Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 1

Hanif teraba-raba dalam kegelapan. Dia mencari cahaya bagi dijadikan pedoman dalam kegelapan itu. Walaupun sukar tetapi langkahan kaki tetap dihayun. Terus melangkah dan melangkah walaupun bertatih-tatih. Hanif menelan liurnya. Terasa kesat dan perit melalui kerongkong.

Hanif cuba mengingati bagaimana cara dia boleh terdampar di kawasan begitu. Fikiran dan minda dikerah sedaya upaya. Tetapi hampa. Tiada imej atau ingatan yang hinggap melayang memutarkan kembali memori sebelum Hanif berada di kawasan gelap tersebut. Hanif menarik nafas dan mengeluh. Keluhan yang kasar lagi keras. Fikirannya terasa terbejat. Dia berkeluh kesah.

Langkahan kaki tetap diteruskan. Akhirnya dia terhenti di satu sudut. Melepaskan lelah. Dadanya berombak. Menghirup nafas bagi menstabilkan semula laluan pernafasan. Setelah kembali stabil, Hanif berdiri tegak. Dia mengitari kawasan sekeliling. Tetapi tiada apa yang terlihat di pandangan matanya. Melainkan kegelapan, hitam dan kelam. Lantas Hanif menjerit meminta pertolongan. Jeritannya kedengaran bergaung dan melantun-lantun seolah-olah dia kini berada di dalam sebuah gua atau rumah kosong.

Mahu tidak mahu, dia terpaksa jua meneruskan perjalanan tersebut. Dia tidak mahu hanya berdiri di situ semata-mata. Tiba-tiba, kakinya tersepak sesuatu. Hanif gagal mengawal imbangan diri dan lantas jatuh tertiarap. Dia mengerang kesakitan sambil memegang kaki kanannya. Rahangnya diketap kuat bagi menahan kesakitan tersebut.

Secara tiba-tiba, kawasan yang tadinya gelap kini dilimpahi dengan cahaya. Cahayanya hanyalah suram. Tetapi cukup untuk menjelaskan mata untuk melihat. Hanif mendongakkan kepalanya. Rupa-rupanya cahaya tersebut datang daripada sinaran bulan. Hanif bersyukur di dalam hatinya. Kesakitan yang dialami tadi kian lama kian surut. Lantas Hanif berdiri semula sambil mengibas-ngibas baju dan seluarnya bagi membebaskan habuk dan debu yang melekap.

Anak matanya mulai membesar mengadaptasi cahaya yang terbias. Hanif melihat dan mengitari kawasan sekeliling. Serta merta bola matanya membesar. Hanif menelan liurnya berulang kali. Bulu romanya meremang. Rupa-rupanya dia berada di tengah-tengah tanah perkuburan!

Hanif terketar-ketar bertapak cuba mencari jalan keluar daripada kawasan perkuburan itu. Tetapi di kiri, kanan, depan dan belakang seolah-olah tiada penghujungnya. Tanah perkuburan itu seolah-olah terlalu luas dan besar dan Hanif terperangkap di tengah-tengahnya. Peluh renik mulai memercik di dahi dan tubuhnya. Dia cuba mengawal diri yang mulai menggigil lantaran gagal mengawal tahap keseraman yang dialaminya kini. Liur ditelan kasar dan terasa pahit. Dia terlingas-lingas mencari arah keluar.

Pokok-pokok yang tumbuh meninggi di kawasan kubur tersebut kelihatan suram dan sangat menyeramkan. Bunyi burung hantu yang bersahut-sahutan membuatkan Hanif berasa tidak betah. Dia ingin segera keluar daripada kawasan itu. Dia tidak sanggup lagi untuk bertahan walaupun sesaat di kawasan kubur itu. Di dalam fikirannya kini hanya terbayang wajah ibu, ayah serta rakan-rakannya.

Tidak semena-mena telinganya bergerak-gerak menangkap bunyi sesuatu di belakangnya. Hanif separuh merungut di dalam hatinya memikirkan benda yang berada di belakangnya kini. Bunyi tersebut semakin lama semakin kuat. Seolah-olah tanah yang bergeser sesama sendiri. Perlahan-lahan Hanif memusingkan badannya. Debaran jantung semakin kuat. Terasa seolah-olah ingin tercabut dari tangkainya.

Mata Hanif terbuntang luas sebaik melihat fenomena yang berlaku di hadapannya kini. Beberapa buah kubur yang tadi tertimbus kemas telah terbongkar memuntahkan isinya. Keranda reput yang telah bercerai-berai dan tanah saling bergaul. Bersepah di atas permukaan kubur. Hanya satu yang berada di minda Hanif kala ini. Di mana mayatnya??!!

Daripada lubang kubur yang telah terdedah, kelihatan sepasang tangan sedang terketar-ketar menggapai birai kubur. Hanif memerhati dengan jiwa yang merusuh dan dibelasah dengan perasaan takut yang sangat hebat! Tidak lama, kelihatanlah jasad yang reput mula keluar daripada lubang kubur tersebut. Cahaya yang terbias tidak menyukarkan Hanif untuk melihat. Kelihatan dengan jelas daging-daging yang gugur daripada badan dan wajah mayat itu sehingga menampakkan tulang belulangnya. Hanif mula bertapak dan berundur setapak demi setapak ke belakang apabila melihat lebih banyak mayat yang keluar daripada kubur masing-masing.

Hanif terundur-undur berlari. Cuba menjauhi diri daripada mayat-mayat hidup tersebut yang kesemuanya kini sedang berjalan terketar-ketar menuju ke arahnya. Lantas, Hanif menpercepatkan hayunan langkahnya. Dia ingin segera lari dan keluar dari tanah kubur itu. Namun langkahannya terhenti tatkala kakinya terasa dipegang sesuatu.

Hanif lambat-lambat menghalakan pandangan. Seperti yang diduga, sepasang tangan mayat hidup yang baru keluar dari kubur sedang menggenggam kemas pergelangan kakinya. Hanif bergelut melepaskan diri. Beberapa sepakan dihalakan tepat ke wajah yang hanya dihiasi dengan tengkorak semata-mata. Lantas genggaman tersebut terlepas dan mayat tersebut terjatuh ke dalam lubang kubur semula. Tulangnya hancur berkecai bertaburan. Namun amat mengejutkan apabila dalam sekelip mata tulang-tulang tersebut bercantum semula dan membentuk mayat hidup tadi.

Hanif terlopong melihat kejadian tersebut. Lantas dia berlari menjauhi mayat itu. Sebaik pandangan diarahkan semula ke hadapan, satu susuk wajah yang rompong di bahagian hidung dan mulut menerpa di hadapan muka Hanif. Hanif menjerit sekuat hati lantaran hambatan kejutan yang terlampau. Lantas, tangannya digenggam dan satu penumbuk dilancarkan ke wajah buruk tersebut. Sekuat hati dan sepenuh tenaga.

“ARGHHHHH!!!””



Reykal meninjau-ninjau sekitar restoran tersebut. Kelibat individu yang dicarinya tidak kelihatan. Ray Ban yang dipakai ditanggalnya lalu tersangkut kemas di bahagian leher baju. Sesekali dia menghembuskan nafas cuba meredakan suhu panas badannya.

Menaiki motosikal dengan cuaca yang panas sebegitu bukan suatu keputusan yang bijak. Tetapi dia tiada pilihan lain. Hendak meminjam kereta rakan serumahnya, Ilham tetapi lelaki itu setiap masa tidak berada di rumah. Asyik sibuk dengan kerja dan teman wanitanya. Reykal menghembus nafas kasar.

Reykal memilih tempat duduk. Seorang pelayan tiba dan mengambil pesanan sebelum dia berlalu. Selang beberapa minit, pelayan wanita itu tiba semula dengan meletakkan segelas minuman. Senyuman mesra terukir di bibir sebagai satu tarikan kepada setiap pelanggan yang hadir ke restoran.

Reykal menyedut limau ais yang dipesannya tadi. Kesegaran air limau ais tersebut membuatkan dirinya kembali bermaya. Reykal mengilaskan pandangan ke arah jam yang terikat di tangan. Hampir setengah jam menanti wanita tersebut masih belum kelihatan. Reykal menghembus nafas kasar.

Selang beberapa minit, akhirnya wanita tersebut muncul. Wanita itu terus bertapak dan duduk di hadapan Reykal. Senyuman manis bergayut di bibirnya. Reykal hanya tersenyum hambar. Enggan lagi terpedaya dengan senyuman manis wanita itu. Semuanya hanyalah dusta semata-mata. Kerana senyuman itu dia jatuh cinta dan kerana senyuman itulah kini dia merana.

“Abang dah makan?”lembut Ayu Emelda menyoal.

“Baru sahaja sudah. Tunggu lama sangat tadi.”jawab Reykal acuh tidak acuh.

Ayu Emelda tertawa kecil.

“Maaf tadi Ayu meeting dengan bos. Tu yang lambat sikit.” balas Ayu Emelda.

Reykal mendengus.

Meeting ke dating!’gumamnya di dalam hati.

Dia telah benar-benar masak dengan perangai wanita yang telah dikenalinya hampir setahun itu. Reykal terimbau kembali kenangan tatkala pertama kali dia bertemu dengan wanita itu. Yang jelas dia bukan seperti Ayu Emelda yang dikenalinya kini. Jauh berbeza baik dari segi penampilan dan juga sikap.

Pertama kali dia mengenali wanita ini sewaktu mereka bersama-sama bekerja kilang. Reykal yang banyak membantu wanita ini kerana mengenangkan Ayu Emelda masih mentah dan tidak mempunyai banyak kenalan. Bahkan ibu bapanya juga baru sahaja meninggal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Reykal yang bertanggungjawab membawa wanita ini sampai ke tahapnya sekarang. Hidup diselubungi kemewahan. Tetapi apa yang Reykal dapat kini? Dia hanya dibalas dengan kecurangan Ayu Emelda. Itu pun setelah dia ternampak dengan mata kepalanya sendiri.

“Kacang lupakan kulit!”Reykal mendengus kasar.

“Apa abang cakap tadi? Ayu kurang jelas.”ujar Ayu Emelda dengan wajah bingung.

“Aaaa.. Tak ada apa-apa.”tergugup gagap Reykal berdalih.

Ayu Emelda hanya tersenyum. Dia menyapa lembut tangan Reykal dan menggenggam erat.

“Ayu sebenarnya rindu sangat dekat abang. Dah lama kita tak berjumpa bukan?”

Reykal memerhati tangannya yang bertaut dengan tangan Ayu Emelda. Teras jijik apabila mengenangkan tangan wanita yang sama telah memegang lelaki lain selain daripadanya. Reykal perlahan-lahan melepaskan tangan dari genggaman Ayu Emelda. Ayu Emelda sedikit tersentak. Dia melihat wajah Reykal mencari penjelasan.

“Saya ajak awak jumpa sebab ada perkara yang saya nak cakapkan.”

Ayu Emelda sedikit berdebar menanti bicara yang bakal terluah daripada bibir teman lelakinya itu. Jarang teman lelakinya itu bersikap sedemikian.

Reykal menarik nafas dan menghembus berulang kali mengumpul kekuatan. Setelah berasakan dirinya kuat untuk mengatakan perkara tersebut, akhirnya dia meluahkan jua.

“Saya nak putuskan hubungan kita , Ayu.”

Ayu Emelda terkejut. Matanya terbuntang luas. Dia melihat wajah Reykal. Reykal hanya menundukkan wajahnya. Enggan bertentang mata dengan wanita itu.

“Kenapa tiba-tiba saja ni? Apa salah saya awak? Kenapa awak nak putuskan hubungan kita?”

Taluan soalan itu hanya dibiar tergantung tanpa jawapan. Reykal menunduk. Matanya tertancap melihat lantai restoran. Membiarkan jiwanya bergaul dengan perasaan.

“Awak jangan diam macam ni. Saya nak tahu apa salah saya pada awak? Kenapa awak nak putuskan hubungan kita? Awak tahu kan betapa saya sayangkan awak.”rintih Ayu Emelda.

Sayang? Boleh jalan lar dengan kau punya sayang.’gumam Reykal geram di dalam hati.

“Atau awak dah ada perempuan lain? Terus terang pada saya Reykal.”

Soalan tersebut umpama sebilah panah yang beracun melekat di jantung. Cukup berbisa. Mempersoalkan kesetiaan dirinya adalah kesilapan besar Ayu Emelda. Kesetiaan Reykal pada Ayu Emelda tiada belah bahaginya. Kasih sayangnya pada wanita itu melimpah ruah. Hanya wanita itu yang tidak reti menghargainya. Tetapi kini kesetiaannya pula menjadi persoalan. Seolah-olah dia bersalah dalam hal ini. Seolah-olah dia yang curang dan telah menggadai cinta yang dijulang selama ini.

“Saya yang ada perempuan lain atau awak yang dah ada lelaki lain dalam hidup awak?”Reykal bersuara akhirnya dengan nada suara yang tertahan.

Menahan rasa sakit hati yang teramat. Matanya sempat mengerling sebentuk cincin yang tersarung kemas di jari manis Ayu Emelda. Yang pasti cincin tersebut bukan pemberian daripada dirinya.

Raut wajah Ayu Emelda berubah tetapi dikawalnya sebaik mungkin. Perubahan tersebut dapat dilihat dengan ketara oleh Reykal tetapi sengaja didiamkan begitu saja. Matanya menerkam wajah mulus Ayu Emelda.

“Awak jangan nak merepek boleh? Tak terlintas di hati saya sekalipun nak curang dengan awak. Hati saya, jiwa saya, kasih dan sayang saya…”

“Untuk lelaki ni?”pantas Reykal mencelah sambil mengunjukkan gambar yang ditangkapnya tempoh hari. Kepingan gambar tersebut dilemparkan di hadapan Ayu Emelda dan bertaburan di atas meja.

Ayu Emelda terperanjat besar. Dia melihat kepingan gambar tersebut. Ya! Dia yang berada di dalam gambar tersebut bersama bosnya, Encik Malek dalam keadaan yang sangat mesra. Ayu Emelda menekup mulutnya lantara mengalami hambatan kejutan yang melampau.

“Ada apa-apa lagi yang awak nak cakap Ayu Emelda?”sengaja nama penuh wanita itu ditekan oleh Reykal. Dia memandang tepat wajah Ayu Emelda.

“Saya ada penjelasan untuk semua ini, Reykal.”Ayu Emelda cuba membela diri.

Reykal menggelengkan kepalanya. Dia bangun daripada kerusi itu. Cermin mata yang tersangkut di leher kolar baju dikenakannya semula.

“Tak perlu awak jelaskan apa-apa lagi. Mulai hari ini saya tak kenal lagi siapa tu Ayu Emelda. Semoga berbahagia dengan apa yang awak dah lakukan kepada saya. Ini pertemuan kita yang terakhir. Selamat tinggal.”

Sebaik berkata sedemikian, dia terus meninggalkan wanita itu tanpa berpaling lagi. Sekali ditipu memadai untuk dirinya. Dia tidak sanggup lagi untuk ditipu buat kali kedua. Terlalu sakit rasanya untuk ditelan. Ayu Emelda hanya melihat pemergian Reykal dengan rasa yang bergelumang di dada. Kemudian dia tertunduk kesal. Air matanya jatuh setitis dua di atas meja.

Previous: Prolog
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.