Saya cuma menurut arahan kapten.”jawab wanita itu. Dia menundukkan wajah apabila melihat aku sedikit meradang.

“Mana kapten? Saya nak berjumpa.”ujar aku tegas.

Masing-masing hanya menundukkan kepala. Aku merengus perlahan lantas mengorak langkah menuju ke pintu keluar hotel. Sebaik tombol dipulas ternyata ianya berkunci. Aku merentap berulang kali dengan kasar dan keras. Kemarahan mula terasa membuar di jiwa.

“Buka pintu ni.”arah aku kepada salah seorang pekerja yang berdekatan.

Sebaliknya dia tidak menghiraukan arahan aku. Seolah-olah aku tidak wujud di situ sama sekali. Aku berlalu menuju semula ke kaunter pendaftaran.

“Tolong buka pintu depan tu.”kata aku. Nafas aku turun naik menahan kemarahan.

“Saya hanya mendengar arahan kapten.”jawab pekerja wanita itu.

“Kalau macam tu saya nak berjumpa dengan kapten sekarang!”balas aku lantang.

Sebaik aku berkata sedemikian, lantai aku berpijak terasa bergegar. Aku lihat pekerja-pekerja mulai cemas dan ketakutan. Aku tidak faham dengan situasi yang terjadi. Seluruh hotel terasa bergegar seolah-olah dilanda gempa bumi. Cuping telinga aku menangkap bunyi dengungan yang berpuing-puing. Semakin lama semakin kuat seolah-olah kerumunan lebah yang sedang membuat sarang. Aku berkalih perlahan-lahan.

Dari atas tangga, aku lihat gerombolan asap hitam berkepul-kepul menuruni tangga dengan pantas. Pusaran asap itu meluncur laju meluru ke arah aku. Sebaik hampir tiba di hadapan aku, pusaran asap hitam itu berkecai lalu membentuk satu wajah yang amat mengerikan dan menakutkan. Wajah itu menderam dengan buaran nafas yang ganas.

“May God have mercy on your soul!!!”

Lantunan suara amarah yang garau dan keras itu bergema di seluruh pelusuk ruangan hotel. Selajur itu, wajah buruk yang terbentuk dari gerombolan asap itu terus menerpa ke arah aku. Aku terdorong ke belakang menerima hentaman bersifat tembus itu. Aku hilang kawalan diri lantas terjatuh di atas lantai. Kepala aku terhentak dengan kuat. Dunia terasa berputar dan pandangan kian kelam. Aku tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

***

Aku terjaga dari pengsan dalam keadaan kepala yang terasa memusing. Aku memegang kepala. Rasa sakit terasa di bahagian belakang kepala. Aku mengitari pandangan di sekeliling. Aku berada di dalam bilik yang aku sewa tempoh hari. Aku cuba mengingati perkara terakhir yang terjadi ke atas diri aku semalam. Tetapi ingatan aku gagal dikembalikan. Yang aku ingat aku terjaga daripada tidur dan kemudian aku tertidur semula. Tiada memori lain yang hinggap di kotak fikiran. Aku mengeluh perlahan.

Aku capai telefon bimbit. Tarikh dan masa yang ditunjukkan membuatkan aku tersentak. 4 April 2014 pukul 3.00 pagi! Aku menelan liur. Ini bermakna telah hampir dua hari aku berkurung di dalam bilik menghabiskan cuti. Tidak semena-mena memori aku kembali terpanggil perisitiwa semalam. 

Segalanya melayang-layang di hadapan mata memutarkan kembali ingatan. Kepala aku terasa sakit. Aku tidak mampu menghadami semua ini. Aku berlari menuju ke bilik air. Sekonyong-konyong aku membuarkan isi perut di dalam sinki. Hanya sedikit isi perut yang keluar. Liur aku sahaja yang keluar tanpa henti.

Aku kesat saki baki kesan muntah di bibir menggunakan belakang tangan. Pili air dibuka. Air meluncur laju. Aku membasahkan tangan dan bibir. Kemudian aku melihat refleksi wajah di cermin. Rambut aku yang panjang tidak terurus dan kusut. Wajah aku mula ditumbuhi tunggul-tunggul janggut. Lebam hitam melingkari kawasan mata aku. Bahkan wajah aku juga pucat tidak bermaya. Aku meraup wajah dan meramas rambut. Tekanan perasaan mula dirasai. Aku tidak tahu musibah apa yang sedang melanda diri aku kini.

Lantas aku menakung air yang meluncur laju dari pili. Lalu aku simbahkan ke wajah. Aku lakukan berulang kali. Pada takungan aku yang keempat, air bertukar warna menjadi merah darah. Serta merta aku menarik tangan. Aku dihambat kejutan apabila melihat sinki dipenuhi dengan air berwarna merah. Bau hanyir yang meloyakan tekak menusuk ke hidung. Aku melihat wajah di dalam cermin.

Satu lagi hambatan kejutan melanda diri aku. Satu susuk tubuh berpakaian serba putih yang berlumuran tanah kubur dengan rambut yang menutupi wajah sedang berdiri di belakang aku. Aku menoleh pantas. Tiada apa-apa yang berada di belakang aku. Sebaik pandangan dialihkan semula ke arah cermin, ternyata makhluk itu masih ada. Bulu roma aku berdiri keseluruhannya. Tubuh aku menggeletar ketakutan. Darah merah membuak-buak keluar dari kawasan perut mengalir sehingga bertakung di kawasan lantai. Pakaian putihnya telah dicemari dengan darah merah yang pekat lagi hanyir. Aku menahan diri dari muntah.

Tiba-tiba makhluk itu mengangkat wajahnya. Aku dapat melihat dengan jelas wajahnya itu. Biji mata yang terjojol merah bernyala. Tiada mulut yang kelihatan melainkan gigi yang berceracak tajam. Daging-daging mereput hampir keseluruhan bahagian muka. Ulat satu persatu gugur dari liang-liang wajahnya yang berlubang. Dia menderam dan merenung aku dengan tajam. Serentak itu satu jeritan nyaring yang membingitkan anak telinga terletus.

“May God have mercy on your soul!!!!”

Aku berlari keluar dari bilik air. Aku mengunci pintu dari luar. Nafas aku tercungap-cungap. Seluruh tubuh aku menggigil ketakutan. Gigi aku berlaga sesama sendiri. Tidak pernah aku alami kejadian menakutkan sebegitu seumur hidup. Aku dihambat satu lagi kejutan apabila telefon bimbit berbunyi secara tiba-tiba memecah kesunyian. Aku lekas-lekas mendapatkan telefon bimbit. Nama Sheery tertera di ruangan skrin. Pantas aku menjawab panggilan.

“Akhirnya kau jawab call aku. Kau ada mana ni? Puas aku cari kau.”

“Aku tak ada masa nak terangkan. Kau kena tolong aku Sherry.”

“Tenang Stephen. Kau ada mana? Aku datang sekarang.”

“Aku tak tahu aku ada dekat mana. Tapi aku dapat rasa ajal akan datang jemput aku bila-bila masa.”suara aku menggeletar. Aku tertoleh-toleh bimbang jika kelibat-kelibat menakutkan muncul lagi secara tiba-tiba.

“Apa kau cakap ni? Cuba bawa bertenang. Bagitau kau ada dekat mana sekarang?”

“Aku masih dalam Melaka. Hotel Stallion.”

“Hah? Kau biar betul. Mana ada hotel nama macam tu dalam Melaka ni.”

“Aku tak tahu. Tapi memang aku check in hotel nama tu. Tolong aku Sherry. Aku tak boleh keluar dari sini.”suara aku separuh merintih.

“Kau tenang. Aku akan selamatkan kau. Aku….”

Suara Sherry lenyap dari talian.

“Hello! Hello! Sherry!...”panggil aku berulang kali.

“May God have mercy on your soul!!!!!”

Panggilan aku disahut dengan satu tengkingan yang amat kuat. Suara garau dan keras itu melantun-lantun keluar dari corong speaker Galaxy S4 aku. Aku mencampakkan telefon bimbit di atas lantai. 

Telefon berkecai dan bateri terkeluar tercampak ke bawah katil .Tapi suara itu masih menjerit berulang-ulang dari corong speaker. Aku duduk bercangkung memeluk lutut dan menekap telinga. Tubuh aku menggeletar ketakutan. Aku menangis teresak-esak merintih. Aku tak mahu dengar suara-suara itu lagi. Aku tak sanggup lagi diganggu sebegini. Aku nak keluar dari tempat ini!!!!

***

Aku tercari-cari arah dalam kegelapan. Aku pun tidak pasti bagaimana aku boleh berada di kawasan seperti ini. Sekeliling gelap dan amat sunyi. Tiada secebis cahaya pun yang menerangi kawasan sekeliling. Aku berjalan tertatih-tatih dan teraba-raba. Hanya bergantung pada deria rasa sentuhan semata-mata.

Aku menjerit meminta tolong. Lantunan suara aku bergema sebelum lenyap ditelan kegelapan. Aku menghempaskan keluhan kasar. Aku harus mencari jalan keluar dari tempat itu. Aku melangkah berwaspada. Namun tidak semena-mena kaki kanan aku tersepak sesuatu yang keras. Aku terdorong ke hadapan sebelum jatuh tertiarap. Aku menyeringai menahan kesakitan yang mula menjalar.

Saat itu, kawasan yang tadinya gelap mula dilimpahi cahaya. Aku mendongakkan kepala. Rupa-rupanya sang bulan mula memunculkan diri dari sebalik awan. Aku menarik nafas kelegaan. Sakit sebentar tadi mula beransur kurang. Aku bangun semula perlahan-lahan. Baju dan seluar dikibas berulang kali cuba menyinkirkan debu dan habuk yang melekap.

Sejurus pandangan aku rayapi di seluruh kawasan aku berada kini. Tidak semena-mena mata aku terbentang luas melihat pemandangan di hadapan aku. Rupa-rupanya aku berada di kuburan Kristian. Lambang-lambang salib berceracak di serata tempat. Aku menelan liur. Terasa lambat dan perlahan melalui anak tekak.

Aku berjalan terketar-ketar cuba mencari jalan keluar dari kawasan perkuburan itu. Tetapi tanah perkuburan itu seolah-olah terlalu luas. Di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang penuh dengan kubur dan seolah-olah tiada penghujungnya. Peluh renik mula membasahi dahi. Aku terlingas-lingas mencari jalan keluar.

Terasa penat melangkah membuatkan aku berhenti sejenak. Nafas dihirup berulang kali bagi menstabilkan laluan pernafasan. Aku duduk terbongkok sambil memegang kedua belah lutut aku. Pada ketika itu, aku terpandang salah satu batu nisan di sebuah kubur. Terdapat nama dan sekeping gambar di atas batu nisan tersebut. Apabila diamati wajah di batu nisan itu saling tidak tumpah dengan wajah pekerja wanita berambut perang di Hotel Stallion.

Aku beralih ke kubur yang lain. Batu nisan itu memaparkan pula sekeping gambar kusam. Dia juga merupakan pekerja wanita yang pernah aku lihat sebelum ini. Aku meraup wajah berulang kali. Rambut disibakkan ke belakang. Fikiran aku terbejat dan benar-benar kusut. Bukan dua buah kubur itu sahaja, bahkan hampir kesemua kubur itu mengandungi gambar-gambar pekerja hotel tersebut.

“Psst!”

Suara itu membuatkan aku berkalih. Aku lihat kanak-kanak perempuan yang aku langgar tempoh hari sedang berdiri di sebuah pokok rending. Dia menggamit tangan memanggil aku ke arahnya. Aku melangkah menuju ke arahnya. Entah mengapa rasa takut aku hilang. Mungkin dibius oleh persoalan demi persoalan yang mengasak minda.

Aku berdiri di hadapan kanak-kanak perempuan itu. Dia merenung ke arah aku. Anak matanya jelas terpamer ketakutan. Dia tertoleh-toleh ke arah kiri dan kanan. Dia memanggil aku supaya lebih dekat lagi ke arahnya. Aku hanya menurut. Wajah aku didekatkan dengan wajahnya.

“Larikan diri dari Hotel Stallion.”bisiknya perlahan.

Aku merenung wajah kanak-kanak itu. Aku mengharapkan jawapan darinya bagaimana cara aku dapat melepaskan diri dari hotel itu.

“Cari bilik itu. Tapi jangan sampai kapten tahu.”bisiknya lagi.

“Bilik apa?”tanya aku pantas.

Dia tertoleh lagi ke arah kanan dan kiri di belakangnya.

“Bilik jasad-jasad tersimpan.”

Kening aku berkerut mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Baru sahaja aku ingin bertanya lagi, kanak-kanak itu berlari. Dia memegang tangan aku dan menarik aku supaya turut sama berlari. Aku berkeras tidak mengikutnya.

“Kenapa ni?”soal aku.

“Dia dah sampai. Cepat lari!”suaranya kedengaran cemas.

“Siapa dia?”tanya aku ingin tahu.

“Dia yang….”

Tidak sempat kanak-kanak itu menyudahkan ayatnya, tubuhnya terpelanting secara tiba-tiba. Berputar beberapa kali di angkasa lalu menghentam sebatang pokok sebelum terhempas ke tanah. Dia menjerit kesakitan. Tubuhnya mengeluarkan bilah-bilah cahaya kebiruan sebelum terus lenyap.

Aku tergamam seketika. Sebaik aku berkalih, satu susuk wajah buruk yang bertanduk dua melengkung di bahagian dahi muncul secara mendadak di hadapan aku. Dia menderam dengan buaran nafas yang ganas. Satu tempikan dahsyat dilakukan membuatkan aku terpaksa menutup telinga menahan kebingitan. Aku terduduk di atas tanah.

“May God have mercy on your soul!!!”

***

Aku terjaga mendadak daripada tidur. Mimpi sebentar tadi berkecai. Nafas aku turun naik seolah-olah pelari pecut 100 meter yang baru sahaja menamatkan larian. Sekujur tubuh aku dibasahi keringat. Aku meraup wajah berulang kali, Rambut aku sibakkan ke belakang.

Mimpi yang aku alami sebentar tadi dirasakan seolah-olah benar-benar berlaku. Aku dapat merasakan ketakutan saat makhluk bertanduk tadi muncul. Namun persoalan besar bermain di fikiran aku kini. Siapa sebenarnya budak perempuan itu? Apa yang pasti aku dapat melihat dia seolah-olah bersungguh-sungguh cuba menyelamatkan aku dari lingkaran misteri yang membelenggu aku kala ini. Aku mengeluh kasar dan keras. Sungguh aku tidak faham dengan perkara yang melanda aku ini.

Aku melangkah turun daripada katil. Aku membuka pintu dan keluar daripada bilik. Bilik aku terletak di penghujung koridor. Ruangan koridor memanjang ini ditempatkan dengan bilik yang diletak secara bertentangan dan berhadapan antara satu sama lain. Aku tak pasti sama ada bilik lain ada penghuninya atau tidak. Tapi aku dapat merasakan hanya aku seorang yang terkurung di dalam hotel gila ini.

Aku bertapak selangkah demi selangkah menuju ke penghujung koridor bahagian utara. Di situ terdapat jendela kecil yang tidak mempunyai cermin tingkap. Aku berjalan ke arahnya. 

Sebaik tiba, aku melontarkan pandangan keluar. Satu kehairanan terbetik tidak semena-mena. Pantai yang menjadi tarikan aku memilih hotel ini dahulu telah hilang. Aku rayapi pandangan ke serata arah tetapi tetap tiada. Aku melihat ke bawah. Jarak antara tanah dan tempat aku berdiri agak tinggi. Aku berkalih di sebelah kanan. Terdapat satu batang paip besi yang menganjur sehingga ke bawah.

Lantas satu keputusan diambil. Aku menghulurkan kaki terlebih dahulu untuk keluar melalui jendela itu. Tetapi kaki aku terhadang oleh sesuatu. Kerutan terbentuk di wajah aku. Segera aku meraba permukaan tingkap menggunakan tangan. 

Rupa-rupanya terdapat cermin bersifat lutsinar yang langsung tidak dapat terlihat dari pandangan mata. Aku mengetuk, menampar dan menendang beberapa kali namun kaca itu tidak pecah. Yang menghairankan apabila angin yang berpuput dingin menerobos menyapa tubuh aku seolah-olah tiada penghalang di antara dunia luar dan dalam hotel itu.

Akhirnya aku berputus asa. Aku berpusing dan melangkah menjauhi tingkap tersebut. Baru beberapa tapak melangkah, telinga aku dapat menangkap bunyi dengungan di belakang aku. Aku teragak-agak untuk menoleh. Ketakutan mula terasa menjalar di jiwa. Namun desakan hati kuat untuk mengetahui jika ada sesuatu di belakang aku. Bulu roma aku pula mula meremang keseluruhannya.

Akhirnya sisa keberanian dipacu. Aku menoleh melihat ke arah belakang. Saat itu, mata aku terbeliak. Jantung terasa berhenti berdegup. Satu makhluk berpakaian serba putih sedang terapung beberapa meter dari lantai sedang menghala ke arah aku. Dia mengangkat muka menampakkan wajahnya yang buruk dan menggerunkan. Tidak semena-mena kepalanya perlahan-lahan berputar 360 darjah.

Aku tidak menunggu lama. Lantas aku memacu kekuatan melarikan diri. Namun langkahan kaki terasa memberat seolah-olah terdapat berjuta tangan memegang kaki aku dari berlari. Namun aku gagahkan jua. Aku benar-benar dalam ketakutan. Lampu-lampu koridor satu persatu terpadam mengiringi larian aku. Seolah-olah ia turut sama mengejar aku. Aku melihat menerusi ekor mata. Aku dapat melihat dengan jelas makhluk itu terbang di belakang aku. Dia mengejar aku! Jantung aku berdegup pantas.

Aku berhenti di hadapan bilik. Tombol pintu dipulas kasar dan keras. Namun ianya berkunci. Aku menendang-nendang pintu dengan rasa cemas dan takut yang mengasak. Makhluk menakutkan itu semakin hampir dengan tubuh aku. Jari jemarinya yang berkuku tajam bersedia bila-bila masa untuk mencengkam leher aku. Aku terpaksa berlari lagi sehingga tiba di tangga.

Di situ aku terlihat terdapat anak tangga yang menganjur ke bahagian atas hotel. Aku tidak berfikir lama. Aku mendaki dengan pantas. Meskipun nafas terasa semput namun semangat untuk menyelamatkan diri menjadi penunjang kekuatan.

Sebaik tiba di bahagian atas hotel yang sedikit sempit, aku mengitari pandangan ke serata arah. Nasib aku baik apabila terdapat sebuah bilik di bahagian kiri tidak jauh dari aku berdiri. Aku berlari pantas. Tombol pintu dipulas dan ianya tidak berkunci. Aku segera masuk ke dalam bilik itu. Pintu serta merta aku kunci dari dalam.

Aku bernafas tercungap-cungap menahan kepenatan. Namun sekurang-kurangnya aku lega dapat melarikan diri daripada makhluk tersebut. Perlahan-lahan aku mengalihkan tubuh. Aku ingin melihat persekitaran bilik yang aku masuk itu. Sebaik pemandangan terserlah mulut aku terlopong. Aku tersandar di pintu. Perlahan-lahan tubuh aku melorot dan jatuh terduduk. Ibarat lepas dari masuk singa kini masuk di mulut naga.

Di hadapan aku, terdapat berpuluh-puluh jasad yang sedang terbaring kaku di atas stretcher. Semuanya dialas dengan sehelai kain putih yang ditutup sehingga paras dada. Liur ditelan. Terasa keras dan perit melalui kerongkong. Aku terketar-ketar bertapak melihat satu persatu mayat yang terbaring.

Mata aku terbeliak sebaik melihat wajah wanita berambut perang yang menjaga kaunter sedang terbaring dengan wajah yang pucat. Kulit wajahnya ku lihat mengering dan tulang-tulang muka timbul seolah-olah mayat tersebut telah lana mati. Aku menoleh ke arah kiri, depan dan belakang. Hampir kesemua jasad yang berada di situ adalah pekerja di Hotel Stallion!

“Apa sebenarnya yang berlaku ni?”bisik aku perlahan.

Aku menekup mulut lantaran hambatan kejutan yang melampau. Rambut aku sibak ke belakang berulang kali. Tidak semena-mena aku teringat kanak-kanak perempuan yang aku jumpa di dalam mimpi itu. Dia ada mengarahkan aku untuk mencari bilik yang dipenuhi jasad. Mungkin ini adalah biliknya. Jadi apa yang perlu aku lakukan sekarang?

“Psstt..”

Aku berkalih pantas apabila mendengar bunyi tersebut di belakang aku. Kanak-kanak perempuan itu berdiri sambil merenung ke arah aku.

“Cari jasad aku. Hanya aku yang mampu tamatkan keganasan kapten. Cepat!”arah kanak-kanak itu. Dia tertoleh-toleh ketakutan.

“Apa yang perlu aku buat bila jumpa jasad kau?”tanya aku. Aku sendiri dihurung ketakutan.

Kanak-kanak itu mengeluarkan sebilah pisau dari sebalik bajunya. Dia melemparkan pisau tersebut ke arah aku. Aku lekas-lekas menyambutnya.

“Titiskan darah di atas jasad aku. Ingat! Hanya aku yang mampu tamatkan semua ini.”katanya lagi.

Sebaik berkata sedemikian tubuhnya terus lenyap. Aku tahu apa yang perlu aku buat kini. Aku lekas-lekas mencari jasad kanak-kanak itu di dalam bilik tersebut. Akhirnya aku menjumpai jasadnya yang terbujur kaku di atas stretcher. 

Aku pandang pisau yang berada dalam genggaman. Sudah tiba masanya untuk aku tamatkan segala-galanya. Aku pegang pisau di tangan kanan. Tangan kiri aku menggenggam mata pisau. Perlahan-lahan aku tarik pisau ke bawah. Kulit tangan aku terkoyak dan mula mengeluarkan darah. Aku menahan kesakitan.

Belum sempat darah aku menitis di atas jasadnya, satu libasan kuat menampar wajah aku. Aku melambung dan terjatuh di satu sudut. Aku menyeringai kesakitan.

“Jangan lakukannya!”

Kapten bertapak mendapatkan aku. Leher aku dicekak dan satu libasan lagi hinggap di muka. Aku terbaring lemah. Tenaga aku direnggut oleh kesakitan.

“Aku yang berkuasa di sini!”marah kapten itu. 

Suaranya kedengaran bergema di seluruh pelusuk bilik.

“Kenapa kau biar jasad-jasad mereka di sini? Apa yang kau dah lakukan pada roh mereka?!”tanya aku. 

Ketakutan aku mula terbius. Sisa-sisa tenaga aku dikumpul. Aku berdiri perlahan-lahan. Aku dan kapten saling menghadap antara satu sama lain. Aku nekad kini. Kalau aku ditakdirkan mati sekalipun biarlah aku mati melawan!

“Itu bukan urusan kau!”tingkah kapten. 

Dia menderam kemarahan. Anak matanya mencerlung merenung ke arah aku.

“Jangan buang masa lagi! Cepat!”

Kanak-kanak perempuan itu muncul di sebelah aku secara mendadak. Kapten menjerit menghamburkan kemarahan sebaik melihat kanak-kanak perempuan itu. Dia berlari lantas melancarkan serangan. Kanak-kanak perempuan itu serta merta ghaib.

Serangan di bahagian muka gagal aku sanggah. Aku menyeringai kesakitan. Serangan bertali arus dari kapten sukar untuk aku tangkis. Meskipun usianya tua tetapi kekuatannya menyamai dengan orang muda. 

Pada satu kesempatan, aku berjaya menyepak pelipatnya sehingga dia jatuh terduduk. Tumbukan aku layangkan berulang kali di mukanya sehingga dia menjadi lemah. Pantas aku berlari ke arah jasad kanak-kanak itu. Aku tak mahu berlengah lagi.

Satu lagi toresan di lengan aku lakukan. Darah aku mengalir keluar. Setitis demi setitis jatuh di atas wajah mayat kanak-kanak perempuan itu.

“Jangan!!!!!”jerit kapten. 

Dia bingkas berdiri dan berlari ke arah aku.

Serta merta jasad kanak-kanak itu ‘hidup’. Dia membuka mata dan bertukar menjadi kepulan asap hitam. Berpuing-puing dan membentuk pusaran lalu menghentam kapten. Tubuh kapten berkecai serta merta dan terus lenyap. Hanya raungannya yang kedengaran nyaring sebelum perlahan-lahan mengecil dan terus lenyap.

Pusaran asap itu membentuk semula tubuh kanak-kanak perempuan itu. Dia berdiri menghadap ke arah aku.

“Terima kasih sebab selamatkan aku.”ucap kanak-kanak itu.

Aku mengangguk.

 “Habis macam mana dengan mereka yang lain ni?”tanya aku.

 Mata aku merayapi jasad-jasad lain yang terbujur kaku.

Kanak-kanak itu tidak menjawab. Dia merenung lama ke arah aku. Kemudiannya bibirnya menguntum senyuman. Aku perasan akan kelainan dalam senyumannya itu. Liur aku ditelan dan aku terundur-undur ke belakang.

“Siapa kau yang sebenarnya?”tanya aku.

Soalan itu disambut hilai tawa yang menyeramkan. Seluruh bulu roma aku meremang. Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku. Tubuh kanak-kanak perempuan itu menjadi pusaran asap sebelum berkecai menjadi bentuk yang lain. Satu makhluk hitam legam, bertubuh sasa dan tegap serta memiliki sepasang tanduk sedang berdiri di hadapan aku. Dia menyeringai menampakkan giginya yang berceracak tajam.

“Siapa kau yang sebenarnya!”tanya aku tegas.

Dia tertawa dengan suara yang garau. Matanya bersinar kemerahan merenung ke arah aku.

“Terima kasih sebab membebaskan aku yang terkurung di dalam tubuh kanak-kanak itu. Selama ini aku akan menawan roh setiap pelanggan hotel ini supaya kekuatan aku bertambah. Tapi kedatangan kapten telah mengubah segalanya. Dia berjaya memerangkap jasad aku di dalam tubuh kanak-kanak perempuan yang telah mati sejak sekian lama. Kuasa aku menjadi lemah di sini. Tapi jika ada pelanggan yang berjaya keluar dari hotel ini, aku akan memburu mereka di luar sana. Sebab itu kapten telah melalukan perjanjian berdarah yang kau hanya boleh check out. Tapi tak boleh keluar dari sini.”terang makhluk hodoh itu.

Aku teringat titisan darah yang tumpah di atas borang coklat sewaktu aku mendaftar mula-mula dahulu. Aku meraup wajah berulang kali. Aku dapat merasakan bahaya yang menimpa diri aku kini. Aku telah tersalah membuat keputusan.

“Kapten hanya boleh mengawal kuasa aku di dalam hotel ini. Tapi tidak di luar. Dia juga tak berupaya hendak bebaskan roh-roh mereka yang terperangkap di sini sebab kuncinya berada di jiwa aku. Hanya satu cara sahaja iaitu mematikan aku. Tapi dengan cara itu roh-roh mereka juga akan turut mati! ”lanjut dia lagi sambil tertawa galak.

“Kau penipu!!”bentak aku sekeras-kerasnya.

Makhluk bertanduk itu tertawa lagi. Suaranya keras dan garau melantun-lantun ke serata arah.

“Terima kasih sebab bebaskan aku. Dah lama aku tak menikmati kelazatan roh manusia. Apa kata aku bermula dengan kau?”makhluk itu tersenyum menyeringai memandang aku.

“Aku takkan menyerah dengan mudah.”balas aku lantang.

Sejurus itu makhluk tersebut melayang menerpa ke arah aku. Sekelip mata tangannya mencengkam leher aku. Kukunya yang tajam menggores kulit leher sehingga mengalirkan darah. Aku menyeringai kesakitan. Dia mencengkam erat leher aku sehingga kedua belah kaki terapung dari lantai. Aku bernafas tersendat-sendat. Aku dapat merasakan maut bakal menjemput aku bila-bila masa sahaja. Dada aku berombak keras berusaha menghirup nafas.

Namun aku takkan menyerah dengan mudah. Aku akan mempertahankan nyawa aku nan satu dengan apa cara sekali pun. Kedua belah tangan aku menggenggam kuat tangannya. Serentak itu aku menghayunkan satu tendangan tepat ke dadanya dengan sisa-sisa tenaga yang ada. Usaha aku berhasil. Cengkamannya terlepas dan aku jatuh tertiarap di atas lantai.

Aku bingkas bangun. Aku berlari sekuat hati dan melayangkan tubuh menujah makhluk tersebut. Makhluk tersebut bertindak pantas apabila menyanggah tujahan aku. Tubuh aku diangkat lalu dilontar ke satu arah. Aku terhempas ke dinding sebelum jatuh di atas salah satu stretcher. Aku jatuh menindih mayat dan tergeletak di atas lantai. Makhluk itu pantas mendapatkan aku. Dia menarik tubuh aku dan memaksa aku berdiri.

Serangan bertali arus dilancarkan olehnya. Aku gagal menangkis hatta satu serangan sekalipun. Tumbukan terakhir tepat mengenai perut. Aku terbatuk menyemburkan darah. Aku benar-benar tidak bermaya sama sekali. Tenaga aku terasa direnggut. Dia menolak tubuh aku. Aku jatuh lemah di atas lantai. Perlahan-lahan aku merangkak cuba menjauhinya. Terketar-ketar tangan aku mencengkam lantai berpacukan sisa tenaga yang terakhir.

“Aku beri peluang pada kau sebab kau dah selamatkan aku. Kita main sorok-sorok. Kau sembunyi aku cari kau. Aku tak jumpa, kau selamat dan boleh larikan diri. Tapi kalau aku jumpa..”dia tak menghabiskan kata-katanya. Sebaliknya satu ketawa panjang menjadi simbolik kepada perlakuannya.

Aku bangun terketar-ketar. Darah yang berjabeh di mulut aku kesat menggunakan belakang tangan. Aku harus selamatkan diri. Walau dengan apa cara sekalipun. Aku melangkah longlai keluar daripada bilik tersebut. Aku jatuh terduduk semula gara-gara tubuh aku terlalu lemah. Aku merangkak perlahan-lahan sehingga tiba di tangga. Aku menuruni tangga dalam keadaan merangkak. Nafas aku terasa lelah.

Malang tidak berbau apabila tapak tangan aku tersalah menekan anak tangga. Aku jatuh terguling-guling dari anak tangga atas sehingga ke penghabisan. Aku menyeringai kesakitan yang menjalar di seluruh pelusuk tubuh. Aku membius kesakitan dengan semangat yang tersisa. Aku merangkak masuk semula ke dalam bilik. Di dalam bilik aku menguncikan diri di dalam almari. Aku melepaskan lelah. Aku benar-benar kehilangan daya upaya.

Aku perlu mengembalikan tenaga aku sekurang-kurangnya sebelum melarikan diri dari hotel puaka ini. Aku berharap hari cepat siang supaya aku dapat melarikan diri keesokan harinya. Namun persoalan besar hinggap di fikiran secara tiba-tiba. Apakah esok masih ada untuk diri aku?

Pintu bilik dibuka. Bunyi keriutan jelas kedengaran. Aku dapat melihat makhluk itu berlegar di dalam bilik. Dia menderam-deram sambil melilaukan matanya yang merah bernyala ke serata arah. Aku menahan nafas. Kalau boleh aku enggan bernafas sama sekali kerana tidak mahu dia menyedari aku di dalam almari ini. Debaran jantung terasa memuncak. Aku memerhati gelagatnya menerusi ruang kecil di pintu almari ini.

Degupan jantung terasa terhenti saat makhluk itu memandang lama ke arah almari yang sedang aku duduk kini. Aku menekup mulut dengan tangan aku sendiri. Dalam hati aku tak putus-putus berdoa agar aku selamat dari cengkaman makhluk jahat tersebut. Perasaan cemas aku bertukar lega apabila aku lihat makhluk itu keluar daripada bilik. Aku menghela nafas panjang.

“Aku jumpa kau!”

Satu suara berbisik garau di belakang aku. Serentak itu satu hentaman dari belakang membuatkan aku terpelanting keluar daripada almari. Pintu almari terkopak dan terpelanting. Aku jatuh terhempas di atas lantai. Aku mengengsot perlahan-lahan menjauhi makhluk tersebut yang bertapak menghampiri aku. Dia menderam dengan muka yang membengis.

Aku mengengsot sehingga tiba di muka pintu bilik air. Aku lekas-lekas masuk dan menguncikan pintu bilik air. Di dalam bilik air aku menangis teresak-esak menghamburkan segala rasa yang bergelumang di dada. Pili air aku buka dan aku biarkan air mengalir. Aku tidak apa lagi yang aku harus lakukan. Bayangan maut dirasakan sedang menari-nari di hadapan aku dengan rentak tarian yang keras lagi menakutkan.

Dentuman di pintu membuatkan tubuh aku menggigil ketakutan. Aku dapat rasakan ini adalah saat-saat terakhir dalam kehidupan aku. Tiada daya dan upaya lagi untuk aku melawan. Aku berada di dalam kawasan ‘jajahannya’. Aku benar-benar tidak bermaya. Wajah aku pucat seolah-olah darah aku telah disedut sehingga kering. Berjuta penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Andai waktu dapat diputar aku tak akan menjejak kaki ke hotel ini!

Epilog

Azizi memperlahankan kenderaan. Dia memberi signal lalu membuat pusingan U. Dia memandu kereta masuk ke ruangan parkir. Lalu dia melangkah keluar daripada kereta. Hotel di hadapannya itu terasa memenuhi cita rasanya. Pemandangan pantai yang mengasyikkan. Jauh dari hiruk pikuk kota. Terasa damai dan menenangkan apabila dilihat.

Dia memerhati pemandangan di luar hotel. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni bina yang agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu kalimatang (mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama. Tidak besar dan tidak kecil. Hanya sederhana sahaja.

Azizi mengheret bagasinya sehingga tiba di muka pintu hotel tersebut. Pintu hotel dibuka oleh seorang pekerja. Azizi menapak masuk.

Pekerja lelaki berambut panjang, memiliki wajah iras-iras Antonio Banderas dan bersut serba hitam tersenyum memandang ke arah Azizi. Dia menunduk dan mempersilakan Azizi masuk dengan hormat.

“Selamat datang ke Hotel Stallion.”


TAMAT


Mohon pembaca memberikan komen setelah selesai membaca bagi meningkatkan mutu penulisan penulis. Segala pujian dan kritikan amat dialu-alukan sama sekali. Penulis ucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Moga dengan kritikan dan pujian yang diberikan dapat memberikan saya idea dan ilham untuk menulis dengan lebih baik lagi bagi disajikan kepada anda semua. 


TERIMA KASIH.


Nota:
*Pembaca boleh merujuk teori yang terselindung di sebalik lagu Hotel California di Google" 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.