Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
407,000
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 15

JUITA leka melayan perasaannya. Sekejap matanya memandang pelanggan yang keluar masuk restoran. Kemudian melemparkan pandangan ke arah bangunan yang sedang dalam pembinaan pula. Memang tiada apa yang indah untuk dipandang pun.

Tiba-tiba Juita perasan beberapa lelaki berbual dan ada yang memandang ke arahnya. Dia segera berpura-pura membelek telefonnya sebaik menyedari lelaki yang bernama Jeffrey turut ada bersama. Sekali-sekala dia menjeling dengan ekor mata. ‘Apa yang dibisikkan mereka? Kenapa pulak mereka asyik memandang aku?’ Hatinya tertanya-tanya.

Kini matanya beralih memandang makanan yang masih berbaki separuh pinggan. Entah kenapa seleranya telah patah. Dia ke sini kerana terpaksa makan juga bagi mengelakkan perutnya masuk angin. Nanti dia juga yang susah dan tidak dapat meneruskan pemanduan. Perjalanan balik ke pejabatnya memakan masa juga.

Tadi, dia terpaksa sendirian menghadiri mesyuarat kerana Syifa bercuti. Sekali-sekala sahabatnya itu mahu pergi melancong juga. Syifa juga perlu merehatkan minda dan bukannya asyik bekerja. Dia tidak dapat menyertainya kerana ada perkara penting yang perlu diuruskan. Masalahnya, selalu sangat apabila Syifa bercuti, Izuddin juga turut bercuti. Mereka berdua macam berjanji pula!

Dalam Juita berkira-kira hendak beredar dan membuat pembayaran, tiba-tiba seseorang telah berdiri di hadapan dan menyapanya. Terkejut dia kerana lelaki itu adalah dari geng yang asyik memandangnya tadi. Lebih tepat, lelaki itu adalah abang tongsan!

“Hai,” ulang Jeffrey. Kali ini dengan senyuman terukir di bibirnya.

“Hai…” balas Juita perlahan. Dia memandang pada yang bersuara, kemudian menundukkan wajahnya. Terasa segan pula apabila Jeffrey turut merenung wajahnya.

“Sebenarnya sudah banyak kali saya perhatikan saudari apabila makan di sini. Memandangkan saya ni jenis yang ekspres dan tak suka buang masa, ni saya nak bertanya.” Jeffrey berhenti seketika.

Juita panggung kepala dan menanti bicara seterusnya daripada Jeffrey.

“Hmm… kalau saudari bukan tunangan orang, saya berhajat nak jadikan saudari isteri saya. Itupun kalau saudari sudilah.” Lancar sahaja ayat itu keluar dari bibir Jeffrey. Bagai telah dirancang dan dihafaz sebelum mengucapkannya.

“Er…. Apa awak cakap?” Tiba-tiba Juita jadi tidak keruan mendengarnya. Biar betul lelaki ini, atau dia yang tersalah dengar?

“Kalau saudari masih belum berpunya, saya nak hantar rombongan meminang,” sambung Jeffrey dengan tenang. Wajah Juita masih tidak lepas daripada pandangannya sejak tadi.

Juita tidak terkata dan betul-betul terkejut dengan apa yang Jeffrey sebutkan. Dia memandang sekeliling bagi memastikan ayat itu memang ditujukan kepada dirinya. Memang tiada gadis lain di restoran itu. Tiba-tiba lidahnya kelu untuk berkata-kata apatah lagi untuk memberi sebarang jawapan.

“Diamnya seorang gadis, menandakan dia setuju,” sambung Jeffrey itu lagi. Pada ketika ini dia masih lagi berlagak selamba meskipun di hati hanya TUHAN yang tahu perasaannya. ‘Bagaimana diri boleh bertukar seberani ini?’ detiknya.

“Hah?” Ketika ini Juita sudah tidak tentu arah. Abang tongsan ini memang buat dia tidak tenteram!

Jeffrey melemparkan senyuman. Dia memberikan isyarat mata kepada Juita menandakan dia serius dengan pertanyaannya sebentar tadi.

“Awak jangan nak main-main dengan saya,” balas Juita sambil membalas pandangan Jeffrey. Saat ini memang dia berasa semacam pula. Antara suka dengan tidak percaya, tetapi lebih kepada blur sebenarnya.

“Saya serius hendak menyunting saudari jadi suri di hati saya.” Jeffrey masih dengan hajatnya.

Sekali lagi Juita tidak terkata, hanya matanya terkelip-kelip. Mahu percaya pada kata-kata lelaki itu, tetapi akal yang waras menyatakan sebaliknya.

“Okeylah, saya sebenarnya tak ada bukti nak pamerkan rasa dalam hati saya. Sememangnya tidak boleh pun kerana hanya TUHAN yang tahu apa yang ada dalam lubuk sanubari. Tapi saya nak saudari tahu, saya takkan berganjak selagi saudari tidak berkata ya kepada lamaran saya ini,” sambung Jeffrey lagi. Kedengaran dia memang bersungguh benar dengan apa yang dia sebutkan.

Juita semakin tidak keruan. Mata dan mindanya sedang fokus kepada lelaki yang sedang menanti jawapannya dengan penuh harapan. ‘Hendak jawab apa ni?’ Dia berkira-kira sendiri.

Tiba-tiba BlackberryJuita berbunyi. Dalam kekalutan, dia terus menjawab panggilan. Tidak sempat hendak melihat di skrin ianya panggilan daripada siapa.

“Waalaikumussalam… ya, abah.” Juita menjawab perlahan sebaik menyedari abahnya yang menelefon.

Jeffrey masih di situ menanti Juita selesai menjawab panggilan telefon. Matanya juga tidak lepas dari memandang gadis itu.

“Hah?” Tiba-tiba Juita terjerit. Sekali lagi dia terkejut dan hampir sahaja telefonnya terlepas dari tangannya. Dia mengerut dahi bagai memikirkan sesuatu.

“Kenapa?” Jeffrey segera bertanya ketika Juita kembali memandangnya.

“Okeylah, saya setuju.” Itu pula yang keluar daripada mulut Juita. Dia sendiri terkejut kerana ringan sahaja mulutnya memberikan jawapan itu. Seketika dia memandang Blackberrynya pula.

Jeffrey tersenyum. Namun, dalam sekelip mata senyuman yang baharu terukir di bibirnya terus mati. Bukan sebab tidak gembira, tetapi amat terkejut!

“Awak?” tegur Juita apabila lelaki di hadapannya bagai patung pula.

“Saya tak salah dengar ke?” tanya Jeffrey. Matanya tunak memandang Juita. Kemudian menoleh memandang ke arah rakan-rakannya pula. Pastinya mereka juga dapat mendengar dengan jelas. Dia telah menang dalam cabaran ini, namun kenapa dia berasa tidak menentu?

Juita terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Apatah lagi tiba-tiba sahaja abang tongsan telah duduk pula di kerusi di hadapannya. Kini mereka saling memandang antara satu sama lain.

Dada Juita semakin berdebar-debar dengan situasi yang dia tidak jangka sama sekali. Dia cuba mengingat kembali apa soalan yang abahnya tanya di telefon dan apa pula jawapannya. ‘Ah sudah! Aku dah buat silap,’ getusnya sambil memandang Jeffrey.

“Saya Jeffrey, awak?” Jeffrey terus memperkenalkan dirinya. Sudah terlepas kata, takkan mahu biarkan begitu sahaja? Dia tidak mahu dituduh kurang siuman pula. Sudahlah tadi dia memang buat kerja gila!

“Er… saya Juita. Perasan jugak awak dan kawan-kawan awak selalu makan kat sini.” Juita juga terpaksa beramah mesra untuk mengenali lelaki ini.

Jeffrey tersenyum mendengarnya. Ingatkan yang empunya diri tidak perasan. Seketika Jeffrey mati kutu pula untuk meneruskan perbualan. Hendak bertanya apa pun dia tidak tahu.

Tiba-tiba, sekali lagi mereka berdua dikejutkan dengan deringan dari Blackberry Juita. Dia segera menjawab panggilan yang masuk.

Jeffrey hanya tunduk. Tidak sanggup pula menentang mata gadis di hadapannya ini. Dalam minda, berbagai pula yang difikirkan dalam satu masa. Selepas ini dia boleh demam seminggu!

“Maaf, saya ada hal dan terpaksa pergi,” beritahu Juita yang sudah bangun.

“Tunggu!” panggil Jeffrey.

“Kenapa?” soal Juita yang mematikan langkah.

“Boleh bagi contact numberawak?” pinta Jeffrey.

Juita tercari-cari kad namanya. “Alamak, tertinggal dalam kereta pulak. Saya tulis ajelah.” Juita segera menulis nombor telefonnya di atas kertas yang dia koyak dari buku notanya. Kemudian dia hulurkan kepada Jeffrey dan terus menuju ke kaunter pembayaran.

Jeffrey hanya memerhati Juita yang melangkah laju menuju ke tempat parkir setelah membuat pembayaran. Kertas yang Juita berikan dipandang lagi. Seketika Jeffrey mengeluh dan menepuk dahi!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.