Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 19: Johnny Depp di hospital

Aku ingat apa yang Chaq cakap.

Chaq suruh aku beri peluang kepada Roul. Aku tidak pasti apa yang Iza pula akan cakap sebab perempuan tu sudah ingkar pada janjinya untuk menghubungi aku semula!

Baiklah, aku akan anggapkan kesilapan kecilnya itu disebabkan dia sibuk dengan perancangan perkahwinannya. Aku seorang kawan baik yang memahami. Sudah tentu aku maafkan dia, walaupun sampai sekarang dia tak hubungi aku semula dan meminta maaf. Aku bukan pendendam orangnya, sekalipun kalau aku yang buat kesilapan tu, dia tidak akan sesekali melupakannya. Aku bukan seorang yang suka nak mengungkit, tapi Iza memang selalu lupa kesalahannya pada orang lain.

Ehem.

Okay. Ya, aku dah mengungkit.

Selepas perbualan dengan Chaq, aku membuat keputusan untuk meneruskannya. Kalau Roul mahu bertemu ibu bapaku, aku akan benarkan. Aku tidak pasti sama ada ibu bapaku sudah bersedia dengan Roul, tapi aku pasti Roul sudah bersedia. Anda cuma perlukan satu pihak untuk yakin dan semuanya boleh menjadi realiti. Jika kedua-duanya tidak yakin, maka apa yang berlaku pada aku, Iza dan Chaq ketika kami di tingkatan empat sudah cukup untuk menjadi contoh.

Apa yang berlaku pada aku, Iza dan Chaq ketika kami di tingkatan empat?

Ketika kami di tingkatan empat, Chaq memberikan idea agar kami menyertai rancangan mencari bakat Minggu Bahasa Inggeris.

“Jom kita buat slapstick comedy. Kau dengan Iza menyanyi dan aku akan buat pentomim dan miming kat depan penonton.”

Aku tidak yakin. Begitu juga dengan Iza, sekalipun dia memiliki suara yang cukup merdu. Namun kami ikutkan saja kerana Chaq begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh. Namun begitu, pada hari pertandingan, Chaq tidak dapat datang kerana demam. Disebabkan kami sudah membayar wang pendaftaran sebanyak RM5 dan Iza tidak mahu membazir wangnya, kami membuat keputusan untuk meneruskannya dengan hanya nyanyian.

“Kau yakin tak?” tanya Iza.

Aku angkat kening. Aku tak yakin, tetapi aku tidak mahu buat Iza rasa gugup.

“Kau yakin?” aku tanyakan semula soalan Iza kepadanya.

“Aku ok,” ujar Iza. Aku sangka dia yakin, tetapi rupa-rupanya dia mengiyakan kerana dia juga sangka aku yakin. Maka akhirnya kami sama-sama cuba menggunakan keyakinan palsu masing-masing untuk naik ke pentas.

Akibatnya, aku dan Iza sama-sama berdiri menghadap penonton tanpa mengeluarkan suara dan diketawakan oleh semua orang. Iza paling malu kerana dia ternampak Abang Ijat yang diminatinya turut ketawa. Aku cuba melitupi kecanggungan tersebut dengan menyanyikan lagu “When You Believe” dendangan asal Mariah Carey dan Whitney Houston, tetapi percubaan tersebut hanya jadi lebih kekok kerana Iza tidak ingat lirik.

Jangan buat sesuatu jika semua yang terlibat tidak yakin. Bayangkan kalau semua orang yang melakukan terjunan udara secara berkumpulan tidak yakin dengan apa yang mereka lakukan?

Baiklah, apa yang aku mengarut tadi?

Oh ya, aku perlu telefon emak dan abah.

Tarik nafas panjang-panjang.

Tekan butang hijau. Keluar kertas dinding gambar kartun Mandy dari animasi ‘The Grim Adventures of Billy & Mandy’. Teringat yang Roul selalu mempersoalkan gambar tersebut.

“Apa gua tak cukup handsome ke nak jadi penghias telefon Lulu?” itu soalannya.

Aku tersenyum sendiri.

Berhenti tersenyum macam orang bodoh. Ingat tujuan asal. Sentuh perkataan CONTACT, tatal senarai nombor telefon dan cari nombor telefon rumah. Sentuh butang warna hijau.

Skrin memaparkan tulisan “Calling... Rumah.”

Aku menarik nafas panjang. Selepas sekali deringan, suara seorang budak perempuan kedengaran menjawab panggilan.

“Yelop.” Suara yang malas.

“Helo, Diana. He-lo. Bukan Yelop. Lebih baik lagi kalau bagi salam.”

Pfft, whatever. Nak apa?” tanya Diana.

Pfft? Whatever? Inilah masalahnya dengan anak remaja zaman sekarang. Terlalu banyak menonton ‘iCarly’ dan ‘Hannah Montana’ semasa proses tumbesaran sehinggakan mereka menyangka perkataan ‘whatever’ itu perkataan yang hebat dan bergaya. Mujur aku tak ada di situ, atau pasti akan ku luku kepala adik bongsuku itu.

Bukannya nak bertanya khabar berita!

“Mak mana?”

“Mak dengan abah tak ada. Dia orang pergi pasar.”

Ini pula masalah pesara dan isteri seorang pesara. Bila dah tamat zaman bekerja, masa dihabiskan untuk berdua-duaan sampaikan pergi ke pasar pun perlu berteman. Nampak bahagia sekali di depan semua orang. Kalaulah apek sayur tu tahu, di sebalik senyuman bahagia pasangan suami isteri itu, hampir setiap hari mereka bergaduh tentang rancangan televisyen.

“Kau nak cakap dengan mak ke, Yong? Mak bawak Na punya handphone. Call nombor Na,” ujar Diana, tiada kemanisan dalam nada suaranya.

“I believe the correct word for that is mobile phone. Bukan handphone,” ujarku.

“Grammar Nazi,” balas Diana sebelum meletakkan telefon.

Budak kurang asam.

Telefon di telinga ku alihkan dan aku mula menatal senarai nombor telefon sekali lagi, mencari nombor Diana di kalangan senarai panggilan di bawah huruf S. Kenapa huruf S? Sebab aku senaraikan dia sebagai “Si Bodoh”.

Baru sahaja aku membuat keputusan untuk menghubungi nombor ‘Si Bodoh’, tiba-tiba suara Matthew Bellamy berkumandang menyanyikan lagu ‘Unintended’ di telefonku, sementara skrin memaparkan nama “Johnny Depp”.

Roul.

Aku terus menjawab panggilan.

“Assalamualaikum,” suara Roul garau dan perlahan.

“Waalaikumussalam,” nada suaraku tidak pasti.

Aku rasa syak wasangka bila dia memulakan panggilan dengan salam. Roul hanya beri salam bila dia telah melakukan kesalahan. Jika dia dalam angin yang baik, dia tidak akan sopan begini. Sudah beberapa kali aku menyuruh dia memberi salam dalam setiap keadaan dan situasi, namun manusia degil itu memang tidak mendengar kata.

“Lulu, tolong gua,” suaranya masih perlahan.

Aku terdengar bunyi orang batuk dan suara-suara asing di belakang. Namun aku tidak pasti dia di mana. Yang penting, selain daripada bunyi tersebut, keadaan agak sunyi, menandakan Roul berada di dalam sebuah bangunan.

“Tolong apa?”

“Gua kat HUKM. Kepala berbalut. Doktor tak bagi gua drive sendiri.”

“Adakah ini deja vu?” tanyaku.

Dia tergelak kemudian mengaduh kesakitan. Kami sama-sama mengingati saat di mana aku terpaksa menghantar Roul ke sebuah pusat perubatan di tengah bandaraya Kuala Lumpur selepas dia dihentak dengan botol arak suatu masa dahulu.

“Dengan botol apa kali ni?” aku bertanya.

“Bukan botol. Gua kena hentak kat pintu kereta. Tak teruk mana pun tapi pergi hospital jugak sebab takut ada concussion. Doktor suruh orang lain bawak gua balik.”

“Kenapa tak naik teksi?”
“Sebab gua ada girlfriendyang cantik dan anggun,” jawabnya mudah.

“HUKM, kan? Tunggu dekat main entrance. Nanti aku datang.”

Thank you, sayang,” suaranya ceria.
“Jangan nak bersayang sekarang. Aku tak kata aku approve apa pun yang baru berlaku. Dalam setengah jam lagi aku datang.”

“Ok,” nadanya perlahan kembali.

“Satu lagi, Roul...”

“Apa?”
“Don’t let me catch you flirting with nurses.”

Roul ketawa besar sebelum dia mengaduh kesakitan dan terus mematikan panggilan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.