PAGI
Sabtu, setelah bersarapan di restoran mamak, Syifa menyertai Juita yang melepak
di ruang tamu. Petang nanti dia bercadang mahu mengajak Juita keluar
berjalan-jalan di ibu kota pula.
Seingatnya,
sudah agak lama juga mereka berdua tidak memanjakan diri dengan membeli-belah. Lagipun
apa gunanya duit berkepuk-kepuk, tetapi asyik disimpan dalam peti besi? Baik
dibelanjakan dengan membeli barangan idaman hati.
Dahulu
hanya mampu memandang sahaja kerana memang tidak berduit. Sekarang ini, dengan
kedai-kedai sekali mereka boleh membelinya. Tetapi guna duit Juitalah, bukan
duit dia. Syifa tukang belanja dan Juita tukang bayar! Seketika Syifa tersenyum
sendiri.
“Kau ni
okey ke?” tanya Syifa sambil mencapai surat khabar. Baru perasan Juita kelihatan
resah dan bagai ada yang mengganggu fikirannya.
Kelmarin
sahabatnya itu sudah menceritakan segalanya pasal abang tongsan yang
‘menculiknya.’ Memang Syifa tabik hormat dengan apa yang Jeffrey lakukan. Bukan
calang-calang orang boleh nekad dan berani berbuat begitu.
Paling
mengejutkan, apa yang Syifa harapkan betul pula. Mujur si Jeffrey ini memang
sama keturunan dengan Laksamana Cheng Ho. Tidak payahlah Juita hendak sakit
kepala fikir pasal isu yang pada awalnya dirasakan akan menjadi penghalang pada
hubungan mereka.
“Entahlah!”
jawab Juita kemudiannya. Terasa begitu berat mengucapkan perkataan itu. Sekejap
dia merasakan patut beritahu Syifa, seketika berasa segan pula. Ini soal hati
dan perasaan. Dia tidak pernah meluahkan secara terang-terangan kepada sesiapa
pun.
“Nak
cerita ke tidak ni?” umpan Syifa yang sudah mula merasakan sesuatu. Selalunya
Juita jarang berkeadaan begini. Walau sebesar mana pun masalah yang dihadapi,
dia masih boleh mengatasinya. Paling tidak, dia masih boleh berpura-pura
tenang. Tidak pun, dia buat bodoh sahaja dan bagai tiada apa yang terjadi.
Sudahnya
Juita memandang wajah Syifa yang menanti maklum balas daripadanya. “Can I trust you?” soalnya sambil
merenung ke dalam mata Syifa. Cuba mencari sebuah pengertian.
“Soalan
apa ni? Aku dah buat macam-macam dan kau masih ragu-ragu dengan aku?” Sedikit
meninggi suara Syifa. Dia berasa tercabar pula apabila Juita bertanya begitu.
Macamlah mereka baru kenal sebulan dua dan tidak pernah saling menyimpan
rahsia.
“Janji
kau takkan ketawakan aku,” pinta Juita dengan wajah serius. Sebenarnya dia mahu
ketawa juga, tetapi segera disimpan.
“Kau
jangan nak buat aku saspens, Jue.” Syifa sudah tidak senang duduk. Surat khabar
di tangannya sudah tidak menarik minat. Bicara Juita membuat dirinya tidak
sabar hendak tahu lebih lanjut. Apa pula yang melucukan sahabat baiknya ini?
“Aku
rasa aku dah jatuh cinta,” beritahu Juita kemudian cepat-cepat memandang ke arah
lain. Dia berasa segan untuk melihat reaksi Syifa.
“Apa?
Kau dah jatuh cinta?” Syifa terus ketawa berdekah-dekah sebaik mendengarnya.
Tanpa boleh dikawal, air matanya sudah mula keluar walaupun bukan kerana
bersedih.
“Tengok
tu, kan dah kata jangan ketawa!’ marah Juita yang geram melihat gelagat
sahabatnya itu.
“Akhirnya
kau mengaku kalah jugak dengan abang tongsan tu!” Syifa masih dengan tawanya
tetapi tidak sekuat tadi. Seketika dia mengurut dadanya. Sungguh dia tidak
menyangka rupa-rupanya pasal hal yang satu itu yang membuat Juita tidak
menentu.
“Dahlah
tu! Ini yang aku malas nak cerita dengan kau,” sungut Juita sambil menjeling
Syifa.
“Bukan
ke hari tu kau suruh dia balik tongsan dan jangan ganggu kau lagi?” tempelak
Syifa mengingatkan cerita Juita semasa dia ‘diculik’ Jeffrey.
“Masa tu aku tengah marah. Semua perkataan
yang entah apa-apa pun boleh keluar,” balas Juita dengan selamba.
Kini
Syifa juga asyik tersenyum simpul. Akhirnya abang tongsan juga yang berjaya
mencuri hati emas si Juita. Sebelum ini, lama jugalah sahabatnya ini menghindarkan
perasaannya terhadap kaum adam. Andai orang lain, memang sudah beranak tiga!
“Yang
kau asyik tersenyum ni, kenapa?” Juita yang perasan terus menegur.
“Sajalah!
Aku sedang membayangkan betapa lebarnya senyuman abang tongsan ni. Hmm… mesti
sampai ke telinga kalau dia tahu,” balas Syifa.
Juita
tidak membalas apa-apa. Betullah apa yang Syifa katakan. Hatinya sendiri pun sudah
mula berbunga-bunga sebaik nama lelaki itu teringat di minda. Aduhai, Jeffrey! Apabila
kesabaran sudah hilang, ketika itu pula muncul perkataan ‘tongsan’. Kemudian
perkataan itu bertukar kepada abang tongsan. Akhir sekali, tiba-tiba sahaja ada
pula tambahan perkataan ‘sayang’ di hujungnya!
“Sekarang
ni kau nak buat apa?” tanya Syifa pula. Mahu tahu juga perancangan Juita
seterusnya.
“Tak ada
nak buat apa-apa. Tunggu dan lihat aje apa abang tongsan ni nak buat. Lepas tu
main tarik tali dengan dia. Tak pun main aci lut dengan dia.”
“Amboi
kau ni! Sengaja nak main-mainkan dia, ya?” perli Syifa.
“Kalau
tak buat macam tu, tak manislah hubungan kita orang. Aku kena balas balik apa
yang dia buat kat aku,” balas Juita mempertahankan tindakannya.
“Suka
hati kaulah, tapi jangan berlebih nanti tersilap langkah pulak. Karang ada yang
menangis tak berlagu,” Syifa mengingatkan.
“Aku
tahulah apa nak buat,” balas Juita sambil tersenyum-senyum.
“Satu
aje, jangan kenakan abang tongsan ni teruk-teruk. Kesianlah dekat dia,” nasihat
Syifa.
“Biarlah
aku kenakan dia cukup-cukup, barulah adil dan saksama!” Juita sudah tertawa.
Berbagai idea sudah ada dalam mindanya, sama ada sampai hati atau tidak sahaja
hendak melakukannya.
“Jangan
Juita, silap hari bulan kau pulak yang kecewa,” tegur Syifa pula. Juita ini
kadang-kadang bertindak bagai budak
belasan tahun apabila tiba bab begini.
“Yalah…”
balas Juita kemudian tersenyum lagi.
Mengingatkan
abang tongsan, walaupun geram dengannya tetap berasa suka juga. Kalau marah sekalipun,
biasanya Juita hanya mampu menjeling sahaja. Itupun cuma sebentar kerana
Jeffrey akan berbalas tenung pula dengannya. Kalau lagi lama Jeffrey tenung
dia, memang luruhlah jantung Juita.
Mengingatkan
saat itu, memang kelakar dan buat Juita hendak tergelak juga. Paling dia tidak
boleh lupa adalah ungkapan balas abang tongsan yang menyebut ‘sama-sama bina
masjid’ lagi buat dia tidak tenteram jiwa dan raga. ‘Aduhai… perasan sungguh
aku ini!’ detiknya sendiri.