SYIFA bernyanyi dengan riangnya mengikut lagu yang disiarkan menerusi corong radio kereta. Juita
di sebelahnya tidak dihiraukan walaupun gadis itu beberapa kali menegur supaya
perlahankan suara. Begitupun, akhirnya dia melepaskan keluhan sebaik kereta
berhenti berhampiran deretan rumah kedai.
“Restoran ni lagi?” soal Syifa lalu memandang Juita. Punyalah
banyak restoran di Bandar Baru Bangi, Restoran Sharifah juga yang sahabatnya
pilih.
“Apa salahnya makan kat sini?” Juita mengerut dahi sambil menanggalkan
tali pinggang keledar.
“Ke kau ada share
dengan tuan punya restoran ni?” duga Syifa. Sahabatnya ini bukan boleh percaya
sangat. Kononnya tiada rahsia antara mereka, tetapi ada juga perkara penting
yang sering Juita sembunyikan daripadanya.
“Tak salah tolong bangsa sendiri, kan?” Juita menggariskan
senyuman yang turut menampakkan giginya yang cantik tersusun.
“Aku dah agak dah,” keluh Syifa sambil membuka pintu kereta.
“Tahu tak, sebelah restoran ni adalah pejabat pakar motivasi
yang terkenal? Bila dia ada program, sah-sah restoran ni dapat tender sediakan
makanan untuk para peserta. Bijak tak aku?” Juita memuji diri sendiri.
“Pejabat tu tengah buat pengubah suaian dan kau dah tahu
siapa pemiliknya?” Syifa membulatkan mata. Ingatkan si Juita ini tidak mahu
ambil tahu dengan hal-hal sebegini. Rupanya sudah jauh ke hadapan.
“Aku kan otak bisnes? Walaupun tak untung banyak, aku percaya
restoran ni boleh maju,” tutur Juita dengan yakin sekali.
Bagi yang tidak mengenali dirinya, pasti beranggapan dia hanyalah
eksekutif biasa yang sama-sama memajukan syarikat. Tidak tahu, rupanya dialah
pemilik syarikat pembinaan yang mempunyai staf yang ramai dan bangunan
bertingkat-tingkat. Siapa bos yang sebenarnya pun, kadang-kadang buat orang
lain keliru!
“Lepas tu boleh buka cawangan baru, kan? Hebat betul kawan
aku ni!” puji Syifa tetapi kepalanya sudah menggeleng. Tidak menyangka Juita
akan melabur dalam bidang katering pula. Langsung jauh tersasar dari perniagaan
yang mereka usahakan sekarang.
“Jue, nanti nak Iz ambil pukul berapa?” Tiba-tiba si pemandu
kereta pula menyampuk.
“Ambil kita orang dalam pukul dua suku. Saya nak lama-lama
lepak kat dapur angkat saya ni,” pesan Juita kepada Izuddin yang setia
membawanya ke mana sahaja.
“Okey,” balas Izuddin. Kereta BMW X6 berwarna hitam terus
bergerak setelah Juita menutup pintu kereta.
Juita dan Syifa beriringan menuju ke Restoran Sharifah. Tidak
jauh mana pun dari tempat Izuddin turunkan mereka.
“Tapi kan, aku rasa kau mesti ada agenda lain. Baik kau cakap
dengan aku,” ujar Syifa yang masih tidak berpuas hati. Dia yakin sahabatnya
pasti ada perkara yang dirahsiakan dari pengetahuannya.
“Kalau ada pun, biarlah rahsia.” Senyuman Juita semakin
lebar, buat Syifa bertambah bengang.
“Sekejap, ini mesti ada kaitan dengan mamat tu, kan?” Syifa
cuba mengorek cerita. Tiba-tiba terlintas di fikirannya pasal lelaki yang Juita
ceritakan tempoh hari.
“Hmm… mungkin salah satu sebabnya.” Juita sudah tertawa. Saat
ini mereka berdua sudah duduk di meja pilihan Juita.
“Ei, tak fahamlah aku dengan kau ni! Hanya kerana mamat tu,
kau sanggup berhabis macam ni? Kau biar betul Jue?” Ini yang Syifa paling tidak
suka. Lantik dirinya sebagai pengarah urusan dan proksinya, tetapi si Juita ini
sesuka hati buat keputusan sendiri.
Ini bukan kali pertama Juita membuat keputusan tanpa
berbincang dengannya terlebih dahulu. Kadang-kadang sahabatnya ini suka buat
dia sakit jiwa! Lebih parah, sudah terhantuk baharu dia sibuk bertanya apa langkah
yang patut diambil.
“Kau ni… tak fikir lain! Aku melabur sebab aku nak untung.
Kalau ada perkara lain yang boleh buat aku gembira, ia satu bonus,” beritahu
Juita agar Syifa mengerti. Apa yang dia buat ada sebab tertentu. Dia tidak akan
buat sesuatu yang sah-sah merugikan dirinya dan juga syarikat.
“Bonus apanya?” Syifa bertanya geram. Matanya menjeling Juita yang relaks sahaja.
“La… kau macam tak kenal aku pulak! Dapat makan sesuatu yang
kononnya percuma memang syok. Dapat memandang sesuatu yang cantik, adalah satu
terapi!” sebutnya kemudian tertawa lagi.
“Banyaklah kau punya terapi. Menambah kerja aku adalah!”
marah Syifa.
“Itulah silapnya kau. Selain dapat cuci mata, mana tau dapat
idea bisnes yang lain. Aku mana pandai cari bisnes kat padang golf,” tegas
Juita sambil menggelap wajah yang sedikit berpeluh. Maklumlah, mereka baharu sahaja
duduk. Penghawa dingin restoran masih belum memberi kenyamanan yang sebenar.
“Kau janganlah nak buat aku bertambah sibuk, Jue. Perjanjian
kita ada syarat-syaratnya. Bukan selamanya aku kena kerja dengan kau.” Syifa
mengingatkan.
Dia juga ada cita-cita dan impian sendiri. Malah keluarganya
mengharapkan dia untuk menggantikan papanya dalam bisnes keluarga. Sekarang ini
dia boleh lepas kerana kononnya mahu mencari pengalaman dengan bekerja di
syarikat lain terlebih dahulu.
“Alah, kau baru aje bertunang, bukan nak kahwin dalam masa
terdekat ni. Entah-entah aku yang kahwin dulu,” balas Juita pula.
“Bukan pasal tu, papa aku dah banyak kali bertanya. Kau ni
memanglah!” sungut Syifa.
Kadang-kadang dia bengang juga dengan sahabatnya ini. Ada
sahaja jawapannya untuk mengelak dan menyelamatkan dirinya. Tetapi, kalau
dengan abang dia, pijak semut pun tak mati! Tidak kisah kena kutuk dan kena
marah. Itu yang Syifa pelik dengan perangai si Juita ini.
Sedang mereka asyik berbual, pelayan restoran telah menghampiri
meja mereka dengan senyuman.
“Macam biasa ya,” sebut Juita sebelum sempat pelayan itu
bertanya.
“Okey…” balas pelayan itu dan terus berlalu.
“Amboi, apa yang macam biasa tu? Bukan ke kita baru dua kali
makan kat sini? soal Syifa.
“Dah restoran aku, kan? Memang nak kenalah kalau tak
reti-reti lagi! Tapi kalau kau nak pesan menu lain, dipersilakan,” ujar Juita
sambil matanya liar memandang sekeliling.
“Tu… nak cari kelibat mamat tulah, kan?” Sekali lagi Syifa
menggeleng. Memang susah hendak faham dengan sahabatnya yang seorang ini.
“Aduhai Syifa, bila lagi aku nak mencari calon-calonnya kalau
bukan sekarang?” Juita menjawab selamba.
“Kut ya pun, mata tu kawallah sikit! Awak tu anak dara. Mamat
tu pun tak tahu siapa kau lagi. Kalau dia tahu siapa sebenarnya minah sempoi
ni, hmm… tak tahulah aku nak cakap apa,” perli Syifa.
“Habis tu, jadi anak dara kena tunduk ajelah?” Sengaja Juita
mahu bergurau dan buat Syifa bertambah geram.
“Suka hati kaulah!” Syifa ketap gigi. Nasib baiklah bos,
kalau tidak, lagi panjang bebelan dia.