HUJAN turun
dengan lebatnya membasahi bumi. Sebelum ini, sudah lebih seminggu juga cuaca
asyik panas sahaja. Bertambah malang apabila ada jerebu pula. Jeffrey memang mengurangkan aktiviti di luar.
Seketika
dia melepaskan keluhan berat. Kenangan singkat yang terukir di lubuk hati
semakin sukar dihilangkan. Berkahwin dalam masa yang terdekat memang bukan
dalam perancangannya. Namun, kerana mulut dia terpaksa membuat keputusan
drastik.
Tiba-tiba
sahaja hatinya kuat mengatakan perlu meneruskan apa yang telah terungkap. Andai
bukan sekarang, dia tidak tahu bila lagi akan bertemu dengan gadis seperti
Juita. Keberanian melamar gadis itu memang amat mengejutkan diri sendiri dan
juga rakannya. Padahal, mengajak perempuan berdating pun belum pernah lagi dia
lakukan.
Kini,
wajah gadis itu datang lagi menghiasi layar hati. Dia sudah tidak betah dengan
situasi yang dialami. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera. Andai masih
begini, mahu dia tidur berdiri!
Jeffrey
menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dia bangun dan menjenguk ke luar.
Tiba-tiba berasa mahu lari dari semua ini. Pergi ke satu tempat untuk tenangkan
fikiran yang semakin berkecamuk.
Kerisauan
di hati semakin mencengkam dadanya. Tidak tahu kepada siapa harus diluahkan. ‘Juita
oh Juita… Kenapa aku masih terkenangkan gadis itu?’ Melamarnya hanya kerana
satu taruhan yang asalnya bukan dari hatinya. Apabila sudah berterus terang dan
berbual dengan gadis itu, kini dia berasa lain pula.
Apa
sudah jadi dengan dirinya? Setelah bersusah payah mengakui kesilapan diri dan beritahu
cerita yang sebenar, kenapa diri ini masih terikat dengan gadis itu? Kenapa
tiba-tiba tidak boleh lupakan dia?
Memang
parah andai sudah begini. Akhirnya dia duduk di sofa dan memejamkan matanya.
Dia berharap dapat lena dan melupakan masalah yang menghantuinya.
SELEPAS
balik dari tapak pembinaan, Shahrul dan Azman terus menjenguk Jeffrey. Mereka
memang selalu begitu. Selain berbincang dan bertukar fikiran tentang projek
yang sedang dijalankan, juga berborak pasal ha-hal sampingan yang lain.
“Sibuk?” tegur Shahrul ketika masuk ke dalam
bilik Jeffrey. Pintu memang sedia terbuka.
“Tak
adalah. Site okey?” tanya Jeffrey.
“Site tak ada masalah. Eh! Jom kita
bercuti. Penatlah asyik bekerja aje,” cadang Azman pula.
Mereka memang sudah lama tidak bercuti
bersama. Selepas Azman dan Shahrul berumah tangga, kalau bercuti memang dengan
isteri masing-masing. Azman berasa kasihan pula dengan Jeffrey yang masih lagi
solo dan terkontang-kanting.
“Okey
jugak, tapi nak bercuti ke mana?” Jeffrey terpaksa bertanya juga walaupun
hatinya sedang memikirkan perkara yang lain pula.
“Kalau
dapat rafting kat sungai, syok oo…”
sampuk Shahrul yang sudah terbayang kedinginan air sungai dan keseronokan
ketika melalui jeram yang mencabar. Dia memang suka aktiviti yang melibatkan
air ini.
“Aku pun
ada dengar, rafting dengan Sungai
Kampar memang seronok,” ujar Azman pula.
“Yes, Sungai Kampar! Habis main air,
boleh lepak kat kebun durian.” Shahrul sudah terjerit. Dia memang hantu durian,
begitu juga dengan Jeffrey.
“Tapi,
sekarang ni belum lagi musim durian. Kita kena tunggu masa durian luruh,”
cadang Azman pula.
“Aku
setuju aje. Walaupun tak boleh lawan dengan ‘musang king’, durian kampung ni
pun ada keistimewaan tersendiri.” Terpaksa juga Jeffrey memberi respons dengan
cadangan sahabatnya.
“Tak
dapat aku bayangkan, rasanya musim durian kali ini sekali dengan musim buah
manggis. Memang puas kita makan kalau kita bercuti ke sana tepat pada masanya.”
Shahrul sudah teruja sungguh.
“Yang
kau ni, apasal muram aje?” tanya Azman sebaik menyedari Jeffrey macam ada
masalah sahaja.Perasan sahabatnya bagai
kerisauan, tetapi cuba disembunyikan di balik wajah yang tenang itu.
“Yalah! Kau okey ke, Jeff?” sampuk Shahrul
pula. Dia juga perasan yang si Jeffrey ini macam nak tak nak sahaja apabila
bercakap.
“Entahlah.
Okey dan tak okey jugak,” jawab Jeffrey kemudian tertawa, tetapi cuma sebentar.
Shahrul
angkat kening. Terasa pelik pula apabila sahabatnya bereaksi begitu. “Macam
lain aje bunyinya. Pasal kerja atau peribadi?” Shahrul cuba mengorek cerita.
Jeffrey
senyap dan tidak menjawab pertanyaan Shahrul.
“Ini
mesti pasal Juita. Eh! Apa cerita kau dengan dia, hah?” tanya Azman pula. Dia
juga ingin tahu perkembangan hubungan Jeffrey dan Juita. Kesibukan bekerja
membuat dia terlupa sebentar pasal hal itu.
“Ini
yang susah nak beritahu,” keluh Jeffrey.
“Ceritalah,
mana tahu kita orang boleh tolong.” Shahrul menawarkan diri walaupun belum tahu
lagi apa masalah sebenar Jeffrey.
“Aku
rasa aku dah jatuh hati dengan dialah.” Walaupun berasa segan, dia kena
beritahu juga kepada Shahrul dan Azman.
“Akhirnya
kau mengaku jugak!” Azman sudah teruja mendengarnya.
“Betul
ke Jeff?” Shahrul juga sama teruja. Walaupun terkejut, namun dia gembira
mendengarnya. Tidak sia-sia mereka mencabarnya.
“Masalahnya
aku tak tahu nak buat apa. Sudahlah hari tu dia marah sakan bila aku berterus
terang,” adu Jeffrey.
“Kalau
mahukan cinta, perlukan ketulusan hati,Jeff.” Shahrul memberikan tip kepada sahabatnya yang
sudah kebuntuan. Ayat yang dia gunakan pun boleh tahan juga bunyinya.
“Aku
pasti dia takkan percayakan aku kalau aku luahkan perasaan aku kat dia,” keluh
Jeffrey dengan kecewa sekali. Mengingatkan perbualannya dengan Juita, dia sudah
dapat jangkakan.
“Silap
kau jugak, siapa suruh kau berterus terang kalau hati kau dah mula terusik?”
kutuk Shahrul. Bagi dirinya, tidak salah andai tidak berkata jujur asal tiada
hati yang terluka. Selepas itu, pandai-pandailah hendak memujuk.
“Kau ni
pun Shahrul… Manalah si Jeff ni tahu yang akhirnya dia benar-benar jatuh cinta
kat Juita? Lagipun kita yang suruh dia berterus terang, kan?” tegur Azman pula.
Azman
berasa simpati pula dengan apa yang sahabatnya alami. Setahunya, lelaki ini
tidak mudah jatuh hati. Apabila sudah terjadi perkara sebegini, memang susahlah
hendak membantunya.
“Memang
payahlah kalau kau nak pikat si Juita ni. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan
orang. Sekali kau tipu seorang perempuan, memang sampai mati dia ingat,” komen
Shahrul pula.
“Aku tak
ada niat pun nak tipu dia. Ni korang punya pasallah!” Jeffrey menyalahkan sahabatnya
pula.
“Okeylah,
benda ni memang salah kita orang jugak. So,
macam mana kita nak tolong si Jeff ni, Azman?” tanya Shahrul pada Azman.
“Hish
kau ni… aku tengah fikirlah ni,” ujar Azman.
“Macam
mana pun, aku kena pikat dia jugak. Korang pun tahu aku susah nak jatuh hati
dengan perempuan,” beritahu Jeffrey.
“Kau ni
betul-betul serius ke, Jeff?” tanya Shahrul. Dia bagai tidak percaya pula
mendengarnya.
“Betullah!”
jawab Jeffrey sepatah. Geram pula rasa hatinya apabila Shahrul tidak percaya.
“Kalau
macam tu, kau kena pujuk sampai Juita nak jumpa dengan kau. Dapat aje berjumpa
dengan dia, terus cakap kau serius dan nak terus kahwin. Kau nak bercinta lepas
kahwin, kan?” usul Shahrul.
“Nak ke
dia jumpa dengan aku?” soal Jeffrey pula.
“Nak tak
nak kau kena pandai mengayat dia. Bagilah alasan ini soal hidup dan mati. Aku
rasa dia mungkin akan pertimbangkan,” usul Shahrul. Pandai sahaja dia memberi buah
fikiran.
“Yalah,
aku akan cuba telefon dia dan ikut cakap kau,” putus Jeffrey. Dalam hati dia
berdoa semoga TUHAN akan permudahkan urusannya ini.