Aku sangat mengantuk tatkala
Roul datang menjemputku keesokan harinya.
Mana tidaknya, malam itu aku balik agak lewat. Bukan
kerana aku habiskan masaku bersama Zaniel. Langsung tidak. Usai sahaja
pertemuan kami di Starbucks Coffee, dia menghantar aku pulang.
Oh, ya. Aku harus menjelaskan hal ini kepada Chaq. Dia
tidak boleh buat begini padaku. Meminta orang asing menghantar aku balik, sekalipun
lelaki itu merupakan kawannya, bukan sesuatu yang patut dilakukan oleh seorang
kawan. Ini hanya akan menimbulkan fitnah. Apa yang jiran-jiran sekeliling akan
cakap? Aku tahu jiran-jiran kami bukan suka sangat dengan rumah sewa yang
dipenuhi wanita. Terlalu mudah untuk kami menjadi bahan fitnah. Kalau tuan
rumah tahu, pasti dia akan membebel tentang keperluan menjaga maruah seorang
wanita.
Ketika Zaniel menghantar aku pulang, dia ternampak samar-samar
kelibat seseorang sedang termenung di luar.
“Siapa
tu? Klien kaunseling awak?” dia bergurau.
“Kawan
serumahlah,” jawabku.
“Saya rasa dia ada masalah,”
ujar Zaniel.
“Wow, ye ke? Terima kasihlah sebab beritahu. Kalau tak
cakap mungkin saya tak perasan langsung,” balasku sarkastik.
Dia ketawa rendah.
Kunci automatik keretanya ditekan, dan aku terus membuka
pintu kereta.
“Safi,” dia memanggil, bila aku menutup pintu kereta.
Cermin kereta diturunkan.
Aku menoleh.
“Sabtu,” dia mengesahkan sekali lagi. Bukan sebagai
soalan, tetapi sebagai peringatan.
“Ya, Sabtu,” balasku.
Dia terangguk-angguk sendiri sebelum memecut pergi.
Aku terus mendekati Masni yang sedang termenung di
penghadang simen yang terletak di luar pagar rumah, dicipta sebagai sempadan
longkang, tetapi biasa dijadikan tempat melepak.
Dia menoleh ke arahku, sedar kehadiran aku di situ.
“Kau ada skandal baru ke?” tanya Masni, separa bergurau.
Aku nampak wajahnya yang lesu dan murung di sebalik jenaka tidak seberapa itu.
Ku cebikkan bibir.
“Pfft. Not my
taste,” ujarku, sekadar membalas gurauan Masni.
“Ya, taste kau
mata merah yang kuat mencarut,” balas Masni.
Itu membuatkan aku ketawa. Masni sekadar tersenyum. Tiada
kata-kata lain terbit dari bibirnya. Aku ingin bertanya lagi apa masalah sebenar
gadis itu tetapi aku tahu Masni tidak akan menjawabnya. Selama aku mengenali
Masni, dia seorang yang tidak banyak bicara. Biasanya Masni hanya akan
menyambung apa saja yang Jis katakan atau memberi idea jika tiada siapa punya
sebarang ilham. Namun begitu, dia bukan seorang gadis yang akan memulakan
perbualan. Aku tidak rasa dia akan memulakannya hari ini.
“Mas, nak pergi minum tak? Aku haus,” tanyaku.
“Kau dari tadi pergi mana? Tak minum ke keluar tadi?”
tanya Masni.
“Aku pergi minum air yang tak kena dengan tekak. Aku
perlukan teh ais segelas dua,” aku sengih.
Aku tidak dahaga. Aku cuma mahu menemani Masni. Mungkin
dengan cara itu, dia akan mengatakan sesuatu. Kalau bukan seluruh kisahnya,
sedikit petunjuk untuk aku pun sudah cukup. Sekurang-kurangnya aku tahu apa
yang sedang berlaku dalam hidup rakan serumahku.
“Kau pergi mana tadi?” tanya Masni.
“Starbucks.”
“Ha, sekarang baru aku percaya lelaki tadi tu bukan
skandal kau. Kau memang tak boleh bercinta dengan lelaki kaya sebab kau tak akan boleh pergi minum-minum
tempat mahal. Taraf kau kedai mamak je,” ujar Masni, berseloroh dalam kelesuan.
“Sebab mamak is the
shizz yo,” balasku.
Dia memberikan kunci keretanya kepadaku dan meminta aku
yang memandu.
Kemudian kami habiskan masa di restoran mamak. Tiga
keping roti canai, sepiring aiskrim goreng, dua gelas besar teh ais kemudian,
kami pulang ke rumah. Bila aku masuk bilik, Chaq sudah pun terbungkang di atas
katil tanpa menukar baju mahupun mandi terlebih dahulu. Aku mandi, kejutkan
Chaq untuk tunaikan solat Isyak dan terus tertidur di atas tilam.
Aku langsung terlupa apa yang aku dan Masni bualkan di
restoran mamak sebelum itu. Aku hanya terjaga pagi itu apabila Roul menghantar
SMS dan mengatakan dia dalam perjalanan ke rumah.
Terus tersentak dari lena, macam kena simbah air panas.