“KENALKAN,
Cik Juita, rakan kongsi Syifa. Juita, ni Datuk Malik.” Sharmini terus
memperkenalkan Juita kepada Datuk Malik ketika berjumpa di lobi pejabatnya.
Juita
sekadar tersenyum dan mengangguk kepala.
“Syifa
mana?” tanya Datuk Malik sambil memandang Juita atas bawah. Baru berjumpa dia
sudah buat perangai, tetapi masih berlagak selamba.
“Maaf
Datuk, dia ada kecemasan. Ibu dia masuk hospital,” beritahu Juita yang sudah
tidak selesa dipandang begitu. Patutlah Sharmini mengingatkannya.
“Tak
sangka Syifa ada rakan kongsi yang cantik,” puji Datuk Malik tiba-tiba.
Juita
tidak senang hati mendengarnya. ‘Kenapalah lambat sangat si Izuddin ni parking kereta?’ rungutnya dalam hati.
“Jomlah
ke pejabat saya dulu,” pelawa Datuk Malik dengan senyuman di bibirnya.
“Maaf
Datuk, kami sedang menunggu seorang lagi rakan. Dia tengah cari tempat parkir,”
beritahu Sharmini.
“Oh! Ya
ke? Hmm… macam mana bisnes kat KL sekarang ni?” tanya Datuk Malik yang masih
tidak lekang dari memandang Juita.
“Bolehlah
walaupun jarang dapat projek yang mega,” jawab Juita sekadar berbasa-basi.
“Habis
mesyuarat nanti, nak singgah ke mana pulak?” Datuk Malik masih ada modal mahu
memanjangkan perbualan.
“Rasanya
kita orang terus balik KL aje.” Juita menjawab ringkas. Sesekali dia menjeling
Sharmini yang buat tidak kisah sahaja.
“Ingatkan
malam ni Cik Juita menginap di hotel. Kalau tidak, boleh jugak saya belanja dinner atau bawa jalan-jalan tengok
Bandar Raya Melaka ni,” ujar Datuk Malik. Nampaknya dia sudah mula mengayat.
“Oh, tak
apa Datuk. Saya memang bercadang nak tidur satu dua malam di sini, tapi encik
tunang ada hal penting pulak kat KL.” Tiba-tiba sahaja Juita dapat idea hendak
mengenakan Datuk Malik.
“Oh, ya
ke?” Sedikit kecewa nada suara Datuk Malik apabila Juita berkata begitu.
“Hah!
Itu pun tunang Cik Juita, Encik Izuddin dah sampai,” sebut Sharmini sebaik terpandang
Izuddin menghampiri mereka. Dalam hati dia sudah mahu ketawa melihat senyuman
kelat Datuk Malik ketika Izuddin menghulurkan tangan!
MESYUARAT
dengan Datuk Malik berjalan dengan lancar walau kadang-kadang Juita berasa
menyampah juga dengan gelagat orang tua berlagak muda ini. Sudah tahu Juita
bertunang pun masih mahu bermain mata.
Sharmini
pula hanya jadi pemerhati dan tersenyum dalam hati sahaja. Seperti yang dia
jangka, Datuk Malik masih lagi membuat kerja sambilan dia. Mujurlah dalam
mesyuarat dia terus kepada perbincangan utama. Walaupun ada masanya dia mahu
belok ke tempat lain, ada sahaja akal Juita untuk mereka terus selesaikan
perbincangan dengan segera.
“Apa
pasallah awak tak beritahu saya awal-awal pasal Datuk Malik ni gatal semacam?”
marah Juita ketika keluar dari pejabat Datuk Malik.
“Bos
janganlah nak marah saya pulak! Dekat ofis lagi saya dah beritahu Datuk ni
jenis miang buluh!” sangkal Sharmini.
“Tapi
tak sangkalah boleh ajak main mata. Sempat jugak kaki dia menyentuh kaki saya
semasa pengurus kanan dia membentangkan projek tu,” marah Juita lagi.
Dia
memang angin semacam apabila ada yang berperangai tidak senonoh begitu. Andai
mesyuarat itu diadakan di pejabatnya, memang dia simbah dengan air kopi sahaja
Datuk itu. Tidak dapat projek pun dia tidak kisah.
“Alah…
janganlah ambil hati sangat. Yang si Iz ni pun satu! Bukan nak jeling ke, apa
ke bila tunang sendiri kena ngurat!” Dalam Sharmini memujuk bosnya, pada masa
yang sama turut memarahi Izuddin pula.
“Dah
nama pun berlakon. Kalau betul-betul Jue tunang Iz, tadi jugak Iz beri Datuk tu
kad jemputan kahwin!” balas Izuddin kemudian tertawa.
“Sekali
ni ajelah saya pergi pejabat Datuk tu. Lepas ni saya takkan jejak lagi,” ujar
Juita pula.
“Janganlah
macam tu, bos…” pujuk Sharmini.
“Huh!
Datuk tu harap muka aje boleh tahan, tapi yang lain-lain buat saya tak boleh
tahan!” Juita memang tidak menyangka boleh berjumpa dengan klien seperti Datuk
Malik. Sudahlah tidak sedar diri, miang, gatal, hidung belang dan entah apa
lagi gelaran yang boleh dia berikan kepadanya.
“Okeylah,
lepas ni saya akan pastikan Syifa aje yang akan jumpa Datuk ni. Bos jangan
fikir sangat pasal projek ni. Saya dan Syifa akan pastikan projek ni berjaya
dan dapat untung berjuta-juta.” Masuk dalam kereta, Sharmini cuba menenangkan
bosnya.
“Yalah tu!” Juita merengus geram. Saat ini dia
mahu melelapkan mata dan melupakan pengalaman berurusan dengan klien yang
kurang segala-galanya walaupun dia seorang yang kaya-raya!