Kami sampai ke Alor Gajah 45 minit kemudian, dan Roul
terus memasuki Taman Dimensi di mana Zara menyewa bersama teman-teman
universitinya yang lain. Zara sudah pun menunggu di depan rumah sewanya,
melambai dengan gembira apabila ternampak kereta kelisa biru abangnya memasuki
kawasan perumahan.
Aku ingat lagi, ketika Zara mengumumkan yang dia telah
ditawarkan menyambung pengajian d UiTM Alor Gajah. Roul agak berat hati untuk
melepaskan adiknya pergi malah sanggup membuat tawaran untuk membiayai
pengajian adiknya itu di kolej swasta berdekatan. Aku yang mengingatkan dia
bahawa dia tidak mampu untuk menghantar Zara ke kolej mahal. Dia sudah pun
menanggung terlalu banyak tanggungjawab kewangan untuk diuruskan, biaya
pengajian Zara di kolej swasta hanya akan menambah bebannya.
Aku yakinkan dia bahawa Zara sudah cukup dewasa dan sudah
banyak belajar melalui pengalaman. Dia bukan lagi gadis berusia 15 tahun yang
bermasalah, yang suatu masa dahulu hampir memusnahkan dirinya dengan pil tidur.
Dahulu dia kesepian. Tapi kini dia sudah mendapat kebahagiaan yang dia inginkan
dan dia sudah mendapatkan perhatian Roul, satu-satunya abang yang dia miliki.
Gadis itu tidak akan melakukan kesalahan yang sama lagi,
Selepas memikirkan buruk baiknya, Roul membuat keputusan
untuk melepaskan Zara pergi. Alhamdulillah, sampai ke saat ini Zara tidak
mengalami sebarang masalah dan mudah mengadaptasi ke persekitaran baru. Malah
lebih baik berbanding orang lain.
Sebaik sahaja kami nampak Zara, secara automatik aku dan
Roul tersenyum gembira, seolah-olah kami tidak punya sebarang konflik, tidak
kira sekecil mana pun. Kami berdua seperti pasangan Wisteria Lane, yang secara
luarannya tidak pernah ada masalah dan semuanya indah dan membahagiakan.
“Abang, sorry!”
ujar Zara sebaik sahaja Roul keluar. Dia terus menyambut tangan abangnya dan
mencium tangan Roul.
“Zara exam
dapat berapa markah? Kalau macam ni punya nyanyuk, abang rasa mesti selalu tak
lulus,” ujar Roul, mengusik Zara kerana tertinggal komputer ribanya.
“Ala, Zara tak sengajalah,” dia ketawa besar. Kemudian
dia memandang aku dan tersengih.
“Yay, abang bawak kakak kita!” dia terus memelukku dengan
gembira.
Seperti Roul, aku juga punya adik kandung bernama Diana
dan Sohail. Pernah mereka peluk aku dengan gembira bila nampak aku? Haram.
Paling hebat pun mereka akan kata “Oi” bila nampak aku. Adik-adik kandung aku
sangat derhaka. Aku sanggup buat sistem barter dan tukar Zara dengan dua
makhluk bertuah itu.
“Welcome to the
awesome Taman D. Kak Safi sihat?” tanya Zara.
“Alhamdulillah,” jawabku.
“Abang ada buli Kak Safi ke?” tanya Zara, berniat untuk
mengusik.
“Dia yang buli abang,” balas Roul. Zara ketawa. Mungkin
jenaka pada gadis itu, tetapi satu perlian kepadaku. Roul mengerling ke arahku
dan aku hanya buat muka.
“Cepat ambil barang Zara tu,” arah Roul.
“Ala, relax la.
Abang kan baru sampai. Jom kita pergi makan dulu. Kelas Zara pukul 2 karang,
banyak masa lagi ni,” dia terus memasuki kereta dan duduk di belakang tanpa
menunggu jawapan kami.
Roul dan aku saling berpandangan. Kemudian kami membuat
keputusan untuk ikutkan sahaja apa yang Zara mahukan.
Zara kata dia
mahu bawa kami ke tempat makan paling sedap di seantero dunia.
Lalu dia menunjukkan jalannya dan kami sampai ke gerai
makan berhadapan dengan perhentian bas Alor Gajah, sebuah tempat makan yang
dipanggil Nasi Ayam Nadia. Gerai biasa, tetapi begitu ramai pelanggannya.
“Nasi ayam Nadia ni sedap gila. Tapi Nadia tu bukan nama
tukang masaknya. Nadia tu nama anak bongsu owner
gerai ni. Kak Safi kena rasa. Tak sah datang sini kalau tak rasa nasi ayam ni,”
ujar Zara.
Aku iyakan saja.
Kami bergurau senda seperti biasa. Aku tahu amat penting
untuk aku dan Roul berhenti bersikap seperti anak kecil, kerana gadis di depan
kami ini suka memerhatikan kami. Brad Pitt dan Angelina Jolie mungkin ada peminat
mereka sendiri yang sentiasa ingin melihat mereka bahagia. Vanidah Imran dan
Rashidi Ishak mungkin ada peminat mereka yang akan mengamuk jika ada insan lain
cuba memisahkan mereka. Aku dan Roul juga punya peminat sedemikian.
Namanya Zara!
Zara menceritakan pengalamannya tinggal di rumah sewa
bersama rakan-rakan baru, tentang kuliahnya dan tentang seorang pemuda yang
mahu berkenalan dengannya.
“Hari-hari dia hantar surat kat Zara atau hantar coklat.
Kawan Zara kata budak tu anak Dato’ yang terkenal kat Melaka ni. Tapi Zara tak
layan pun, abang jangan risau,” ujar Zara, tersengih pada Roul. Aku tahu dia
sengaja buat si abang risau.
Roul menggenggam penumbuk sepanjang kisah peminat Zara
itu. Aku tahu betapa dia sangat risau tentang Zara dari sudut itu. Pengalaman
cinta Zara ketika dia masih di sekolah menengah yang hampir memusnahkan diri
gadis itu pasti sedang bermain di fikiran Roul, bagaikan rakaman yang tidak
akan dapat dia lupakan seumur hidupnya.
Namun pengalaman buruk Zara jugalah yang menyebabkan dia
mula mengenali novel-novelku dan mula membina semangatnya kembali. Hanya
selepas melihat Zara mengubati laranya dengan tulisan aku, Roul membuat
keputusan ingin mengenaliku. Persahabatannya dengan Helmi memudahkan proses
tersebut.
“Belajar je,” ujar Roul pendek. Zara ketawa besar.
“Ai ai, kapten,” ujar gadis itu dengan serius, sebelum
dia mengerling ke arahku dengan ekspresi lucu, tanda dia sengaja mengusik
abangnya.
Usai pertemuan kami, aku dan Roul menghantar Zara pulang
ke rumah sewanya. Bila ditanya sama ada dia mahu kami menghantarnya terus ke
kampus, dia kata tidak perlu. Zara nampak lebih ceria dan lebih gembira sejak
memulakan pengajiannya di sini. Malah tubuhnya yang agak kurus kering ketika
masih di sekolah menengah sudah mula berisi.
Kami meneruskan perjalanan kembali ke Kuala Lumpur.
Perjalanan itu tidak ada bezanya dengan situasi ketika kami menuju ke Alor
Gajah. Sebaik sahaja kami nampak Zara masuk ke dalam rumah, senyuman yang tertampal
di bibir kami terus pudar. Aku dan Roul kembali seperti sebelumnya, dua insan
degil yang punya banyak perkara yang ingin dikatakan, tetapi tidak mengatakan
apa-apa.
Setibanya kami di rumahku, jam sudah menunjukkan pukul
dua petang. Ini rekod terbaru kami tidak bercakap sepanjang perjalanan.
“Gua tak boleh accept,”
ujar Roul tiba-tiba.
Aku baru nak tanggalkan tali pinggang keledar!
Kembali ke posisi selesa.
“Roul tak boleh terima apa?” tanyaku.
“Gua tak senang fikir pasal Zara. Gua tak suka mamat tu
pikat adik gua.”
“Roul, Zara dah besar. Aku tak rasa dia akan buat benda
yang bukan-bukan. And you don’t even know
his name,” ujarku.
“Gua bukan maksudkan lelaki tu. Gua tak boleh terima
sesiapa pun. Zara tu manja dan tak semua orang faham perangai dia,” ujar Roul,
wajahnya tampak keras dan tertekan.
“Roul, Zara bergurau je. Jangan ambil serius,” balasku.
Dia terangguk-angguk sendiri sambil menarik nafas panjang.
Wajahnya kembali tenang.
Ku tanggalkan tali pinggang keledarku.
“Bukan itu je yang gua tak boleh terima,” Roul bersuara
secara tiba-tiba.
Aku menoleh ke arahnya.
Dia mengerling ke arahku.
“Gua tak suka Lulu tolong lelaki yang Lulu cerita tadi.”
“Kenapa pulak?” ada nada geram dalam suaraku. Nafasku
tertahan.
“Masa Lulu cakap tadi, he sounds like someone yang akan rampas girlfriend orang lain dengan mudah. Gua tak boleh terima,” ujar
Roul.
Aku menghela nafas panjang.
“Roul, jangan mengarut. Itu sama macam Roul kata Roul tak
percayakan aku,” balasku.
Dia memandang aku sambil mengurut tengkuknya. Aku balas
renungannya. Aku tidak peduli. Aku bukan si gadis yang takut dengan
renungannya.
“Samalah
macam Lulu tak percayakan gua bila gua kata gua dah tak ada apa-apa dengan
Noor,” ujar Roul.
Aku rasa darahku meresap naik ke muka.
Oh jadi dia nak buka cerita ini, ya?
“Itu lain, Roul. Roul tak pernah beritahu aku pasal si
Noor tu. Tak beritahu tu satu hal, boleh pulak Roul masih tak putuskan hubungan
dengan dia,” aku membentak.
Berani dia mempersoalkan aku sedangkan semuanya salah dia
sendiri.
Dia tersenyum sendiri. Aku tidak suka senyuman tersebut.
“Macam mana gua nak putuskan kalau girlfriend gua sendiri tak nak bawak gua jumpa parents dia,” ujar Roul.
Hal
ini lagi!
“Okay, Kalau Roul nak jumpa
sangat parents aku, aku call sekarang,” ujarku, melawan
pandangannya. Sakit betul hati aku.
“Fine. Kalau Lulu buat sekarang, gua akan
lupakan hal ni dan tak akan sebut pasal lelaki yang Lulu nak tolong sangat tu,”
balas Roul pula.
Aku hanya memandangnya dengan rasa sangat sakit hati
sebelum mengambil telefon bimbitku yang berada di dalam beg tangan. Aku terus
mendail nombor telefon rumah. Selepas lima kali deringan, emak yang
menjawabnya.
“Helo, assalamualaikum,” aku boleh dengar bunyi
mengunyah. Emak sedang makan nampaknya.
“Waalaikumussalam. Mak, ni Ayong ni.”
“Ya, ada apa?” tanya emak, seolah-olah kecewa kerana aku
yang menghubunginya dan bukan mana-mana syarikat elektronik yang mengatakan
bahawa dia telah memenangi mesin hampagas atau peti sejuk. Impian emak sejak
dulu.
“Mak, Ayong nak bawak kawan jumpa mak dengan abah. Bila
mak dengan abah ada masa?” tanyaku.
Ibuku berhenti mengunyah.
“Kawan lelaki ke perempuan?”
“Kalau kawan perempuan, buat apa Ayong nak tanya bila mak
dengan abah free,” jawabku.
“Ha, jangan datang hari ni sudah. Abah tak ada. Dia pergi
jemput Sohail kat airport,” ujar
emak.
“Sohail balik?” setahu aku semua universiti belum cuti
lagi.
“Sohail balik sekejap. Kawan baik dia kahwin,” jelas
emak.
Budak Sohail ni suka hati saja nak balik. Dia sangka
belanja tiket kapal terbang pergi balik Sarawak – Semenanjung tu murah?
“Kalau macam tu...” aku pandang Roul.
“Sabtu,” ujar Roul.
Aku tutup bahagian bawah telefonku dengan tangan dan
berbisik padanya.
“Sabtu aku ada hal, kan?” aku mengingatkan.
“Ahad then,”
jawab Roul mudah. Aku tahu dia tidak akan berundur dari hal ini.
Aku kembali ke telefon.
“Hari Ahadlah kalau macam tu, mak. Mungkin tengah hari
macam tu,” aku putuskan akhirnya.
“Ha yelah. Nanti mak bagitau abah Yong,” ujar emak.
Selepas meminta izinnya, aku mematikan panggilan.
Ku pandang Roul dan ada rasa puas hati terpamer dengan
jelas di wajahnya.
“Jumpa Ahad,” ujarku.
Dia memberikan tabik pengakap kepadaku, ada senyuman
pendek di pinggir bibirnya, seolah-olah dia telah memenangi pertandingan tak
bernama antara kami.
Sebaik sahaja aku keluar, Roul terus memecut pergi.
Apa nak jadi dengan lelaki ini...