Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 13 - HANTU ASKAR JEPUN

Hampir dua minggu Salmah bekerja di syarikat tersebut. Semakin hari dia semakin serasi dengan suasana bekerja di ofis itu. Para pekerjanya cukup ramah dan mesra. Masing-masing tidak lokek dalam mengeluarkan ilmu yang dimiliki dalam meningkatkan mutu kerja Salmah.

Perkara itu yang sewajarnya dicontohi oleh mana-mana pekerja di dalam mana-mana organisasi. Sikap saling menindas atau tikam belakang bukan sahaja mampu menjatuhkan sesebuah syarikat bahkan mampu menjahanamkan sesebuah empayar yang telah lama bertapak.

Dalam masa tersebut, Salmah masih dibelenggu dengan sikap rakan-rakan serumahnya yang dilihat semakin menjadi-jadi. Hanna jarang pulang ke rumah. Begitu juga keadaannya dengan Rita dan Tina. Kadangkala mereka pulang dalam keadaan mabuk. Pelbagai nasihat telah dicurahkan namun keadaan mereka tetap sama dan tidak berubah. Adakalanya dia berasa seperti ingin keluar daripada rumah tersebut dan menyewa di tempat lain.

Tetapi dia masih hijau di Kuala Lumpur ini. Bimbang jika tersalah langkah diri yang akan binasa. Bahkan dia berasa sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing mereka pulang semula ke pangkal jalan.

Salmah tekun melakukan tugasnya. Wajahnya serius tanpa segarit senyuman. Timbunan kerja tersebut perlu disiapkan segera kerana deadlinesemakin hampir. Tempoh waktu yang singkat yang diberikan oleh pihak atasan kepadanya dalam menyiapkan kerja tersebut membuatkan Salmah sedikit tertekan. Tetapi dia bertindak bijak dalam mengalirkan tekanan tersebut sebagai satu cabaran kepada dirinya.

Jam telah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Tetapi Salmah masih tetap duduk di kerusinya sambil menyiapkan kerja. Waktu yang berjalan tidak disedarinya. Dia begitu tekun dan bersungguh-sungguh untuk menyiapkan kerja tersebut.

“Belum siap kerja lagi ke?”tegur Irah.

Wanita itu kelihatan telah siap melakukan kerja. Dia sibuk mengoleskan mekap ke wajah sambil berkaca di cermin bedak kompaknya.

“Belum lagi.. Banyak lagi kerja yang aku kena settle ni.”balas Salmah. Dia hanya melihat ke arah Irah sekilas sebelum menyambung semula kerjanya.

“Rajin betul kau kerja kan? Aku rasa tak lama gaji kau boleh naik ni.”puji Irah bersungguh-sungguh tanpa ada niat terselindung.

Salmah hanya tersenyum menerima pujian tersebut. Bukan gaji lumayan yang diharapkn sebaliknya tanggungjawab yang digalas perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin. Dia tidak mahu menerima gaji pada kadar kerja yang tidak bermutu. Salmah berasa berdosa dengan keadaan seperti itu.

“Sakan kau bersolek padahal dah nak balik rumah. Nak keluar dating ke?”usik Salmah.

Irah hanya tersengih mempamerkan sebaris giginya yang putih.

“Bukan selalu pun. Hari ni dia ajak keluar jumpa. Lagi pun dah lama sangat tak berjumpa dengan dia.”balas Irah.

Salmah terangguk-angguk. Dia yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah tunang Irah. Salmah mengerti tentang hal tersebut kerana telah beberapa kali tunang Irah menjemput rakannya di ofis ini.

“Okaylah, Salmah. Aku balik dahulu. Kau tu jangan kerja lewat sangat. Bahaya. Kalau banyak sangat kerja better kau bawa balik je siapkan dekat rumah.”sempat Irah menitipkan pesanan sebelum dia melangkah keluar daripada ofis tersebut.

Salmah hanya menghantar hayunan kaki Irah sehinggalah kelibat wanita itu lenyap daripada pandangan mata. Lalu, Salmah menyambung semula kerjanya.



Jam telah menunjukkan hampir pukul 7.00 malam. Pengawal keselamatan yang baru bertugas di situ menjalankan rondaan. Adalah menjadi tugas pengawal keselamatan di situ bagi memastikan semua pekerja pulang terlebih dahulu mengunci pintu utama bangunan tersebut. Setiap tingkat diperiksanya secara teliti. Lazimnya jika ada pekerja yang pulang lewat, mereka akan menghubungi pondok pengawal bagi memaklumkan perkara tersebut.

Lif berhenti di tingkat 5. Azmir yang bertugas menggantikan Pak Samad pada malam tersebut melangkah keluar daripada lif. Dia bersiul-siul sambil memusing-musingkan cota di tangan. Dia yang baru dua hari bekerja di situ tidak begitu faham dengan selok belok dan rahsia yang tersimpan di dalam bangunan tersebut.

“Belum pulang kerja lagi ke cik?”

Teguran tersebut membuatkan Salmah tersentak. Tumpuannya terganggu. Dia mengalihkan pandangan ke arah pintu masuk pejabat itu. Kelihatan seorang pengawal keselamatan sedang berdiri sambil memegang cota.

“Err.. Saya balik kerja lewat sikit abang. Maybe dalam pukul 9.00 malam.”jawab Salmah.

Bukannya dia tidak teringat tentang nasihat dan pesanan yang dititipkan padanya tetapi Salmah terpaksa demi menyiapkan kerja yang bertimbun. Kalau dibawa pulang ke rumah belum tentu dia boleh menyiapkan kerja tersebut. Lagipun apa yang perlu ditakutkan kerana bagi Salmah tiada bahaya yang berada di situ. Seluruh bangunan tersebut dilengkapi dengam CCTV bahkan terdapat pengawal yang menjaganya.

Azmir akur lalu melaporkan perkara tersebut kepada rakannya yang menunggu di pondok pengawal dengan menggunakan walkie talkie. Setelah itu dia terus berlalu meninggalkan Salmah berseorangan.

Azmir berjalan lagi meronda kawasan sekeliling sebelum terus berlalu menuju ke tingkat 6. Di tingkat 6, kelihatan kebanyakan pekerja telah pulang. Suasana tingkat tersebut sunyi dan sepi. Yang terdengar hanyalah derapan tapak kasutnya sahaja. Seperti biasa, Azmir berjalan sambil bersiul-siul menjalankan rondaan.

Namun siulan yang tadinya kuat mula mengendur dan terus terhenti. Dia mendengar seolah-olah terdapat derapan tapak kasut di belakangnya. Azmir terhenti melangkah. Dia berkalih tetapi kosong. Enggan mengusutkan fikiran Azmir meneruskan perjalanannya. Tetapi sekali lagi dia dikejutkan dengan perkara yang sama.

Hatinya tidak semena-mena diburu dengan perasaan yang tidak enak. Azmir perlahan-lahan memusingkan badannya ke arah belakang. Darahnya terasa berderau. Di belakangnya kini berdiri seorang tentera Jepun lengkap berpakaian uniform sedang merenung ke arahnya. Matanya hitam dan tidak terdapat latar putih sama sekali. Wajahnya pucat membiru seolah-olah tidak berdarah. Tentera Jepun tersebut menderam dengan suara yang garau dan menakutkan.

Azmir terundur-undur ke belakang. Dia menelan liur berulang kali. Cota yang dipegang digenggam kemas. Hanya itu satu-satunya senjata yang dimiliki olehnya. Peluh mula terasa membasahi dahi. Dia tahu di hadapannya itu bukan seorang manusia. Azmir berpusing untuk berlari. Namun tindakannya terhenti. Di hadapannya kini pula sedang berdiri seorang lagi tentera Jepun yang lengkap memakai uniform.

Azmir mula berasa cemas. Tiada ruang untuk dia melarikan diri. Bahagian belakang dan hadapannya telah dikepung. Azmir terpusing-pusing cuba melarikan diri. Rasa cemas dan takut saling berbaur. Tentera Jepun itu menggenggam kemas pedang samurai yang tersisip di pinggang. Pedang dicabut dari sarungnya. Azmir menelan liur. Dengan satu tempikan yang kuat dan garau, pedang itu diangkat tinggi dan dilibas pantas ke leher Azmir.

Kepala Azmir bercerai daripada badannya. Darah memancut keluar daripada batang lehernya. Kepala Azmir tergolek di atas lantai dengan mata yang terbeliak dan lidah yang terjulur keluar.

Badannya pula perlahan-lahan jatuh rebah dengan darah menyimbah pekat. Tentera Jepun itu mencapai kepala Azmir dengan menggenggam kuat di bahagian rambut. Seorang lagi, memegang badan Azmir di bahagian kaki dan mengheretnya.

Salmah terhenti melakukan kerja. Baru sebentar tadi dia terdengar seolah-olah suara lelaki yang sedang menjerit dengan jeritan yang kuat dan kasar. Jeritan itu jelas hinggap di cuping telinganya. Salmah menolak kerusinya ke belakang lalu bangun. Dia melihat kawasan sekeliling. Tiada siapa yang berada di dalam pejabat tersebut melainkan hanyalah dirinya sahaja.

Dia berjalan meronda kawasan sekeliling. Mana tahu masih ada rakan sepejabat yang belum pulang bekerja. Tetapi sangkaannya meleset. Lantas Salmah berjalan menuju ke pintu masuk ofis tersebut.

Pintu tersebut ditolak sedikit ke luar. Dia menjengukkan kepala melihat ke arah luar. Tiada apa yang singgah di pandangan matanya melainkan suasana yang kelam dan suram.

Lantas, Salmah kembali ke tempat duduknya. Fokusnya terasa terganggu dengan bunyi jeritan tersebut. Salmah menarik nafas cuba menenangkan diri tetapi gagal. Jam telah menunjukkan pukul 8.00 minit malam.

Salmah bangun semula daripada kerusi lalu menuju ke pantri. Dia membancuh secawan Nescafe panas lalu kembali ke meja kerjanya. Salmah mencapai ganggang telefon lalu menghubungi Irah. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya kala ini.

Yatim menunggu Azmir di pondok pengawal. Puas dia cuba menghubungi rakan sekerjanya itu melalui walkie talkie tetapi tidak berjawab. Yatim merengus kasar. Mahu tidak mahu dia terpaksa meninggalkan pondok buat sementara untuk mencari rakannya itu.

Yatim melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Matanya mencari-cari Azmir di tingkat bawah tersebut tetapi tidak terlihat olehnya. Lantas, Yatim berlalu menuju ke lif. Punat ditekan dan dia menunggu pintu lif untuk terbuka. Lama menanti tetapi pintu lif masih belum terbuka. Yatim merengus kasar dan menghempas tangannya ke pintu lif tersebut dengan kuat sebelum berlalu menuju ke tangga.

Pintu yang menempatkan tangga di tolak dan Yatim melangkah masuk. Dia mendaki satu persatu anak tangga dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Sempat dia meronda setiap tingkat yang dilaluinya tetapi Azmir tidak jua kelihatan. Di tingkat 5, dia terlihat seorang pekerja masih tekun melakukan kerjanya di dalam ofis. Azmir berpatah balik menuju ke tangga dan berjalan menuju ke tingkat 6. Terasa begitu lelah apabila terpaksa mendaki tangga setinggi itu.

Yatim terperanjat apabila melihat cecair merah melatari lantai di kawasan tangga tingkat 6. Dia menunduk lalu mencalit cecair tersebut dan menghidunya. Ternyata ianya darah! Yatim memanggil nama Azmir tetapi tidak bersahut. Lantas dia mendaki tangga secepat mungkin. Jantungnya terasa berdebar.

Di muka pintu untuk masuk ke tingkat 6, Yatim terkejut sehingga jatuh terduduk. Di hadapannya kini, terlihat kepala Azmir dan tubuhnya yang telah bercerai. Tanpa menunggu masa Yatim bingkas bangun dan melarikan diri.

Ketika dia berlari menuruni tangga, ekor matanya dapat melihat dengan jelas ada sesuatu yang sedang mengejarnya dengan pantas. Yatim terasa lelah tetapi digagahkan jua. Dia tidak mahu mati seperti Azmir. Sebaik tiba di pintu utama, dia meluru keluar dan mengunci pintu tersebut.

Dia benar-benar takut. Bayangannya yang mengejarnya tadi sedang berdiri sambil memerhatinya. Pintu utama itu membatasi dirinya daripada keluar mendapatkan Yatim. Yatim sempat menoleh ke belakang. Anak matanya membesar tatkala melihat makhluk yang mengejarnya sebentar tadi adalah askar Jepun.

Yatim cepat-cepat mencapai motosikalnya lalu dihidupkan. Gear dipijak kasar dan pedal minyak dipulas sehabis mungkin. Dia tidak kisah lagi dengan kerjanya itu. Dia tidak pedulikan lagi pekerja yang masih berada dalam bangunan itu.

Yang penting sekarang adalah dirinya selamat. Diberi upah sejuta sekali pun, Yatim tidak mahu lagi bekerja di bangunan itu. Dia nekad. Nyawanya adalah jauh penting.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.