SETELAH
berbual dengan umi, Juita mahu berehat di ruang tamu. Belum pun sempat dia
duduk, sudah ada yang menegur.
“Ni
balik kampung, takkan kena berhenti lagi kut?” Abang Ridwan sudah mula pasang
radio. Juita sengaja pekakkan telinga. Dia tidak memandang abangnya mahupun
membalas kata-katanya. Sengaja buat tidak tahu kerana begitu lebih baik.
Dia pun
tidak tahu sampai bila abang yang seorang ini asyik mahu mencari salahnya.
Sebelum ini Abang Ridwan selalu mengutuk dirinya yang belajar sahaja
tinggi-tinggi, tetapi bekerja biasa-biasa sahaja. Akhirnya gaji yang diterima
sama sahaja seperti tidak memiliki segulung diploma mahupun ijazah. Baik tidak
payah berhabis duit masuk universiti.
Ketika
itu Juita memang tidak mahu bertekak walaupun hatinya turut terasa sakit. Sudah
bukan rezekinya pada masa itu untuk terus mendapat perkerjaan yang setanding
dengan kelulusannya. Jadi, terima sahaja dan teruskan kehidupan meskipun tidak
seindah mana.
“Kamu ni
tak ada mulut ke? Buat tak reti aje bila abang bercakap?” marah Abang Ridwan.
Dia berasa bengang pula apabila Juita buat tidak endah sahaja.
“Jue sebenarnya
dah malas nak layan abang. Selagi Jue tak minta duit dan tak susahkan abang,
boleh tak jangan nak bising-bising?” Tiba-tiba Juita berasa geram sangat dengan
kata-kata sinis abangnya. Sekali-sekala dia hendak bersuara juga. Takkan asyik
berdiam sahaja, kesabarnnya pun ada had juga.
“Amboi,
dah pandai melawan pulak?” herdik Abang Ridwan. Matanya tajam memandang Juita
yang selamba sahaja.
“Habis
tu, abang ingat selamanya abang boleh kutuk dan
cakap sesuka hati pasal Jue?” balas Juita pula.
“Jue, kenapa
ni?” sampuk Puan Salmah yang segera datang ke ruang tamu sebaik terdengar
anak-anaknya bagai bertengkar pula.
“Tengoklah
perangai anak bongsu umi ni! Sekarang dah pandai melawan pulak. Nanti entah apa
pulak yang dibuatnya kat KL tu.” Abang Ridwan bagai sengaja menyakitkan hati
Juita.
Juita
cuba menahan diri dari membalas kata-kata abangnya, nanti bermacam ayat pula
yang keluar. Sebolehnya dia tidak mahu keruhkan keadaan. Kalau ikutkan hati
yang marah, mahu aje dia sepak mulut abangnya itu! Nasiblah dia bukan seorang
yang sering bertindak melulu.
“Dahlah,
Jue masuk bilik aje. Tak payah nak ambil hati dengan abang tu,” pujuk umi
sambil mengusap bahu Juita.
Tanpa
suara, Juita mengikut nasihat uminya dan terus menuju ke biliknya.
Puan
Salmah hanya mampu menggeleng. Kasihan melihat anak gadisnya itu. Balik kampung
hendak melepaskan rindu pada keluarga, tapi selalunya asyik terluka. Puan
Salmah juga sudah malas hendak menegur anak sulungnya. Bukannya dia akan
berubah, malah bertambah teruk pula.
Juita
terus menghempaskan dirinya di atas katil.Kadangkala dia lebih
memilih untuk berdiam kerana terlalu menjaga perasaan orang lain sehingga tidak
sanggup melukakan mereka. Malangnya sikap tersebut membuatkan dia kian kecewa
apabila orang lain langsung tidak mahu menjaga hatinya.
Sebenarnya Juita sudah
lama bersabar dengan sikap Abang Ridwan. Bukan setahun dua, malah sejak dia
sekolah rendah lagi. Entah apa yang Abang Ridwan jaki sangat dengan dirinya.
Padahal, abangnya adalah anak kesayangan abah. Dirinya pula bagai terpinggir
dari abah sendiri. Jangankan hendak bermanja, hendak berbual pun kena tengok
keadaan terlebih dahulu.
Kini
Juita menangis lagi untuk sekian kalinya. Namun tiada siapa yang peduli. Air
matanya jatuh ke perut. Siapalah yang tahu, siapalah yang mengerti? Dahulu dia
berasa kecil hati juga kerana abahnya lebih mengutamakan abang dan kakaknya
sahaja.
Kadang-kadang
dia berasa seperti bukan anak kandung abahnya. Masih teringat saat dia mahu
mengambil keputusan UPSR di sekolah. Dia amat yakin akan memperolehi keputusan
cemerlang seperti Abang Ridwan, Kak Huda dan Kak Meen.
Dia
sudah berangan yang abahnya akan hadir ketika penyampaian hadiah kepada pelajar
cemerlang. Malangnya semua itu cuma
angannya sahaja. Abahnya tidak ambil tahu dan tidak kisah pun apa keputusannya.
Sebaik mengetahui Juita memperolehi 5A, abahnya tidak cakap apa-apa pun
kepadanya.
Perasaan
Juita ketika itu? Dia berasa penat sahaja belajar bersungguh-sungguh
semata-mata mahu setanding dengan abang dan kakak-kakaknya. Akhirnya tiada
hadiah dan tiada ucapan tahniah juga. Nasib baik uminya memberi kata pujian dan
tetap memasak makanan kegemarannya.
Masuk
sekolah menengah, Juita langsung tiada semangat untuk menjadi pelajar
cemerlang. Abahnya sampai hati tidak mahu masukkan dia ke sekolah berasrama
penuh walaupun dia mendapat tawaran belajar di MRSM. Berkali-kali dia merayu
dan memujuk, namun abah tetap dengan keputusannya.
Abahnya
memberi alasan bukan banyak beza pun kalau belajar di sekolah asrama. Lagipun
dia perlu sediakan duit lebih untuk abang dan kakak-kakaknya juga. Akhirnya
Juita jadi pelajar yang biasa-biasa sahaja. Mujur keputusan SPM melayakkan
dirinya untuk masuk universiti. Kalau tidak, memang jadi operator
pengeluaranlah jawabnya!
MALAMNYA
Juita berpeluang makan bersama abah dan uminya. Petang tadi Abang Ridwan, Kak
Yati dan anak-anaknya telah balik ke rumah mereka di Tambun Heights.
“Ni,
kenapa sedih-sedih depan rezeki?” tegur Puan Salmah sambil menyenduk nasi ke
dalam pinggan.
“Tak
adalah umi, penat sikit,” dalih Juita. Padahal sejak sampai dia tidak berbuat
apa-apa pun selain berehat dan menonton televisyen.
“Nanti
Jue balik esok atau hari Isnin?” Tiba-tiba Haji Hussein bertanya. Dia baru
sahaja balik dari masjid. Petang tadi tidak sempat pula hendak berbual dengan
anak gadisnya. Balik sahaja dari TESCO, terpaksa keluar lagi berjumpa kawan
lamanya pula.
“Tengoklah
macam mana. Cadangnya nak balik hari Isnin. Tapi kalau ada yang bising-bising,
baiklah balik esok aje.” Mendatar sahaja suara Juita, secara tidak langsung
meluahkan perasaan hatinya.
“Dah
tahu perangai Abang Ridwan macam tu, buat apa nak ambil hati sangat?” pujuk
Puan Salmah yang faham maksud anaknya.
“Ini
bukan pasal ambil hati, abang tu tak penat ke asyik nak marah-marah dan sindir
Jue bila Jue ada di rumah ni? Dengan anak bini yang tak betul tu, tak ada pulak
nak menegur,” sebutnya.
“Tak
payahlah fikir sangat pasal abang kamu tu. Ni abah nak tanya, kamu ni bila nak
kahwinnya? Sekarang ni tinggal Jue aje yang tak kahwin lagi.” Tiba-tiba Haji
Hussein timbulkan soal kahwin pula.
Dia
memang risau kerana anak gadisnya masih belum bertemu jodoh. Umurnya hampir
mencecah tiga puluh tahun, namun bayang calon menantu tidak nampak lagi.
Dirinya pula sudah meningkat usia, takut tidak sempat melihat anak bongsunya
berkeluarga.
“Hmm…
dah tak ada yang meminang, macam mana Jue nak kahwin?” Seketika Juita memandang
abahnya. Wajah yang dahulunya garang dan tegas, tetapi kini lebih tenang.
Terbit juga rasa kasihan pada abahnya. Sudah tua begini masih mengambil berat
pasal anak-anak.
“Abah
bukan apa, kalau boleh biarlah Jue kahwin dengan pilihan sendiri. Tak naklah
orang lain yang carikan,” sebut Haji Hussein.
“Apa
maksud abah? Memang ada yang tolong carikan untuk Jue ke?” soal Juita pula.
‘Siapa pulak yang terlebih prihatin mahu mengambil berat tentang diri aku ni?’
desisnya dalam hati.
“Kalau
Jue tak ada calon jugak, memang patutlah orang lain tolong carikan,” sampuk
Puan Salmah pula.
“Abah
bukan apa, sebab ada yang dah bertanya. Macam yang abah cakap tadi, sebolehnya
biarlah Jue berkahwin dengan pilihan sendiri,” tutur Haji Hussein berlapik.
Sebenarnya, dengan anak-anak yang lain pun dia memberi kebebasan memilih jodoh
masing-masing.
“Siapalah
yang bertanyakan pasal Jue?” tanya Juita sambil kembali memandang wajah
abahnya.
“Siapa
lagi? Kawan Abang Ridwan tulah,” jawab Haji Hussein. Hendak tak hendak, dia
kena beritahu juga. Ada juga alasan untuk timbulkan isu ini kepada anak
gadisnya.
“Abah,
kalau kawan abang tu, baiklah Jue tak kahwin. Abang tu mesti ada agenda nak
padankan Jue dengan kawan dia.” Juita terus menolak.
Walaupun
tidak kenal dan tidak tahu namanya, Juita memang tidak akan setuju. Hanya orang
yang berperangai sama sahaja yang boleh rapat dengan Abang Ridwan. Dia tidak
mahu mengambil risiko untuk bersetuju dengan pilihan abangnya. Tidak sama
sekali!
“Itu
abah tak tahulah. Abah ni dah tua, Jue pulak duduk jauh dari abah dan umi.
Memanglah Jue boleh jaga diri sendiri, tapi kenalah fikir pasal masa depan,”
nasihat Haji Hussein.
“Abah
tak payah risaulah, sampai masanya Jue akan kahwin jugak,” balasnya.
“Jangan
cakap aje, paling tidak dah bawak calon jumpa abah dulu. Abah pun nak kenal
jugak sebelum kahwinkan dengan Jue,” suruh Haji Hussein. Kalau dia tidak berbuat
begitu, anak gadisnya tidak akan ambil tindakan dan asyik memberi alasan
sahaja.
“Tengoklah
macam mana.” Acuh tak acuh pula Juita menjawab.
“Abah
serius ni. Kalau tak ada jugak, abah akan terima aje bila ada yang masuk
meminang Jue.” Haji Hussein mengingatkan.
“Yalah,
yalah…” balas Juita sekadar mahu menyedapkan hati abahnya. Dalam hati tertanya
di mana hendak mencari calon-calon yang
sesuai.
“Jangan
yalah aje. Lagi cepat Jue bawak calon, lagi bagus. Abah ni dah tua, bila-bila
masa aje boleh pergi,” tutur Haji Hussein buat Juita sebak mendengarnya.
“Abah
janganlah cakap macam tu. Tak baik fikir benda yang kita tak tahu,” balas
Juita.
“Kalau
tak nak bagi abah fikir yang bukan-bukan, cepat kahwin biar senang hati abah
dan umi,” tegas Haji Hussein kemudian terus bangun meninggalkan Juita
terkebil-kebil.
“Umi,
tolong…” rayunya.
Puan
Salmah hanya angkat bahu tanpa membalas apa-apa.