Iza kata dia kecil hati.
Aku pedulikah?
“Aku baru keluar dari rumah ni dua hari, korang dah buat
iklan cari penyewa baru?” dia mencebikkan bibirnya, sambil memegang kertas
iklan yang ditemuinya.
“Mana kau jumpa iklan tu?” tanya Jis, yang sedang
berbaring di atas sofa sambil membaca novel.
“Kat bus stop,”
jawab Iza.
“Apa kau buat kat bus
stop?” tanya aku pula.
“Memastikan yang rakan-rakan serumah aku tak cuba mencari
pengganti aku dengan segera. Ternyata aku salah,” dia dramatik sekali lagi.
“Semua ni idea Safi,” ujar Masni dari arah meja makan,
sibuk menyiapkan kerja pejabat yang dibawa balik ke rumah.
Huh, sila ingatkan aku untuk tidak ajak Masni melakukan
jenayah. Kalau dia ditangkap, pasti dia akan buka rahsia dengan pantas, sampai
polis pun tidak sempat buat soal siasat.
Hari
Sabtu. Suasana rumah agak sunyi. Jis menghabiskan masanya membaca, Masni dengan
kerja pejabatnya sementara aku yang tidak punya rakan berbual ini membuat
keputusan untuk menjawab emel dan mesej peribadi Facebook yang dihantar oleh
pembaca. Mungkin tidak seramai pembaca Ramlee Awang Murshid, tapi aku tetap
bersyukur. Malah nampaknya ramai pula yang meninggalkan komen di status
Facebookku yang terbaru, yang ku tulis, “Kalau lelaki mengurat sekali saja dan
terus putus asa bila tak dilayan, that’s
just you not trying.”
Ramai
pula yang bersetuju dan menjadikan ruangan komen itu tempat untuk berdebat
tentang betul atau salah kenyataan yang aku buat.
Kesimpulannya,
kami semua sibuk dengan hal masing-masing.
Jadi kami tidak menjangka kepulangan...
Salah! Kedatangan.
Kami tidak menjangka kedatangan Iza. Malah kami tidak
menyangka dia akan datang bersama iklan saiz A4 yang telah aku hasilkan dan
telah Jis dan Masni tampal di setiap papan kenyataan yang mereka temui, tidak
kira sama ada di perhentian bas, lot kedai, bangunan pejabat berdekatan mahupun
klinik. Tiba-tiba sahaja dia muncul di ruang tamu dan terus bertanyakan hal
iklan tersebut. Tidak sekali pun dia memberi salam.
How rude!
“Seriously?
Tampal kat klinik?” Iza memperkecilkan kami.
“Hei, mungkin saja ada suspek denggi yang perlukan rumah
sewa baru. Siapa tahu?” balas Jis.
Iza membaca isi kandungan yang tertera di iklan tersebut
dengan suara komersial.
“Anda suka menonton filem pada waktu tengah malam? Anda
mahu suasana yang selamat, aman dan penuh toleransi? Anda ingin tinggal serumah
dengan seorang novelis yang akan memasak sarapan untuk pagi anda? Mungkin anda
rakan penyewa baru kami! Rumah satu tingkat, tiga buah bilik, dua bilik air, 15
minit perjalanan ke KL, various public
transports. Hubungi kami di nombor yang tertera di bawah atau layari
Facebook page kami diwww.facebook.com/roomiesbestgiler.”
Kemudian dia memandang kami bertiga.
“You guys have a facebook page for
this?” tanya
Iza sambil mengipas-ngipas mukanya dengan iklan tersebut.
“Idea dia,” Jis menuding jarinya ke arah aku.
Jis juga tidak
boleh diajak melakukan jenayah bersama-sama.
Iza memandang aku dengan wajah yang geram. Kalau aku
Helmi, mungkin aku akan cair dan kata “Ah, susahnya. Cute sangat!”. Tapi aku bukan Helmi dan aku sudah mengenali gadis
ini sejak dia masih lagi budak hingusan yang debab dan ke sana ke mari dengan
beg Polly Pocket.
“Serius, Safi? Hanya lepas dua hari?”
“Bersyukurlah. Kalau ikutkan aku, dua jam lepas kau blah
tu aku dah buat dah iklan tu. Tapi we’re
not a bunch of barbarians, are we? Jadi sebagai seseorang yang berkefahaman
demokrasi terpimpin, aku hasut dua orang ni untuk cari penyewa baru dua hari
lepas kau pindah,” jawabku mudah.
“Oh, jadi kaulah Fletcher Christian dalam hal ni?” tanya
Iza.
“Siapa
Fletcher Christian?” tanya Jis.
“Master’s mate kapal yang instigate
pemberontakan dalam ‘Mutiny on the Bounty’.”
“Iza, aku dah kata, jangan guna rujukan pop culture yang orang lain tak tahu,”
aku mengingatkan.
Iza buat muka menyampah.
“Tapi betullah apa Safi buat tu, Iza. Kau blah secara
mengejut. Kitorang kena cari penyewa baru. Sewa dah naik kot,” Masni cuba
menjelaskan keadaan.
Iza mengeluh panjang. Dia menolak kaki Jis yang melunjur
di atas sofa itu ke bawah dan terus duduk, tidak sesekali pun mempedulikan nada
protes daripada Jis. Dia sedar kebenaran kata-kata Masni itu.
“Apa-apa
jelah. Safi, temankan aku,” pintanya tiba-tiba.
Aku mengangkat muka. Masih ada
dua emel daripada pembaca yang bertanyakan buku terbaru. Sudah hampir setahun
aku tidak mengeluarkan buku baru dan nampaknya bukan aku seorang yang mula
sedar aku sudah lama tidak keluar cerita baru.
Bukannya aku tak mahu mengeluarkan buku baru. Sejak
akhir-akhir ini, syarikat penerbitan yang mengeluarkan buku aku sedang cuba
mengeluarkan nama-nama baru. Banyak manuskrip rakan-rakan novelis yang lain
masih tersangkut dalam proses suntingan. Jadi aku fikir lebih baik aku gunakan
masa ini untuk berehat. Tak ada gunanya aku menulis setiap masa. Proses
sedemikian hanya akan membuatkan aku tidak ubah seperti pengeluar produk
berbanding pencipta karya.
Alasan yang baik untuk aku berehat.
Bukan itu sahaja. Dua bulan lalu, aku telah ditawarkan
untuk menjadi penulis kolum untuk sebuah majalah wanita yang dikeluarkan dua
kali sebulan. Dengan gembira aku menerimanya dan aku lebih bangga tentang kolum
tersebut daripada kerjaya sebagai novelis.
Kenapa?
Sebab kolum itu milik aku. Tempat aku bercakap tentang
apa yang aku mahu tanpa perlu menjadi watak lain. Aku tidak perlu menghasilkan
sebuah novel setebal 500 muka surat untuk menyampaikan idea aku. Aku boleh
melakukannya dalam 1500 patah perkataan dan aku dibayar untuk itu. Buat masa
ini, sudah empat artikel yang aku tulis dan aku sangat bangga dengan
keempat-empat artikel tersebut. Roul tidak faham kenapa.
Tiada siapa akan memahaminya kecuali aku sendiri.
Berbalik kepada permintaan Iza tadi, aku hanya
memandangnya tanpa mengatakan apa-apa.
“Ada wedding
exhibition dekat The Mall. Temankan aku tengok-tengok.”
“Apa? The Mall? Sabtu?”
Kenapa orang ramai masih tidak memahami peraturan tidak
bertulis pemanduan di Malaysia?
Pertama, jangan cuba ke One Utama atau Mutiara Damansara
pada hari cuti umum.
Kedua, jangan cuba untuk memandu ke arah Jalan Putra pada
hari Sabtu dan Ahad.
Ketiga, Jalan Ampang adalah sumber sumpah seranah pada
jam enam petang dari Isnin sehingga Jumaat.
Keempat, semua orang perlu lihat dan akur pada peraturan
tidak bertulis ini sebab aku sudah menulisnya sekarang.
“Ya, aku tahu jalan jammed.
Tapi member aku kata kat pameran macam tu, kita boleh dapat harga diskaun
berbanding harga biasa untuk kebanyakan benda.”
Aku berfikir panjang. Baiklah, bukan berfikir panjang.
Lebih kepada mencari-cari alasan untuk diberikan.
“Jangan nak bagi alasan. Aku tahu kau free hari ni,” ujar Iza.
Ini yang aku benci tentang persahabatan. Susah untuk kita
menipu orang yang sudah mengenali kita selama berpuluh tahun. Mungkin aku patut
cari kawan baik baru, yang akan menerima dengan membabi buta apa sahaja alasan
yang aku berikan.
“Kenapa tak ajak Helmi?”
“Dia pergi Singapura la,” ujar Iza dengan rasa jengkel.
“Singapura lagi?”
“Nak buat macam mana,” balas Iza, perlahan.
Sejak dinaikkan pangkat menjadi pengurus produksi di
syarikatnya, hampir setiap bulan Helmi ke Singapura. Aku tidak faham kenapa.
Aku tidak pernah bertanya atau menunjukkan minat pada kerjayanya. Kali terakhir
aku meminta Helmi menjelaskan tentang skop tugasnya, Helmi memulakan
penerangannya dengan perkataan ‘developing
innovation’ dan fikiran aku mula melayang.
Aku mengeluh panjang. Iza sudah mula mencebik lagi,
meminta agar aku mengasihani dirinya seterusnya bersetuju menemankan dia ke
pameran tersebut.
Ada suatu perkara tentang pameran perkahwinan yang
menjengkelkan. Jika anda bukan seorang perancang perkahwinan profesional atau
seorang wanita yang akan berkahwin, kehadiran anda di sana tidak ubah seperti
rusa masuk kampung. Atau rusa bujang masuk kampung yang dipenuhi baju
pengantin, pelamin contoh, demonstrasi solekan dan bau makanan.
Suatu masa dahulu, pameran tersebut pernah diadakan di
Kompleks PKNS, Shah Alam dan aku hampir jadi gila kerana terlalu banyak sampel
makanan yang boleh dicuba. Aku paling suka sampel strawberi coklat di sebuah
gerai yang dimiliki seorang wanita yang menggelar dirinya Kak Iryani.
Berbalik semula kepada persoalan asal (otak aku selalu
melayang-layang ke tempat lain, kan?), nampaknya aku terpaksa bersetuju. Bukan
sebab Iza cuba buat muka comel (itu memang tidak pernah berjaya sebab aku bukan
seorang lelaki yang inginkan dia untuk melahirkan anak aku), tapi kerana aku
sedar yang Iza sudah tidak tinggal di sini lagi dan kami akan jarang berjumpa.
Inilah antara waktu-waktu yang ada untuk kami keluar bersama.