Hanif teraba-raba dalam kegelapan. Dia mencari
cahaya bagi dijadikan pedoman dalam kegelapan itu. Walaupun sukar tetapi
langkahan kaki tetap dihayun. Terus melangkah dan melangkah walaupun
bertatih-tatih. Hanif menelan liurnya. Terasa kesat dan perit melalui
kerongkong.
Hanif
cuba mengingati bagaimana cara dia boleh terdampar di kawasan begitu. Fikiran
dan minda dikerah sedaya upaya. Tetapi hampa. Tiada imej atau ingatan yang
hinggap melayang memutarkan kembali memori sebelum Hanif berada di kawasan gelap
tersebut. Hanif menarik nafas dan mengeluh. Keluhan yang kasar lagi keras.
Fikirannya terasa terbejat. Dia berkeluh kesah.
Langkahan
kaki tetap diteruskan. Akhirnya dia terhenti di satu sudut. Melepaskan lelah.
Dadanya berombak. Menghirup nafas bagi menstabilkan semula laluan pernafasan.
Setelah kembali stabil, Hanif berdiri tegak. Dia mengitari kawasan sekeliling.
Tetapi tiada apa yang terlihat di pandangan matanya. Melainkan kegelapan, hitam
dan kelam. Lantas Hanif menjerit meminta pertolongan. Jeritannya kedengaran
bergaung dan melantun-lantun seolah-olah dia kini berada di dalam sebuah gua
atau rumah kosong.
Mahu
tidak mahu, dia terpaksa jua meneruskan perjalanan tersebut. Dia tidak mahu
hanya berdiri di situ semata-mata. Tiba-tiba, kakinya tersepak sesuatu. Hanif
gagal mengawal imbangan diri dan lantas jatuh tertiarap. Dia mengerang
kesakitan sambil memegang kaki kanannya. Rahangnya diketap kuat bagi menahan
kesakitan tersebut.
Secara
tiba-tiba, kawasan yang tadinya gelap kini dilimpahi dengan cahaya. Cahayanya
hanyalah suram. Tetapi cukup untuk menjelaskan mata untuk melihat. Hanif
mendongakkan kepalanya. Rupa-rupanya cahaya tersebut datang daripada sinaran
bulan. Hanif bersyukur di dalam hatinya. Kesakitan yang dialami tadi kian lama
kian surut. Lantas Hanif berdiri semula sambil mengibas-ngibas baju dan
seluarnya bagi membebaskan habuk dan debu yang melekap.
Anak
matanya mulai membesar mengadaptasi cahaya yang terbias. Hanif melihat dan
mengitari kawasan sekeliling. Serta merta bola matanya membesar. Hanif menelan
liurnya berulang kali. Bulu romanya meremang. Rupa-rupanya dia berada di
tengah-tengah tanah perkuburan!
Hanif
terketar-ketar bertapak cuba mencari jalan keluar daripada kawasan perkuburan
itu. Tetapi di kiri, kanan, depan dan belakang seolah-olah tiada penghujungnya.
Tanah perkuburan itu seolah-olah terlalu luas dan besar dan Hanif terperangkap
di tengah-tengahnya. Peluh renik mulai memercik di dahi dan tubuhnya. Dia cuba
mengawal diri yang mulai menggigil lantaran gagal mengawal tahap keseraman yang
dialaminya kini. Liur ditelan kasar dan terasa pahit. Dia terlingas-lingas
mencari arah keluar.
Pokok-pokok
yang tumbuh meninggi di kawasan kubur tersebut kelihatan suram dan sangat
menyeramkan. Bunyi burung hantu yang bersahut-sahutan membuatkan Hanif berasa
tidak betah. Dia ingin segera keluar daripada kawasan itu. Dia tidak sanggup
lagi untuk bertahan walaupun sesaat di kawasan kubur itu. Di dalam fikirannya
kini hanya terbayang wajah ibu, ayah serta rakan-rakannya.
Tidak
semena-mena telinganya bergerak-gerak menangkap bunyi sesuatu di belakangnya.
Hanif separuh merungut di dalam hatinya memikirkan benda yang berada di
belakangnya kini. Bunyi tersebut semakin lama semakin kuat. Seolah-olah tanah
yang bergeser sesama sendiri. Perlahan-lahan Hanif memusingkan badannya.
Debaran jantung semakin kuat. Terasa seolah-olah ingin tercabut dari
tangkainya.
Mata
Hanif terbuntang luas sebaik melihat fenomena yang berlaku di hadapannya kini.
Beberapa buah kubur yang tadi tertimbus kemas telah terbongkar memuntahkan
isinya. Keranda reput yang telah bercerai-berai dan tanah saling bergaul. Bersepah
di atas permukaan kubur. Hanya satu yang berada di minda Hanif kala ini. Di
mana mayatnya??!!
Daripada
lubang kubur yang telah terdedah, kelihatan sepasang tangan sedang
terketar-ketar menggapai birai kubur. Hanif memerhati dengan jiwa yang merusuh
dan dibelasah dengan perasaan takut yang sangat hebat! Tidak lama, kelihatanlah
jasad yang reput mula keluar daripada lubang kubur tersebut. Cahaya yang
terbias tidak menyukarkan Hanif untuk melihat. Kelihatan dengan jelas
daging-daging yang gugur daripada badan dan wajah mayat itu sehingga
menampakkan tulang belulangnya. Hanif mula bertapak dan berundur setapak demi
setapak ke belakang apabila melihat lebih banyak mayat yang keluar daripada
kubur masing-masing.
Hanif
terundur-undur berlari. Cuba menjauhi diri daripada mayat-mayat hidup tersebut
yang kesemuanya kini sedang berjalan terketar-ketar menuju ke arahnya. Lantas,
Hanif menpercepatkan hayunan langkahnya. Dia ingin segera lari dan keluar dari
tanah kubur itu. Namun langkahannya terhenti tatkala kakinya terasa dipegang
sesuatu.
Hanif
lambat-lambat menghalakan pandangan. Seperti yang diduga, sepasang tangan mayat
hidup yang baru keluar dari kubur sedang menggenggam kemas pergelangan kakinya.
Hanif bergelut melepaskan diri. Beberapa sepakan dihalakan tepat ke wajah yang
hanya dihiasi dengan tengkorak semata-mata. Lantas genggaman tersebut terlepas
dan mayat tersebut terjatuh ke dalam lubang kubur semula. Tulangnya hancur
berkecai bertaburan. Namun amat mengejutkan apabila dalam sekelip mata
tulang-tulang tersebut bercantum semula dan membentuk mayat hidup tadi.
Hanif
terlopong melihat kejadian tersebut. Lantas dia berlari menjauhi mayat itu.
Sebaik pandangan diarahkan semula ke hadapan, satu susuk wajah yang rompong di
bahagian hidung dan mulut menerpa di hadapan muka Hanif. Hanif menjerit sekuat
hati lantaran hambatan kejutan yang terlampau. Lantas, tangannya digenggam dan
satu penumbuk dilancarkan ke wajah buruk tersebut. Sekuat hati dan sepenuh
tenaga.
“ARGHHHHH!!!””
Reykal meninjau-ninjau sekitar restoran tersebut.
Kelibat individu yang dicarinya tidak kelihatan. Ray Ban yang dipakai
ditanggalnya lalu tersangkut kemas di bahagian leher baju. Sesekali dia
menghembuskan nafas cuba meredakan suhu panas badannya.
Menaiki
motosikal dengan cuaca yang panas sebegitu bukan suatu keputusan yang bijak.
Tetapi dia tiada pilihan lain. Hendak meminjam kereta rakan serumahnya, Ilham
tetapi lelaki itu setiap masa tidak berada di rumah. Asyik sibuk dengan kerja
dan teman wanitanya. Reykal menghembus nafas kasar.
Reykal
memilih tempat duduk. Seorang pelayan tiba dan mengambil pesanan sebelum dia
berlalu. Selang beberapa minit, pelayan wanita itu tiba semula dengan meletakkan
segelas minuman. Senyuman mesra terukir di bibir sebagai satu tarikan kepada
setiap pelanggan yang hadir ke restoran.
Reykal
menyedut limau ais yang dipesannya tadi. Kesegaran air limau ais tersebut
membuatkan dirinya kembali bermaya. Reykal mengilaskan pandangan ke arah jam
yang terikat di tangan. Hampir setengah jam menanti wanita tersebut masih belum
kelihatan. Reykal menghembus nafas kasar.
Selang
beberapa minit, akhirnya wanita tersebut muncul. Wanita itu terus bertapak dan
duduk di hadapan Reykal. Senyuman manis bergayut di bibirnya. Reykal hanya
tersenyum hambar. Enggan lagi terpedaya dengan senyuman manis wanita itu.
Semuanya hanyalah dusta semata-mata. Kerana senyuman itu dia jatuh cinta dan
kerana senyuman itulah kini dia merana.
“Abang
dah makan?”lembut Ayu Emelda menyoal.
“Baru
sahaja sudah. Tunggu lama sangat tadi.”jawab Reykal acuh tidak acuh.
Ayu
Emelda tertawa kecil.
“Maaf
tadi Ayu meeting dengan bos. Tu yang
lambat sikit.” balas Ayu Emelda.
Reykal
mendengus.
‘Meeting ke dating!’gumamnya di dalam
hati.
Dia
telah benar-benar masak dengan perangai wanita yang telah dikenalinya hampir
setahun itu. Reykal terimbau kembali kenangan tatkala pertama kali dia bertemu
dengan wanita itu. Yang jelas dia bukan seperti Ayu Emelda yang dikenalinya
kini. Jauh berbeza baik dari segi penampilan dan juga sikap.
Pertama
kali dia mengenali wanita ini sewaktu mereka bersama-sama bekerja kilang.
Reykal yang banyak membantu wanita ini kerana mengenangkan Ayu Emelda masih
mentah dan tidak mempunyai banyak kenalan. Bahkan ibu bapanya juga baru sahaja
meninggal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Reykal
yang bertanggungjawab membawa wanita ini sampai ke tahapnya sekarang. Hidup
diselubungi kemewahan. Tetapi apa yang Reykal dapat kini? Dia hanya dibalas
dengan kecurangan Ayu Emelda. Itu pun setelah dia ternampak dengan mata
kepalanya sendiri.
“Kacang
lupakan kulit!”Reykal mendengus kasar.
“Apa
abang cakap tadi? Ayu kurang jelas.”ujar Ayu Emelda dengan wajah bingung.
“Aaaa..
Tak ada apa-apa.”tergugup gagap Reykal berdalih.
Ayu
Emelda hanya tersenyum. Dia menyapa lembut tangan Reykal dan menggenggam erat.
“Ayu
sebenarnya rindu sangat dekat abang. Dah lama kita tak berjumpa bukan?”
Reykal
memerhati tangannya yang bertaut dengan tangan Ayu Emelda. Teras jijik apabila
mengenangkan tangan wanita yang sama telah memegang lelaki lain selain
daripadanya. Reykal perlahan-lahan melepaskan tangan dari genggaman Ayu Emelda.
Ayu Emelda sedikit tersentak. Dia melihat wajah Reykal mencari penjelasan.
“Saya
ajak awak jumpa sebab ada perkara yang saya nak cakapkan.”
Ayu
Emelda sedikit berdebar menanti bicara yang bakal terluah daripada bibir teman
lelakinya itu. Jarang teman lelakinya itu bersikap sedemikian.
Reykal
menarik nafas dan menghembus berulang kali mengumpul kekuatan. Setelah
berasakan dirinya kuat untuk mengatakan perkara tersebut, akhirnya dia
meluahkan jua.
“Saya
nak putuskan hubungan kita , Ayu.”
Ayu
Emelda terkejut. Matanya terbuntang luas. Dia melihat wajah Reykal. Reykal
hanya menundukkan wajahnya. Enggan bertentang mata dengan wanita itu.
“Kenapa
tiba-tiba saja ni? Apa salah saya awak? Kenapa awak nak putuskan hubungan
kita?”
Taluan
soalan itu hanya dibiar tergantung tanpa jawapan. Reykal menunduk. Matanya
tertancap melihat lantai restoran. Membiarkan jiwanya bergaul dengan perasaan.
“Awak
jangan diam macam ni. Saya nak tahu apa salah saya pada awak? Kenapa awak nak
putuskan hubungan kita? Awak tahu kan betapa saya sayangkan awak.”rintih Ayu
Emelda.
‘Sayang? Boleh jalan lar dengan kau punya
sayang.’gumam Reykal geram di dalam hati.
“Atau
awak dah ada perempuan lain? Terus terang pada saya Reykal.”
Soalan
tersebut umpama sebilah panah yang beracun melekat di jantung. Cukup berbisa.
Mempersoalkan kesetiaan dirinya adalah kesilapan besar Ayu Emelda. Kesetiaan
Reykal pada Ayu Emelda tiada belah bahaginya. Kasih sayangnya pada wanita itu
melimpah ruah. Hanya wanita itu yang tidak reti menghargainya. Tetapi kini
kesetiaannya pula menjadi persoalan. Seolah-olah dia bersalah dalam hal ini.
Seolah-olah dia yang curang dan telah menggadai cinta yang dijulang selama ini.
“Saya
yang ada perempuan lain atau awak yang dah ada lelaki lain dalam hidup
awak?”Reykal bersuara akhirnya dengan nada suara yang tertahan.
Menahan
rasa sakit hati yang teramat. Matanya sempat mengerling sebentuk cincin yang
tersarung kemas di jari manis Ayu Emelda. Yang pasti cincin tersebut bukan
pemberian daripada dirinya.
Raut
wajah Ayu Emelda berubah tetapi dikawalnya sebaik mungkin. Perubahan tersebut
dapat dilihat dengan ketara oleh Reykal tetapi sengaja didiamkan begitu saja.
Matanya menerkam wajah mulus Ayu Emelda.
“Awak
jangan nak merepek boleh? Tak terlintas di hati saya sekalipun nak curang
dengan awak. Hati saya, jiwa saya, kasih dan sayang saya…”
“Untuk
lelaki ni?”pantas Reykal mencelah sambil mengunjukkan gambar yang ditangkapnya
tempoh hari. Kepingan gambar tersebut dilemparkan di hadapan Ayu Emelda dan
bertaburan di atas meja.
Ayu
Emelda terperanjat besar. Dia melihat kepingan gambar tersebut. Ya! Dia yang
berada di dalam gambar tersebut bersama bosnya, Encik Malek dalam keadaan yang
sangat mesra. Ayu Emelda menekup mulutnya lantara mengalami hambatan kejutan
yang melampau.
“Ada
apa-apa lagi yang awak nak cakap Ayu Emelda?”sengaja nama penuh wanita itu
ditekan oleh Reykal. Dia memandang tepat wajah Ayu Emelda.
“Saya
ada penjelasan untuk semua ini, Reykal.”Ayu Emelda cuba membela diri.
Reykal
menggelengkan kepalanya. Dia bangun daripada kerusi itu. Cermin mata yang
tersangkut di leher kolar baju dikenakannya semula.
“Tak
perlu awak jelaskan apa-apa lagi. Mulai hari ini saya tak kenal lagi siapa tu
Ayu Emelda. Semoga berbahagia dengan apa yang awak dah lakukan kepada saya. Ini
pertemuan kita yang terakhir. Selamat tinggal.”
Sebaik
berkata sedemikian, dia terus meninggalkan wanita itu tanpa berpaling lagi.
Sekali ditipu memadai untuk dirinya. Dia tidak sanggup lagi untuk ditipu buat
kali kedua. Terlalu sakit rasanya untuk ditelan. Ayu Emelda hanya melihat
pemergian Reykal dengan rasa yang bergelumang di dada. Kemudian dia tertunduk
kesal. Air matanya jatuh setitis dua di atas meja.