1
Setiap orang di dunia ini
mempunyai cerita cinta idaman masing-masing.
Huh, macam karangan budak sekolah yang malas.
Baiklah, setiap orang di dunia ini mempunyai cerita cinta
idaman masing-masing. Ada yang mengidamkan untuk bertemu cinta dengan teman
karib sendiri selepas bertahun-tahun berkawan, ala-ala filem ‘Kuch Kuch Hota
Hai’ dan filem-filem yang meniru ‘Kuch Kuch Hota Hai’. Ada yang mengidam untuk
menemui cinta di tempat kerja, mungkin dicintai majikan muda mereka yang baru
pulang dari Amerika Syarikat dan kemudian hidup bahagia selama-lamanya di
sebuah rumah agam mewah di Seksyen 8, Shah Alam. Atau mungkin jatuh cinta
selepas berkahwin, itu pun selepas suami mengahwini teman wanitanya yang juga
seorang model, tetapi kemudiannya menyedari bahawa wanita sejati untuknya
adalah isterinya yang terpaksa dikahwini dahulu.
Ya, kerana impian dan khayalan cinta orang ramai ini, aku
menjadi seorang novelis.
Aku menjadi novelis, kerana ingin memberikan mereka satu
medium untuk merasakan seolah-olah perkara tersebut boleh menjadi kenyataan,
bahawa mereka itu satu pengecualian kepada peraturan perhubungan.
Bohong.
Aku menjadi seorang novelis kerana aku merasakan aku
patut menjadi medium kepada orang ramai yang mengalami sesuatu dan tidak pasti
sama ada mereka mengalaminya sendiri atau ada insan lain memahami perasaan mereka.
Aku ingin menjadi wakil, medium dan orang pertengahan itu. Aku ingin menjadi teman
yang tidak perlu umum temui untuk mendengar kisah mereka, tetapi cukup dengan
mengambil buku aku, membacanya dan mengatakan “Ya, aku juga pernah rasa
perasaan itu dan aku tidak bersendiri.”
Kerana itu orang yang tidak pernah tahu sakitnya putus
cinta, atau indahnya dicintai, atau sukarnya menjadi seseorang yang cintanya
tidak dibalas, atau masih berada di fasa penafian dan merasakan mereka
pengecualian bagi semua perasaan-perasaan itu, atau hidup dalam dunia yang hitam
putih tanpa sedikit pun kekelabuan, tidak akan memahami penulisan aku.
Orang yang hanya mahu membaca buku supaya mereka boleh
tertidur? Tidak akan faham tulisan aku.
Orang yang hanya mahu membaca buku supaya boleh menangis?
Tidak akan faham tulisan aku.
Orang yang hanya mahu membaca buku supaya boleh lari dari
kehidupan biasa dan berada di alam khayalan? Tidak akan faham tulisan aku.
Oh!
Lupa
pula.
Cerita cinta idaman aku? Aku mengidamkan satu babak di
dalam sebuah kedai buku. Aku inginkan pertemuan dengan teman lelakiku bermula
di situ. Aku dan dia merebut buku yang sama, mata kami bertentangan dan dia
yang berkemeja John Masters dengan spek hitam disisip di poket kemeja akan
bertanya kepadaku,
“You pun suka Virginia Woolf?”
Aku akan menjawab, “Oh tentu sekali. Beliau seorang
sasterawati modernis abad ke-20. Beliau memberikan inovasi pada sastera
Inggeris sekalipun ramai yang mempersoalkan karyanya yang dikatakan
anti-Semitik.”
Dia akan mengangguk penuh kagum sambil membalas, “Ya.
Karakter-karakternya sentiasa menonjolkan streams
of consciousness dan persoalan psikologi dan...”
“...motif
emosional di sebalik naratif,” aku akan menyambung ayatnya.
Kami
akan tersenyum dan saling memandang, kagum dengan takdir yang menyatukan kami
dan dia akan menggaru kepalanya, sambil mengajak aku, “A cuppa at Coffee Bean?”
Kemudian
kami akan terus berbincang tentang karya Virginia Woolf seperti ‘Mrs. Dalloway’
dan ‘The Waves’ sambil aku menikmati
secawan french vanilla panas
dan dia, kopi berperisa tofi (gelas besar, kerana dia perlukan kafeinnya
menggantikan rokok yang sudah bertahun lamanya dia tidak beli demi kesihatan
badan).
Itu
cerita cinta impian aku yang pernah aku nyatakan kepada sahabat karibku,
Allahyarham Fakri ketika kami masih lagi hanya berkawan baik. Impian itu aku
luahkan padanya setahun sebelum dia meluahkan perasaannya padaku. Ya, sebelum
tragedi malang itu berlaku dan dia maut ketika cuba mengelak keretanya dari
melanggar seorang pemuda mabuk di tengah jalan.
Sebelum
tragedi itu menghancurkan hidupku.
Namun
bukan itu realitinya.
Teman
lelaki aku bukan seorang lelaki berkemeja John Masters yang sukakan ‘...pengajian
jantina dan gaya roman a clef dalam karya
‘Orlando’ tulisan Virginia Woolf.
Dia
kini di sebelah aku di warung mamak, sedang mencarut tentang maggi gorengnya
yang rasa macam puntung rokok, sambil dia sendiri menghembus rokoknya yang
kedua, dibalutnya sendiri dua minit sebelum itu. (Aku malas hendak
memberitahunya punca maggi goreng itu rasa puntung rokok mungkin kerana dia
makan sambil merokok). Dia yang hanya berpagoda dan berseluar khaki, dengan
comot dan capuk-capuk warna merah, biru dan indigo hasil kerjanya menconteng
kanvas sejam sebelum itu.
Bagaimana
impian lelaki kelas pertengahan-atasan bertukar menjadi makhluk berbau ketiak?
Let’s recap...
Seperti
klise intro hikayat klasik, ‘semuanya bermula beberapa purnama yang lalu’, apabila
aku cuba menyelesaikan masalah dua teman karibku, Iza dan Helmi. Iza berdepan
dengan masalah jiwa luka yang parah berskala Scoville cili Trinindad Moruga
Scorpion(masih lagi cili terpedas di dunia di kala catatan ini ditulis),
apabila dia keliru sama ada lelaki yang disukainya, Hisham, mempunyai perasaan
yang sama padanya. Pada masa yang sama, Hisham melayannya seperti kekasih
tetapi tidak pernah mengucapkan apa-apa, malah membohongi Iza dan berulang kali
menyakiti gadis itu.
Contohnya?
Iza sanggup menolak tawaran perniagaan yang lebih baik kerana janjinya untuk
membuka bisnes bersama-sama lelaki itu. Namun apa jantan tak guna tu buat? Dia
mengkhianati Iza dengan menubuhkan perniagaan yang mereka impikan bersama orang
lain. Wanita kacukan bernama Eliz yang bekerja di Kedutaan Amerika.
Ya.
Eliz, Kedutaan Amerika, kacukan. Nama yang sedap, pekerjaan yang hebat dan baka
idaman ramai. Trifecta untuk memusnahkan
jati diri wanita lain.
Sakit
hati tak mendengarnya?
Dia
tanya pendapatku sama ada Hisham lelaki yang baik untuknya. Apa aku jawab?
Nahiiiiiiiiin! (dengan nada dramatik filem Bollywood tahun 60-an
siap dengan gemaan dari gunung).
Sementara
itu, rakan karibku yang seorang lagi, Encik Mohd Helmi Ashraff atau lebih
dikenali sebagai Helmi pula perlu dipujuk hatinya tatkala dia menyedari wanita
Tionghua yang dicintainya selama ini; Jia Huey, 25 tahun, sebenarnya mempergunakannya
supaya si dia dan kekasih hatinya yang sebenar boleh bersatu.
Selepas
angau dilanda ombak cinta, Helmi mendapat tahu bahawa Jia Huey hanya
berpura-pura melayannya seperti seorang kekasih. Untuk apa? Supaya bapa gadis
itu, yang selama ini berkeras agar anaknya mengahwini seorang lelaki dari Tanah
Besar China, sedar bahawa seorang lelaki cina warganegara Malaysia sudah cukup
baik berbanding anak perempuannya itu memilih seorang lelaki melayu beragama
Islam.
Memburukkan
lagi keadaan, cinta sebenar Jia Huey adalah Danny, rakan karib Helmi sendiri
yang selama ini kononnya merestui hubungan mereka!
Selepas
aku memujuk Helmi untuk membantu Danny dan Jia Huey, dan memintanya agar memulakan
hidup baru, pemuda itu akhirnya akur. Malah setelah berjaya menyatukan
kedua-dua insan yang suatu masa dahulu mempergunakannya, Helmi pula berasakan
bahawa dia dilahirkan sebagai jelmaan Cupid
dan patut menyatukan hati dua insan sedang bercinta. Ala-ala lagu M.Nasir.
Perasan.
Namun
aku gunakan keyakinan baru Helmi itu dan meyakinkan dia untuk membantu Iza
dalam hubungan gadis itu dengan Hisham, lelaki yang dicintai Iza sepenuh
hatinya. Aku meminta Helmi berpura-pura menjadi orang ketiga yang ingin merebut
Iza dari Hisham untuk membuat Hisham sedar bahawa kalau dia mahukan Iza, dia
harus bertindak cepat.
Iza
tidak bersetuju dengan idea aku, manakala Helmi pula tidak menyatakan sebarang
persetujuan atau penolakan.
Namun
begitu, tanpa pengetahuan aku, mereka tetap melakukannya di belakang aku.
Berjumpa dan membuat perancangan tersebut, maksud aku. Namun siapa boleh menipu
aku? Hei, aku Safiah Shuhaimi. Aku novelis terulung Malaysia (sekalipun ini
cuma pengakuan sendiri, tapi siapa peduli?). Lambat laun aku pasti akan tahu
apa yang mereka cuba lakukan.
Kemudian
seperti mana klise cerita cinta yang boleh dibaca dalam buku inggeris berharga
RM9.90 dengan gambar separa lucah di kedai-kedai buku seluruh Malaysia, mereka
jatuh cinta. Helmi jatuh cinta pada kesetiaan dan kebijaksanaan Iza, sementara
Iza memilih Helmi kerana sedar bahawa lelaki itu jauh lebih baik daripada
Hisham, malah setia melindungi dan membuat dia tersenyum.
Hah, macamlah
aku tak boleh agak.
Berkali-kali
telah ku nyatakan kepada mereka, sekiranya ada seseorang yang patut mereka
hadiahkan rasa terima kasih mereka, akulah orangnya. Aku yang memberi idea
tersebut kepada mereka. Aku yang menanam benih-benih inspirasi itu kepada
kedua-duanya. Jadi kalau ada anugerah untuk sahabat terbaik yang perlu
dibelanja makan setiap masa dan ketika, siapa lagi yang layak memenanginya?
Aku,
bukan?
Bukan
aku?
Ya,
mereka tidak mahu mengakuinya. Malah mereka tidak mahu aku masuk campur dalam
percintaan mereka. Kerana itu mereka memutuskan bahawa aku patut diberikan urusan
dan masalah lain, supaya aku tidak akan mengganggu percintaan mereka. Lalu aku
diperkenalkan dengan seorang pemuda dalam satu pertemuan blind date yang aku persetujui dan yang aku sesali beberapa jam
selepas itu.
Dia
yang bernama Roul.
Roul
bukanlah lelaki paling kacak dalam dunia. Jika difikirkan semula, sekiranya
anda menemuinya di tengah jalan, anda pasti akan memeluk beg tangan anda
sekuat-kuat hati dan mengeluarkan penyembur pemedih mata sebagai langkah
berjaga-jaga. Rambutnya yang panjang berwarna merah menyala umpama lampu
isyarat menandakan BERHENTI, dan mata kanannya yang juga merah (tentu sekali
kanta lekap) membuatkan anda tidak akan teragak-agak untuk lari menyelamatkan
diri.
Pernah
tak anda membayangkan hidup dengan seorang lelaki bermata hantu yang rambutnya
lebih merah dari api? Yang mencarut dalam setiap perenggan dan gulung rokok
sendiri seperti seorang penagih dadah? Aku sangka Helmi dan Iza gila atau tidak
punya prinsip setia kawan, kerana menyangka wanita seperti aku akan ingin
bersama lelaki seperti dia.
Malangnya,
sekalipun aku merasakan diri aku seorang wanita insufferable know-it-all, tahu segala-galanya tentang sifat
manusia, aku juga manusia biasa yang gagal melihat lebih daripada apa yang
dibentangkan di hadapan aku. Roul, atau nama sebenarnya Zairul Ghazali bin
Ahmad, rupa-rupanya lebih dari itu. Lebih daripada apa yang dipaparkan di depan
aku.
“Hahahahahaha,”
aku gelak masa tu.
“Apa
yang kelakar?” tanya Roul sebaik sahaja mendengar tawaku bila dia memberitahu
aku nama penuhnya.
“Nama
punyalah baik, tak masuk dengan pakej rupa paras,” ujarku.
“Ceh,”
dia mengerutkan hidungnya.
Ya, apa
yang Roul paparkan di depan orang yang tidak mengenalinya amat berbeza dengan
dirinya yang sebenar. Di sebalik kehodohan warna rambutnya dan pilihan kanta
lekapnya, dia seorang lelaki yang cukup istimewa. Dia berjiwa halus dan dapat
dilihat dari lukisannya. Dia seorang yang penyayang, jika anda melihat cara dia
melayan adik perempuannya, Zara. Dia seorang yang tidak tahu erti jemu, jika
anda melihat cara dia berusaha mendapatkan aku seperti seorang penghendap kelas
pertama yang sudah banyak menerima arahan sekatan dari mahkamah.
Kerana
itu aku mula jatuh cinta kepadanya, sekalipun aku tidak pernah menyebutnya di
depan Roul, kerana dia pasti akan tersengih-sengih dan gembira sendirian. Aku
mula dihantui sengihannya yang panjang, sikapnya yang suka mengusik tapi serius
dalam masa yang sama, dan prinsip selambanya dalam melihat kehidupan.
Namun
belum sempat hubungan itu menjadi sesuatu, aku dan dia mengalami konflik (sebab
kalau tidak ada konflik, rasa macam tidak ada perisa pula dalam kisah kehidupan
aku). Satu insiden di sebuah kelab malam menyebabkan aku teringat pada seorang
insan lain yang pernah aku sayang. Ia mengingatkan aku tentang Allahyarham
Fakri dan betapa bencinya aku dengan manusia seperti Roul suatu masa dahulu. Konflik
itu membuat aku kembali ke kampung halaman, seperti klise drama melayu. Namun
aku mula sedar yang aku masih sayang padanya sekalipun berkali-kali aku
yakinkan diri aku yang aku membencinya.
Kerana
itu aku kembali. Kembali ke dalam pelukannya...
Tidak, ayat
ini sekadar ayat penyedap sahaja. Aku tidak peluk lelaki bukan mahramku. Abah
aku pun aku tidak peluk, apatah lagi anak orang lain.
Setahun
telah berlalu dan aku masih setia bersama Roul.
“Seriously, woman. Mana kawan-kawan Lulu ni?”
tanya Roul sambil menggaru-garu lehernya dengan tangan kiri yang masih memegang
puntung rokok.
‘Lulu’
merupakan nama ‘manja’ Roul untuk aku. Tidak lama dahulu, aku marah dia
menggunakan kata ganti ‘gua’ dan memanggil aku ‘lu’. Jadi lelaki tidak sensitif
ini cuma menambah gandaan pada ‘lu’ itu menjadi Lulu dan secara rasminya
menjadi nama panggilanku. Suatu masa dahulu, aku rasa panggilan itu
menjengkelkan, tapi kini aku sudah menganggapnya seperti satu keistimewaan.
Aku
menggigit bibir melihat perilakunya, risau jika nyalaan rokok itu terkena
kulitnya. Tangan kanannya pula masih menguis maggi gorengnya yang sudah tinggal
separuh. Sekalipun dengan kritikan tentang rasanya, Roul masih menelan makanan
tersebut disebabkan kelaparan.
“Mana
orang tau,” ku lirik jam di tangan, menjawab soalannya tadi.
“Lulu
tak nak makan?” tanya Roul, melihat aku hanya duduk di sebelahnya tanpa memesan
apa-apa. Dari dahulu sampai sekarang, Roul tidak suka aku duduk menghadapnya.
Dia mahu aku berada di sebelahnya. Dalam banyak-banyak perkara romantik dan
jiwang yang dia tidak suka, ini satu-satunya perkara yang agak mengada-ngada
yang dia wajib lakukan.
Aku
menggeleng kepala.
Aku
baru selesai menghadiri ceramah di sekolah adikku dan mereka telah menjamu aku
dengan pelbagai jenis makanan. Aku tidak faham kenapa aku yang perlu dipanggil
untuk memberikan ceramah tentang penulisan kreatif. Setahu aku, aku tidak
pernah menulis novel dengan tatabahasa yang sesuai malah novel aku bukan untuk
bahan bacaan pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki PMR. Namun disebabkan
aku mahu menjaga hati adik bongsuku Diana yang begitu bersungguh-sungguh mahu
aku datang, aku pun bersetuju melakukannya.
Aku
sendiri hairan kenapa Diana bersungguh-sungguh mahu aku datang, sedangkan dia
sendiri akan mengambil SPM tahun ini dan tidak akan menghadiri ceramah
tersebut.
“Lulu
tahu ke kenapa ‘Heliza’ tu nak jumpa?” tanya Roul, matanya dikecilkan tatkala
dia menghisap rokoknya sedalam-dalamnya.
Bukan
aku tidak cuba untuk menyuruh dia berhenti. Aku sudah cuba. Tapi menyuruh
seorang perokok tegar berhenti merokok demi cinta adalah impian romantik
mengarut wanita zaman sekarang. Aku hanya menunggu saat dia dimasukkan ke
hospital kerana masalah paru-paru, supaya aku boleh melawatnya dan kata “Padan
muka”. Hal itu pasti akan berlaku suatu saat nanti.
Pasti.
Oh,
“Heliza” merupakan gelaran yang Roul berikan kepada Helmi dan Iza. Sejak dari
saat pertama mereka bercinta sehingga sekarang, kedua-duanya sudah seperti
sepasang kembar siam yang tidak boleh berenggang. Percintaan mereka amat
memualkan apatah lagi apabila sudah setahun lebih mereka bersama. Dua tiga
bulan pertama mungkin romantik, tetapi kalau sudah setahun lebih mereka masih
bergurau senda seolah-olah baru bercinta, itu menjengkelkan.
“Entahlah.
Asalkan dia orang tak buat pengumuman bangang macam last timenak beli Ipad tu cukuplah.”
“Ugh,”
Roul turut buat muka.
Tiga
minggu lepas, Iza dan Helmi ingin kami keluar bersama-sama hanya untuk
mengumumkan bahawa mereka akan membeli Ipad yang sepadan. Aku rasa mahu saja
aku tonyoh muka kedua-dua sahabat karibku itu ke dalam pinggan berisi fetuccini yang sedang aku jamah pada
waktu itu. Aku tahu bukan itu sebenarnya yang mereka mahu katakan. Mereka hanya
teruja untuk keluar bersama-sama aku dan Roul.
Iza dan
Helmi mungkin seronok keluar berempat. Mereka suka istilah double date itu kerana ia membuat mereka rasa seperti the awesome
foursome ala geng sitkom ‘How I Met Your Mother’. Masalahnya aku dan Roul
sama-sama tidak suka istilah ‘temujanji’, apatah lagi double date. Setiap kali kami keluar bersama, kami menganggap
aktiviti itu seperti tugasan pemeriksaan rasmi untuk mengenal pasti sama ada
salah seorang daripada kami masih hidup.
Sepanjang
perhubungan aku dengan Roul, aku tidak rasa macam kami sedang bercinta. Kami
seolah-olah saling meneman untuk hidup. Bila aku sibuk, Roul akan mengajak aku
keluar makan supaya aku tidak kehabisan tenaga. Kalau dia yang sibuk, aku akan
pergi mencarinya dan membawa sesuatu untuk dimakannya.
Dan
bila aku kata ‘pergi mencarinya’, itu sesuatu yang subjektif. Mencari Roul
adalah seperti mencari harta karun atau mencari kit kecemasan dalam permainan
video ‘Resident Evil’. Dia mungkin berada di galeri, di Pasar Seni bersama
Zulu, sedang bergurau dengan Yeen di pejabat penerbitan, atau di pejabat pengiklanan
Divert Ad, di mana dia masih bekerja sebagai pereka grafik separuh masa.
Mungkin juga dia di rumah sedang bermain Playstation dengan adiknya, Zara.
Telefon bimbitnya pula sentiasa dimatikan, jadi aku terpaksa menghubungi semua
kenalan-kenalan di atas untuk memastikan dia ada bersama mereka.
Mencarinya
sahaja sudah memenatkan aku. Cuba fikir, adakah aku mahu keluar bertemujanji
selepas itu? Kalau terjumpa pun aku sudah rasa seperti satu kemenangan, dan aku
hanya mahu pulang ke rumah selepas itu.
Lima
minit dan 46 saat kemudian, Iza dan Helmi muncul. Mereka tersengih-sengih
menghampiri aku dan Roul, terus mengambil tempat duduk dan memesan makanan
tanpa mengucapkan apa-apa kepada kami. Hanya selepas pemuda Bangladesh yang
mengambil pesanan mereka (dua nasi goreng kerabu dan dua teh ais) tadi berlalu,
barulah mereka membetulkan duduk dan menegur kami.
Atau
sebenarnya aku yang memulakan.
“My God, people. Kalau korang ni boleh bercantum, mesti korang dah
bercantum,” ujarku sambil memeluk tubuh.
“Whatever do you mean?” Iza berpura-pura tidak faham
sambil mengelip-ngelipkan matanya.
“Dua
nasi goreng kerabu dan dua teh ais? Lepas ni apa? T-shirt Little Miss dan Mr.
Sunshine?” perliku.
“Jealous,” jawab Helmi.
“Roul,
sila sokong,” pintaku.
Roul
menghembuskan rokoknya. Kemudian dia mematikan puntungnya dan ditinggalkan
rokok tersebut di dalam tempat abu rokok di depannya. Dia mengesat hidungnya,
memandang Iza dan Helmi dan kemudian ketawa mengejek sebelum sambung makan.
“I rest my case,”sambungku.
“Orang cemburu akan terus cemburu, sayang,” ucap
Iza pada Helmi sebelum memandang kami semula dan menyambung,
“Aku
dengan Helmi nak umumkan sesuatu dan aku nak kau orang berdua yang tahu dulu,”
ujarnya.
“Umum
apa? Yang kau dan Helmi nak beli Ipad 2 pulak?” sarkastik.
Roul
tergelak.
“Well, no. Tapi sebelum tu, berita
sampingan! Helmi nak belajar main gitar. Dia akan ambil kelas gitar bulan depan
tapi itu pun lepas kita orang-”
“Gitar?”
garfu Roul terlepas dari tangannya dan berdenting jatuh ke atas lantai.
“Ya.
Kenapa?” tanya Iza, mengerutkan dahinya melihat betapa terkejutnya Roul
mendengar berita sampingan yang dirasakan tidaklah begitu penting berbanding
apa yang dia ingin umumkan sebentar lagi.
Roul
memandang aku dan kemudian merenung Helmi.
"Kau
baru nak belajar gitar, Mi?" tanya Roul.
"Apa
masalahnya?" tanya Helmi kembali.
Aku dan
Roul berpandangan dan kami ketawa bersama.
"Apa?"
Helmi bernada kecil hati.
Roul
membetulkan kedudukannya. Kini dia bersandar di kerusinya, dan aku tahu tujuan
postur tersebut. Itu postur badan Roul bila dia hendak mempermainkan orang.
"Bai,
lu serius tak tau main gitar?" tanya Roul, mengerut dahinya.
"Tak.
Gua mana ada masa."
Roul
membuka zip beg sandangnya dan mengeluarkan majalah Rolling Stones yang
digulungnya di dalam beg tersebut dan menyemak beberapa helaian hingga sampai
ke bahagian artikel tentang Santana. Kemudian dia menunjukkannya kepada Helmi.
"Ni
namanya apa?" tanya Roul sambil menunjuk ke arah fret gitar yang sedang
dipegang Carlos Santana.
"Belang2
gitar," jawab Helmi dengan ekspresi yang kosong. Dia tahu dia sedang
dipermainkan.
Aku dan
Roul ketawa lagi.
"Dude, lu pathetic. Lulu pun tahu namanya
apa."
“Ini
dipanggil fret. Ini pulak gitar jenama Paul Reed Smith. You can see it from the bird inlays on the frets. Ada beberapa ekor
burung pada ‘belang-belang gitar’ ni, macam yang kau katakan,” balasku,
menunjuk ke arah gambar yang sama.
Helmi
tarik muka masam.
"Hei,
jangan buli laki saya," tegur Iza.
"Laki
kau itu tak tahu main gitar. Macam mana dia nak serenade babykau bila korang ada anak?" aku mengusiknya.
"We don't serenade. Helmi akan berzikir untuk anak
kita orang."
"Ouch."
"Peh,
awek lu kasik satu makan dalam, bai," ujar Roul, tergelak sendiri.
"Kau
orang la yang start. Kita orang naik
tak pasti sama ada kau orang ni pasangan bercinta ke pasangan pembuli," ujar
Helmi.
Dua
nasi goreng kerabu dan dua gelas teh ais yang dipesan mereka sampai. Namun
Helmi dan Iza tidak terus menikmati hidangan di depan mata itu, malah mereka
saling memandang seperti sedang bertolak-tolakan siapa yang mahu memulakan.
Kemudian Helmi yang berdehem, tanda dia yang akan mengatakannya.
“Safi,
Roul, kita orang nak kahwin,” ujar Helmi.
Aku dan
Roul hanya memandangnya kosong.
“Maksud
kau bertunang?” tanya aku, membetulkan.
Helmi
dan Iza menggeleng kepala dengan serentak, pasti sudah maklum itu yang aku akan
tanyakan.
“Kahwin,”
jawab Iza.
“As in nikah kahwin?” tanya aku lagi.
Soalan bodoh, tapi Iza sudah cukup memahami aku untuk menjawabnya.
Iza
mengangguk-angguk.
“Kita
orang fikir daripada membazir masa nak bertunang semua ni, baik kahwin terus.
Jadi, hujung tahun ni, mungkin satu majlis di KL dan satu lagi di kampung
Helmi. Mungkin tema ungu cair,” dia sempat menambah.
“Kau
orang dah ada tema?” itu lebih mengejutkan.
“Ahah,”
jawab Iza dengan muka tidak bersalah.
Kemudian
mereka berdua mula menjamu selera di hadapan aku dan Roul seolah-olah mereka
baru saja mengumumkan sesuatu yang tidak penting. Malah aku rasa pengumuman
mereka untuk membeli Ipad sebelum ini lebih dramatik dari ini.
Tapi
mungkin sebab Iza dan Helmi tahu mereka tidak perlu terlalu dramatik tentang
hal tersebut. Mereka tahu impaknya pada aku amat besar.