Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 3

Hanif baru selesai mandi. Dia berjalan masuk ke biliknya yang terletak berdekatan dengan ruang tamu. Rumah tersebut memiliki empat bilik yang mempunyai ruang yang lebih kurang sama. Jadi setiap bilik akan menjadi hak milik seorang penghuni. Manakala harga sewa, eletrik dan air akan dibayar secara bersama oleh mereka berempat.

Kelihatan Reykal sedang duduk tekun membaca surat khabar dengan kaki yang disilangkan. Hanif masuk ke bilik dan mengenakan pakaian sebelum berlalu keluar dengan satu sampul berwarna coklat yang berada di tangan.

“Kau tak kerja ke hari ni, Rey?”tanya Hanif. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Reykal.

“Aku ambil cuti hari ni. Malas pulak rasa nak pergi kerja.”jawab Reykal tanpa mengalihkan pandangan daripada dada akhbar.

“Member kita lagi dua orang mana?”soal Hanif lagi.

“Tenku aku suruh dia belikan makanan. Ilham pergi kerja.”balas Reykal ringkas.

“Tenku tak kerja ke hari ini?”

“Dia cuti hari ni. Ishh.. Banyak pulak kau tanya. Ada apa-apa ka?”soal Reykal pula.

“Bro, tolong hantar aku pergi hospital kejap?”

Reykal yang sedang membaca surat khabar menutup pantas. Wajah sahabatnya ditenung.

“Ada apa hal kau nak pergi hospital? Sakit ke?”pantas Reykal menyoal.

“Begini sebenarnya. Semalam aku ke klinik. Lepas x-ray, doktor sahkan yang ligament tangan aku terkoyak. So, kes aku ni kena rujuk hospital besar. Temujanji hari ni.”terang Hanif.

Reykal mula teringat seminggu yang lepas sahabat serumahnya itu ada mengadu tangan kanannya itu tidak dapat digerakkan. Tidak sangka pula rupa-rupanya masalah itu serius kerana dia memikirkan perkara itu hanya lenguh biasa sahaja.

“Bak sini filem x-ray kau. Aku nak tengok.”pinta Reykal. Seolah-olah seorang doktor pakar yang mahir dalam bidang tulang.

Hanif menyerahkan tanpa sebarang soalan. Reykal mengambil lalu mengeluarkannya daripada sampul coklat. Diangkat dan dihadapkan ke biasan cahaya. Sekadar memerhati dengan pemahaman yang ada lalu disimpan semula ke dalam sampul coklat tersebut.

“Aku rasa pelik pulak. Tiba-tiba saja tangan kau boleh jadi macam ni. Apa yang kau dah buat?”tanya Reykal dengan dahi yang berkerut.

Hanif hanya tersengih-sengih. Dia melihat ke arah tangannya sebelum mengalihkan pandangan semula ke arah Reykal.

“Apa hal kau sengih ni? Dosa apa yang kau dah buat guna tangan tu?”

Hanif mendengus. “Ke situ pulak kau. Macam ni ceritanya. Minggu lepas aku mimpi aku kena kejar dengan hantu mayat hidup. Aku tumbuk muka mayat hidup tu. Bila aku terjaga rupa-rupanya aku tumbuk dinding. Menggelupur aku sekejap.”

Reykal terkekeh-kekeh ketawa mendengar cerita Hanif. Lantas dia tergeleng-geleng kepala.

“Sampai macam tu sekali? Tragis betul mimpi kau.. Hmm.. Tapi macam pelik juga mimpi kau tu..”ujar Reykal sambil menghabiskan sisa-sisa tawanya.

“Memang pelik pun. Dan inilah padah yang aku dapat. Huh!”Hanif mendengus kasar.

Reykal tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya lagi.

“Pukul berapa kau kena ada dekat hospital?”soal Reykal.

“Dalam pukul 2 petang.”

Reykal mengilaskan pandangan memerhati jam di dinding. Waktu telah menunjukkan pukul 1.30 petang. Masih berbaki waktu 30 minit. Dia membuat perkiraan sendiri.

“Sempat lagi ni. Kalau macam tu kita gerak sekarang lah.”ujar Reykal. Dia berlalu ke bilik air untuk membasahkan muka dan rambut sebelum menyisirnya menggunakan tangan. Lalu dia melangkah menuju ke ruang tamu dan mendapatkan helmet yang terletak di atas kabinet.

Baru sahaja mereka berdua ingin melangkah keluar daripada rumah, wajah Tenku menjengah muka pintu.

“Korang nak ke mana ni?”soal Tenku. Di tangannya terjinjing kemas plastik berisi makanan.

“Yang kau ni pergi mana baru balik? Dah naik kebulur aku tunggu kau balik tahu tak.”marah Reykal.

“Aku dah nak balik tadi. Tapi pertengahan jalan ada pesta buku pulak. Kau kan tahu aku ni gila buku sikit. Aku pun duduk situ kejap. Dapat lar aku borong dua tiga buku sikit buat bekal baca.”jelas Tenku sambil tersengih-sengih dengan raut wajah tidak bersalah.

“Kejap kepala otak kau. Menggigil dah tubuh aku ni tahan lapar. Kalau aku ada gastrik dah lama aku mati menggelupur. Buku punya pasal, kawan lapar pun lupa.”marah Reykal lagi.

Tenku hanya tersengih-sengih. “Aku minta maaf lar.. Kau pun tahu kan aku ni macam mana? Dapat hidu bau buku baru pun dah buat nafsu dan jiwa aku berkocak.”

“Huh! Dah lar. Aku dan Hanif nak keluar ni. Kau nak ikut tak?”tanya Reykal.

“Pergi mana?”soal Tenku ingin tahu.

“Hospital.”pendek Reykal menjawab.

“Hah? Hospital? Buat apa pergi sana? Siapa sakit? Siapa meninggal?”bertalu-talu Tenku menyoal.

“Hanif kau jelaskan dekat mamat ni. Malas aku nak terang dekat dia.”ujar Reykal lantas berlalu keluar dari rumah.

“Kau ikut sajalah…”ujar Hanif yang turut sama malas menerangkan perkara yang sebenar kepada Tenku yang sedang kebingungan itu.

Tenku yang masih ternanti-nanti jawapan tergaru-garu kepalanya sendiri. Dia tergapai-gapai. Lantas berlari mendapatkan kedua rakan yang jauh ke hadapan.

“Kita nak pergi naik apa ni?”laung Tenku.

“Kereta Ilham tak ada. Naik motor lah…”

“Habis makanan ni?”tanya Tenku.

“Kau tinggal je. Balik karang kita makan..”

Tenku berlari semula masuk ke dalam rumah menyimpan makanan tersebut. Sempat jua dia meletakkan nota pesanan di atas meja bahawa mereka keluar ke hospital supaya Ilham tidak tercari-cari kehilangan mereka. Picitan hon di luar rumah membuatkannya tergesa-gesa keluar lalu mengunci pintu rumah. Kelihatan Reykal sedang menanti dengan Hanif memboncengnya. Tenku mendapatkan Yamaha LC miliknya dan menghidupkan enjin. Lantas ketiga-tiga sahabat itu bergerak menuju ke destinasi dengan menaiki motor masing-masing.



“Kita nak guna jalan mana ni?”soal Reykal. Dia menguak visor yang mentabiri wajah. Mereka kini berhenti di lampu isyarat menanti lampu merah bertukar hijau.

“Kita terus saja lah. Karang kalau belok makin jauh pulak. Kau tak tahu jalan ke?”soal Tenku.

“Kau ingat aku kerja doktor ke tiap hari nak ke hospital sampai hafal jalan. Huh!”Reykal mendengus.

“Aku tanya mana tahu kau tahu jalan yang lebih dekat.”

“Habis jalan yang kita nak ikut ni dekat ke jauh?”soal Reykal semula.

“Mungkin dekat..”balas Tenku sambil tersengih-sengih.

Reykal merengus. “Mungkin? Hmm.. Nasib baik lah kau ni kawan aku Tenku…”

Sebaik lampu merah bertukar warna mereka terus memecut laju membelah lebuh raya yang agak sesak dan sibuk. Lima belas minit berlalu, tetapi bayangan hospital masih lagi tidak kelihatan. Reykal memberi signal dan memberhentikan motosikal di bahu jalan. Tenku hanya menurut.

“Kau ni biar betul. Setahu aku hospital tak jauh. Kenapa tak sampai lagi ni?”rungut Reykal yang sedikit berang. Ditambah dengan cuaca yang agak hangat dan panas membuatkan jiwa terasa sedikit merusuh.

“Mana aku tahu. Aku rasa jalan ni betul.”balas Tenku sambil terlingas kepala mnecari petunjuk arah.

“Kau main rasa je. Karang Hanif ni lambat ke hospital apa macam?”

Tenku hanya mendiamkan diri. Dia memikirkan sesuatu.

“Aku tahu dah jalan. Jom ikut aku.”ujar Tenku dengan penuh yakin. Dia memecut motosikal terlebih dahulu.

“Tahulah sangat. Sesat lagi aku sekeh kepala Tenku ni.”rungut Reykal.

Hanif hanya tertawa mendengarnya. Motosikal dipecut laju mengejar Tenku sehingga mereka berdua menunggang seolah bergandingan. Tiba-tiba sebuah treler membelok tanpa memberi isyarat di hadapan mereka. Masing-masing dihambat kejutan. Mata terbuntang luas dan mulut terlopong. Reykal menekan brek kaki dan tangan sekuat hati. Tenku turut menekan brek. Bunyi tayar berdecit membingit dan bau hangit menerawang menusuk ke hidung. Motosikal semakin menghampiri badan treler tersebut. Bayangan petaka dirasakan sedang menari-nari di hadapan mereka kini.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.