Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,921
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 16

‘MAMPUS aku!’ Jeffrey mengutuk diri sendiri. Dia juga mencubit-cubit pipinya. Ternyata sakit dan dia bukan sedang bermimpi. Ketika ini, Jeffrey memang bagai berada di alam lain pula.

Sebenarnya, dia cukup yakin gadis itu akan menolak mentah-mentah lamarannya. Alih-alih, dia boleh bersetuju pulak? Ulala… hendak buat bagaimana ni? Dia sudah terlepas kata dan rakan-rakan telah menjadi saksi.

“Cayalah Jeff!” puji Shahrul sambil menepuk bahu sahabatnya itu. Ternyata dia dan Azman memandang rendah kepada Jeffrey. Paling tidak diduga, wanita itu terus bersetuju. Itu yang buat Shahrul dan Azman terkejut dan musykil.

“Ayat apa kau dah hembus kat muka awek tu, sampai dia terus bersetuju?” Azman yang masih tidak percaya pula bertanya.

Jeffrey tidak terus menjawab pertanyaan Azman. Bagi dirinya, dia perlu memikirkan bagaimana untuk tidak meneruskan cabaran kurang bijak ini. Bagaimanalah dia boleh terjebak dengan perkara yang tidak masuk akal ini? Tidak pasal-pasal sekarang ini dia berasa tertekan pula.

“Ai, dah termenung pulak ‘taiko’ ni?” tegur Shahrul sambil sekali lagi menyentuh bahu Jeffrey.

“Kawan! Takkan dah berangan berbulan madu di awan biru pulak?” usik Azman pula kemudian terus tertawa dengan Jeffrey yang serba tidak kena.

“Eh, siapa nama awek tu?” tanya Shahrul sambil menarik kertas yang masih di tangan Jeffrey. “Oh, Juita! Sedap jugak nama dia. Macam nama orang dulu-dulu pulak,” sambung Shahrul.

“Jadi, apa langkah kau yang seterusnya? Takkanlah setelah lamaran diterima tiada tindakan susulan?” tanya Azman pula.

“Entahlah, aku tengah pening ni,” adu Jeffrey. Bukan setakat pening, mahu selera makan dia hilang lebih seminggu! Memang dia menghadapi masalah besar sekarang ini. Bukan mudah untuk diselesaikan seperti memetik jari.

“Apa ni, taiko? Nak sangat bercinta selepas kahwin, kan? Ambil kau… terus TUHAN tunaikan impian kau,” perli Shahrul pula. Geli hatinya melihat Jeffrey yang masih terkebil-kebil.

“Dia dah setuju terima lamaran aku. Nak buat macam mana ni?” tanya Jeffrey sambil menggaru kepala. Tiba-tiba fikiran menjadi bertambah serabut.

“Kau dah tahu nama dan ada nombor telefon dia, kan? Jadi, apa masalahnya? Telefon ajelah awek tu,” cadang Azman.

“Yalah, nak cakap apa selepas tu?” Jeffrey sudah tidak keruan. Ketika ini dia benar-benar buntu.

“Hish kau ni… telefon dia untuk adakan pertemuan. Berkenalan dan tanya apa yang patut. Lepas tu terus hantar rombongan meminang secara rasmi,” cadang Azman kemudian tertawa lagi apabila melihat muka blur sahabatnya.

“Boleh ke terus buat macam tu?” soal Jeffrey pula. Dia manalah tahu sangat pasal perkara itu.

“Kau nak bercinta selepas nikah, kan? So bernikahlah cepat-cepat!” usik Shahrul pula.

Jeffrey terkebil-kebil dengan penjelasan Azman dan Shahrul. Aduhai… Kenapalah dia turutkan juga cabaran mengarut sahabatnya ini? Sekarang diri sendiri yang susah kerana terpaksa menanggung natijahnya.

“Tapi aku belum betul-betul buat keputusan nak kahwin dengan dia,” Jeffrey berterus terang sahaja. Memang ketika ini hatinya belum ada apa-apa perasaan terhadap gadis itu. Kalau ada pun, sekadar suka sahaja.

“Ah, sudah!” Shahrul menepuk dahi. Kasihan juga dengan gadis itu kerana dipermainkan.

“Bagaimana kalau akhirnya kau benar-benar jatuh cinta dengan si Juita ni?” sampuk Azman pula.

“Eh, tak mungkinlah! Cinta aku hanya milik isteriku yang sah. Aku hanya bercinta selepas kahwin,” tegas Jeffrey.

“Betullah tu, tapi siapa orangnya?” soal Shahrul.

“Manalah aku tahu?” Jeffrey pun seperti sudah tidak betul.

“Jangan sombong, nanti kau yang terkejar-kejar si Juita ni.” Azman pula mengingatkannya.

“Peninglah aku sekarang ni,” ujar Jeffrey kemudian menarik nafas dalam-dalam. Namun, ketika ini dia berasa bertambah lelah pula. Tidak ada masalah, sengaja cari masalah. Sekarang tanggunglah!

“Kalau macam tu, sebelum terlambat, kau kena berterus terang dengan dia. Karang dia ingat kau serius pulak,” cadang Shahrul.

“Betul tu, aku sokong cadangan Shahrul. Takut si Juita ni tertunggu-tunggu pulak. Buat naya anak dara orang aje,” ujar Azman pula.

“Tapi aku tak beranilah. Hish… ini korang punya pasallah!” Jeffrey berasa tertekan pula dengan situasi yang dialami.

“Jeff, sebelum ini kau tak pernah pun berbual dengan dia, kan? Jadi, buat apa nak rasa takut atau malu? Berterus terang aje, habis cerita,” ujar Shahrul.

“Korang cakap senanglah! Tapi aku yang kena berhadapan dengan dia,” rungut Jeffrey.

“Aduhai Jeff, apa yang susah sangat? Telefon aje dan buat temu janji kat mana-mana. Lepas tu pandai-pandailah kau nak beritahu dia.” Giliran Azman pula memberi cadangan.

Akhirnya Jeffrey terdiam. Bertambah sesak kepalanya ketika ini. Memang boleh buat dia tidak lena tidur memikirkan hal ini. Asalnya kecil sahaja, kini sudah bertukar menjadi masalah besar pula.

“Ingat, jangan tunggu lama-lama untuk beritahu dia,” pesan Shahrul.

“Yalah, tengah fikirlah ni,” jawab Jeffrey.

“Okeylah, aku dan Azman dah nak gerak. Kau pesanlah minuman dan fikir pelan terbaik. Jangan lupa tolong bayar kita orang punya, ya?” Shahrul dan Azman sudah bangun dan mahu menuju ke kereta.

“Wei, korang nak pergi mana?” tanya Jeffrey sebaik tersedar yang kawan-kawannya sudah mahu beredar.

“Pergi sitelah, kau tak payah pergi. Nanti bertambah serabut pulak kepala kau tu,” nasihat Azman.

Sudahnya Jeffrey termenung di tempatnya. Tiba-tiba bagai tidak tahu apa yang patut dilakukan.

DALAM kereta, Juita masih tidak tenang. ‘Mengapa lelaki itu beria-ia mahu melamar aku? Kenapa dalam banyak-banyak wanita, aku yang dia pilih?’ soalnya berkali-kali. Memang dia sukakan lelaki itu, namun tindakan drastik abang tongsan membuat Juita berasa tidak sedap hati.

Akhirnya sepanjang hari Juita dilanda resah. Hatinya tidak tenteram dengan keputusan yang telah diberi kepada Jeffrey. Kenapa mulut ini lancang sangat? Bagaimana boleh tersalah cakap? Ingatkan mahu lari dari masalah di kampung dan tanpa sedar telah membuat masalah baru pula.

Previous: Bab 15
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.