Tenku berbaring di dalam bilik. Dia tidak berbaju
hanya mengenakan seluar pendek sahaja. Membiarkan hembusan daripada kipas angin
menyapa tubuhnya. Cuaca di luar rumah terasa hangat. Itu sebab dia merancang
untuk tidak keluar ke mana-mana sebaliknya hanya berkurung di dalam bilik
sahaja.
Tenku
tekun membaca buku Art of Deception yang
ditulis oleh Jerry D.Gray. Buku yang berkisar tentang kejahatan Amerika
Syarikat menjalankan pelbagai program serta usaha bagi menakluk dunia telah
dibelinya minggu lepas tetapi masih belum berkesempatan untuk dibacanya
sehingga kini. Rak buku di dalam biliknya, hanya dipenuhi dengan buku-buku yang
berkenaan teori konspirasi, politik, buku ilmiah dan seram semata-mata. Lelaki
ini begitu mencintai hal-hal berkaitan tersebut terutama tentang teori
konspirasi.
Bagi
sesetengah pihak, hal-hal begitu hanya dianggap membuang masa kerana apabila
dinamakan sebagai teori maka pastinya hal tersebut boleh jadi benar mahupun
tidak. Tetapi perkara ini sangat bertentang dengan diri Tenku sama sekali. Bagi
dirinya, buku telah mendedahkan kebenaran yang nyata. Tiada jalan yang lebih
baik bagi mendedahkan kebenaran melainkan hanyalah melalui buku sahaja.
Sebab
itu lelaki ini lebih gemar bersahabat dengan buku sehingga kadang kala
kawan-kawan menggelarnya sebagai ulat buku. Tetapi Tenku tidak kisah dengan
semua itu. Hari dia tidak bekerja akan dihabiskan dengan menghadap buku semata-mata.
Alasan
Tenku adalah mudah. Buku adalah sesuatu yang akan taat kepada kita di siang
hari mahupun pada waktu malam. Buku akan setia baik ketika kita di luar rumah
mahupun di dalam rumah. Buku tidak akan menyakiti ketika kita sedang tertidur.
Buku adalah guru yang penting saat kita memerlukannya.
Walaupun
kita selalu meninggalkannya, dia akan selalu taat. Walaupun orang di sekeliling
memusuhi kita, buku tidak akan berpaling tadah sama sekali. Itulah buku dan
itulah prinsip atau falsafah yang dipegang oleh Tenku. Bagi Tenku bercinta
dengan buku adalah jauh lebih baik daripada bercinta dengan manusia. Kerana
buku adalah jauh lebih setia.
Hanif mengurut-ngurut pergelangan tangannya. Sejak
kejadian tersebut, pergelangan tangannya masih tidak surut kesakitan yang
dirasakan. Ini semua gara-gara malam semalam. Hanif membelek tangannya. Semakin
lama dirasakannya semakin sakit dan susah untuk bergerak.
Fikiran
Hanif menerawang memikirkan kejadian pada malam tersebut. Selepas dia menumbuk
muka hantu tersebut, dia terjaga daripada mimpinya. Rupa-rupanya dalam keadaan
tidak sedar, Hanif telah menumbuk dinding. Lantas kesakitan yang dialami terasa
membunuh lenanya. Tetapi dalam masa yang sama Hanif bersyukur kerana semua itu
hanyalah mimpi semata-mata. Dia menarik nafas lega dan mengucapkan syukur yang
teramat.
Tetapi
rentetan daripada kejadian tersebut membuatkan dia terpaksa menanggung
kesakitan. Rasa sakit yang dialami bukan kepalang. Hanif menarik nafas dan
menghembus menahan kesakitan. Terasa begitu sengal dan menyucuk-nyucuk. Lantas
Hanif mencapai kunci rumah dan mengenakan kasut Adidas sebelum melangkah keluar
daripada rumah. Hendak menunggang motosikal, tangannya itu terasa tidak mampu
untuk memegang hendal. Jadi dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki menuju
ke klinik yang berdekatan untuk memeriksa tangannya tersebut. Bimbang jika
berlaku perkara yang lebih serius jika tidak dirawat.
Reykal menunggang motosikal EX5 miliknya pulang ke
rumah setelah bertemu dengan Ayu Emelda buat kali terakhir sebentar tadi.
Hatinya masih sakit dan terluka dengan perbuatan Ayu Emelda yang telah
berpaling arah daripada dirinya. Jika lukanya mengalirkan darah, Reykal pasti
darah tidak akan berhenti mengalir dari hatinya itu. Sakitnya terlalu sukar
untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Batinnya cukup tersiksa.
Perutnya
tidak semena-mena berasa sakit. Reykal mengetap bibir menahan rasa sakit. Hanya
beberapa meter sahaja lagi dia akan tiba di rumah. Namun sakitnya itu dirasakan
tidak dapat ditahan-tahan lagi. Reykal mengitari pandangan di kawasan tersebut.
Lantas matanya tertancap ke arah sebuah masjid. Rumahnya tidak jauh daripada
kawasan tersebut tetapi rasa sakit tersebut seolah-olah menyentak-nyentak
ususnya. Mahu tidak mahu Reykal terpaksa membelok kenderaannya dan masuk ke
perkarangan masjid tersebut bagi melepaskan hajat.
Reykal
tercari-cari arah tandas. Sebaik menjumpai, dia bergegas masuk. Selang beberapa
minit kemudian dia keluar dengan rasa yang lega. Reykal berlalu mendapatkan
motosikalnya yang diparkir tidak jauh daripada kawasan tersebut.
Dia
memandang ke arah masjid tersebut. Baru dia perasan akan sesuatu. Sepanjang dia
tinggal di taman itu belum pernah sekali dia ke masjid tersebut. Ini buat kali
pertama dia mencecahkan kaki ke masjid tersebut. Reykal tersenyum sendirian
mengenangkan perkara itu. Terasa lucu apabila tersedar sendiri kedangkalannya
dalam agama.
Reykal
melabuhkan punggungnya di atas kusyen motosikal. Kakinya mencari-cari penghidup
enjin.
“Assalamualaikum..”
Salam
suci yang dilontarkan tersebut membuatkan Reykal tersentak. Dia menjawab salam
lalu mengalihkan pandangan ke arah sebelah kanannya. Kelihatan seorang lelaki
yang berusia lingkungan 40-an sedang berdiri di sebelahnya dengan tersenyum.
Janggut sejemput menghiasi wajahnya yang kelihatan cerah berseri.
“Alhamdulillah
kita dipertemukan di sini kerana ALLAH. Siapa nama awak?”tanya lelaki tersebut.
“Reykal..
Err.. Boleh panggil saya Rey..”tergagap-gagap Reykal menjawab.
“Sedap
nama tu. Tak mengapa saya lebih selesa panggil awak dengan nama Reykal.”jawab
lelaki tersebut.
Reykal
tertanya-tanya dengan kehadiran lelaki tersebut secara tiba-tiba. Lantas soalan
tersebut diajukan.
“Pak
cik imam masjid ni ke?”tanya Reykal. Lelaki tersebut hanya menggeleng.
Reykal
mengerutkan keningnya. “Ustaz?”Reykal sekadar menduga.
Lelaki
tersebut sekali lagi menggeleng. “Saya cuma hamba ALLAH seperti kamu juga.
Panggil saya pak cik Daud.”lembut suara lelaki tersebut mengenalkan dirinya.
‘Imam bukan. Ustaz pun bukan. Habis siapa
lelaki ni? Alamak! Habis aku. Dia ni confirm tabligh dekat masjid ni. Aku yakin
sangat. Lepas ni mesti dia ajak aku solat. Aduh.. Aku kena cepat pergi dari
sini’
Reykal
mula tidak senang duduk. Dia hanya tersengih-sengih sambil cuba mencari-cari
jalan untuk lari daripada keadaan tersebut. Lelaki yang digelar sebagai Daud
itu hanya tersenyum melihat ke arahnya.
“Syukur
kepada ALLAH kerana masih dipanjangkan usia dan berpeluang menikmati segala
nikmat yang diberi olehnya. Sebenarnya hidup ini adalah satu dugaan dan sebuah
perjalanan yang sangat panjang. Jika hari ini kita ditimpa masalah, itu
tandanya ALLAH masih sayang akan kita. Jika hari ini kita dilanda musibah, itu
tandanya ALLAH masih ingat pada kita. Jika hari ini kita kehilangan segalanya,
jangan lupa satu perkara kerana ALLAH masih bersama dengan kita lagi. Ingatlah,
ALLAH itu Maha Pengasih Lagi Pemurah. Di setiap ujian yang diturunkan pasti ada
hikmah yang berada di sebaliknya.”
Reykal
yang mendengar hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu
mengapa lelaki itu secara tiba-tiba mengatakan hal sedemikian kepada dirinya
seolah-olah mengerti dia sedang mengalami masalah. Namun Reykal tidak begitu
fokus dengan setiap baik kata yang terucap. Dia ingin segera pulang ke rumah.
“Jadi
sebaik-baik cara adalah kita kembali kepada pencipta iaitu ALLAH S.W.T.
Gantungkan hati mu pada Tuhan yang satu, maka pasti segala apa yang mendatang
akan dapat diatasi dengan mudah. Insha ALLAH.”sambung Daud lagi.
Sebaik
berkata sedemikian, azan telah dilaungkan menandakan telah masuk fardhu solat
Asar. Daud menunggu seketika sehingga azan tamat sebelum menyambung berbual.
“Azan
dah dilaungkan. Jom kita bersolat dahulu.”pelawa Daud sambil tersenyum. Memaniskan
roman wajah.
‘Aku dah agak dah! Dah agak sangat-sangat.
Aku kena cari jalan. Aku nak balik!!’teriak Reykal di dalam hatinya.
“Err..
Tak mengapalah pak cik. Saya solat dekat rumah. Lagipun kawan saya tengah
menunggu.”Reykal berdalih.
“Solat
di masjid kan lebih afdal. Lebih besar pahalanya. Tambah-tambah berjemaah macam
ni. 27 kali ganda pahala daripada bersolat sendirian.”Daud cuba memujuk.
Reykal
tergaru-garu kepalanya. “Esok ada lagi. Besok saya datang solat berjemaah dekat
sini.”balas Reykal. Dia mula menghidupkan enjin motosikalnya.
Daud
hanya tersenyum melihat kerenah Reykal. “Kamu yakin kamu sempat bersolat Asar
di rumah sekejap lagi? Kamu yakin esok kita masih dapat berjumpa seperti hari
ini?”
Soalan
tersebut membuatkan Reykal tersentak. Seolah-olah satu tamparan keras hinggap
di wajahnya. Wajah Daud diperhatinya. Lelaki itu hanya tersenyum kepadanya.
Lantas bahu Reykal ditepuk beberapa kali dan dia berlalu masuk ke dalam masjid
meninggalkan Reykal. Reykal terdiam memikirkan kata-kata Daud sebentar tadi.
Enggan membejatkan fikiran lantas gear dimasukkan dan dia memecut motosikal
berlalu keluar daripada masjid.
Daud
yang berdiri di hadapan pintu masuk masjid hanya memerhati tindakan Reykal. Dia
hanya menggelengkan kepala sambil mengucapkan nama ALLAH.
“Semoga
ALLAH memberi hidayah kepada mu.”
Reykal menghempaskan tubuhnya di atas katil.
Fikirannya menerawang mengimbau semula peristiwa pertemuan dia dan Ayu Emelda
pada minggu lepas. Bohong jika dia mengatakan bahawa dia telah melupakan Ayu
Emelda sepenuhnya. Hingga saat ini, hati dan jiwanya masih merindui wanita
tersebut. Kenangan bersama wanita itu sukar untuk diluputkan dari ingatan.
Tetapi
dia sesekali tidak akan menyesal dengan keputusannya melepaskan wanita tersebut
pergi. Buat apa menyimpan wanita yang tidak lagi setia kepada dirinya. Yang
tidak tulus menyayangi dan mencintai dirinya. Reykal mengeluh berat.
Reykal
mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Fail galeri album dibuka dan
dibeleknya. Beberapa keping gambarnya bersama Ayu Emelda yang ditangkap
beberapa bulan yang lepas masih disimpannya. Sungguh bahagia mereka pada waktu
itu. Secara tidak sedar, Reykal tersenyum sendirian apabila mengenangkan
kenangan tersebut. Buat seketika dia terlupa perkara yang telah Ayu Emelda
lakukan kepada dirinya.
Ketukan
pintu telah mematikan lamunan Reykal. Wajah Ilham menjengah muka pintu. Lelaki
itu melemparkan senyuman ke arah Reykal. Reykal hanya mengjungkitkan keningnya
sebagai isyarat bertanyakan tujuan Ilham.
“Kalau
iya pun takkan tak nak jemput aku masuk ke bilik kau.”getus Ilham seraya masuk
ke dalam bilik tanpa dipelawa Reykal. Salah sebuah kerusi ditariknya lalu dia
melabuhkan punggung.
“Ada
apa Am?”soal Reykal.
“Kau
free tak petang ni?”tanya Ilham.
Reykal
berkira-kira sendiri. “Hmm.. Tak pasti lagi. Kenapa?”
“Aku
ingat nak ajak kau teman pergi kedai Ah Chong. Aku nak usha sport rim baru untuk kereta aku tu.”ujar
Ilham.
“Aku
tak pasti lagi. Tapi mungkin aku tak pergi kut. Aku letih sikit lah.”balas
Reykal.
“Kalau
kau tak nak pergi tak apa lah. Aku tak memaksa.”
Reykal
hanya mengangguk kecil. Ilham memerhati wajah rakan baiknya itu. Reykal tidak
perasan dengan pandangan tersebut. Dia hanya termenung memikirkan masalah yang
melanda dirinya itu.
“Kau
ada masalah ke? Aku tengok kau asyik bermenung je semenjak dua ni?”tanya Ilham
ingin tahu.
Reykal
melihat Ilham sekilas. Dia mengeluh berat.
“Entah
lar Am. Serabut fikiran aku.”keluh Reykal.
Dahi
Ilham berkerut. “Cuba kau cerita dekat aku apa masalah kau?”
Reykal
terdiam panjang sebelum bersuara.
“Sebenarnya
aku dan Ayu dah putus.” Reykal berterus terang.
Ilham
sedikit terperanjat dengan berita yang didengarinya itu. Setahunya kedua-dua
pasangan itu saling sayang menyayangi. Bahkan bagaikam belangkas. Sentiasa
berkepit sepanjang masa. Kini apa yang didengari mereka berdua telah berpisah.
“Apa
punca sampai kau dan dia berpisah?”
“Dia
curang dengan aku, Am.”luncur kata-kata itu keluar dari bibir Reykal.
Mata
Ilham terbuntang luas dan mulutnya terlopong.
“Cu..curang?
Kau biar betul. Aku tengok Ayu tu bukan main sayang dengan kau.”tanya Ilham
tidak percaya dengan kata-kata Reykal.
“Sayang
wanita ni hanya pada mulut sahaja Am. Aku dah serik. Dah berapa kali aku kena
macam ni. Aku dah serik dengan wanita ni. Semua hanya pandang harta dan
kekayaan semata-mata.”keluh Reykal.
Ilham
hanya mendengar luahan hati rakannya itu. Sebenarnya dia turut bersimpati
dengan nasib yang menimpa Reykal.
“Tak
semua perempuan macam tu Am. Mungkin kau belum berjumpa lagi dengan wanita yang
benar-benar ikhlas mencintai kau. Menyayangi kau hanya kerana apa adanya kau
dan bukan kerana kekayaan dan faktor-faktor yang lain. Harap kau sabar dan
tabah menghadapi semua ni.”Ilham memberikan nasihat.
“Tapi
masalahnya Ayu tu ada hubungan sulit dengan bos dia. Sebab apa? Nak kata bos
dia hensem, aku hensem lagi. Semuanya sebab duit. Yelar sebab bos dia tu kaya,
ada duit, ada pangkat. Aku ni kuli batak saja. Harta pun setakat motor cabuk
saja. Naik dengan aku setiap masa mengaduh panas. Lainlah bos dia tu, siap
kereta BMW 5 Series bagai. Kau nilai lah sendiri Am macam mana.”
“Kau
ni berfikiran negatif. Cuba kau positifkan semua tu. Mungkin ini semua adalah
takdir atau ujian yang Tuhan turunkan pada kau. Nak tengok kau masih ingat pada
dia atau tak. Tak ada kena mengena soal kaya atau tak. Kalau Ayu tu pandang
kekayaan dari dulu lagi dia dah tinggalkan kau.”kata Ilham. Kata-katanya
seolah-olah menyebelahi Ayu Emelda tetapi pada hakikatnya lelaki itu cuba
meneutralkan semula pemikiran rakan baiknya itu.
“Aku
percaya ini semua takdir. Dan untuk pengetahuan kau, Ayu tu dulu tidak semewah
ini hidupnya. Aku lelaki yang bertanggungjawab yang bawa dia sampai ke tahap
ni, Mungkin dengar seperti mengungkit tapi itu hakikatnya yang sebenarnya.
Mungkin kau tak mengerti. Tapi cuba lah kau ni tak ada kereta,fulus pun kurang,
aku berani jamin wanita-wanita yang kau kawan sekarang belum tentu lagi nak stay dengan kau. Manusia hanya dianggap
penting dan dihormati bila dia kaya dan pegang duit banyak. Tetapi bagi orang
kebanyakan macam aku ni, semuanya dilayan seperti tidak bermaruah dan tiada
harga diri.”
Serentak
berkata sedemikian, Reykal terus bangun daripada katilnya dan keluar daripada
bilik. Meninggalkan Ilham keseorangan. Kata-kata Reykal bermain-main di
telinganya. Lantas Ilham mengeluh berat. Lelaki boleh dihadapkan dengan
berjuta-juta masalah tetapi mereka lemah apabila berhadapan dengan masalah yang
melibatkan wanita. Itu hakikat yang sebenar bagi seorang lelaki.