Masni hanya pulang dari tempat
kerja pada jam sebelas malam dan dia rasa sangat letih. Ketika dia sampai tadi,
dia nampak sebuah Proton FLX berwarna hitam memecut pergi, jalur kuning di
bahagian sisinya nampak seperti kilat yang memancar ketika kereta tersebut
membuat pusingan dan beredar dari kawasan rumah. Dia pasti itu adalah penyewa
baru yang dikatakan Jis ketika gadis itu menghantar pesanan peribadi kepadanya
tadi.
Dia rasa ralat kerana tidak dapat berkenalan dengan bakal
penyewa mereka sedangkan Jis dan Safiah sudah pun berbual mesra dengan gadis
yang bernama Chaq itu. Dalam pesanan ringkasnya tadi, Jis menjelaskan bahawa si
gadis bernama Chaq, bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara di Solaris
Dutamas dan merupakan rakan Safiah yang sudah lama terpisah.
Masni tidak suka menjadi orang yang terakhir atau menjadi
satu-satunya insan yang belum lagi mengenali gadis yang dimaksudkan. Dia bukan
seorang yang mudah rapat dengan sesiapa. Malah ketika kali pertama dia
berpindah ke Kuala Lumpur atas tujuan menamatkan pengajian, dia menghadapi saat
yang sukar untuk cuba menyesuaikan diri. Dia bukan seorang gadis yang banyak
cakap dan dia juga tidak suka menghabiskan masanya berbual kosong.
Mujur dia mengenali Jis ketika mereka sama-sama
menghadiri satu pameran pekerjaan suatu masa dahulu. Dia di sana kerana ingin
memantau ruang pekerjaan sementara Jis pula menjadi wakil syarikatnya untuk
menerangkan tentang peluang pekerjaan bersama mereka. Masni memberitahu Jis
bahawa dia sedang mencari rumah sewa dan Jis menjelaskan bahawa dia juga sedang
mencari teman untuk sama-sama menyewa dengannya. Dia kemudiannya diperkenalkan
kepada Iza dan Emi melalui Jis. Tidak lama selepas itu, Emi berpindah dan
mereka bertiga menjadi rakan serumah. Safiah akan muncul sekali-sekala dan
menumpang bilik Iza.
Itu sejarah mereka, dan kini mereka akan ada rakan
serumah yang baru. Dia sangat berharap agar rakan baru ini tidak seperti rakan
barunya di pejabat. Jika tidak, hidupnya pasti akan kucar-kacir.
Masni membuka pintu gril sambil menanggalkan kasutnya.
Suasana rumah agak sunyi kerana Jis sudah pun kembali ke biliknya. Hanya Safiah
sahaja yang berada di ruang tamu, sedang makan maggi tomyam sambil bersila
menonton rancangan kegemarannya di internet.
“Assalamualaikum,” ucap Masni.
Safiah melambaikan tangan kirinya, meminta Masni
menghampirinya. Dia tidak menjawab salam tersebut kerana mulutnya masih
dipenuhi maggi. Namun begitu, tangan kiri yang melambai tadi dituding ke arah
mangkuk plastik berwarna biru yang berada di atas meja di depan sofa. Bau maggi
tomyam di dalam mangkuk plastik itu menusuk hidungnya. Malah ada sepasang
penyepit diletakkan di atasnya.
“Untuk aku?” tanya Masni.
Safiah mengangguk.
Inilah yang Masni suka tentang novelis nan seorang ini.
Dia tidak pasti sama ada Safiah memiliki ingatan yang sangat kuat atau dia
mempunyai daya pantauan yang sangat hebat. Mungkin juga firasatnya agak tepat
kerana sememangnya itu yang Masni sedang fikirkan sejak dalam kereta lagi.
“Mana kau tahu aku nak makan maggi?” tanya Masni, turut
bersila di sebelah Safiah. Dia mengerling ke arah komputer riba gadis itu.
Safiah sedang menonton siri “Peep Show” di YouTube. Pastinya siri tersebut
tidak dimainkan di siaran televisyen Malaysia. Mereka sudah arif dengan sikap
Safiah yang tidak mahu meminati perkara yang orang lain minati. Mungkin sebab
itu Safiah memilih lelaki seperti Roul menjadi teman lelakinya. Kali pertama
Masni bertemu dengan Roul, dia tidak memahami bagaimana gadis seperti Safiah
akan bersama lelaki seperti Roul.
Masni mula mengerti apabila mendengar perbualan mereka
berdua. Ia dipenuhi rujukan yang hanya Safiah dan Roul fahami. Melihat hubungan
mereka berdua bagaikan melihat interaksi dua ekor makhluk asing.
“Aku tahulah. Aku kan novelis.”
“Kau sangat poyo, Safi,” ujar Masni.
Dia lihat Safiah ketawa. Gadis itu sengaja menyebutnya.
“Aku tahu tabiat kau bila kau stress. Sama ada kau main Candy Crush atau kau makan. Tapi kalau
dah malam macam ni, aku rasa kau mesti lebih lapar berbanding bosan. Oleh yang
demikian...” dia mengisyaratkan tangannya pada mangkuk hijau berisi maggi
tomyam itu seperti pembantu pengacara mempersembahkan hadiah kuiz di depan
penonton.
“Mana kau tahu aku stress?”
“Tolonglah, perempuan. Aku boleh agak dari kekerapan kau
main Candy Crush dan mengeteh pada waktu malam. Kau bukan jenis yang suka makan
malam selama ni.”
Masni merenung mangkuk maggi tersebut sambil
mengangguk-ngangguk.
“Betul,”ujarnya.
Dua batang penyepit tersebut dikepit di jarinya bagaikan pengguna penyepit profesional
dan dia mula menikmati makan malamnya, sekalipun hidangan itu tidak lebih dari
maggi asam laksa yang ditambah cili api dan daun bawang.
Dia tahu Safiah sedang memandangnya. Dia tahu Safiah
pasti mahu dia menceritakan apa masalahnya.
Bagaimana Masni mahu mulakan?