HANTU ASKAR
JEPUN
Buat pertama kali dalam hidupnya, Salmah melihat
bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di hadapan
matanya. Terselit rasa kagum melihat reka bentuk bangunan tersebut yang cukup
canggih, cantik dan moden.
Matanya
merayapi keseluruhan bangunan tersebut sehingga ke puncak. Terasa lenguh sebaik
lehernya mendongak kerana cuba melihat puncak menara tersebut. Bagi seorang
gadis kampung sepertinya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala
Lumpur pemandangan tersebut terasa sangat mengujakan.
‘Kalau mak dan abah ada mesti lagi seronok!’bisik
hati kecil Salmah.
Kini,
kakinya bertapak di hadapan pintu rumah sewa milik rakan sekampungnya, Hanna.
Kedatangan dia ke Kuala Lumpur adalah hasil nasihat Hanna yang mengatakan di
situ adalah lubuk duit. Peluang pekerjaan terbuka di mana-mana sahaja. Malahan
Salmah juga tergiur melihat kemewahan yang dimiliki Hanna. Berkereta mewah,
memakai telefon bimbit canggih, berpakaian serba cantik dan berjenama dan sentiasa
mengenakan minyak wangi yang mahal.
Salmah
terlalu mengagumi rakannya itu walhal dahulu mereka adalah setaraf. Tetapi kini
wanita itu telah jauh ke hadapan berbanding dirinya. Setiap kali pulang ke
kampung, pasti penduduk akan bercerita tentang kejayaan Hanna yang kini hidup
senang lenang. Begitu juga dengan ibu dan ayah Hanna yang turut menumpang
kesenangan anak tunggalnya itu.
Pada
mulanya, ibu dan ayahnya enggan merelakan pemergiannya ke Kuala Lumpur. Puas
dia berusaha meyakini kedua-dua orang tuanya itu. Bahkan Hanna juga turut
membantu. Puas memujuk akhirnya ibu dan ayah Salmah bersetuju untuk melepaskan
anaknya itu merantau di negeri orang meskipun hati terasa berat untuk
melepaskannya.
Pelbagai
nasihat telah dititipkan kepada Salmah sebelum dia berangkat. Yang paling
ditekan oleh ibu dan bapanya adalah supaya menjaga maruah diri dan keluarga.
Biar kita hilang wang ringgit asalkan kita tidak hilang maruah diri.
Sebaik
pintu rumah terbuka, Salmah mencecahkan kaki melangkah masuk. Matanya terbuntang
luas melihat kemewahan di dalam rumah tersebut. Dia benar-benar terpegun. Set perabot
mewah, televisyen LCD berserta set home
teater, hiasan dalaman yang cantik dan segala-galanya cukup lengkap dan
sempurna. Jauh berbeza berbanding rumahnya di kampung. Rumah yang dimiliki
Hanna jauh lebih luas meskipun hanya rumah flat, fikir Salmah sendirian.
“Besarnya
rumah kau Hanna. Dekat K.L memang rumah flat besar ni ke?”tanya Salmah
kebingungan. Matanya mengitari kawasan dalaman rumah. Lalu melabuhkan punggung
di atas. Terasa sofa tersebut cukup lembut dan empuk.
Hanna
tergelak kecil. “Ini bukan rumah flat lah Salmah. Ini yang dinamakan
kondominium.”terang Hanna sambil menggeleng melihat Salmah yang tidak tahu
apa-apa tentang dunia luar. Sama seperti dirinya sewaktu pertama kali menjejak
kaki ke Kuala Lumpur.
Salmah
yang tidak tahu menahu hanya mendiamkan diri. Matanya masih merayapi
keseluruhan rumah Hanna. Dia benar-benar mengagumi rumah yang dimiliki Hanna
itu. Dalam hati kecilnya mula memasang tekad untuk memilik rumah sebegitu jika
telah memiliki duit yang banyak kelak.
“Kau
tinggal sorang ke dalam rumah sebesar ni?”soal Salmah.
Hanna
merebahkan diri di atas sofa. Tudung yang dipakai dilonggarkan dan dibuka.
Tangannya mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Salmah
terpukau melihat siaran televisyen tersebut yang cukup jelas dan real.
“Aku
tinggal dengan kawan aku. Mereka berdua menyewa dekat sini. Tak sanggup aku
tinggal sorang-sorang. Mati kebosanan jawabnya.”jawab Hanna. Matanya tertancap
di kaca televisyen.
“Mana
kawan-kawan kau tu? Boleh jugak aku nak kenal-kenal.”ujar Salmah.
“Kejap
aku panggil. Tina! Rita!”laung Hanna
memanggil nama rakan-rakannya.
Tidak
lama kemudian, Tina dan Rita muncul. Mereka menyambut mesra kedatangan Salmah.
Mereka sangat ramah dan melayan Salmah dengan baik. Ternyata tanggapan awal
Salmah terhadap penduduk Kuala Lumpur berubah. Pada mulanya dia menganggap
kebanyakkan orang bandar adalah sombong tetapi ternyata apa yang difikirnya itu
berbeza.
“Kami
dulu pun macam kau jugak. First time
datang K.L memang canggung. Tapi lama-lama okaylah. Macam kawan kau ni.”ujar
Rita sambil melirik ke arah Hanna sambil tersenyum simpul.
Salmah
hanya tersenyum-senyum kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Rita.
“Nama
asal korang berdua Rita dan Tina ke?”tanya Salmah bersungguh-sungguh.
Serentak
itu tawa terhambur daripada mereka bertiga.
“Hidup
dekat K.L ni nama kena vogue! Nama
asal aku Sarimah tapi nak glamour punya pasal aku guna nama Rita. Tina ni pulak
nama asal Kartina. Dah macam nama indon pun ada.”jelas Rita. Selajur itu mereka
tertawa lagi. Salmah turut tertawa melihat keriangan mereka.
“Kau
pun patut tukar nama jugak. Mulai hari ni kami panggil kau Sal. Hmm.. Sedap
nama tu.”puji Tina sebaik memberi nama baru kepada Salmah.
“Kau
patut belajar daripada kawan baik kau ni. Banyak yang kau tak tahu lagi dunia
Kuala Lumpur. Kami pun banyak belajar dari dia.”sanggah Rita.
Salmah
hanya tersenyum sambil melihat sekilas ke arah Hanna. Kekagumannya terhadap Hanna
semakin menggunung. Hanna mengajak Salmah untuk menunjuk bilik baru yang bakal
dihuninya.
“Kau
mandi dan rehat dulu. Nanti malam kita keluar makan.”pesan Hanna sebelum
berlalu pergi.
Salmah
akur lalu mengunci pintu bilik. Di dalam bilik tersebut segalanya lengkap
tersedia. Salmah bersyukur dikurniakan rakan sebaik itu. Bahkan dia juga tidak
dikenakan sewa memandangkan Salmah adalah rakan sekampungnya. Salmah berbaring
di atas katil empuk tersebut. Fikirannya menerawang jauh memikirkan tentang
dirinya dan masa depannya.
Malam tersebut mereka berempat keluar makan di kedai
makan berhampiran. Salmah sedikit terperanjat melihat penampilan Hanna yang
jauh berbeza berbanding semasa dia berada di kampung dan awal pagi tadi. 360
darjah sangat berbeza. Salmah ingin menegur tetapi sengaja didiamkannya
terlebih dahulu. Bahkan kedua-dua rakan Hanna juga tidak mengenakan tudung dan
mengenakan pakaian yang agak sendat. Manakala Salmah selesa dengan berbaju
kurung dan bertudung litup.
Sebaik
tiba di kedai makan dan memesan makanan, mereka berbual kosong. Hanya Salmah
agak mendiamkan diri. Dia agak kurang senang apabila dirinya dirasakan menjadi
perhatian pelanggan di kedai makan itu. Mungkin kerana hanya dia yang
berpakaian agak berbeza berbanding rakan-rakannya itu. Sikap Salmah yang agak
berlainan mengundang rasa hairan Hanna.
“Kenapa
kau diam saja ni? Tak sihat ke?”tanya Hanna.
Salmah
menggeleng lemah. “Err. Aku nak tanya kau sikit boleh?”
Hanna
mengangguk. Dia memandang wajah Salmah erat. Soalan yang bakal terpacul dari
bibir Salmah dapat diduga olehnya
“Kenapa
kau tak pakai tudung? Rambut tu kan aurat. Lagi pulak kau pakai baju agak ketat
lar Hanna. Kalau mak dan ayah kau tahu mesti diorang marah.”tegur Salmah
ikhlas.
Ternyata
tekaannya tidak meleset. Hanna hanya tersenyum simpul sambil dituruti oleh
rakan-rakannya.
“Sal,
mari sini aku nak terang dekat kau. Kita sekarang ni bukan lagi hidup dekat
kampung tau. Kita bukan lagi macam zaman budak-budak dulu. Kita sekarang berada
di bandar dan zaman yang serba serbi moden. Jadi kita pun kena ikut sama moden.
Kalau tak kita akan ketinggalan..”ujar Hanna.
“Tapi..
err..”
Belum
sempat Salmah berkata, Rita memintas.
“Betul
cakap Hanna tu, Sal. Kalau kau nak jadi macam kami, kau kena berubah. Kami dulu
pun macam kau jugak. Tapi last-last
kami jugak yang rugi. Itu yang kami berubah. Dan untungnya kami yang dapat.
Peluang pekerjaan lebih mudah dapat kalau kau tak bertudung dan berpakaian ikut
peredaran zaman. Berada di Kuala Lumpur ni, pemikiran kau kena berubah. Bukan
lagi macam dekat kampung dulu.”
Salmah
terdiam. Apa yang dikatakan oleh Hanna dan Rita jelas bertentang dengan
prinsipnya.
“Aku
tahu mula-mula kau akan berasa bersalah. But
trust me! Lama-lama kau akan terbiasa dengan semua ni. Bergaul bebas dan
bersuka ria. Hidup cuma sekali. Jadi kita enjoy puas-puas dulu.”tokok Tina
pula.
Lantas
mereka bertiga tertawa. Hanna menepuk-nepuk bahu Salmah. Dia mengerti rakannya
itu masih tidak mengerti dengan gelora kehidupan yang sebenar. Dia percaya
lambat laun Salmah pasti akan menjadi seperti dirinya juga. Akhirnya
masing-masing menikmati makan malam yang dibelanja oleh Hanna itu.
“Sal, mari sini
aku nak terang dekat kau. Kita sekarang ni bukan lagi hidup dekat kampung tau.
Kita bukan lagi macam zaman budak-budak dulu. Kita sekarang berada di bandar
dan zaman yang serba serbi moden. Jadi kita pun kena ikut sama moden. Kalau tak
kita akan ketinggalan..”
“Tapi.. err..”
“Betul cakap Hanna tu, Sal. Kalau kau nak
jadi macam kami, kau kena berubah. Kami dulu pun macam kau jugak. Tapi
last-last kami jugak yang rugi. Itu yang kami berubah. Dan untungnya kami yang
dapat. Peluang pekerjaan lebih mudah dapat kalau kau tak bertudung dan
berpakaian ikut peredaran zaman. Berada di Kuala Lumpur ni, pemikiran kau kena
berubah. Bukan lagi macam dekat kampung dulu.”
“Aku tahu mula-mula kau akan berasa
bersalah. But trust me! Lama-lama kau akan terbiasa dengan semua ni. Bergaul
bebas dan bersuka ria. Hidup cuma sekali. Jadi kita enjoy puas-puas dulu.”
Kata-kata
Hanna, Rita dan Tina terasa menendang-nendang kotak fikirannya. Yang jelas dia
sangat tidak bersetuju dengan kata-kata rakan-rakannya itu. Salmah terkilan
melihat Hanna yang kelihatan telah berubah tidak seperti yang dikenalinya
dahulu. Semuanya hanya demi mengikut peredaran zaman dan demi mengejar
kekayaan.
Salmah
menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hanya demi mengejar dunia manusia sanggup
mengorbankan akhirat. Salmah mengeluh. Dia mengetap bibir. Tidak semena-mena
pesanan dan nasihat ibu bapanya terngiang-ngiang di telinga. Wajah ibu bapanya
muncul silih berganti. Salmah nekad untuk tidak mengikut jejak langkah
ketiga-tiga rakannya itu. Biarlah apa pun yang terjadi, dia tetap tidak akan
berubah. Salmah membulat tekad. Dalam masa yang sama, dia berharap dan berdoa
agar mereka sedar dan kembali ke jalan yang diredhai ALLAH.