JUITA
merenung alam yang terbentang luas. Terasa amat indah ciptaan TUHAN. Cuaca yang
agak baik buat dirinya mahu mengambil angin di luar rumah. Kemudian melangkah
perlahan untuk bersantai di pangkin di bawah pohon rambutan.
Serasanya,
usia pohon ini lebih kurang usianya juga. Menurut cerita umi, selepas menanam
urinya, abah turut menanam pohon rambutan. Begitulah kebiasaan orang di
kampungnya. Semua itu dilakukan agar suatu hari nanti dapat mengingat kembali
tentang kelahiran yang amat dinantikan keluarga.
Benarkah?
Tetapi kenapa dia tidak pernah merasakan dia anak yang dinantikan kelahirannya?
Begitupun adanya pohon itu akan mengimbau kenangan ketika dia dilahirkan ke
dunia ini. Biarlah apa yang berlaku berlalu dan meninggalkan memori sedih dalam
hidupnya. Mungkin ada sebab abah mendidiknya dengan cara yang berlainan
berbanding dengan abang dan kakaknya yang lain.
Tiba-tiba
wajah Jeffrey muncul di ruangan mata. ‘Hish, abang tongsan ni! Aku baru nak
beri hatiku pada dia, dia pulak bagi aku makan hati! Memang buat aku sakit jiwa
dan raga.’ Juita mengomel sendiri. Dia
memang berasa geram dan bengang juga dengan kerenah lelaki ini.
Masuk
hari ini, sudah lebih seminggu juga Jeffrey menghilang dan tidak menghubungi
Juita. Entah ke mana lelaki ini pergi. Di restoran yang selalu Juita kunjungi
juga Jeffrey tidak kelihatan.
Kalau
tiba-tiba abahnya bertanya, susah juga Juita hendak menjawabnya. Tempoh hari
sudah berjanji mahu membawa Jeffrey berjumpa dengan abahnya. Alih-alih apabila
dia balik kampung, bayang Jeffrey masih tidak nampak juga.
Ingatkan
dirinya yang hendak bermain aci lut dengan Jeffrey, rupanya lelaki itu pula
yang memulakan apa yang dia rancang. Sekejap kata mahu berkahwin, selepas itu
menghilang pula. Apabila Juita sudah menyampah, boleh pula lelaki itu datang
merayu-rayu.
Tatkala
Juita sudah okey, lelaki itu pula buat hal. Pening Juita dengan sikap abang
tongsan ini. Semasa lelaki itu mengaku dirinya cintakan Juita, dia pula buat
tidak endah sahaja. Saat Juita telah membuka hatinya, giliran Jeffrey pula
menduga hatinya. Memang bermacam yang Juita rasa ketika ini. Boleh pula rasa
rindu dan sayang wujud serentak dengan rasa benci dan geram. Begitukah apabila
bermain cinta?
Inilah
padahnya apabila hendak jual mahal sangat. Tidak pasal-pasal merana sendiri.
‘Hmm… putus cinta sebelum sempat berkasihlah jawabnya! Ada ke orang yang macam
aku ni?’ gumamnya.
Kini
Juita mengeluh lagi. Sudah dua hari dia berada di kampung, memang tiada
tanda-tanda abang tongsan akan menghubunginya. Dia memang tidak suka dengan
perasaan yang hadir ketika ini. Entah kenapa dia boleh terasa hati apabila
Jeffrey bagai menyeksanya sedangkan pada masa yang sama dia juga dua kali lima
sahaja dengan lelaki itu.
Saat ini
dia mengutuk diri sendiri kerana mengambil risiko begini. Memang silap dia juga
yang sengaja buat hal sebab mahu melihat apa tindakan lelaki itu. Nampak
gayanya dia menunggu sendiri sahajalah. Kalau menelefon pun lelaki itu tidak
ingin, apatah lagi mahu mencarinya. Andai Jeffrey tidak mahu bertemu dengannya lagi,
kenalah dia pasrah.
HARI
Ahad, Jeffrey bertolak ke Gopeng kerana mahu bertanya pasal pakej berkayak dan rafting yang popular di Sungai Kampar.
Dia memang mahu bercuti di sini bersama staf-staf syarikatnya dan merancang
melakukan aktiviti yang lain juga.
Akhirnya
dia terpaksa juga mengambil tanggungjawab ini kerana Azman dan Shahrul agak
sibuk dengan projek di tapak pembinaan. Asalnya mereka mahu bercuti bertiga
sahaja, tetapi berubah rancangan apabila kena fikirkan juga aktiviti bersama
staf. Selain dapat beriadah, boleh juga mengeratkan hubungan sesama mereka.
Pagi
tadi, dia tersesat di Kampung Sungai Itek sebelum tiba di Kampung Jahang. Dia
tergelak sendiri saat terpandang papan tanda kampung itu. Apabila melihat
sekitar kampung dan sungainya, tiada seekor itik pun yang dia nampak!
Tadi,
kaki tangan Syarikat Riverbug telah membawanya untuk melawat sekitar kampung.
Selain itu, mereka juga pergi ke kebun durian dan kampung yang lain juga.
Keretanya memang diparkir di tempat parkir di Kampung Jahang. Tidak sangka pula
apabila dia kembali ke sini akan menemui sesuatu yang amat mengejutkan.
Pada
mulanya Jeffrey ingatkan dia tersilap orang. Setelah dia menghampiri, ternyata
gadis itu memang Juita. Sudah rezeki dia untuk berjumpa gadis idaman hati di
tepian sungai. Memang tidak sia-sia dia datang ke sini walau pada awalnya asyik
bertangguh sahaja.
Saat ini
Jeffrey tersenyum sendiri. Agaknya apabila sudah memasuki alam percintaan,
memang banyak terjadi perkara-perkara yang pelik. Dia pun tertanya juga, adakah
orang lain pun mengalami berbagai rasa seperti dirinya juga?
Sebelum
ini, apabila dia mahu berjumpa Juita, gadis itu asyik mengelak. Peliknya,
apabila dia tidak mencari, sudah ada di hadapan mata pula! Bertambah indah
apabila dapat berjumpa di tempat yang tenang dan damai.
KINI,
sudah lebih sepuluh minit Jeffrey memerhati Juita yang termenung di atas batu
besar itu. Sekejap gadis itu merendam kakinya, kemudian tangannya bermain-main
di gigi air pula. Kelihatan dia seronok sekali berbuat begitu.
Seketika
Jeffrey memandang sekeliling. Kelihatan air Sungai Kampar amat jernih. Dia
dapat rasakan betapa airnya juga sejuk walaupun tidak merasanya. Memang sangat
mengujakan andai berkelah di sini bersama teman-teman. Pasti menyeronokkan dan
dapat melupakan sebentar masalah di pejabat yang tidak pernah habis untuk
diselesaikan. Bunyi unggas dan cengkerik yang kedengaran juga amat
mengasyikkan.
Jeffrey
kembali memerhati Juita yang telah duduk bersila di atas batu. Dia ingin sekali
menegurnya, namun tetap ditahan. Biarlah dia puas memandangnya pada saat gadis
itu tidak menyedarinya. Andai telah bertentang mata, memang tiada lagi
keberanian memandangnya lama-lama.
Akhirnya
Jeffrey melangkah perlahan menghampiri gadis itu. Entah bagaimana, dia terpijak
ranting kayu pula.
Juita
yang terdengar segera menoleh. Sebaik terpandang Jeffrey, terus tersirap
darahnya. Tiba-tiba hatinya mula berlainan rasa. Buat seketika dia dan Jeffrey
saling berpandangan.
“Sorry… Awak buat apa kat sini?” Jeffrey
menegur sambil duduk di batu yang berhampiran. Tangannya turut merasai
kedinginan air sungai. Memang betul tekaannya sebentar tadi.
“Macam
mana awak tahu saya ada kat sini?” soal Juita pula tanpa menjawab pertanyaan
Jeffrey. Memang mengejutkan sebaik menyedari abang tongsan yang datang
menemuinya di sini.
“Malaysia
ni, bukanlah besar sangat pun. Tak payah hendak menyorok, saya pasti dapat
jumpa awak.” Jeffrey sudah tersenyum melihat wajah Juita yang berkerut. Pandai
sungguh dia menyusun ayat, seolah-olah dia memang sedang menjejaki Juita!
“Siapa
yang beritahu awak saya ada kat sini?” Juita mengulangi pertanyaannya. Memang
dia terkejut sungguh dengan keberanian lelaki ini. Tidak sangka dia sanggup
mencarinya hingga ke kampung. Bertambah pelik, siapa yang beri alamatnya?
Tindakan lelaki ini memang susah untuk dijangka.
“Gerak
hati!” Sengaja Jeffrey berteka-teki sambil mengukir senyuman manis. Suka dia
melihat gadis di hadapannya serba tidak kena. Tentu sahaja Juita tidak
menyangka dirinya boleh sampai ke sini.
“Cakaplah
betul-betul!” Geram pula Juita dengan lelaki ini. Sengaja buat dia tertanya-tanya
pula.
“Saya
memang serius dengan apa yang pernah saya cakap kat awak. Kalau tidak, saya
takkan sampai ke sini,” jawab Jeffrey dengan tenang. Padahal, semuanya hanya
kebetulan sahaja.
Juita
mencerlungkan matanya. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang Jeffrey
berikan. Memang handallah lelaki ini sampai boleh menjejaki dirinya. Bagaimana
Jeffrey dapat maklumat? Tidak mungkin lelaki ini bertanya dengan Syifa dan
sahabatnya itu beritahu di mana dia berada.
Adakah
melalui facebook? Mungkin juga, namun dia tidak mendedahkan alamatnya buat
tatapan umum. Ini yang buat Juita bertambah musykil. Atau Jeffrey menjejakinya
melalui gambar yang dia muat turun di facebook?
Kampung
neneknya memang terkenal dengan tempat menarik untuk berekreasi. Bukan sahaja
popular dengan durian kampung yang enak, jeram dan laluan yang mencabar di
Sungai Kampar juga sering jadi pilihan untuk melakukan aktivti seperti berkayak
dan rafting.
Di
daerah ini juga terdapat dua gua yang terkenal. Gua Tempurung dan Kandu popular
dengan stalagmit dan stalaktit yang sangat cantik dengan berbagai warna dan
bentuk. Juga tinggalan kesan sejarah semasa Malaya diserang tentera Jepun. Gua
kandu sudah jadi destinasi wajib andai mahukan cabaran meneroka gua, begitu
juga dengan Gua Tempurung.
“Saya
suka kampung awak. Lebih-lebih lagi gadis di hadapan saya ini,” ucap Jeffrey
sambil mengenyitkan matanya. Saat ini hatinya berbunga riang.
Juita
tidak tahu bagaimana hendak memberi respons. Dia geram dengan telatah Jeffrey,
namun turut tersentuh dengan ayat yang dituturnya.
“Tak nak
ajak saya datang ke rumah ke? Nak jugak berjumpa dengan keluarga awak. Nanti
senanglah saya nak masuk meminang secara rasmi,” usik Jeffrey.
Juita
terkedu mendengarnya. Hatinya bagai didatangi perasaan halus yang menyentuh
kalbu. Nampaknya lelaki ini benar-benar serius dengan hajatnya. Begitupun,
pertanyaan Jeffrey Juita biarkan sepi. Bukan dia tiada jawapan. Dia masih mahu
menduga sejauh mana lelaki itu akan mengejarnya.
“Awak?
Saya tengah tunggu jawapan awak,” sebut Jeffrey.
“Berapa
kali saya nak cakap? Saya tak nak, saya tak naklah!” Pandai sungguh Juita
berlakon sampai terlebih geleng. Nasib badan pun tidak terpusing sama. Kalau
tidak, tak pasal-pasal jatuh sungai!
“Percayalah,
saya hanya mahu bercinta dan hidup bersama awak,” pujuk Jeffrey.
“Kenapa
awak ni tak serik-serik dan tak faham-faham?” Juita pura-pura tunjuk muka marah
dan geram.
“Sebab
saya tetap nakkan awak jugak! Ingat senang-senang ke saya boleh jumpa awak kat
sini?”
“Huh, ya
sangatlah tu! Apa jaminan cinta awak terhadap saya?” tanya Juita. Entah
bagaimana soalan itu pula yang keluar dari mulutnya.
“Jaminan?
Er… saya memang tak mampu nak beri apa yang awak nak. Tapi saya akan beri apa
yang saya ada untuk awak.” Jeffrey main belasah sahaja. Hanya itu jawapan yang
terlintas di fikirannya.
“Macam
tu, ya? Tengoklah macam mana, ada masa nanti baru saya fikir.” Juita sengaja
berkata begitu.
Seketika
tiada bicara antara mereka. Jeffrey yang sudah kehabisan idea memaniskan wajah
dengan asyik tersenyum memandang Juita.
“Yang
awak asyik senyum kambing tu kenapa?” soal Juita sebaik menyedarinya.
“Takkanlah
sebab saya ada janggut, awak samakan senyuman saya yang manis menawan ni dengan
binatang tu pulak? Saya punyalah handsome,
tak adil, tak adil...”
“Tolong
sikit, awak jangan nak terlebih perasan!” ujar Juita pula sambil memaling
mukanya ke arah lain.
“Saya
memang dah lama terlebih perasan pun. Perasan saya kacak dan perasan ada awek
yang suka curi-curi pandang kat saya.” Jeffry sengaja mahu provok Juita.
“Sudahlah!”
Juita peluk tubuh dan tarik muka masam.
“Sebenarnya
saya tahu awak sukakan saya. Awak memang saja nak jual mahal, kan? Tapi saya
tak kisah, saya tetap akan beli walau berapa pun harga cinta awak tu.”
Juita
telan air liur mendengarnya. Kini dia mencari peluang untuk pergi dari sini.
Lagi lama dia bersama abang tongsan, susah dia nanti.
Tiba-tiba
I-Phone Jeffrey berbunyi. Dalam kekalutan Jeffrey mahu mengeluarkan telefon
dari poket jaketnya, Juita segera menuju ke keretanya. Sepantas kilat dia masuk
dan menghidupkan enjin.
Jeffrey
tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu mengeluh dan memandang kereta Waja
Juita meluncur laju. Juita, Juita…
Bagaimana hendak menang dalam pertandingan merebut cinta ini? Padahal
tidak bersaing dengan sesiapa pun!