JUITA
ralit meneliti kertas cadangan projek yang baru diserahkan kepadanya. Dia perlu
menyemaknya dengan teliti sebelum menurunkan tandatangan. Walaupun Syifa sudah
menyemaknya, dia tetap kena pastikan tiada sebarang kesilapan.
Tiba-tiba
kedengaran pintu biliknya diketuk.
“Masuklah,”
suruhnya tanpa memandang siapa yang datang menjenguk.
“Bos,
ikan tongsan masak stim. Panas-panas dari dapur!” beritahu Said dan terus
meletakkan mangkuk tingkat di atas meja tamu di pejabat Juita.
“Alhamdulillah…
ni tongsan mana awak kail?” soal Juita yang sudah kecur air liur mendengarnya.
Dia juga turut bangun dari tempatnya dan terus menuju ke sofa. Makan punya
pasal, kena lupakan sebentar tentang kerja.
“Samalam,
kan cuti? Saya pergi cari lombonglah!” beritahu Said dengan ceria sekali.
Said merupakan
staf Juita yang paling lama bekerja dengannya. Walaupun tidak berpelajaran
tinggi, dia antara orang kepercayaan Juita memantau kerja-kerja di tapak
pembinaan. Said sangat berpengalaman dalam mengendalikan pekerja asing yang
kadang-kadang memang memeningkan.
“Lombong
mana pulak? Kat KL ni, semua lombong sudah kena kambus,” soal Juita, tetapi
sebenarnya dia lebih teruja hendak makan ikan tongsan kegemarannya.
“Jangan
risau, ini ikan tongsan dari baik punya lombong,” beritahu Said sambil
menanggalkan pengetat mangkuk tingkat. Kemudian dengan berhati-hati
mengeluarkannya dari tangkai dan
menyusunnya di atas meja.
“Dah
ajak kembar saya?” soal Juita pula.
“Dia on the way.” Said yang faham maksud
bosnya terus tersenyum. Dia tahu sangat, Juita mana boleh makan sorang-sorang.
“Fullamak!
Cili kicap istimewa pun ada. Tu yang buat saya sayang sangat dengan isteri
awak.” Puji Juita sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan yang turut Said bawa.
Ini
bukan kali pertama dia dapat makan hidangan istimewa. Hampir setiap hari Isnin
Juita tidak perlu pergi ke restoran. Setiap kali pasti Said akan menghantar
menu yang berbeza.
“Jangan
cakap lebih-lebih bos, nanti bertambah kembang isteri saya,” gurau Said.
“Tak
baik kutuk isteri sendiri. Dia kembang sebab awak beri cukup makan dan cukup
kasih sayang,” balas Juita kemudian tersenyum pula. Ketika itu juga dia sudah
terbayang isteri kesayangan Said. Manis orangnya walaupun berbadan gempal.
“Okeylah,
bos makan kenyang-kenyang dengan Syifa. Saya nak makan dengan buah hati saya,”
tutur Said yang sudah mahu beredar.
“Kat
rumah pun lauk tongsan jugak ke?” tanya Juita.
“Tentulah
tapi tongsan masak karilah. Kita orang tekak kari, tak boleh nak tukar.” Said
sudah tersengih.
“Terima
kasih Said. Jangan lupa kirim salam dengan isteri awak,” pesan Juita.
“Tak ada
hallah,” balas Said dan terus melangkah menuju ke pintu.
“Eh! Dah
nak balik ke?” tegur Syifa ketika bertembung dengan Said di muka pintu.
Said
sekadar mengangguk.
“Amboi…
dari luar dah terbau-bau ikan tongsan hang!” ujar Syifa sambil duduk di sebelah
Juita.
“Dah
rezeki tergolek, tibai ajelah.” Suapan pertama sudah masuk ke mulut. Juita
menikmatinya dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan. Dahulu sewaktu
kecil, memang selalu dia dapat makan ikan ini. Itu yang tidak boleh tolak kalau
sudah terhidang.
“Abang
tongsan, bila pulak kau nak pikat?” soal Syifa pula. Tiba-tiba teringat pula
dengan lelaki pujaan Juita. Itu pun sesuatu yang tidak boleh Juita lepaskan
juga!
“Hisy
kau ni! Mamat tu punyalah segak, kau panggil abang tongsan? Tak patut, tak
patut...” Juita sudah mengerut dahi, tetapi suapan ke mulut tetap laju.
Seketika
Juita tersenyum sendiri. Wajah lelaki yang menarik perhatiannya sudah terlayar
di ruangan mata. Akhirnya Syifa tidak
kisah dengan mamat yang dia suka itu, malah beri sokongan pula.
“Bukan
aku yang beri gelaran tu, dah si Izuddin memandai panggil dia abang tongsan,
aku ikut ajelah.”
“Tapi
kenapa?” soal Juita beria-ia.
“Inspektor
kita tak beritahu kau lagi ke?” Syifa berasa pelik pula. Selalunya cepat sahaja
si Izuddin beritahu Juita apabila tiba bab-bab begini.
“Hmm…
dia terlupalah tu.”
“Iz ada
beritahu aku. Nama dia Jeff…” sebut Syifa.
“Oo…
Jeff ke nama dia? Tapi, kenapa panggil abang tongsan pulak?” Juita sedikit
pelik. Suka-suka hati sahaja si Izuddin memberi gelaran begitu kepada orang.
“Sebab
nama sebenar dia bukan Jefridin!” Walaupun mulut berisi, sempat juga Syifa buat
lawak.
“Apa
maksud kau?” Juita sudah menghentikan suapan dan menunggu jawapan Syifa.
“Sebenarnya nama dia ala-ala Jeffrey Ong atau
Jeffrey Cheah gitu!” beritahu Syifa. Dia juga berselera sekali menikmati
hidangan makan tengah hari mereka.
“La…
macam tu ke?” keluh Juita sedikit hampa.
“Tak
payahlah patah semangat! Mana tahu abang tongsan tu keturunan Laksamana Cheng
Ho? Ikut sejarah, Laksamana Cheng Ho pun sempat tunaikan haji tau. Jangan
main-main,” beritahu Syifa.
“Yalah
tu. Kat mana kau baca?” Juita minta kepastian.
“Tanya
pak cik googlelah. Kau tau, nama
Islam Laksamana Cheng Ho adalah Haji Mahmud Shams,” terang Syifa. Dia tahu pun
sebab terbaca di facebook, kemudian dia semak untuk kepastian.
“Oo…”
Kini Juita lebih memberi tumpuan pada ikan tongsan yang sangat menyelerakan.
Apa yang Syifa beritahu sedikit melegakannya. Dia amat berharap jejaka itu
memang keturunan Laksamana Cheng Ho!
“Tapi
kan, bila lama-lama aku perhatikan, rasanya abang tongsan pun ada hati kat kau
la,” komen Syifa pula. Bukan sekali dia terperasan, sudah dua tiga kali
jugalah.
“Pandailah
kau! Jumpa pun baru beberapa kali, boleh pulak kau menilai hati orang?” soal
Juita menyembunyikan rasa gembira yang terdetik. Kalau Syifa sudah berkata
begitu, memang bukan dia seorang sahaja yang terlebih perasan.
“Yang
penting kau suka dia, kan?” Syifa menduga.
“Setakat
suka tengok wajah handsome dia
ajelah. Tak lebih dari itu,” balas Juita bersahaja. Mana boleh beritahu rahsia
hati.
“Kalau
lebih pun, apa salahnya? Kau orang pun macam pinang dibelah dua. Sama cantik,
kerja pun sama hebat,” komen Syifa lagi.
“Kau
tahu ke dia kerja apa?” Pantas Juita menyoal.
“Tak
tahu! Kena suruh inspektor kita siasatlah. Tapi macam yang pernah aku cakap,
kalau bukan jurutera, mesti arkitek.” Seperti sebelum ini, Syifa masih dengan
keyakinan yang sama.
“Kalau
dia bekerja sebagai mandur aje, macam mana?” soal Juita pula.
“Kau ni…
mamat tu punyalah bergaya, takkanlah kerja mandur aje? Jawatan tu pun dah tak
ada orang pakai. Sekarang ni orang pakai supervisor,
biar super dan tak mundur!” balas
Syifa kemudian ketawa pula.
“Mana
tahukan, dia pun sebiji macam Izuddin? Tak ada sesiapa pun nak percaya dia
pemandu dan pengawal peribadi aku.” Juita juga turut geli hati dengan lawak
sahabatnya.
“Nak aku
tanyakan?” giat Syifa.
“Mestilah,
nanti jangan lupa ingatkan inspektor kita tu, ya?” pesan Juita merujuk kepada
Izuddin yang selalu melakukan kerja tambahan.
“Tak ada
masalah. Lepas makan ni, aku akan tuliskan senarai semak untuk dia siasat,”
janji Syifa.
“Mak ai!
Kena buat senarai semak jugak ke? Aku cuma nak tahu dia kerja apa.” Juita sudah
menjungkit kening.
“Aku,
kalau buat kerja mesti beri lebih dari apa yang diminta!” ujar Syifa memuji
diri sendiri.
“Itu
yang buat aku sayang sangat dengan kau. Memang susah nak cari kawan yang sehati
dan sejiwa ni.” Juita turut memuji sahabatnya.
“Apa
lagi? Malam ni kau masak tau. Dah dua hari asyik aku aje yang masak. Ingat nak
rehat seminggu. Boleh?” gurau Syifa.
“Aku tak
kisah, tapi aku masak lauk kegemaran aku ajelah,” balas Juita.
“Tak ada
hal. Janji aku aku tak payah sibuk nak fikir lauk apa nak masak!”
Sekejap
sahaja, mereka berdua selesai menjamu selera. Kini Juita duduk menyandar pula.
Ikan tongsan sudah selamat masuk ke dalam perut. Tiba-tiba wajah mamat handsome muncul kembali. ‘Abang tongsan
pun abang tongsanlah. Tetap penyedap mata!’ detik Juita dengan hati berbunga.