Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 16: Aset dan Liabiliti

Aku tunggu.

Aku tunggu sepanjang malam tapi Iza tidak menghubungi aku kembali. Aku tunggu di bilik dengan telefon bimbit di tepi bantal. Aku masuk ke tandas untuk mandi dan aku bawa telefonku bersama. Aku duduk di ruang tamu sambil menonton drama yang entah apa-apa di televisyen dengan telefon bimbit di tangan. Tapi ada Iza telefon?

Haram.

“Assalamualaikum.”

Aku menoleh ke belakang. Chaq sedang tersengih melambai-lambaikan tangan di sebalik pintu gril yang berkunci.

Sorry, Chaq. Aku lupa nak buat salinan kunci gril untuk kau. Iza tak pulangkan dia punya pulak tu,” jelasku sambil cuba menanggalkan mangga di pintu gril. Pintu gril ku tolak dan Chaq masuk dengan segera dan terus berbaring di atas sofa.

“Aku ada telefon Iza dan tanya fasal kunci tu tapi dia kata dia sibuk,” jelas Chaq, mengeluarkan getah dari poket begnya dan terus mengikat rambutnya. Tidak seperti wanita lain yang mengikat rambut di bahagian belakang, Chaq mengikat rambut bahagian depan yang lebih panjang dari belakang. Sekali pandang, macam ada rimbunan pokok serai di atas dahinya. Mungkin lucu jika dilakukan oleh orang lain, tetapi gaya tersebut sangat sesuai dengan sifat Chaq yang tidak pedulikan apa-apa.

“Dia memang sibuk memanjang. Janji nak telefon aku balik, tapi tak telefon sampai sekarang,” aku merungut.

Chaq mengerling ke arahku.

“Kau ada masalah ke?” tanya Chaq.

“Aku ada masalah yang aku tak tahu macam mana nak cerita dengan orang lain selain Iza.”
“Hit me,”ujar Chaq.

“Ha?”
“Aku kata hit me. Cerita dengan aku. Orang kata aku ni pakar bab masalah orang ni. Okay, bukan orang kata. Aku yang mengaku sendiri, but whatever,” ujar Chaq sambil lewa.

Aku mengerut dahi memandangnya. Aku bukan memandang rendah pada kebolehan Chaq. Aku kenal dia. Di sekolah dulu, dia memang suka dengar cerita orang. Kalau tak ada sesiapa di dunia peduli dengan cerita anda, jangan risau. Chaq akan dengar. Tidak bermakna dia peduli dengan kisah anda, tapi dia sentiasa boleh mendengar.

Cuma agak canggung hendak bercerita dengan Chaq kerana itu bermakna aku perlu memulakan dari awal.

Tapi aku ceritakan juga semuanya. Panjang kisahnya. Aku ceritakan tentang Iza yang keliru dengan Hisham (“Mangkuk tu bodoh, tak tahu nak buat keputusan”). Aku cerita bagaimana aku pertemukan Iza dengan Helmi (“Dia orang tu tak nak mengaku bercinta sebab tak nak berterima kasih pada aku. Teruk betul”). Aku cerita bagaimana mereka membuat keputusan untuk memperkenalkan aku dengan Roul (“Dia orang tak nak aku masuk campur percintaan dia orang”), tentang sikap dan rupa Roul yang telah membuatkan aku membenci dia (“Rambut merah, mata kanan merah. Dia ingat dia Kyo Samurai Deeper agaknya”) dan bagaimana aku akhirnya berubah fikiran dan menerima Roul (“Bila dia dah masuk dalam otak, memang tak boleh keluar. Macam virus”).

Aku juga menjelaskan kepada Chaq tentang hubungan Roul dan bekas kekasihnya yang sebenarnya masih belum menjadi bekas kekasih, serta keinginan Roul untuk diperkenalkan kepada ibu bapaku.

“Kenapa kau tak nak dia jumpa mak dengan ayah kau?” tanya Chaq sambil membersihkan solekan matanya dengan tisu basah.

“Bukan aku tak nak bagi dia jumpa. Aku cuma belum sedia.”
“Kenapa belum sedia?”
“Sebab mak dan ayah aku tradisionalis. Roul bukan,” jelasku.

Ya, dia bukan lagi syaitan berambut merah. Namun itu tidak bermakna dia sudah diluluskan oleh SIRIM untuk tontonan umum.

“Mana kau nak tahu kalau kau belum cuba, Safi. Kau tak rasa ke yang dia sedar dia tu berbeza? Kau tak rasa ke yang dia mungkin akan kecil hati kalau kau mengelak?” tanya Chaq.

“Aku tahu, Chaq. Aku pun tak boleh nak mewakilkan mak ayah aku dan kata diaorang tak akan suka dengan Roul. Masalahnya aku belum bersedia nak menuju ke arah itu.”

“Tapi seingat aku, masa kau dengan Fakri, kau memang dah bersedia.”

Aku mengeluh.

Itu Fakri. Fakri tak boleh disamakan dengan Roul.

Anda boleh samakan Allahyarham Fakri dengan pinjaman bank untuk beli rumah. Anda tandatangan dengan penuh yakin sebab anda tahu kalau anda tidak mahu tinggal di rumah itu, anda boleh sewakannya. Roul pula macam pinjaman bank untuk beli kereta. Kena fikir banyak-banyak kali sebelum tandatangan sebab lepas beli, anda perlu bayar insuran, cukai jalan, minyak dan saman.

“Maksud kau Fakri tu aset dan Roul tu liabiliti la?” tanya Chaq.

Aku benci perempuan ni. Dia menjadikan analogi itu kejam.

“Apa pun, aku still rasa kau kena cuba dulu. Kalau kau sayangkan Roul, kau ikutkan saja permintaan dia. Dia bukan ajak kau tidur di hotel macam lelaki tak guna. Dia nak jumpa mak ayah kau. Kalau itu bukan tanda dia hormatkan kau, aku tak tahulah apa lagi.”

Memang betul apa yang Chaq katakan, tapi ada satu bahagian dalam hati aku yang masih rasa kurang senang.

Aku baru ingin bersuara namun terhenti apabila aku terdengar bunyi pintu gril ditarik dengan kasar. Aku dan Chaq segera menoleh dan melihat Masni masuk dengan pantas. Dia cuba memandang ke tempat lain tapi aku boleh lihat matanya yang merah dan wajahnya yang sembap.

Kami tidak sempat bertanya kerana dengan pantas Masni masuk ke dalam biliknya.

Aku pandang Chaq. Chaq angkat bahu.

“Bagi dia peluang,” itu saja yang dia cakap dan aku tahu dia bukan bercakap tentang Masni.

Nampaknya aku tetap perlu pertemukan Roul dengan Tuan Haji Shuhaimi dan Puan Rogayah. Aku tidak tahu siapa di antara kami yang paling tidak bersedia.

Hmmm... entah apa yang telah berlaku pada Masni.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.