SELEPAS
makan tengah hari, waktu kerja Jeffrey
dihabiskan dengan meneliti dokumen di atas mejanya. Dia hanya pergi ke
tapak pembinaan dan memantau projek pada sebelah pagi sahaja. Sebelah petang
pula dia akan memberi lebih tumpuan pada tugasan di pejabat.
Dia perlu
menentukan siapa yang patut mengambil tindakan apabila menerima surat, sama ada
komen daripada klien atau yang mahukan sebut harga untuk perkhidmatan yang
diberikan. Tidak lupa memastikan semua invois telah dikeluarkan untuk projek
yang telah disiapkan. Andai ada projek baru, lagi sibuklah dia.
Apabila
mempunyai rakan kongsi, dalam menguruskan syarikat, masing-masing perlu
memainkan peranan. Semua itu mengajar Jeffrey erti amanah dan tanggungjawab.
Biar rakan kongsinya tidak selalu berada di pejabat, kerja perlu diselesaikan
seperti biasa.
Tidak
timbul siapa yang lebih banyak membuat kerja. Setiap mereka ada tugas dan
kepakaran masing-masing dalam bidang tertentu. Andai terlalu berkira, lebih
baik awal-awal lagi tidak payah berkongsi mahupun bekerjasama.
“Sibuk
nampak?” tegur Azman yang terus sahaja masuk ke bilik Jeffrey.
Dia
baharu sahaja balik dari menghadiri mesyuarat teknikal projek di Presint 11,
Putrajaya. Hari ini tiada aktiviti penting di tapak pembinaan memandangkan
hujan telah turun sejak pagi.
“Biasalah,
petang-petang begini kena teliti dokumen yang masuk pulak,” balas Jeffrey.
Walaupun penat, dia tetap memberikan senyuman.
“Buat apa kau nak kerja teruk-teruk sangat?
Kita ada ramai staf yang boleh tolong tengokkan. Kalau semua benda kau kena
ambil berat, kau jugak yang susah,” nasihat Azman yang masak benar dengan
perangai sahabatnya ini. Sentiasa mahukan kesempurnaan sampai tidak kisah walaupun
terpaksa buat sendiri.
Jeffrey
tersenyum lagi. “Walaupun kita bos, tak bolehlah lepaskan semua kerja kat staf.
Mereka pun ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Aku cuma nak pastikan semua
kerja berjalan dengan lancar dan klien tidak komen macam-macam.”
Prinsip
Jeffrey mudah sahaja, tugasan pada hari ini wajib diselesaikan pada hari ini
juga. Sebarang tindakan kena cepat dan tepat supaya syarikat tidak mengalami
apa-apa kerugian dari segi masa mahupun kewangan. Setiap peluang yang datang perlu
direbut tidak kira berapa profitnya.
Projek
yang kecil juga dia tetap akan ambil. Walaupun ia tidak memberi keuntungan yang
besar, sekurang-kurangnya stafnya dapat menimba pengalaman yang berguna. Dia
melatih stafnya dengan terus melibatkan mereka dengan projek sebenar. Begitu
lebih berkesan dari hanya belajar secara teori sahaja.
“Kerja-kerja
jugak, tapi jangan lupa fikir diri sendiri. Aku dan Shahrul dah jumpa suri di
hati. Kau bila lagi?” Tiba-tiba Azman mengubah topik peribadi pula. Adakalanya
kena ingatkan Jeffrey pasal hal yang satu ini. Azman juga mahu melihat
sahabatnya hidup berbahagia seperti orang lain juga. Berkeluarga dan mempunyai
isteri yang akan menjaga makan dan pakainya.
“Kalau
boleh aku memang nak ada keluarga sendiri. Balik rumah ada yang sambut aku,
tapi nak buat macam mana, kan?” balas Jeffrey sambil menyusun dokumen yang
sudah disemak dan diletak di atas tray.
“Kau
tulah! Tak cukup di ofis, di rumah pun nak buat kerja jugak. Luangkanlah masa
berjalan ke mana-mana. Awek kat Malaysia ni banyak, kau tu aje yang memilih
sangat.” Azman memberikan cadangannya.
“Memanglah
kena pilih, bukan boleh main taram aje.” Bagi diri Jeffrey, berkahwin hanya
sekali seumur hidup. Kalau sudah tersalah pilih, memang meranalah jiwa. Isteri
bukan boleh ditukar ikut suka hati.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni. Muka handsome, kerja pun bagus. Kenapalah
masih tak ada girlfriendjugak? Ke
kau takut ada komitmen?” Azman sengaja menduga Jeffrey yang selalu sahaja ada
jawapan apabila isu ini ditimbulkan.
“Kau ni,
ke situ pulak! Aku sebenarnya tak nak membuang masa. Kalau dah jumpa yang aku
berkenan, aku akan terus ajak kahwin. Malas nak keluar dating ni.” Jeffrey
memberikan alasannya.
“Ya
sangatlah nak bercinta selepas kahwin. Padahal hendak memulakan langkah pun kau
tak berani, kan?” perli Azman.
“Aku
bukan apa, kalau tiap-tiap hari keluar tapi akhirnya tak kahwin jugak, baik tak
payah. Masa aku tak terbuang, duit pun tak habis.” Ada sahaja jawapan Jeffrey
untuk mengelakkan diri.
“Kau ni…
itu pun nak berkira. Harta dan duit yang mama kau tinggalkan pun tak luak,”
balas Azman pula. Bukan dia tidak tahu Jeffrey mewarisi semua harta peninggalan
mamanya. Bukan setakat saham, rumah sewa dan rumah kedai, pendek kata tidak
payah kerja sangat pun tidak mengapa.
“Memanglah
aku ada banyak harta, tapi ia tak sama
dengan harta yang kita usahakan sendiri.” Jeffrey memberikan
pandangannya. Bagi dirinya, kejayaan yang diperolehi hasil usaha dan titik
peluh sendiri lagi memberi makna. Segala yang diperolehi akan lebih dihargai.
“Yalah,
setiap orang berbeza pandangan. Suka hati kaulah, tapi jangan nanti jadi bujang
terlajak. Terlajak laris tak apa!” Azman sudah ketawa.
“Hish
kau ni! Tak mainlah terlajak-lajak. Kau dah kahwin, senanglah cakap macam tu.
Walaupun ramai awek di luar sana, bukan semuanya memenuhi kriteria. Aku bukan
semata-mata mencari seorang isteri, aku mencari pendamping dan ibu kepada
anak-anak aku,” ujar Jeffrey menyatakan pendiriannya.
“Bukan
main lagi kau punya angan-angan!” Azman seakan memerli pula.
“Aku
percaya, tiba masanya gadis idaman aku pasti akan muncul di depan aku,” ujar
Jeffrey dengan yakin sekali. Dia juga sudah mengukir senyuman.
“Okeylah,
aku pun dah nak balik. Hari ni tak dapatlah nak temankan kau minum petang. Aku
nak keluar dengan isteri kesayangan aku.” Azman bangun meninggalkan Jeffrey.
Duduk lama-lama berdebat dengan Jeffrey pun bukannya mengguntungkan.
Jeffrey
hanya mengangguk kemudian menyandar sambil memejamkan matanya. ‘Sampai bila aku
mahu begini?’ detiknya.Kini hanya sepi yang menemani dan dia tidak mahu
selamanya begini.
JAM sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Jeffrey masih
berada di pejabat. Selama ini, entah apa sebenarnya yang dicari dalam hidup.
Ada banyak duit pun tidak membahagiakan dirinya.
Apabila ditimpa masalah, lagilah
buat dirinya berserabut. Ketika itu, tiada apa yang dapat menenangkan dirinya.
Apa yang dia miliki tidak mampu memenuhi apa yang dia inginkan dalam hidup ini.
Akhirnya dia bagai kehilangan segala-galanya.
Seketika dia menatap gambar keluarga
yang terselit di dalam diarinya. Terasa begitu pantas masa berlalu. Tiba-tiba
rasa rindu terdetik di hati. Tidak semua memori mampu dirakam melalui gambar.
Begitupun, Jeffrey bersyukur kerana diberi nikmat untuk merakam sebahagian
besar kenangan terindah dalam hidupnya. Kemampuan dirinya untuk mengingat semua
itu satu anugerah yang tidak ternilai.
Pita
memori bisa sahaja diputar, dikenang dan disusuri. Namun, kenangan yang
menggembirakan atau meruntun jiwa pasti tidak mampu mengembalikan apa yang
telah pergi dari hidup. Harapannya semoga TUHAN makbulkan doanya dan permudahkan urusannya.
Semoga perancangannya seiring dengan takdir yang direncanakan-NYA.
Akhirnya Jeffrey segera mengemas
barangnya. Lebih baik dia balik ke rumah. Sebelum itu pasti sahaja singgah di
restoran yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Kini restoran itu menjadi satu
kemestian untuk dikunjungi. Setiap hari dia akan cuba singgah di sana.
Entah kenapa dia bagai ditarik-tarik
untuk terus mengunjungi restoran itu. Kalau tidak sempat bersarapan di situ,
dia akan datang pada waktu tengah hari pula. Ketika minum petang memang tidak
di restoran lain melainkan kalau dia berkerja hingga lewat petang.
Paling dia gemari, restoran itu
sentiasa menghidangkan menu harian yang sentiasa bertukar dan menepati
seleranya. Lagipun ia tidak berhadapan dengan jalan besar, jadi suasananya
lebih tenang.
Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Di situ
juga ada sesuatu yang sering membuat dia tertunggu. Rakan-rakan sering
bertanya, namun dia tidak pernah menyatakannya. Biarlah ia menjadi rahsia dan
tidak perlu dihebohkan. Sampai masanya,
mereka akan tahu sendiri!