SUDAH lebih
dua minggu berlalu sejak insiden Juita dilamar abang tongsan. Lamaran yang dia
tidak duga sama sekali. Mereka tidak pernah bertegur sapa, cuma saling mencuri pandang antara satu sama lain.
Alih-alih lelaki itu terus mahu menyuntingnya. Bukankah itu satu perkara yang
amat pelik?
Sekarang
Juita masih menanti panggilan telefon daripada lelaki itu. Namun, bagai menanti
buah yang tidak gugur pula. Kini dia tertanya sendiri sama ada lelaki itu
serius atau sekadar main-main dengan lamarannya?
Juita
mengimbau kembali detik itu. Seingatnya wajah Jeffrey tenang sahaja ketika
melamarnya. Ayat yang dia lontarkan juga tersusun dan bukan tergagap-gagap
ketika menuturkannya. Cuma setelah dia memberi persetujuan, wajah lelaki itu
memang berubah. Susah juga untuk Juita menilai tindakan lelaki itu kalau hanya
berdasarkan ekspresi wajahnya.
Hendak
kata Jeffrey terlalu gembira apabila dia bersetuju dengan lamaran itu, tidak
juga. Apa yang nyata, lelaki itu bagai tidak menduga jawapan yang dia berikan.
Ini yang merunsingkan Juita.
Andai
kata Jeffrey tidak bersungguh, tentulah dia tidak meminta nombor telefonnya.
Atau dia bertaruh dengan dua orang lagi rakannya yang sentiasa ada bersamanya
itu? Sakit kepala Juita memikirkan hal ini. Dia pula tersilap cakap ya kepada
lelaki itu. Tetapi entah kenapa ketika itu dia tidak menarik kata-katanya.
Dia
berkata ya untuk setuju membawa balik calon menantu. Bukan ya untuk setuju
dengan lamaran abang tongsan! Memang payah apabila mengalami situasi sebegini, tetapi
dia kena teruskan juga. Dia memang sudah terlepas kata kepada abah dan Jeffrey!
“ANDAI
tidak mampu mengapai bintang di langit, gapailah bintang di hati,” tutur Syifa
pada petang yang damai. Sengaja berbicara begitu agar Juita mahu bercerita
tentang resah di kalbunya.
Juita
diam sahaja. Pisang goreng dikunyah perlahan. Minum petang sambil makan pisang
goreng memang mengasyikkan. Lebih-lebih selepas hujan turun, terasa segar dan
nyaman sekali. Andai setiap hari dapat menenangkan fikiran dan melepak begini,
memang menyeronokkan. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak pula
perkara yang tidak diduga menimpa dirinya.
“Kenapa
kau diam aje?” soal Syifa sambil menyinggung bahu sahabatnya.
“Nak
cakap macam mana, ya?” keluh Juita sambil menggaru pipi.
“Cerita
ajelah, aku sedia mendengarnya walaupun panjang berjela.” Hendak bergurau juga
si Syifa ini.
“Hajat
di hati memang mahu mengapai bintang dan bulan sekali, tapi sayap aku sudah
patah. Jangan cakap nak gapai bintang, nak terbang pun dah tak mampu,” luah
Juita sambil duduk menyandar.
“Kau dah beritahu pasal Jeffrey pada abah kau
ke?” soal Syifa.
“Dah,
tapi beritahu sikit ajelah. Dah tu terpaksa pulak kelentong abah aku. Yang buat
aku geram, abang tongsan ni tak reti-reti nak telefon aku lagi,” terang Juita.
Itulah masalah dia sekarang ini.
“Ai,
takkan dia tak telefon kau lagi?” Terkejut Syifa mendengarnya.
“Dahlah
buat aku tertunggu-tunggu, bayang dia
pun aku tak nampak!” rungutnya.
“Dia dah
hilangkan nombor telefon kau kut?” Syifa cuba membuat agar Juita berfikiran
positif.
“Kalau
hilang sekalipun, takkan dia tak tahu nak cari aku dekat mana?”
“Betul
jugak. Tak payah fikir sangatlah, entah-entah dia pun masih terkejut jugak?”
Syifa meneka sendiri.
“Terkejut
dengan tindakan sendiri atau terkejut dengan jawapan yang aku berikan?” soal
Juita pula.
“Dua-dualah
kut!” balas Syifa kemudian tergelak pula. Dia sendiri pun susah hendak memberi
komen dengan situasi yang Juita alami. Sebolehnya dia mahu hubungan yang hendak
bermula ini dapat diteruskan.
“Harap-harap
dia akan telefon aku dalam masa terdekat ni. Kalau tidak, naya aku!” sebut
Juita.
“Jangan
risau sangat. Aku percaya dia akan hubungi kau jugak. Aku yakin abang tongsan
seorang yang baik.” Syifa cuba meredakan kerisauan Juita.
“Masinlah
hendaknya mulut kau tu.” Mendatar sahaja suara Juita sekadar memujuk diri
sendiri.
SETELAH
membersihkan diri, Juita berbaring sahaja di katilnya. Tiba-tiba Blackberrynya berbunyi pula. Tanpa
membuang masa, dia terus menjawab panggilan.
“Ya,
siapa ni?” soalnya apabila menyedari ia bukan nombor orang yang dia kenali.
“Hai,
saya ni… Jeff,” sebut Jeffrey perlahan.
“Hmm…
awak ke? Panjang umur!” perli Juita. Pada masa yang sama terus bangun dari
pembaringan dan menyandar di kepala katil.
“Panjang
umur? Maaflah sebab tak telefon awak.” Jeffrey segera memohon maaf. Faham gadis
itu pasti menunggu panggilan daripadanya.
“Apa hal
telefon saya?” Hendak tak hendak sahaja Juita bertanya. Dia memang sudah tidak
teruja menerima panggilan daripada lelaki ini.
“Saya ada
sesuatu nak beritahu awak,” tutur Jeffrey. Perlahan dan tenang sahaja nada
suaranya.
“Cakap
ajelah.”
“Ni
pasal hari tu…” beritahu Jeffrey.
“Awak
nak beritahu yang awak cuma bergurau dengan saya?” potong Juita. Kedengaran
suaranya sudah berubah nada. Tiba-tiba sahaja sudah meninggi pula.
“Bukan
macam tu,” sangkal Jeffrey.
“Habis
tu?”
“Sebenarnya,
tujuan saya telefon ni sebab nak minta maaf dengan awak,” ucap Jeffrey.
“Minta
maaf? Kenapa pulak?” soal Juita.
“Susah
saya nak jelaskan, tapi saya kena berterus terang jugak dengan awak.”
“Cakap
ajelah, tak payahlah nak berdolak-dalih!” Juita sudah berasa lain sebaik
Jeffrey berkata begitu.
“Boleh
tak awak lupakan aje pasal lamaran saya tu?” Teragak-agak Jeffrey
menuturkannya.
“Apa
awak cakap? Lupakan macam tu aje?” Ketika itu juga Juita sudah marah tahap
tinggi. Nasiblah masing-masing tidak saling berhadapan. Kalau tidak, mahu ada
meja yang terbalik.
“Saya
tak ada niat pun nak buat awak marah. Benda dah terjadi, terpaksalah saya
berterus terang,” jelas Jeffrey.
“Ke awak
nak beritahu sebenarnya awak cuma bertaruh sebab kawan-kawan awak mencabar
awak?”
Jeffrey senyap
dan tidak membalas apa-apa.
“Kenapa
awak diam? Maknanya betullah awak buat semua tu sebab bertaruh dengan
kawan-kawan awak tu?” Sebelum ini Juita memang sudah menjangkakan perkara ini.
Begitupun dia pujuk hatinya supaya bersangka baik. Ternyata hari ini dugaannya
benar belaka.
“Buat
masa ni, saya tak boleh nak cakap banyak selain mahu memohon maaf atas
keterlanjuran saya. Pada masa itu mungkin saya rasa tercabar, jadi saya buat
aje apa yang kawan saya suruh.” Jeffrey cuba menjelaskan perkara sebenar kepada
Juita.
“Senang
aje awak cakap, kan? Saya ni ada maruah tau. Ingat sebagai lelaki awak boleh
buat aje apa yang awak suka? Lepas tu cuci tangan dan lupakan aje?” Juita sudah
mula panas hati.Perkara serius
begini lelaki itu buat main? Dia bukan barang mainan untuk dijadikan taruhan
dan diperguna-gunakan.
“Saya
tahu saya bersalah, sebab itu saya nak minta maaf.”
“Awak
memang teruk, tahu tak? Sekarang ni, apa saya nak cakap dengan abah saya? Saya
dah beritahu perkara ni kat abah saya.”
“Kenapa
awak beritahu abah awak?” soal Jeffrey. Dia memang tidak menjangkakan yang Juita
akan beritahu keluarganya.
“Tanya
pulak? Yang awak tu menghilang dan tak telefon saya, kenapa? Kalau awal-awal
awak berterus terang, tak adalah jadi macam ni,” rungut Juita.
“Saya
minta maaf sangat-sangat. Saya sendiri bercelaru memikirkan hal ini,” balas
Jeffrey.
“Oh!
Bercelaru? Boleh tak awak jangan nak kelentong dengan saya? Entah-entah selama
ini awak gelakkan saya,” marah Juita.
“Mana
ada saya gelakkan awak? Saya menghilang sebab nak fikir macam mana nak
selesaikan masalah ni,” sangkal Jeffrey.
“Jadi,
bila awak berterus terang begini, masalah selesailah?” marah Juita lagi.
“Sekurang-kurangnya
saya tak buat awak tertunggu dan rasa tertipu,” jawab Jeffrey yang sudah serba
salah.
“Saya
memang rasa tertipu dan awak memang penipu pun, kan? Main-mainkan perasaan
orang. Memang itu kerja awak ke?” tengking Juita. Dia sendiri terkejut dengan
bicara sendiri. Dia mana tidak pernah marahkan orang lain seperti ini.
“Saya
tahu awak berhak untuk marah. Tapi saya bukan seperti yang awak sangka,” tutur
Jeffrey perlahan.
“Terima
kasihlah sebab awak dah berjaya mainkan perasaan saya. Dan jangan sesekali
tunjuk muka awak depan saya,” tegas Juita dan terus memutuskan talian.
Tiba-tiba
Juita rasa macam hendak terjun sungai!