Walaupun aku mengantuk, itu
tidak bermakna aku sudah lupa yang aku masih marah pada Roul. Aku juga tidak
lupa bahawa aku hendak bertudung bawal demi menyakiti hatinya. Aku tidak kisah
apa orang nak cakap. Aku tidak kisah jika perangai ini dianggap
kebudak-budakan. Aku juga manusia biasa yang boleh berperangai tidak normal
kalau aku mahu.
Roul memandang aku atas dan bawah sebelum aku memasuki
kereta. Dia masih merenung aku tatkala aku memasang tali keledar.
“Apa?” tanyaku. Rasa mengantuk ini membuatkan angin aku
lebih teruk dari biasa.
“Masuk kereta tak ada senyum tak ada apa,” ujar Roul.
Aku senyum kelat ke arahnya.
“Puas?” tanyaku.
Dia berdehem sambil mengundurkan keretanya.
“Kalau nak puas kena kahwin dulu,” ujarnya selamba.
“Apa aku cakap pasal lawak lucah?” tanyaku.
Dia buat tidak tahu dan terus memandu keluar dari kawasan
kejirananku.
Suasana di dalam kereta memang sangat canggung. Aku rasa
Roul sendiri masih rasa jengkel dengan aku sementara aku pula masih rasa marah
pada dia. Sebenarnya kalau dia mencuba, mungkin aku akan terlupa apa yang buat
aku marah. Namun begitu, Roul tidak mencuba langsung untuk memujuk. Aku tahu
aku juga salah kerana aku tidak cuba langsung untuk berbaik semula. Namun ada
hasutan dalam telingaku yang mengatakan Roul memperlekehkan aku dan masih tidak
memutuskan hubungannya dengan gadis bernama Noor itu, dan itu sahaja cukup
untuk meyakinkan yang aku tidak bersalah dalam hal ini.
Perjalanan itu merimaskan. Malah aku terasa seperti Roul
sengaja menghukum aku dengan suasana yang sunyi sepi ini. Dia langsung tidak
menghidupkan radio atau pemain CDnya, dia tidak berdengung menyanyikan lagu
kegemaran dan dia tidak mengatakan apa-apa. Dia hanya memandang ke depan
sepanjang perjalanan.
Aku menoleh ke belakang. Komputer riba Zara yang aku
belikan untuk gadis itu diletakkan di atas tempat duduk penumpang begitu saja
tanpa alas mahupun beg simpanannya. Ada beg kertas di sebelahnya yang berisi
beberapa jenis makanan ringan kegemaran Zara seperti Cottage Fries dan Chachos.
Juga minuman kesihatan buat Zara yang sejak dulu mempunyai penyakit asma. Roul
sangat suka memanjakan Zara, satu-satunya adik perempuan yang dia miliki. Dia
cuma punya Zara dan cuma Roul darah daging gadis itu sejak ibu bapa mereka
meninggal dunia.
Hubungan rapat mereka juga menjadikan aku dan Zara lebih
rapat.
Sebaik sahaja kami melepasi tol Pedas/Linggi, aku sudah
tidak tahan lagi. Kami tidak boleh terus mendiamkan diri sebegini sehingga
sampai ke Melaka. Kalau tidak, keadaan akan terus jadi canggung dan aku tidak
mahu Zara nampak kami bergaduh. Senang kata begini sahaja. Zara hanya punya
Roul dan Roul adalah satu-satunya pengaruh dalam hidupnya. Roul bukan sahaja
abang tetapi bagaikan bapanya. Itu membuatkan aku bagaikan kakak dan juga emak
kepada Zara. Seperti mana ibu bapa cuba menghalang anak-anak mereka daripada
sedar akan kepincangan dalam rumah tangga mereka, aku juga tidak mahu Zara
nampak aku dan Roul bergaduh.
Kalau difikirkan semula, aku dan Roul bergaduh atas hal
yang terlalu remeh untuk menjadi sesuatu yang menyebabkan kami tidak bercakap
langsung di dalam kereta selama hampir sejam.
“Aku jumpa someone
semalam,” ujar aku.
Roul hanya menoleh sekali ke arahku dan kemudian kembali
menumpukan perhatian ke arah jalan di hadapan.
“Chaq ada kawan yang ada masalah dalam relationship. Jadi dia mintak aku tolong
kawan dia tu. Semalam aku pergi jumpa kawan dia tu,” ujarku.
“Lelaki ke perempuan?” tanya Roul.
“Lelaki,” jawabku dengan selamba.
Roul tidak mengatakan apa-apa.
“Dia ada bisnes sendiri.”
“Kaya?”
“Boleh tahan. Tapi tak pernah ada luck in relationship,” jelasku lagi.
“Tak rasional,” ujar Roul.
“Apa?”
“Tak rasional untuk lelaki yang kaya tak ada tuah dalam relationship. Kalau gua kaya, gua dah
kahwin sekarang,” ujarnya. Aku tidak tahu sama ada dia sekadar memberi
pandangan yang tidak ada maksud apa-apa atau dia sedang memerli hubungan kami.
Aku perlukan masa untuk memastikan hal tersebut sebelum mencari gaduh dengan
Roul lagi sekali.
“Tak rasional tapi logik. Tak semestinya orang yang ada
rupa atau berharta akan bahagia. Jodoh tu Allah yang tentukan. Tapi perlulah
berusaha jugak,” balasku.
Roul tidak mengatakan apa-apa lagi.
“Sabtu ni aku jumpa dia lagi,” ujarku.
“Kenapa kena beritahu gua?” tanya Roul.
“Sebab Roul penting,” ujarku.
Bingo!
Dia menggerakkan sedikit kepalanya ke kanan. Aku tahu dia
melakukan hal itu supaya aku tidak nampak senyuman yang tidak dapat ditahan
dari terukir di bibirnya. Kemudian dia berdehem dan kembali serius. Untuk seketika,
ya, dia tertipu dengan ayat manis aku. Tapi Roul sudah kenal aku lebih setahun.
Dia sudah tahu helah aku. Kali ini aku masih belum berjaya memujuknya.
Seingat aku, aku yang marah pada dia. Kenapa sekarang aku
pula yang perlu memujuk?
Kalau
dia mahu berperangai macam ni, siapalah aku untuk menidaknya kan?
Pfft.