Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 6 - HOSPITAL BERHANTU

Jam telah menunjukkan pukul 8.00 malam. Raiman terbaring kebosanan. Jika diikutkan ini adalah hari kedua Raiman berada di hospital tersebut. Tiada apa yang boleh dilakukan. Hanya terbaring dan termenung. Mujur jururawat yang bernama Aini itu sudi menemani dirinya. Itu pun tidak lama. Hanya sekadar berbual tidak sampai 10 minit kerana wanita itu mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan.

Raiman mengeluh. Pagi tadi dia telah menjalani imbasan. Dan seperti yang dijangka, kaki kirinya di bahagian betis telah patah. Buat sementara waktu hanya balutan tebal tesebut menghiasi kakinya bermula dari paha sehinggalah ke hujung kaki. Mungkin dalam 2 atau 3 hari lagi balutan tersebut akan berganti dengan simen. Raiman mengira waktu untuk keluar daripada hospital tersebut. Dia benar-benar bosan. Tidak betah lagi untuk berada di situ lagi.

Raiman melihat tirai di sebelah. Sehingga saat ini dia masih belum mengetahui siapa penghuni di katil bersebelahannya itu. Tiada pula kelihatan saudara mara yang datang melawat. Ingin bertanyakan perkara tersebut kepada Aini tetapi lidahnya terasa berat dan kelu. Lantas soalan tersebut hanya dipendamkan sahaja. Hendak membuka tirai tersebut, Raiman bimbang tindakannya menyebabkan pesakit tersebut terganggu. Sesekali kedengaran bunyi besi katil berkeriuk dan suara terbatuk-batuk kecil.

“Apa khabar sahabat?”

Teguran tersebut membuatkan Raiman tersentak. Rupa-rupanya rakan sepejabat dan serumahnya datang melawat. Bilangan mereka adalah enam orang. Buah tangan yang dibawa oleh mereka diletakkan di atas kabinet kecil bersebelahan katilnya. Raiman tersenyum gembira menerima lawatan mereka. Hatinya berasa lapang untuk seketika. Sekurang-kurangnya ada juga yang sudi melawatnya.

Mereka rancak berbual bertanyakan itu dan ini kepada Raiman. Sesekali gelak ketawa menghiasi perbualan mereka. Raiman berasa terhibur sekurang-kurangnya. Kesakitan yang dialmi terasa luput dari fikiran. Tetapi dalam pada itu, matanya mencari-cari susuk tubuh Fatimah tetapi ternyata wanita itu tidak datang melawatnya. Raiman mengeluh kecewa tetapi tidak disedari oleh rakan-rakan yang lain. Mereka sibuk berbual dan bergelak ketawa.

“Shhhhhh!! Diam sikit! Aku nak tidur!”

Lantunan suara lelaki yang garau tersebut dengan nada marah membuatkan mereka semua terdiam. Masing-masing menikus apabila dimarahi sebegitu. Raiman cuba melihat katil yang berada di sebelahnya itu melalui celah-celah tirai yang terdedah. Tetapi hampa kerana dia gagal melihat apa-apa. Lantas Raiman menggunakan bahasa isyarat menyuruh rakan-rakannya agar memperlahankan suara. Rakan-rakannya itu akur dan mereka kembali berbual dengan nada suara yang sedikit rendah.

“Aku nak ke tandas sekejap. Nak terkucil.”ujar Yahya. Lantas dia berlalu menuju ke tandas yang terletak di hujung wad tersebut. Untuk ke tandas perlu melalui katil di sebelah Raiman itu.

Sebaik melepaskan hajat, Yahya berjalan sambil bersiul keluar dari tandas. Sebaik melalui katil di sebelah Raiman, tidak semena-mena angin bertiup dan tirai terkuak kecil. Yahya terpandang ke arah katil tersebut. Wajahnya serta merta berubah pucat. Mulutnya terlopong lantaran kejutan yang melampau. Bulu romanya tidak semena-mena meremang. Lantas dia berlari mendapatkan rakan-rakannya yang mengelilingi katil Raiman.

“Kau ni apahal? Dah macam nampak hantu saja aku tengok.”tegur salah seorang rakan sepejabat mereka.

Yahya menggeleng berulang kali. Matanya asyik tertancap ke arah katil yang terhadang dengan tirai hijau itu. Liurnya ditelan berulang kali.

“Aku rasa waktu melawat dah nak tamat. Jom kita balik. Lagipun kita semua kerja kan besok.”Yahya berdalih. Dia sebenarnya tidak sanggup lagi untuk berada di situ lama-lama.

Rakan-rakan yang lain akur dengan kata-kata Yahya. Mereka akhirnya meminta diri untuk pulang. Raiman mengucapkan terima kasih atas kesudian rakan-rakannya itu datang melawat. Namun dia perasan akan perubahan yang terdapat di wajah Yahya. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh rakan sepejabatnya itu.



Mereka menaiki kereta yang dipandu oleh Yahya pulang ke rumah masing. Yahya akan menghantar seorang demi seorang ke rumah mereka sebelum pulang ke rumahnya sendiri. Di dalam perjalanan Yahya banyak mendiamkan diri. Sehinggalah ditegur oleh salah seorang rakan mereka barulah Yahya bersuara.

“Aku sebenarnya sedang fikirkan apa yang tegur kita masa dekat wad tadi?”

Kata-kata Yahya membuatkan rakan-rakannya terpinga-pinga.

“Apa maksud kau Yahya? Kami tak faham?”satu suara muncul daripada seat belakang.

Yahya mengeluh. “Begini sebenarnya. Masa aku keluar dari tandas tadi, tirai yang tutup katil sebelah Raiman tu terselak. Dan aku nampak jelas katil tu kosong! Tak ada penghuni pun. Tu yang aku terperanjat besar. Seram aku.”Yahya berterus terang.

Berubah raut wajah semua yang berada di dalam kereta.

“Habis siapa yang tegur dan marah kita tadi?” Rasa seram mula menyelinap dalam hati masing-masing.

“Itu aku tak tak tahu. Tapi aku rasa hospital tu ada gangguan. Terutama wad itu. Sebab masa kita nak ke kereta, aku sempat dongak dan lihat ke arah wad Raiman tinggal tu. Dekat tingkap wad tu, aku nampak dengan jelas ada sesuatu benda hitam sedang duduk bertenggek memerhatikan kita.”tokok Yahya lagi.

“Kenapa kau tak cerita dekat kami awal-awal.”marah salah seorang rakan mereka.

“Aku takut sangat. Tak sempat nak cerita dekat korang.”Yahya kesal sendiri dengan sikapnya.

“Habis macam mana dengan Raiman?”

“Aku tak tahu.”Yahya menggeleng kepala. “Aku berharap moga dia selamat.”lanjutnya lagi. Dalam hati dia berharap agar sahabatnya itu bebas daripada sebarang gangguan. Bibit risau jelas terpancar di wajahnya.



Raiman berbaring santai di atas katil. Kehadiran rakan-rakannya sebentar tadi sedikit sebanyak mengurangkan jua rasa bosan yang bersarang selama ini. Jam telah menunjukkan hampir pukul 12.00 malam. Raiman menarik selimut. Matanya mula berasa digayuti beban. Sambil memancing mimpi-mimpi indah, Raiman mengiringkan badannya ke sebelah kanan.

Tidak semena-mena pandangannya terarah ke tirai tersebut. Raiman cuba mencuri lihat di sebalik tirai tersebut tetapi malang kerana tiada langsung ruang yang terdedah. Raiman mengeluh sendirian. Hatinya mendesak kuat ingin melihat siapa individu yang berada di katil sebelahnya ini.

Tiba-tiba Raiman kedengaran seolah-olah kaca yang dihempas ke lantai. Pada mulanya perlahan dan makin lama bunyi itu semakin kuat. Bunyi tersebut berulang-ulang. Raiman menelan liurnya sendiri. Dia menajamkan pendengaran untuk mendengar dari arah mana bunyi tersebut berhasil. Ternyata bunyi tersebut datang daripada tandas yang terletak di hujung wad tersebut.

Serentak itu, bau kemenyan semerbak menusuk ke hidung Raiman. Semakin lama bau tersebut semakin kuat sehingga membuatkan Raiman sukar untuk bernafas. Raiman menekup hidungnya menggunakan tangan. Dia tidak tahan dengan bau kemenyan yang begitu kuat tersebut. Terasa menyesakkan dada dan menyempitkan pernafasan.

Namun tidak lama, bauan kemenyan tersebut berganti dengan bau yang sangat busuk. Seolah-olah terdapat longgokan sampah bersama bangkai di dalam wad itu. Raiman menahan loya yang teramat. Tangannya menekup hidung namun bau tersebut masih kuat terhidu di hidungnya. Seolah-olah ia menyelinap masuk melalui celah-celah jarinya. Raiman dapat merasakan bila-bila masa sahaja isi perutnya akan keluar kerana tidak tahan dengan bau busuk tersebut.

Tidak lama kemudian, bunyi kaca pecah tersebut menjadi senyap. Baru sahaja Raiman ingin menarik nafas lega, bunyi tersebut berganti pula dengan lolongan anjing yang bersahut-sahutan. Sungguh mendayu dan mampu menaikkan bulu roma siapa sahaja yang mendengarnya. Yang pasti, bunyi lolongan anjing tersebut turut datang daripada tandas tersebut!

Raiman semakin tidak tentu arah. Dia cuba untuk bangun melarikan diri tetapi kaki kirinya yang patah menjadi penghalang. Mahu tidak mahu dia terpaksa menghadapi semua ini.

Semakin lama bunyi lolongan tersebut semakin kuat dan berselang seli dengan bunyi kaca pecah. Perlahan-lahan bibir Raiman terbuka dan membaca ayat suci al-Quran bagi dijadikan pendinding. Hanya itu yang termampu dilakukan oleh dirinya kala ini. Peluh renik mula membasahi wajah. Sekujur tubuhnya menggeletar menahan rasa takut yang begitu menggasak.

Tiba-tiba tirai yang mentabiri katil bersebelahannya itu bergoyang. Semakin lama semakin kuat. Dan daripada katil tersebut, Raiman dapat mendengar dengan jelas suara parau milik seorang lelaki sedang mengerang kesakitan. Manakala bunyi lolongan anjing dan kaca pecah tersebut telah lenyap. Memikirkan pesakit di katil sebelah mungkin sedang dalam kesakitan, Raiman cuba memanjangkan tangan untuk menyelak tirai tersebut.

Tetapi tindakannya terhenti apabila bunyi erangan tersebut bertukar kepada ketawa. Ketawa yang pada mulanya kecil lalu bertukar menjadi besar. Suaranya terasa melantun-lantun dan bergaung di dalam wad tersebut. Kemudian, suara ketawa tersebut berhenti. Perlahan-lahan kedengaran berdengung-dengung suara seperti kumpulan lebah sedang mengerumuni bunga bagi mendapatkan madu. Apabila diamati, Raiman dapat menangkap suara yang sama sebentar tadi kini sedang bertutur dalam bahasa Siam seolah-olah sedang membaca sejenis mantera.

Raiman menelan liurnya sendiri. Hatinya memberontak untuk melihat apa yang sedang berlaku di katil sebelahnya itu. Lantas Raiman menjangkaukan tangannya. Jarinya mencecah tirai. Lalu tirai dicapai dan diselaknya sedikit. Kelihatan seorang lelaki tua, berkepala botak dan sedikit berisi sedang terbaring di atas katil dengan mata yang terpejam. Raiman menarik nafas lega.

Dalam keadaan begitu dia hanya dapat melihat sisi wajah lelaki tua tersebut sahaja. Raiman cuba bangun untuk melihat wajah lelaki tersebut sepenuhnya. Secara tiba-tiba lelaki tua tersebut berkalih kepadanya dengan mata yang terbeliak, lidah yang terjulur panjang sehingga ke leher. Mukanya sangat membengis dan kelihatan amat menyeramkan! Raiman menjerit sekuat hati lantas menutup semula tirai tersebut. Kejutan sekali lagi menghambat dirinya apabila lengannya disentuh oleh sesuatu. Raiman menjerit histeria.

“Kenapa ni encik?”tanya Aini.

Dia yang bertugas pada malam itu terdengar jeritan Raiman bergegas masuk ke dalam wad kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Raiman tercungap-cungap seperti pelari 100 meter. Matanya membulat melihat ke arah Aini. Dadanya berombak kencang menghirup nafas. Semangatnya terasa direnggut sama sekali. Tidak pernah dia dilanda kejutan sebegitu. Aini melihat ke arah Raiman dan ke arah tirai yang mentabiri katil di sebelahnya itu. Kemudian Aini mengetap bibir seolah-olah dihurung rasa bersalah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.