Home Cerpen Cinta PERMINTAAN HATI
PERMINTAAN HATI
Eqbal Mohaydeen
14/4/2014 12:56:08
4,344
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

PERMINTAAN HATI

Prolog

Cinta! Bila sebut soal cinta, manusia acapkali mengungkapkan makna yang berbeza dari sudut pandang mereka. Ada yang mengatakan cinta itu indah. Ada yang kata cinta itu ketawa. Ada yang cakap cinta itu air mata. Setiap apa yang mereka cakap adalah pengalaman mereka sendiri yang pasti membuatkannya terkesan sehingga teringat sampai bila-bila. Yang pasti, cinta itu bersifat abstrak!

***

Hasrul termenung. Sengaja melontarkan pandangan jauh ke tengah tasik Putra. Menikmati keindahan serta ketenangan aliran air yang berombak lemah. Tiada pasang dan surut. Dia menarik nafas dan menghembus perlahan. Sengaja berlama-lama menikmati keadaan tersebut.

Angin petang berhembus lemah menyapa dirinya. Terasa asyik dan sangat mendamaikan. Hasrul memejamkan mata menikmati keadaan tersebut. Itulah terapi diri yang paling berkesan saat diri dilanda masalah. Keadaan sebegitu membuatkan dia terasa beban yang memikul di pundak terlepas serta terbebas.

Seorang wanita memerhati Hasrul yang sedang duduk di salah satu kerusi awam yang tersedia. Dia menapak pantas. Pandangannya berbaur dendam. Hatinya diselubungi dengan sejuta rasa sakit dan kecewa. Terasa begitu sesak bertakung di jiwa. Pacuan kaki semakin deras didorong oleh sakit hati yang teramat. Sebelah tangannya menggenggam kemas sebuah botol sederhana besar yang berisi dengan petrol.

Wanita itu berdiri di belakang Hasrul. Nafasnya menderu. Dia mengetap bibir menahan buaran rasa yang bergolak. Pantas penutup botol dibuka dan dia menuangkan cecair petrol tersebut ke atas Hasrul sehingga habis. Botol kosong dilempar ke tanah dan pemetik api dikeluarkan daripada poket lalu dinyalakan.

Petrol tersebut mengalir dari bahagian rambut membasahi sehingga ke tubuh. Hasrul tersentak. Dia bingkas bangun apabila menyedari cecair tersebut adalah petrol. Pantas dia berkalih.

Seorang wanita sedang berdiri di belakangnya dengan sebelah tangan terketa-ketar memegang pemetik api. Dia bersedia bila-bila masa sahaja untuk melontarkan pemetik api tersebut ke arah Hasrul dan membiarkan sekujur tubuh lelaki tersebut hangus dimamah api. Dia tidak mempedulikan akibat yang menanti. Yang penting dendamnya terlunas. Rasa sakit hatinya terlunas. Wania itu sememangnya telah nekad untuk menghabiskan riwayat Hasrul!

Hasrul menelan liur menghadapi situasi tersebut. Jantungnya berdegup laju. Wanita tersebut memerhati dengan pandangan tajam. Api yang bernyala terliang liuk di sapa angin membuatkan Hasrul menjadi tidak betah. Nyawanya di hujung tanduk!

“Kenapa ni? Apa yang awak cuba buat ni?”terketar-ketar Hasrul menyoal. Dia cemas.

“Kau jahat!”cemuh wanita tersebut keras. Nafasnya menderu.

Hasrul terkedu dengan tuduhan tersebut.

“Siapa awak? Saya tak pernah kenal awak.”tegas Hasrul.

Wanita tersebut memerhati Hasrul dengan nafas turun naik. Keadaannya serabut dan kusut.

“Kau telah tinggalkan aku! Sedangkan kau pernah berjanji yang kau akan sentiasa ada untuk aku!”bentak wanita itu lagi. Dia bersedia membaling pemetik api yang sedang bernyala tersebut.

“Tolong bawa bertenang. Saya tak pernah kenal awak. Siapa awak sebenarnya?”Hasrul cuba berlembut. Berkeras hanya akan membawa bencana. Orang ramai yang berada di sekeliling mula mengitari kawasan tersebut. Mereka tidak berani masuk campur.

“Kita pernah bersama! Tapi kau tinggalkan aku!”

Hasrul semakin hairan dengan kata-kata wanita tersebut.

“Maaf mungkin awak tersalah orang. Saya tak pernah kenal awak sebelum ni. Jujur saya cakap.”Hasrul menerangkan perkara yang sebenar.

Wanita itu menggeleng. Nafasnya sedikit mengendur.

“Kau tinggalkan aku! Kau tinggalkan aku di saat aku masih memerlukan kau. Saat aku sayangkan kau! Dan saat aku cintakan kau..”rintih wanita tersebut. Dia kelihatan sebak. Tetapi pemetik api masih tetap berada dalam genggaman.

Hasrul menarik nafas dan menghembus perlahan. Aroma yang terhasil daripada petrol yang menyaluti tubuh tidak diendahkan.

“Saya benar-benar tak faham dengan apa yang awak cakap ni. Kalau saya ada buat salah saya minta maaf. Tapi saya memang tak kenal awak.”jelas Hasrul.

Wanita itu tertunduk lemah. Air matanya jatuh setitis dua. Hasrul cuba mendekati untuk menenangkan wanita itu.

“Jangan dekat!”dia melarang keras sambil mengacukan pemetik api yang bernyala. Hasrul akur dan mundur beberapa tapak.

“Kenapa perlu awak tinggalkan saya Hasrul?”nada suaranya lemah dan mengendur. Air matanya jatuh setitis dua.

***

Sabrina merayapi wajah lelaki yang dikasihinya itu. Keputusan mendadak lelaki tersebut memutuskan pertunangan terasa meragut tangkai jantungnya. Hatinya terasa hancur berderai berkeping-keping. Cinta yang disulam sejak sekian lama akhirnya terputus di tengah jalan.

“Kenapa abang buat macam ni. Sayang masih cinta dan sayangkan abang. Sepenuh hati.”ujar Sabrina sambil memegang dadanya. Air matanya jatuh berlinang.

Rezal enggan melihat langsung wajah wanita yang pernah dicintainya itu. Dia hanya berpeluk tubuh sambil memandang ke arah hadapan.

“Maaf. Saya rasa kita tak serasi. Sebab tu saya tak boleh nak teruskan pertunangan ini.”jelas Rezal. Tiada lagi gelaran abang atau sayang menghiasi bibir.

Sabrina mengesat air mata. Tetapi tetap tidak berhenti. Sedaih yang bertakung di jiwa sukar untuk disingkirkan. Sabrina mencapai tangan tunangnya dan memegang erat.

“Abang tolong pandang sayang?”pinta Sabrina lembut.

“Cakap sajalah apa yang awak nak?”balas Rezal ego.

“Kita teruskan pertunangan ni?”Sabrina merayu walaupun harapan terasa tipis.

Rezal menggeleng.

“Saya minta maaf. Keputusan saya muktamad.”

“Saya merayu abang. Kalau abang nak sayang sembah kaki pun sayang sanggup buat. Asalkan abang tak putuskan pertunangan kita.”rayu Sabrina bersungguh-sungguh.

Rezal mengetap bibir. Rasa bersalah menghurungi diri tetapi sengaja dibunuh.

“Tolong hormati permintaan saya, Sabrina.”

“Tapi atas sebab apa abang perlu bertindak sampai begini sekali? Apa salah sayang?”soal Sabrina.

Rezal mengeluh.

“Awak tiada apa-apa salah. Cuma kita tak serasi. Itu sahaja.”gumam Rezal.

Sabrina mengeratkan lagi genggaman tangannya terhadap tangan Rezal. Dia memandang erat wajah Rezal meskipun lelaki itu langsung tidak berkalih kepadanya.

“Tiada langsung ke sekelumit rasa sayang abang terhadap saya? Mana pergi cinta yang selama ni abang ucapkan? Kenapa abang nak buang sayang begitu saja?”bertalu-talu soalan dilontarkan.

Rezal mengetap bibir.

“Maaf Sabrina. Rasa cinta dan sayang tu pernah hadir dulu tetapi kini tidak lagi.”lancar Rezal melafazkan ayat tersebut.

Kenyataan Rezal membuatkan Sabrina terpaku dan terdiam. Ibarat sebilah panah yang diluncur dari busur tepat menebak jantungnya. Terasa mati dan melumpuhkan. Air mata makin menggila menghujani. Rasa sayang yang disulam selama ini hanya tinggal kata-kata.

“Jadi cinta dan sayang kita selama ni?”soal Sabrina.

“Lupakan semua. Saya dah ada pengganti.”balas Rezal tanpa rasa bersalah.

Hancur berkeping-keping hati Sabrina. Dia menangis semahu-mahunya.

“Ini keputusan saya. Harap awak hormati. Kita berjumpa untuk kali terakhir hari ni. Saya minta maaf.”gumam Rezal. Selajur itu dia melangkah meninggalkan Sabrina keseorangan.

Sabrina meloyot dan jatuh tertunduk. Benar-benar kecewa dengan sikap Rezal yang meninggalkannya begitu sahaja. Tidak pernah menyangka perkara tersebut akan terjadi. Air mata terus mengalir. Biarlah ia mengalir andai itu penyembuh hati yang lara.

“Awak..”

Teguran tersebut membuatkan Sabrina mendongak. Dia mengesat air mata. Tetapi matanya masih merah berbekas tangisan. Lelaki tersebut menunduk dan menghulurkan sehelai tisu.

“Kesat air mata awak..”

Sabrina menyambut lambat-lambat. Lalu air mata yang mengalir dikesat menggunakan tisu tersebut. Dia tertunduk sayu.

“Saya perhati awak dari tadi. Tak wajar lelaki tadi tinggalkan awak.”

Sabrina hanya mendiamkan diri sahaja. Dia mengangkat wajah melihat lelaki yang sedang berada di hadapannya itu.

“Ini takdir untuk diri saya. Dia lelaki yang baik.”balas Sabrina masih membela Rezal.

Lelaki itu menghela nafas panjang.

“Seorang lelaki yang baik tidak akan menyakitkan hati wanita yang disayangi.”

“Saya lebih mengenali dia. Pasti ada sebab dia melakukan begitu.”tingkah Sabrina.

“Sebab apa? Sebab dia dah tak cinta dan sayangkan awak? Itu dipanggil sebab?”ujar lelaki itu.

Sabrina terdiam. Dia tertunduk.

“Saya minta maaf. Saya tiada niat. Cuma saya pelik mengapa lelaki itu boleh tinggalkan orang sebaik awak.”

“Mungkin salah saya jugak.”balas Sabrina.

Lelaki itu hanya tersenyum kemudian tertawa kecil.

“Rasa cinta kadangkala membuatkan kita buta untuk menilai seseorang.”

“Apa maksud awak?”tanya Sabrina.

Lelaki itu tersenyum lagi.

“Maaf saya bukan nak memperlekehkan awak. Tapi benar kata orang. Cinta jadi punca seseorang menjadi buta. Bukan buta mata tapi buta hati. Tidak nampak keburukan seseorang kerana terlampau menyayangi dia.”

Sabrina hanya mendiamkan diri. Entah setuju atau tidak dengan pendapat lelaki tersebut. Dia sendiri tidak tahu.

“Nama saya Hasrul..”lelaki itu memperkenal diri sambil mengunjuk tangan untuk bersalam.

Sabrina hanya memerhati huluran tersebut lalu tangannya diangkat perlahan-lahan.

“Nama saya Sabrina..”ucap Sabrina sebaik tangan mereka berdua bertaut.

***

“Kau hadir di saat aku memerlukan seseorang di samping ku.”gumam Sabrina dalam rintih tangis. Pemetik api yang masih bernyala tetap berada dalam genggaman.

“Maafkan kalau saya pernah sakitkan hati awak. Tapi saya memang benar-benar tak ingat semua tu. Bahkan saya tak pernah kenal awal pun.”ujar Hasrul bersungguh-sungguh.

“Tipu! Kau penipu Hasrul!”bentak Sabrina dalam esak tangis yang menggila.

Dia benar-benar kelihatan seperti seorang psiko yang ingin menghabiskan riwayat mangsanya. Emosinya bercampur baur. Tidak seiring dengan rasa di jiwa.

Hasrul menghempaskan keluhan berat. Ingatannya cuba diraih tetapi dia memang benar-benar tidak mengingati wanita tersebut. Tiada sepotong layar ingatan yang memaparkan kenangan dia bersama wanita yang dikenali sebagai Sabrina itu.

“Sabrina.. Saya minta maaf sekali lagi. Saya memang tak ingat langsung pasal awak.”ujar Hasrul lagi.

“Kau tinggalkan aku Hasrul. Sepertimana Rezal tinggalkan aku dahulu. Kau kejam!”bentak Sabrina dalam esak tangis yang menggila. Dia merintih semahu-mahunya.

***

Sejak daripada kejadian tersebut, hubungan mereka semakin hari semakin akrab. Jiwa parah Sabrina diubati dengan kehadiran Hasrul. Lelaki itu dianggap penyelamat kepada dirinya yang benar-benar terasa seolah-olah mati selepas ditinggalkan oleh Rezal begitu sahaja.

Hasrul yang banyak menitipkan kata-kata semangat kepada dirinya. Pada mulanya dia benar-benar menyimpan dendam terhadap Rezal tetapi nasihat yang diberikan oleh Hasrul telah menyedarkan Sabrina bahawa rasa dendam tidak akan membawa dirinya ke mana-mana. Hanya bakal menghancurkan dirinya sendiri kelak.

Perlahan-lahan Sabrina bangkit semula membina semula keyakinan diri yang hilang. Hasrul benar-benar datang tepat pada saat dia memerlukan seseorang di sampingnya.

“Dah lama awak sampai?”soal Hasrul lalu melabuhkan punggung di sebelah Sabrina.

“Tak lama jugak. Baru saja.”balas Sabrina.

Mereka berdua berada di tasik Putra. Itulah tempat lazim kedua-dua mereka menghabiskan masa.

Sabrina hanya duduk termenung. Melontarkan pandangan jauh ke arah hadapan. Dia mengelamun. Hasrul memetik jari lantas membuatkan Sabrina tersentak.

“Jauh awak termenung?”tegur Hasrul.

Sabrina tersenyum hambar.

“Saya cuma teringatkan kisah lalu..”gumam Sabrina.

Hasrul tertarik. Dia merenung wajah Sabrina.

“Kisah awak yang mana?”

“Saat saya ditinggalkan oleh Rezal dahulu..”balas Sabrina.

“Hmm.. Awak masih teringatkan dia?”Hasrul menduga.

Sabrina pantas menggeleng.

“Bukan begitu. Rasa cinta dan sayang pada Rezal saya dah buang jauh-jauh. Macam yang pernah awak cakap. Tak guna kita sayang pada orang yang tak hargai diri kita.”jelas Sabrina.

Hasrul mengangguk-angguk. “Habis apa yang awak fikirkan?”

Sabrina hanya termenung.

“Awak hadir saat saya perlukan seseorang untuk kembalikan semangat yang telah hilang.”kata Sabrina. Dia memandang erat wajah Hasrul.

Hasrul tersenyum hambar.

“Itu adalah suratan yang mempertemukan kita berdua dalam keadaan sebegitu.”ujar Hasrul.

“Saya pun tidak menyangka awak akan hadir dalam hidup saya. Beri kesan yang cukup besar kepada kehidupan saya. Saya tak tahu macam mana keadaan saya jika awak tak ada.”balas Sabrina. Dia menghempaskan sebuah keluhan.

Hasrul mencapai tangan Sabrina dan menggenggam erat.

“Saya akan sentiasa ada untuk awak Sabrina. Saya takkan pernah tinggalkan awak.”ucap Hasrul. Cahaya mentari yang terbenam terbias mewarnai suasana sekeliling.

Sabrina memandang wajah Hasrul. Rasa kasih menjalar di jiwanya kala ini.

“Terima kasih kerana ada untuk diri saya, Hasrul.”gumam Sabrina.

Hasrul hanya tersenyum. Genggaman tangan semakin erat.

***

“Kau mungkir janji tersebut Hasrul..”Sabrina merintih.

Hasrul meraup wajahnya. Kisah yang diceritakan Sabrina sememangnya dia langsung tidak mengingatinya. Tidak tersimpan di dalam memori ingatan. Hasrul mengeluh panjang.

“Apa yang awak ceritakan saya benar-benar tak ingat. Setahu saya, saya memang tidak kenali awak. Saya jujur Sabrina.”jelas Hasrul bersungguh.

Sabrina menggeleng lemah. Pemetik api masih tergenggam kemas di tangan. Salah seorang pengunjung cuba masuk campur tetapi pantas Sabrina mengugut untuk membunuh Hasrul membuatkan lelaki itu terpaksa mengalah. Dia menghubungi pihak polis.

“Kau mungkir janji Hasrul..”ulang Sabrina lagi.

“Cuba jelaskan saya apa sebenarnya yang berlaku. Saya masih tidak faham.”ujar Hasrul.

“Kau sepatutnya sentiasa ada untuk aku!”rintih Sabrina.

***

Hasrul menangkap beberapa keping gambar. Sabrina membega-begakan wajahnya. Dia kelihatan riang sekali. Hasrul senang melihat senyuman bergayut di bibir Sabrina.

“Saya suka tengok awak tersenyum begini.”ucap Hasrul. Sekeping gambar lagi ditangkap.

Sabrina tersenyum. Angin berhembus lembut. Rambutnya terbuai-buai. Wajahnya yang cerah sedikit merah dipanah oleh mentari petang.

“Saya mana boleh sedih kalau tengah berada dengan awak. Sebab awak akan sentiasa cuba gembirakan hati saya.”ujar Sabrina. Dia tersenyum.

“Pandai je awak ni..”Hasrul cuba menidakkan.

“Betul lar saya cakap. Saya bertuah sebab kenal awak.”ujar Sabrina lagi.

Hasrul tersenyum. Kemudian dia menunduk dan mengutip beberapa kuntum bunga berwana ungu yang gugur di atas tanah.

“Awak buat apa tu?”soal Sabrina ingin tahu. Keningnya berkerut.

Hasrul tidak menjawab. Dia kelihatan sibuk membuat sesuatu. Tidak lama kemudian Hasrul berkalih. Tangannya didepakan menunjuk ke arah gubahan bunga yang dilakukan olehnya.

“Sabrina dan Hasrul..”bisik Sabrina membaca gubahan yang dilakukan Hasrul. Lantas dia tersenyum.

“Awak ni ada je nak buat saya tersenyum..”kata Sabrina.

Hasrul melabuhkan punggung di sebelah Sabrina.

“Awak pejamkan mata boleh?”

Sabrina teragak-agak dan dia akur. Hasrul mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarung ke jari manis Sabrina di sebelah kanan. Sabrina tersentak dan membuka matanya.

“Apa ni awak?”

Hasrul menatap wajah Sabrina.

“Tiada kata yang dapat terluah untuk menggambarkan betapa saya cintakan awak Sabrina.”ucap Hasrul ikhlas.

Sabrina terkedu. Tidak percaya dengan lafaz yang didengari. Kemudian dia tertunduk. Terharu dengan luahan rasa Hasrul.

“Saya turut cintakan awak Hasrul..”balas Sabrina.

Hasrul menggenggam erat tangan Sabrina. Kemudian wajah Sabrina dielus lembut.

“Awak kenangan terindah dalam hidup saya.”gumam Hasrul.

Sabrina mengukir senyuman. Air mata terharu meleleh membasahi pipinya.

***

“Tolong serahkan diri awak!”

Beberapa anggota polis mula menyerbu dan mengepung kawasan tersebut. Unit anggota dikerah. Mereka berwaspada dengan keadaan tersebut. Senjata yang tersemat di pinggang masih belum dikeluarkan. Tetapi mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan alatan tersebut jika keadaan benar-benar terdesak.

Sabrina tidak mengendahkan arahan tersebut. Dia berdiri sambil menghala pemetik api yang bernyala ke arah Hasrul.

“Cinta kau hanyalah palsu semata-mata.”rintih Sabrina.

Hasrul menelan liurnya. Kemudian dia menghela nafas berat. Dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi cara untuk meyakinkan Sabrina bahawa dia benar-benar tidak mengenali wanita itu.

“Sabrina.. Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Saya memang tak kenal awak Sabrina. Saya tak ingat apa pun tentang kita macam mana awak cerita tadi. Cuma satu saja yang saya pinta, andai benar saya telah sakitkan hati awak. Saya benar-benar minta maaf. Mungkin itu bukan kemahuan saya.”ujar Hasrul.

“Saya tak boleh hidup tanpa awak Hasrul. Mengapa awak tergamak tinggalkan saya saat saya benar-benar yakin awak cinta saya yang sebenar?”soal Sabrina. Emosinya kelihatan sedikit stabil berbanding tadi.

Hasrul menarik nafas dan menghembus perlahan. Tubuhnya terasa melekit dengan curahan petrol tadi yang mulai mengering. Anggota polis dan orang ramai memerhati ‘drama’ yang sedang berlaku itu.

“Sabrina..”panggil Hasrul perlahan.

“Hmm..”

“Beri saya sebab kenapa perlu saya tinggalkan manusia seindah awak dari hidup saya?”pinta Hasrul.

Sabrina mengetap bibir. Kemudian dia menangis lagi.

***

Sabrina puas mencari kehilangan Hasrul. Lelaki itu tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan. Dia benar-benar buntu dengan kehilangan Hasrul. Setiap panggilan dan mesej tidak berjawab. Hatinya benar-benar sebal dengan ketiadaan Hasrul secara tiba-tiba.

Picitan hon di luar umah mengejutkan Sabrina. Dia berlalu keluar dan melihat posmen sedang meletak surat di dalam peti sebelum terus berlalu. Sabrina bergegas menuju ke peti surat. Satu surat berada di dalam peti tersebut. Sabrina mengambil dan mengoyak untuk melihat isi kandungan surat tersebut. Sambil itu dia berjalan menuju masuk semula ke dalam rumah.

Matanya memerhati dada surat. Setiap bait tulisan dibacanya.

Sayangku Sabrina..

Maaf andai awak tercari-cari akan kehilangan saya. Saya terpaksa pergi jauh daripada hidup awak. Ini bukan kerelaan saya. Ada sebab yang saya tak dapat ceritakan.

Jika awak yakin dengan ketentuan jodoh, harap awak pasrah menerimanya. Ini adalah sebaik-baik cara. Saya tahu awak pasti kecewa dengan sikap saya tetapi apakan daya. Saya tidak mampu mengubah segalanya.

Hanya ucapan maaf yang mampu saya nukilkan..

Awak akan tetap jadi kenangan paling indah dalam hidup saya..

Sebaik tulisan tersebut berakhir, Sabrina menangis dan meraung semahu-mahunya. Dia ditinggalkan untuk kali kedua. Kecewa yang bukan kepalang. Sukar untuk menerima hakikat yang dialami sekarang ini.

Barang-barang yang berada di atas meja ditolak berselerakan jatuh ke lantai. Hatinya hancur berderai sama sekali. Lelaki yang dianggapnya sebagai penyelamat menghancurkan perasaannya lebih parah lagi. Sabrina menyembamkan wajah ke atas sofa. Dia menangis teresak-esak. Hasrul telah jauh dari dirinya.

“Andai aku dapat kembali ke masa lalu sebelum kita bertemu. Aku akan bunuh kau Hasrul!”jerit Sabrina dalam esak tangis dan raungan yang menggila.

***

“..permintaan aku telah dikabulkan. Jadi aku kembali untuk menghapus kau dari menjadi sebahagian daripada kenangan hidupku.”ujar Sabrina.

Hasrul telah jelas sekarang dengan situasi yang dialaminya itu. Dia memandang wajah Sabrina.

“Jadi awak datang daripada masa hadapan untuk membunuh saya?”soal Hasrul inginkan kepastian.

Sabrina mengangguk.

“Kau tak tahu betapa tersiksanya aku. Lebih baik aku hapuskan kau daripada menanggung derita yang bakal berlaku pada masa hadapan dan sepanjang hayat aku.”

Hasrul mengeluh berat.

“Maafkan saya atas kesalahan yang belum saya buat itu. Tapi percayalah pasti ada sebab saya melakukannya. Saya tak akan tergamak menyakiti seorang wanita yang setulus dan sebaik awak, Sabrina.”ujar Hasrul.

Sabrina mengesat air matanya. Pemetik api dihalakan tepat ke arah Hasrul.

“Maaf.. Saya terpaksa melakukannya Hasrul..”

Serentak itu, pemetik api yang masih bernyala di lemparkan ke tubuh Hasrul. Beberapa das tembakan dilepaskan tepat ke tubuh Sabrina oleh anggota polis. Sementara pemetik api terus melayang menghampiri tubuh Hasrul. Hasrul hanya menanti dengan debaran yang sangat melonjak. Dia menelan liur berulang kali. Matanya dipejamkan erat.

Tetapi selang beberapa minit, tiada apa-apa yang berlaku. Hasrul membuka matanya semula. Keadaan sekeliling telah berubah. Kembali seperti asal dan sediakala. Tiada anggota polis mahupun orang ramai mengerumuni kawasan tersebut. Hasrul terpisat-pisat. Dia buntu dengan apa sebenarnya yang telah terjadi. Adakah dia bermimpi? Tetapi peristiwa tadi dirasakan benar-benar berlaku.

Hasrul menghela nafas berat. Dia berasakan sesuatu berada dalam genggamannya. Sebaik dibuka, satu pemetik api terserlah. Tidak susah untuk Hasrul mengecam pemetik api tersebut. Ia adalah kepunyaan Sabrina. Hasrul mengeluh. Sememangnya peristiwa tadi benar-benar terjadi.

Hasrul bangun daripada kerusi yang dia sedang duduk. Tidak semena-mena dia batuk. Batuk berulang kali. Hasrul menekupkan mulut. Ternyata batuknya berdarah! Hasrul mengesat darah yang berada di telapak tangan tersebut. Dia mulai mengetahui punca dia bakal meninggalkan Sabrina pada masa hadapan.

Lantas dia berjalan. Tiba-tiba, tidak jauh daripada kawasana dia berada kelihatan seorang wanita sedang bersembang dengan seorang lelaki. Butir-butir percakapan mereka jelas didengari. Ternyata mereka bukan berbual kosong. Lelaki itu telah meninggalkan wanita tersebut. Sebaik lelaki itu berlalu, wanita itu jatuh terduduk dan menangis teresak-esak.

Hasrul berjalan melintasi wanita tersebut. Sabrina dilihatnya tertunduk sedang menangis teresak-esak. Niat di hati ingin menegur tetapi dipendamkan. Dia tidak mahu kehadirannya akan membuatkan Sabrina lebih kecewa pada masa akan datang. Dia hanya melintasi Sabrina dengan rasa simpati yang menggunung. Sebaik menjauh, Hasrul berkalih sekilas. Dia berasa bersalah meninggalkan Sabrina dalam keadaan sebegitu tetapi dia terpaksa. Lantas Hasrul terus berlalu. Lipatan sejarah masa hadapan dia bersama Sabrina pantas berputar dan terus lenyap. Mereka tidak mengenali lagi antara satu sama lain pada masa itu dan pada masa akan datang.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.