BEBERAPA
hari ini, Jeffrey asyik melayan perasaannya. Dia sering datang awal ke pejabat,
tetapi hati dan mindanya entah berada di mana. Kerja di pejabat dia tidak ambil
peduli, mesyuarat yang sepatutnya dia hadiri, boleh dia buat lupa pula.
‘Jodoh adalah sesuatu yang sangat misteri dan
sukar untuk dirungkai. Setiap insan perlu ada niat di hati untuk mencarinya
kerana perkahwinan adalah sunah Nabi. Berdoa banyak-banyak semoga TUHAN
memudahkan diri menemui jodoh kita.
Akhir
sekali kena bersungguh-sungguh mencarinya. Kalau ketiga-tiga itu sudah
dilakukan, bertawakallah kepada ALLAH Yang Maha Esa. Kalau benar dia jodoh
kamu, naluri hatimu akan merasainya walaupun ia adalah kali pertama kamu
memandangnya. Percaya dan yakinlah, semuanya telah ALLAH tentukan sejak azali
lagi.’
Jeffrey
mengeluh berat. Bicara Ustaz Azahari masih terngiang-ngiang di telinganya.
Tidak satu pun perkataan yang tertinggal. Semua jelas di pendengarannya dan
terpahat dalam mindanya hingga saat ini.
Tempoh
hari, sudah alang-alang Ustaz Azahari menelefonnya bertanya khabar, dia
mengambil kesempatan itu bertanya pasal jodoh. Memang segan juga semasa mahu
berbual pasal topik itu. Kena usik juga dengan ustaz yang sudah dianggap bagai
bapa sendiri.
Ketika
ini hatinya amat yakin Juitalah jodohnya. Walaupun dia tidak bersungguh mencari
jodohnya, ia telah hadir jua di hadapan mata. Saat ini dia amat pasti dengan
perasaan yang dialami. Belum pernah hatinya berasa berbunga-bunga menyebut nama
mana-mana wanita.
Sebaik
nama Juita meniti di bibirnya, ketika itu juga hatinya berlagu riang. Memang
susah untuk dimengertikan bagi mereka yang pertama kali merasainya.Dia mengharapkan
bunga dapat dipetik dan diletak dalam jambangan hati. Lagi sukar dia diduga,
lagi semangatnya berkobar-kobar.
Kini
hati Jeffrey bagai dibuai merdunya suara penyanyi yang mendendangkan lagu. Terasa
begitu indah bait-bait ayat yang dilagukan. Terlupa sebentar masalah yang
melanda dirinya. Kadang-kadang bagai tidak percaya dengan apa yang dilalui.
Dia amat
berharap agar nasib menyebelahinya. Dia perlu lakukan apa sahaja demi
mendapatkan kepercayaan gadis itu. Dia tidak mahu isu bertaruh itu dibangkitkan
lagi. Ia hanyalah penyebab dia melamar
gadis itu.
Wajah
Juita bermain lagi di ruang mata. Tidak menyangka dia akan angau begini hanya
kerana seorang gadis bernama Juita. Walau pada mulanya ragu-ragu dengan naluri
sendiri, kini dia yakin seratus peratus dengan perasaan yang dirasa.
Dia mahu
memiliki gadis itu dengan cara apa sekalipun. Dia sanggup berkorban apa sahaja
kerana dia tidak mahu kehilangannya. Cinta yang lahir bukan dia yang paksa. Ia
datang sendiri dengan seribu keindahan yang mewarnai hidupnya. Kehadirannya
buat hidupnya lebih bererti dan sempurna.
“CINTA
sememangnya aneh. Ia boleh sahaja wujud pada saat kita tidak duga,” sebut Azman
kemudian menyisip air tembikai kegemarannya. Sudah lebih setengah jam mereka
melepak di restoran berhampiran pejabat klien.
Apabila
cuaca panas begini, tekak yang kering memang perlu dibasahi dengan minuman yang
boleh menyegarkan. Mereka baharu sahaja selesai membuat lawatan tapak bersama
klien.
“Tapi,
ia bukan sesuatu yang mudah ditangkap dan dimiliki,” sambung Azman. Sengaja dia
memberi bayangan kepada Jeffrey. Bukan dia tidak tahu yang sahabatnya itu belum
betul-betul lagi dapat memikat hati
Juita. Lebih tepat dia baru hendak bermain cinta dengan perempuan.
Jeffrey
diam sahaja mendengarnya. Mengeya pun tidak, jauh sekali menafikan. Apa yang
sahabatnya katakan memang kena batang hidung sendiri. Dahulu berlagak sangat
dan kata diri tidak mungkin akan jatuh cinta.
“Saja
nak beritahu kau. Jangan sampai terlepas buah hati kau tu setelah penat-penat
memikatnya.” Azman mengingatkan.
Perubahan
pada Jeffrey sejak beberapa hari ini, memang mudah dibaca. Walaupun dia tidak
meluahkan, Azman pasti sahabatnya itu sedang memikirkan langkah seterusnya. Dia
memang tepuk dahi apabila Jeffrey benar-benar larikan Juita. Nasib larikan
gadis itu ke Bagan Lalang dan bukannya Padang Besar. Kalau sudah sampai ke
situ, mahu mereka berkahwin di sempadan!
“Nak
buat macam mana, ya?” Tiba-tiba Jeffrey mahukan pendapat dan cadangan daripada
Azman pula.
“La… Itu
pun nak kena ajar lagi ke?” soal Azman.
Jeffrey
tersengih tanda perlukan bantuan Azman.
“Kau ni
kan… Kalau nak dapatkan projek, laju aje. Nak dapatkan perempuan, boleh pulak
tak reti? Tinggal satu dua langkah aje pun,” perli Azman dengan senyuman sinis.
Memang parah dengan sahabatnya yang seorang ini.
“Sebenarnya, bukan mudah nak curi hati si Juita ni. Dia
ni asyik
main tarik tali aje dengan aku. Bila aku dah yakin dia memang dah suka kat aku,
sekelip mata ayat dia berpusing pulak.” Begitulah menurut pandangan Jeffrey.
Lebih-lebih lagi setelah insiden tempoh hari dan selepas dia adakan pertemuan
dengannya.
“Kali
ini kau kena buat si Juita ni betul-betul jatuh hati dengan kau. Bukan setakat
suka aje,” komen Azman.
“Aku
tengah fikirlah ni. Aku sedang mencari jalan terbaik untuk terus menuju ke hati
dia,” terang Jeffrey.
“Wow!
Ayat bukan main skema. Mahu terus menuju ke hatinya! Boleh tahan jugak impian
kau,” ujar Azman yang tidak menyangka si
Jeffrey ini boleh berkata begitu.
“Itu yang
kena ada strategi dan bukan boleh main terjah aje. Silap hari bulan, bukan
setakat tak boleh nak dekat, nak intai pun tak berpeluang,” balas Jeffrey.
“Sebenarnya
bukan susah pun. Kau memang kena curi hati dia dengan buat sesuatu yang dia tak
sangka sama sekali,” cadang Azman.
Buah
fikiran Azman buat Jeffrey termenung. Itulah yang jadi cabarannya. Dia mahu
memikat burung yang suka terbang tinggi dan bukannya burung merpati yang mudah
dijinakkan.
Andai gadis biasa, mudah sahaja dia mahu mengatur langkah. Tiru sahaja cara
biasa yang ditonjolkan dalam televisyen, pasti akan berjaya.
“Jadi,
macam mana sekarang ni? Aku rasa lebih baik kau terus aje berjumpa dengan mak
bapak dia, macam yang pernah aku sebutkan dulu.”
“Aku
memang nak jumpa mak bapak dia, tapi tak cukup
beranilah. Dahlah dengan Juita pun aku tak betul-betul kenal dia lagi,”
keluh Jeffrey.
“Kau ni
cakap belit-belitlah! Hari tu berani aje buat kerja gila sampai culik dia
seharian,” kutuk Azman sambil
menjelingnya.
“Masa tu
aku memang main belasah aje,” balasnya dengan sengihan.
“Kalau
nak tunggu dah kenal baru nak jumpa bapak dia, berjanggutlah jawabnya! Kita takkan kenal orang tu kalau makan tak
sepinggan dan tidur sebantal dengan dia!” tutur Azman agar sahabatnya ini
mengerti.
“Kau ni
jangan buat aku pening pulak!” balas Jeffrey.
“Betullah
apa yang aku cakap. Lagi satu, Ada tiga perkara yang akan buat kita sukses
dalam kehidupan. Tekad, kemahuan dan fokus,” beritahu Azman kepada Jeffrey yang
bagai hilang arah. Mahu mengikat gadis pujaan, tetapi talinya entah di
mana-mana.
Jeffrey
masih tidak bersuara. Cuba memikirkan apa yang Azman perkatakan.
“Kau
boleh berjaya dalam bisnes kerana 3 perkara itu. Kenapa kau tak praktikkan
dalam mengejar cinta Juita?” sambung Azman sambil menyiku lengan Jeffrey. Jika
dibiarkan memang lelaki ini akan terlebih angau.
“Kau
ni…” marahnya.
“Just do it!” sebut Azman lagi.
Jeffrey
menghela nafas panjang. Lama dan dalam. Pada masa yang sama satu semangat hadir
dalam dirinya. “Terima kasih,” ucapnya dan terus bangun meninggalkan Azman.
“Hei,
kau nak ke mana?” tanya Azman.
“Aku nak
pergi dapatkan cintaku!” beritahu Jeffrey dengan bersemangat sekali.
Azman
menggeleng, namun dia gembira dengan kesungguhan yang Jeffrey tunjukkan.
DALAM
kereta Jeffrey tersenyum lagi. Bagus juga mendengar pendapat sahabatnya.
Tidaklah dia mati akal hingga tidak tahu apa yang patut dilakukan. Sedikit sebanyak idea Azman dapat
menyelesaikan masalahnya. Ops, bukan masalah! Tapi cabaran yang akan dia hadapi
dalam mendapatkan cinta Juita.
Kereta
yang dipandu meluncur laju. Kali ini Jeffrey sudah berada di lorong yang betul.
Dia amat berharap akan sampai ke destinasinya dengan selamat dan pantas.
Insya-ALLAH.