Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 11 - HANTU ASKAR JEPUN

Awal pagi, Salmah telah bangun bersembahyang Subuh dan menyiapkan sarapan. Dia ada mengejutkan ketiga-tiga rakannya tersebut tetapi hampa. Ketukan pintu bilik tidak bersahut. Mereka tidur mati. Tetapi Salmah bersangka baik dengan menganggap mungkin mereka sedang ber‘cuti’.

Jam telah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Salmah telah bersiap seperti kebiasaan dirinya. Pada hari ini dia akan menghadiri temuduga kerja. Meskipun tinggal di kampung tetapi tahap pelajaran Salmah sangat baik. Dia berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM. Cuma rezeki tidak memihak kepadanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekurangan wang. Namun semangat untuk terus menuntut ilmu tetap berkobar dalam dirinya.

Sebaik sahaja Hanna bangun daripada tidur dan selesai bersiap, rakannya itu menghantar Salmah ke tempat yang bakal ditemuduga kelak. Mujur pada hari tersebut Hanna mengambil cuti. Jadi dia boleh menghantar rakan sekampungnya itu untuk ke tempat temuduga.

Setibanya di sana, Salmah melihat terdapat 4 orang calon lagi yang sedang menunggu untuk ditemuduga. Salmah menunggu gilirannya dipanggil dengan penuh sabar sambil di dalam hatinya berdoa agar dia berjaya dalam temuduga tersebut dan diterima bekerja. Hampir 1 jam menanti, akhirnya nama Salmah telah dipanggil oleh pihak pengurusan. Jantungnya sedikit berdebar sebaik kaki melangkah masuk ke dalam bilik eksklusif tersebut.

Salmah telah ditanya dengan pelbagai soalan tentang dirinya dan juga isu-isu semasa. Hampir setengah jam berada di dalam bilik tersebut, akhirnya mereka mengumumkan berita gembira apabila Salmah diterima bekerja di syarikat tersebut. Bibirnya menguntum senyuman tatkala mendengar kata-kata pegawai tersebut. Salmah menarik nafas lega kerana dia boleh mula bekerja pada keesokan harinya.

Dia melangkah keluar daripada bilik tersebut dengan hati yang lapang dan gembira. Sebelum keluar daripada bangunan tersebut, Salmah sempat menghubungi ibu dan bapanya untuk menyampaikan berita gembira tersebut. Sebaik telefon diletakkan semula ke dalam beg tangan, Salmah terperanjat apabila mendapati seorang lelaki berdiri di hadapannya. Salmah mengurut-ngurut dadanya lantaran dihambat kejutan secara tiba-tiba.

Lelaki yang memakai uniform pengawal keselamatan tersebut merenung Salmah dengan pandangan yang tajam. Salmah memohon maaf sebelum tergesa-gesa berlalu. Sebaik menjauh, Salmah sempat berkalih ke belakang. Ternyata pengawal keselamatan tersebut masih merenung dirinya. Salmah cepat-cepat mengalihkan pandangan sebelum berlalu mendapatkan Hanna yang sedang menunggunya. Apa yang pasti, dia tidak senang dengan renungan sebegitu rupa.



“Alhamdulillah anak kita dah dapat kerja dekat Kuala Lumpur tu.”ujar Mak Limah sebaik menamatkan panggilan dengan Salmah.

“Baguslah kalau macam tu. Dekat mana dia dapat kerja?”soal Hashim.

“Dekat syarikat apa entah. Saya pun terlupa abang.”balas Mak Limah.

Hashim mendengus kecil. “Kamu ni. Tapi baguslah. Lapang sikit hati saya dia dah dapat kerja.”

Mak Limah mengiakan kata-kata suaminya itu. Kemudian dia duduk termenung. Fikirannya melayang jauh sehingga Hashim perasan dengan perubahan isterinya itu.

“Kenapa tiba-tiba kamu termenung ni?”soal Hashim.

“Entah lar abang. Tiba-tiba saja saya rasa tak sedap hati.”balas Mak Limah. Dia mengeluh perlahan.

“Perasaan kamu saja tu, Limah. Kita doakan saja yang baik-baik untuk anak kita tu.”Hashim menyanggah. Cuba menyedapkan hati isterinya.

Mak Limah akur. Dia bangun daripada kerusi dan menuju ke dapur. Namun perasaan gundah gulana tersebut tetap bersarang di dalam hati dan perasaannya. Sukar untuk dia menyingkirkannya.



Hari pertama mula bekerja terasa begitu mengujakan Salmah. Pagi hari dia telah bersiap dan menunggu bas di simpang jalan tidak jauh daripada kondominium tersebut. Walaupun Hanna ada mempelawa untuk menghantarnya ke tempat kerja tetapi Salmah menolak dengan baik. Bagi Salmah, Hanna telah banyak membantu dirinya. Jadi tidak mahu membebankan Hanna untuk menghantar dan menjemputnya dari tempat kerja.

Sebaik tiba di ofis, Salmah telah ditunjukkan oleh pihak pengurusan meja bekerjanya. Rakan-rakan ofis masing-masing melemparkan senyuman sambil tidak kurang juga yang beramah mesra dengan dirinya.

“Kau jangan risau. Bekerja dalam ofis ni semuanya macam adik beradik. Kalau kau ada masalah kau jangan malu dan jangan segan. Kau boleh tanya saja dekat kami semua ni.”ujar Irah. Mulutnya sedikit becok berbanding rakan yang lain tetapi Salmah pasti wanit itu mempunyai hati yang baik.

“Betul tu. Kalau kau rajin buat kerja, confirm-confirm gaji kau akan naik. Bos dekat sini tak kedekut nak naikkan gaji. Tak macam tempat kerja aku dulu. Memang beruntung sangat dapat kerja dekat sini.”sambung salah seorang rakan sepejabat.

Salmah mengangguk-angguk. Terlalu awal baginya untuk membuat impresi terhadap syarikat tersebut. Tetapi ramai rakan sekerjanya memuji-muji pengurusan syarikat tersebut. Salmah hanya mengiakannya sambil berharap apa yang diperkatakan oleh kawan-kawannya itu benar.

Tepat pukul 1.00 tengahari adalah waktu lunch untuk syarikat tersebut. Salmah membawa bekal makanannya sendiri yang sempat dimasak pagi tadi sebelum ke tempat kerja. Bagi dirinya yang baru mula bekerja berjimat cermat itu adalah penting.

“Kau bawak bekal Salmah? Mesti sedap kan? Mak kau masak ke?”soal Irah sambil memandang bekal yang dibawa oleh Salmah. Mereka berjalan seiringan menuju ke kedai makan yang terletak tidak jauh daripada bangunan yang menempatkan syarikat mereka bekerja.

“Tak ada lah. Aku masak sendiri. Aku asal bukan orang sini. Aku tinggal sini dengan kawan-kawan aku.”jelas Salmah.

“Hmm… Baguslah kalau begitu. Kau boleh berdikari. Cuma satu sahaja aku nak pesan. Jaga diri baik-baik. Jangan terikut-ikut sangat budaya tak elok yang ada dekat K.L ni.”pesan Irah.

Salmah hanya tersenyum mendengar nasihat tersebut. Tidak ubah seperti nasihat ibu bapanya. Sewaktu dalam perjalanan, mereka berdua terserempak dengan pengawal keselamatan yang merenung Salmah tempoh hari.

“Salmah, mari sini aku kenalkan. Ni Pak Samad. Dia boleh dikira otai dekat sini sebab dah lama bekerja jaga bangunan ni.”Irah memperkenalkan Salmah kepada Pak Samad.

Lelaki yang dipanggil Pak Samad merenung Salmah dengan renungan sama seperti tempoh hari. Salmah berasa tidak selesa. Dia hanya melemparkan senyuman hambar.

“Kamu bekerja di tingkat 5 bangunan ni?”soal Pak Samad.

Salmah hanya mengangguk sambil tersenyum memaniskan roman wajah.

“Hmm.. Pak cik cuma nak pesan. Kalau bekerja jangan balik lewat dari pukul 7 malam. Kalau tidak pak cik yang susah. Faham?!”nada suaranya sedikit meninggi tatkala menitipkan pesanan tersebut. Jelas terselit ketegasan.

Salmah terangguk-angguk sebelum mengajak Irah berlalu dengan segera. Dia tidak selesa dengan Pak Samad. Lelaki tua itu suka merenungnya dengan pandangan yang agak menyeramkan.

“Kenapa dengan Pak Samad tu? Aku tengok dia macam pelik je.”Salmah meluahkan apa yang terpendam di sanubarinya.

Irah hanya tertawa kecil. “Kenapa kau takut ke dia tengok kau macam tu? Kau jangan risau. Pak Samad tu memang macam tu. Tapi dia baik. Dia dah banyak tolong aku. Kadang-kadang tu siap tolong belikan sarapan dekat kami lagi. Nanti lama-lama kau akan biasa dengan dia jugak.”terang Irah.

“Tapi kenapa dia pesan jangan kerja lewat dari pukul 7 malam? Ada apa-apa yang tak kena ke?”tanya Salmah.

Soalan tersebut membuatkan tawa Irah mati. Dia melihat ke arah Salmah sekilas.

“Pasal hal tu kau ikut sajalah cakap Pak Samad. Dia orang lama. Dia lebih faham dengan keadaan bangunan ni macam mana. Aku pun tak pernah kerja lewat-lewat malam. Habis kuat sampai pukul 7.05 minit. Aku dah tak boleh tahan dah lewat-lewat lagi.”terang Irah.

“Kenapa pulak?”tanya Salmah ingin tahu.

“Kau akan faham sendiri bila tiba masanya nanti. Cuma aku nak pesan jangan kerja lewat dari pukul 7.00 malam.”

Salmah termanggu sendirian mendengar pesanan rakannya itu. Dalam hati kecilnya terfikir perkaitan di antara perilaku Pak Samad dan larangan Irah sebentar tadi.

“Kau dengar tak?”

“Err.. Dengar apa?”Salmah terpisat-pisat seketika.

Irah merengus kecil.

“Dia boleh berangan masa aku bercakap. Dengar baik-baik aku ulang ni. Ingat pesanan aku. Jangan kerja lewat dari pukul 7.00 malam.”

Salmah menggangguk dan akur dengan kata-kata Irah. Dia menoleh ke belakang. Ternyata Pak Samad masih melihat ke arah dirinya. Selajur itu, Salmah menarik tangan Irah supaya berjalan dengan lebih cepat. Irah hanya tertawa melihat tingkahlaku Salmah tersebut.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.