AKHIRNYA
Juita bersetuju juga untuk menerima pelawaan Jeffrey untuk berjumpa dengannya.
Walaupun berat hati, dia gagahkan juga.
Lagipun
dia memang perlu bersemuka dengannya bagi menyelesaikan masalah yang melanda
mereka berdua. Juita sudah beritahu dirinya agar jangan cepat beralah. Apa pun
yang Jeffrey hendak cakap, jangan mudah terpedaya. Kalau boleh jangan beri muka
langsung.
Lelaki
ini kena diajar sikit. Dia ingat kaum perempuan ini mudah dipermain-mainkan?
Dia silap oranglah andai mahu mengenakan dirinya. Juita berbicara sendiri walau
tidak pasti lagi apa tujuan sebenar Jeffrey beria-ia mahu berjumpa dengannya.
Lelaki
itu siap SMS kononnya urusan hidup dan mati. Dia pula mahu tidak mahu kena juga
bersetuju. Hendak tengok juga sejauh mana keikhlasan lelaki itu. Selepas itu
dia akan main tarik tali dengannya. Biar dia terseksa dan merana. Andai dapat
kenakan lelaki itu, barulah dia berasa puas.
MENGHAMPIRI
pukul 12.00 tengah hari, Juita sampai di tempat yang dijanjikan. Mujur dia
mudah sahaja mendapat tempat parkir. Begitupun, dia kena menapak juga menuju ke
restoran pilihan Jeffrey itu.
Dari jauh Juita sudah nampak kelibat
Jeffrey. Nampaknya lelaki itu telah tiba lebih awal kerana air minumannya sudah
tinggal separuh sahaja.
“Maaf,
buat awak tertunggu pulak,” ucap Juita dan terus menarik kerusi lalu duduk.
Ketika
ini masih tidak ramai pelanggan yang mengunjungi restoran ini. Juita berasa
lega kerana Jeffrey memilih untuk berjumpa di restoran yang ada ruang berhawa
dingin. Tidaklah dia kepanasan dengan masalah yang mereka hadapi.
“Terima
kasih kerana sudi datang. Awak nak minum apa?” Jeffrey berbahasa menyambut
ketibaan Juita walaupun wajah gadis itu jelas tidak ceria langsung.
“Teh
ais, please.”
Tanpa
berlengah, Jeffrey terus memesan kepada pelayan restoran yang kebetulan sedang
mengelap meja sebelah.
“Nak
makan apa-apa tak?” soal Jeffrey lagi. Sehabis boleh dia mahu melayan Juita
dengan baik.
Juita
hanya menggeleng. Dia masih kenyang dan andai dia lapar sekalipun, dia tidak
akan sesekali makan bersama lelaki itu.
“Okeylah,
kita minum aje,” balas Jeffrey.
“Apa
yang mustahak sangat sampai awak nak berjumpa dengan saya?” Terus sahaja Juita
bertanya, malas mahu menunggu Jeffrey memulakan bicara.
“Pasal
kitalah.” Perlahan sahaja jawapan itu diberi. Tangannya mengacau teh ais dengan
penyedut minuman. Ais yang mencair telah merubah rasa teh aisnya menjadi
sedikit tawar.
“Rasanya
antara kita memang tak ada apa-apa, kan?” Juita sengaja berkata begitu. Matanya
sengaja melihat keadaan sekitar restoran.
“Pada
awalnya memang tak ada apa-apa, tapi tidak sekarang,” balas Jeffrey.
Seketika
dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian mengusap rambutnya pula. Cuba membuang
kerisauan yang melanda. Padahal ianya bukanlah satu masalah yang besar sangat
pun. Hanya soal hati dan perasaan, namun dirasakan amat berat untuk dilafazkan.
“Apa
maksud awak?” Juita sedikit terkejut dengan bicara lelaki di hadapannya ini.
“Saya
rasa saya patut berterus terang aje,” ujar Jeffrey kemudian menyisip air minumannya.
Sengaja mahu melambat-lambatkan perbualan.
“Cakap
ajelah. Buat apa nak belok-belok?” balas Juita. Tiba-tiba dia berasa mahu tahu
sangat apa yang ingin Jeffrey sampaikan.
“Boleh
tak kita lupakan saja pasal hal tempoh hari?” soal Jeffrey sambil angkat
kening. Wajah Juita ditatap tanpa berkelip.
“Senangnya
awak cakap. Awak dah sakitkan hati saya, lepas tu suruh lupakan aje?” tempelak
Juita tetapi dengan suara yang perlahan. Tidak mahu pelanggan yang lain terdengar
butir bicara mereka.
“Saya
tak ada niat pun nak sakitkan hati awak. Sebenarnya…” Bicara Jeffrey terhenti.
“Sebenarnya
apa?” potong Juita. Matanya sudah menjeling Jeffrey.
“Saya
rasa saya dah jatuh cinta dengan awak.” Akhirnya kata-kata itu terucap jua.
Jeffrey berasa amat lega dapat melafazkannya.
Juita menghela
nafas kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Namun dia berasa semput sebab cuba
menahan diri dari pengsan dengan pengakuan Jeffrey. ‘Huwa… jangan cepat tergoda
dengan bicara manisnya,’ bisik hatinya.
“Saya
sebenarnya ikhlas dengan apa yang saya cakap. Saya memang mahu mengambil awak
sebagai isteri saya,” ucap Jeffrey dengan perasaan berdebar-debar.
Dia
sebenarnya amat risau dengan reaksi Juita. Diam menanda suka atau tidak berasa
apa-apa langsung? Wajah Juita amat serius sebaik mendengar pengakuannya tadi.
Kini
Juita memandang Jeffrey dengan pandangan keliru. Benarkah dengan apa yang
lelaki itu ucapkan? Atau sekadar mahu mengambil hatinya? Sukar untuk dia
percaya kata-kata Jeffrey. Takkanlah hati boleh berubah-ubah dalam sekelip mata?
Sekejap tak rasa apa-apa, sekejap sudah ada cinta dan mahu berkahwin pula?
“Awak?”
panggil Jeffrey apabila Juita masih membisu dan bagai terpaku pula.
“Senangnya
awak jatuh cinta? Hari itu cakap lain, sekarang lain pulak,” soal Juita sedikit
beremosi.
“Saya
pun tak tahu bagaimana hendak menerangkannya. Kalau rasa itu sudah ada di hati,
takkan saya mahu menidakkannya?”
“Atau
awak sengaja mencari alasan untuk kenakan saya lagi? Minta maaf kemudian kata
dah jatuh cinta. Lepas itu menghilang dan sakitkan hati saya lagi?” soal Juita
dengan muka tegang. Memang muka orang yang sedang menahan rasa geram. Geramkah
dia atau terkejut dengan pengakuan lelaki
ini? Kini hatinya telah berasa lain. Lebih tepat berasa cuak sebenarnya!
“Kenapa
awak menuduh saya begitu? Saya benar-benar ikhlas dengan awak. Dan saya mahu
teruskan dengan hubungan yang halal,” jelas Jeffrey.
“Hubungan
halal? Apa maksud awak?” soal Juita walaupun dia mengerti apa yang cuba Jeffrey
sampaikan. Dia bukanlah budak belasan tahun yang tidak faham hukum berpacaran.
Namun, adakah abang tongsan ini benar-benar memahaminya?
“Macam
yang saya cakap tadi, saya mahu awak jadi isteri saya,” beritahu Jeffrey.
Matanya masih memandang Juita yang sudah gelisah.
“Kalau
saya tak nak?” Sengaja Juita mahu menduga Jeffrey. Selebihnya mahu tahu juga
sejauh mana kesungguhan lelaki ini mahu memikatnya.
“Janganlah
macam tu. Kalau saya tak ikhlas, saya takkan berterus terang begini,” rayu
Jeffrey.
“Suka
hati sayalah nak buat apa pun. Awak tak ada hak nak paksa saya untuk terima
awak,” tegas Juita.
Jeffrey
melepaskan keluhan dan terus senyap. Cuba mencari ayat yang sesuai untuk
memujuk Juita. Dia tidak boleh melepaskan Juita begitu sahaja sebab dia memang
sudah benar-benar sukakan gadis ini. Pada masa yang sama dia tidak mahu
membuang masa bercinta ke hulu ke hilir. Dia mahu terus ikat Juita dengan
ikatan yang sah.
“Kalau
macam tu, saya nak jumpa ayah awak,” sebut Jeffrey dengan serius.
Juita
hampir tersedak walaupun tiada apa-apa yang masuk ke mulutnya. Segera dia
menyisip teh aisnya.
Hening
seketika antara mereka. Jeffrey masih menunggu kata balas daripada Juita.
Sebaliknya Juita tidak ada jawapan untuk diberikan.
“Apakah cinta saya tidak berharga?”
soal Jeffrey apabila sudah panas punggung menunggu Juita membuka mulut.
Membulat mata Juita sebaik
mendengarnya.‘Wow! Boleh tahan juga soalan cepumas lelaki ini,’ bisik
hatinya.
“Apakah cinta saya tak ada nilai
langsung di mata awak?” Jeffrey mengulangi soalan yang sama dengan tambahan
ayat yang bisa meruntun jiwa.
“Buat
apa nak tanya soalan macam tu? Saya tak boleh nak jawab sebab saya bukan peniaga cinta!” balas
Juita. Huh! Mujur dia alasan untuk diberikan.
“Terimalah
saya, please...” pinta Jeffrey dengan
bersungguh-sungguh.
“Terima
awak? Jangan harap!” Sinis sekali kata-kata Juita. Mahu tahu juga reaksi
Jeffrey. Adakah lelaki ini masih merayu atau akan terus mengalah.
“Janganlah
buat saya macam ni. Saya serius dengan kata-kata saya,” rayu Jeffrey lagi.
“Lantak awaklah! Buat apa saya nak ambil kisah?”
Juita memang buat tak endah sahaja.
“Kalau
macam tu, apa kata kita mulakan dengan
berkawan dulu,” Jeffrey masih menaruh harapan.
“Dah,
jangan nak buang masa. Saya tak nak berkawan dengan awak,” tegas Juita dengan
wajah serius. Dia melontar pandangannya ke arah lain. Malas mahu bertentang
mata dengan Jeffrey.
“Bagilah
peluang kepada saya. Apa salahnya kita mencuba? Mana tahu kita sebenarnya ada
jodoh.” Jeffrey masih tidak mahu mengalah.
“Kalau
niat asal awak dah tak betul, sampai bila pun ia takkan betul,” tegas Juita.
“Sebab
itu saya nak betulkan dan mahu menjalinkan persahabatan dengan awak,” ujar
Jeffrey. Andai Juita ada sahaja hujahnya, dia juga kena pandai mengatasinya.
“Saya
tak perlukan sahabat mahupun kawan lelaki. Tak faham lagi?” marah Juita.
“Tapi
saya tetap nak berkawan dengan awak!” sebut Jeffrey.
“Awak
berkawanlah sorang-sorang! Saya tak ada masa nak layan orang macam awak ni,”
balas Juita.
“Awak,
janganlah buat saya macam ni…” Sekelip mata suara Jeffrey berubah nada. Kali
ini dia merayu dengan muka kasihan pula.
Tiba-tiba
ada sesuatu yang mengusik hati Juita. Dia tidak menyangka Jeffrey akan merayu
begini. Tadi, sangkanya Jeffrey akan mengalah, rupanya tidak juga. Sebaliknya
ada perasaan lain yang hadir di hati Juita, namun dia tidak mahu
mengendahkannya. Tanpa membuang masa, Juita bingkas bangun dan terus beredar.
Jeffrey
hanya memerhati langkah Juita tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba dia kehabisan
bicara untuk merayu dan menghalang gadis itu. Juita memang berhak untuk marah
dan buat apa sahaja. Tetapi, kenapa dia terlalu mudah menyerah kalah?
JEFFREY
sudah buntu dengan masalah yang dihadapinya. Saban malam dia tidak lena tidur
memikirkan cara terbaik untuk mengambil hati Juita. Dia sudah cuba memujuk, namun gadis itu tidak
mempedulikan perasaan hati yang telah diluahkan. Itu yang buat dia tidak
menentu.
Jujurnya
dia tidak sanggup kehilangan gadis itu. Setiap hari hanya wajah Juita yang
bermain di fikirannya. Ke mana sahaja dia pergi, bayang-bayang gadis itu
sentiasa mengekorinya.
“Korang
tolonglah aku.” Sekali lagi Jeffrey tebalkan muka meminta pertolongan daripada
Shahrul dan Azman.
“Kau
ingat nak mendapatkan cinta semudah mendapat projek ke? Nak dapat projek pun
kena melalui berbagai prosedur baru lulus. Inikan pulak nak merebut cinta
seorang perempuan!” tegur Shahrul.
Tadi,
mati-mati Shahrul ingatkan Jeffrey memanggil dia dan Azman untuk berbincang
pasal projek terbaru. Rupanya pasal projek hati dia pula! Memang parah apabila
pertama kali jatuh cinta dan tidak pandai memikat. Bertambah kasihan apabila
tidak dilayan pula.
“Korang
dah ada pengalaman, mesti dah tahu apa nak buat untuk pujuk orang perempuan
ni.” Jeffrey masih tidak berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian.
“Hati
orang perempuan ni lain sikit. Sekali dia terluka, memang payah nak sembuh,”
sampuk Azman pula. Naik kasihan pula dia melihat Jeffrey yang tidak berapa
betul sejak akhir-akhir ini. Semua gara-gara idea gila dia dan Shahrul yang
sengaja mencabarnya.
“Aku
mana ada lukakan hati Juita?” sangkal Jeffrey pula.
“Itu
kata kau. Yang kau tipu dia, bukan buat dia terluka ke?” tekan Shahrul pula.
“Macam
nilah, kau relaks seminggu dan jangan kacau dia. Tengok apa reaksi dia,” cadang
Azman pula.
“Kalau
dia buat tak reti, macam mana?” soal Jeffrey.
“Kalau
dah pujuk-pujuk tak jalan jugak, kau bawak lari aje si Juita tu!” gurau Azman
dan terus tergelak.
“Kau
jangan nak ikut pulak idea tak betul Azman tu,” nasihat Shahrul pula.
“Peninglah
aku kalau macam ni. Seorang kata begini, seorang lagi kata begitu,” sungut
Jeffrey.
“Aku cuma
beri kau idea aje, kau cubalah ubah suai supaya Juita ni terpaksa jugak terima
kau,” sebut Azman. Memang dia main-main sahaja dengan idea kurang bijak itu. Tetapi,
tetap boleh diguna pakai kalau tahu caranya.
“Relaks
la Jeff… baru sekali kau ditolak, janganlah cepat kecewa.” Shahrul cuba memberi
kata semangat.
“Hmm…”
“Maaflah,
kejap lagi aku ada mesyuarat dengan klien. Aku pergi dulu,” beritahu Azman dan
terus beredar.
“Kau pun
ada mesyuarat jugak ke?” Jeffrey menoleh ke
arah Shahrul pula.
“Aku pun
nak minta maaf jugaklah sebab tak dapat nak bagi idea kat kau. Anyway, kejar dia sampai dapat dan
jangan berputus asa,” ucap Shahrul.
“Yalah,”
balas Jeffrey sambil memandang Shahrul yang bangun meninggalkannya.
Kini
Jeffrey sambung termenung. Dokumen dan laporan yang ada di atas mejanya
dipandang sepi. Semua itu boleh sahaja ditolak ke tepi buat sementara waktu.
Dia kena fikirkan supaya dirinya tidak ditolak ke tepi begitu sahaja. Tiba-tiba
sesuatu telah menjengah mindanya. Jeffrey tersenyum kerana sudah mendapat idea
untuk mengatasi masalahnya.