MATA
Haji Hussein masih memandang Juita. Tempoh hari, anak gadisnya beritahu Jeffrey
tidak dapat datang sebab bekerja di luar daerah. Dia tidak kisah sangat pasal
hal itu. Tiba masanya pasti dia dapat juga berjumpa dengan bakal menantunya.
Peliknya, apabila Jeffrey sudah datang bertandang, anaknya pula bagai ada
masalah. Apa yang cuba disembunyikan?
“Kamu bergaduh dengan si Jeffrey tu ke?” tanya
Haji Hussein. Wajah anak gadisnya ditenung dalam-dalam.
Juita
tidak terus menjawab. Hendak beritahu apa kepada abahnya? Masakan mahu beritahu
perkara yang sebenarnya? Apatah lagi dia tidak tahu tujuan lelaki itu datang ke
rumah umi dan abahnya.
“Ni Jue nak cerita atau abah tanya sendiri
dengan Jeffrey aje?” Sengaja Haji Hussein menduga.
Hendak
tengok juga reaksi anak gadisnya. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Juita
yang lebih suka pendamkan masalah sendiri. Selepas itu buat keputusan tanpa
mahu berbincang dengan keluarga.
Juita
masih senyap. Jari jemarinya bermain dengan hujung blaus yang dipakainya. Cuba
mencari kata dan menyusun ayat terbaik. Tersalah cakap, nanti dia juga yang
kantoi.
“Sekarang
ni, baik beritahu abah. Jue nak berkahwin dengan dia ke tidak?” tanya Haji
Hussein, serius.
“Jue tak
tahu…” Akhirnya Juita bersuara juga. Matanya dikecilkan, takut hendak memandang
wajah abahnya.
“Eh,
budak ni! Jangan nak main-main dengan abah. Hari tu bila ada yang nak masuk
meminang, kata dah ada calon sendiri. Hari ini dah bertukar cerita pulak.”
Suara Haji Hussein kedengaran sedikit meninggi. Memang betul sangkaannya.
Tiba-tiba
dia berasa geram dengan gelagat Juita. Entah apa pula masalah anak gadisnya
ini. Bagi dirinya, si Jeffrey seorang yang bertanggungjawab dan nampak sikap
prihatinnya. Walaupun baru sahaja bertemu, dia tidak kekok bergaul mesra.
“Jeffrey
beritahu apa pada abah?” Juita beranikan diri bertanya. Namun matanya memandang
ke arah lain, takut bertentang mata dengan abahnya.
“Dia nak
berkahwin dengan kamulah. Cuma dia minta tangguh sampai lepas raya. Abah tak
kisah. Bukan lama benar pun, sekarang dah bulan Februari. Pejam celik pejam
celik, dah masuk bulan Ogos,” beritahu Haji Hussein. Tiba-tiba dia kelihatan
ceria pula.
“Hah?”
Juita memang terkejut dengan penjelasan abahnya.
“Sekarang
ni abah tak nak dengar apa-apa lagi. Kau orang berdua berbincanglah apa yang
patut. Tiba masanya, abah akan nikahkan kau orang berdua,” tegas Haji Hussein
kemudian terus berlalu.
Juita
termangu sendiri. ‘Hish! Suka hati dia aje nak buat keputusan tanpa beritahu
aku. Ingat aku akan terus setuju aje dengan rancangan dia ke?’ sungut Juita.
SURIA
memang sudah lama memancarkan sinarannya. Malam tadi hujan turun dengan
lebatnya dan Jeffrey tidur dengan kesejukan walaupun turut berselimut tebal.
Tidak sangka suasana di kampung Juita begitu dingin dan menyamankan.
Walaupun
kampung ini dalam kawasan bandar, ciri-ciri kampung itu masih kekal. Cuma
sekarang ini kebanyakan rumah tidak lagi rumah papan. Ramai yang memilih
meruntuhkan rumah asal dan membina rumah batu. Kira macam banglo dengan halaman
yang cukup luas. Penduduk juga mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih
reka bentuk rumah.
Tadi,
setelah bersarapan, Jeffrey sengaja mahu mengambil angin dengan duduk di
pangkin di bawah pohon rambutan. Haji Hussein telah keluar ke pekan, begitulah
yang diberitahunya setelah selesai bersarapan dengannya.
Juita
memandang lelaki yang begitu berani sekali mengikutnya sampai ke kampung.
Sekali pandang, kasihan pula melihat wajahnya. Namun, hatinya masih sakit
dengan apa yang telah dia lakukan terhadap dirinya.
Akhirnya
Juita melepaskan keluhan. Teringat pula saat mahu balik kampung. Akibat kelam-kabut,
entah bagaimana dia boleh tidak perasan langsung lelaki ini mengekorinya. Dia
langsung tidak nampak kelibat Jeffrey di KL Central. Rupa-rupanya lelaki itu
turut berada di dalam kereta api yang sama. Satu coach pulak tu!
Ketika
menunggu abahnya menjemput di stesen kereta api Ipoh, tiba-tiba sahaja lelaki
itu sudah berada di sebelahnya. Belum sempat dia bertanya apa-apa, abahnya
telah muncul. Jeffrey pula terus sahaja perkenalkan dirinya kepada Haji
Hussein. Saat itu, Juita memang mati kutu. Hendak marah pun sudah tidak jadi.
“Awak?”
panggil Jeffrey sebaik menyedari Juita tercegat tidak berapa jauh darinya.
“Kenapa
suka-suka hati cakap dengan abah saya yang awak nak kahwin dengan saya? Dahlah
tak bincang apa-apa dengan saya, berani pulak ikut orang balik,” Juita
melepaskan geramnya kepada Jeffrey.
“Saya
bukan suka-suka hati nak cakap macam tu. Saya memang betul-betul nak kahwin
dengan awak. Bukan sebab taruhan itu dan bukan jugak sebab lain,” ujar Jeffrey
dengan tenang. Dia memang ikhlas dengan gadis ini, kenapalah dia masih tidak
mahu memahami?
“Saya
tak nak kahwin dengan orang yang mainkan perasaan saya!” balas Juita dengan
geram. Dia memang tidak suka dengan tindakan lelaki itu.
“Saya
minta maaf pasal hal itu. Tapi, saya benar-benar ikhlas mahu awak jadi isteri
saya.” Jeffrey sedaya upaya memujuk. Lama dia tatap gadis di hadapannya. Cuba
mencari pengertian dan mengharapkan diberi peluang.
“Kan
saya kata, saya tak nak!” Juita masih berkeras dengan keputusan sendiri. Dia
memalingkan wajahnya agar tidak asyik dipandang lelaki itu. Nanti lain yang
mahu disebut, lain pula yang terucap.
“Saya
tak nak dengar apa pun alasan awak. Abah awak dah setuju dan saya akan teruskan
rancangan saya.” Serius sahaja suara Jeffrey. Dia memang benar-benar maksudkan
apa yang dia katakan. Ia memang lahir dari hatinya yang tulus, bukan sebab
terpaksa.
Juita
menjegilkan matanya. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Wajah
Jeffrey ditenung seakan mahu menelannya.
“Awak…
Susah sangat ke nak terima saya?” Jeffrey cuba berlembut.
Juita
hanya buat tidak dengar.
Sebenarnya
Jeffrey sudah lelah hendak merayu dan memujuk. Namun pada masa yang sama, dia
tidak mahu apa yang telah dilakukan berakhir begitu sahaja. Nanti hati dan
hidupnya juga tidak tenteram. Asyik teringat dan termimpikan gadis itu.
Kalau
ikutkan hatinya, memang hari ini juga dia mahu Haji Hussein nikahkan mereka
berdua. Tidak payah buat majlis kenduri-kendara. Cukuplah kenduri doa selamat
sahaja. Namun, masakan boleh? Sebuah perkahwinan perlu dirancang
dan asas
perkahwinan kena kukuh. Andai dirinya sahaja yang
bersusah
payah, tidak akan berjaya.
“Awak
tak nampak lagi ke keikhlasan hati saya ni?” tanya Jeffrey lagi.
“Habis
tu, kenapa mesti nak tangguh-tangguh pulak?” soal Juita pula.
“Alhamdulillah…”
ucap Jeffrey sebaik mendengar kata balas Juita. Respons Juita menunjukkan gadis
itu sebenarnya tidak menolak. Ia memang amat melegakan dan buat dia tersenyum.
“Awak?”
panggil Juita sebaik melihat reaksi Jeffrey.
“Terima
kasih…”
“Terima
kasih apa?” soal Juita terpinga-pinga. ‘Aku ada cakap setuju nak kahwin dengan
dia ke?’ Juita tertanya sendiri.
Jeffrey
hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Senyumannya semakin melebar.
Sebaik
tersedar, Juita terpaksa telan air liur. ‘Macam mana aku boleh tersalah cakap?’
gumamnya.
“Saya
minta tangguh sebab saya nak buat persediaan. Saya tetap lamar awak walau kita
masih tak kenal satu sama lain sebab saya nak ‘cup’ awak.” Akhirnya Jeffrey
berikan jawapannya.
“Cup?”
soal Juita.
“Saya
nak cup hati awak! Jangan lupa, abah awak dah beri kebenaran itu,” beritahu
Jeffrey dengan hati berbunga.
“Awak
cuplah sorang-sorang. Hati saya tetap milik saya.” Juita masih tidak mahu
beralah.
“Jangan
macam tu. Saya nak berkahwin dan bercinta dengan awak,” jawab Jeffrey agar
gadis itu lebih mengerti. Dia tidak mahu membuang masa bercinta dengan
mana-mana gadis.
“Janji
awak dengan abah saya, tak boleh diguna pakai,” balas Juita dan berlalu masuk
ke dalam rumah. ‘Ekspres betul abang tongsan ini!’ desisnya dalam hati.