Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 9: Shissseriously...

Kami tiba di rumah pada jam sembilan malam akibat kesesakan jalan raya. Kami berhenti seketika di masjid berhampiran untuk menunaikan solat maghrib selepas menyedari jam sudah menunjukkan pukul 8.15 dan kami masih berada di Kuala Lumpur. Usai solat maghrib, sempat pula aku duduk sekejap dan mengurut kaki Iza yang pegal-pegal akibat berkali-kali menekan brek.

“Aku dah kata jangan ke KL hari Sabtu. Kau degil. Siapa yang penat sekarang?”

Iza sengih.

“Kalau aku tak keluar hari Sabtu, aku nak keluar hari apa? Aku bukan macam kau, suri rumah sepenuh masa.”

Suri rumah sepenuh masa. Memang itulah gelaran yang diberikan oleh rakan-rakan serumahku, selain ‘Amah’, ‘Mak Labu’ dan suatu masa dahulu, ‘Cendawan Tumpang’. Semuanya disebabkan aku sentiasa berada di rumah dan sentiasa menjadi tukang masak untuk mereka yang bekerja di pejabat. Aku juga tukang basuh baju dan kemas rumah. Adakalanya aku juga mengemas bilik Jis dan Masni kerana kebosanan. Bukannya aku tak ada kerja. Tapi jika anda bekerja di rumah seperti aku, anda juga mudah bosan dan rasa terperangkap.

Aku pernah meminta mereka memberikan aku gelaran yang lebih menarik daripada ‘Amah’ atau ‘Mak Labu’, seperti ‘Sexy French Maid’atau ‘The Nanny’. Masni dan Jis pandang aku dengan wajah yang hambar dan menyambung perbualan mereka tanpa mempedulikan apa yang aku cadangkan.

Tak ada semangat perpaduan langsung. Mana perginya semangat1RumahSewa?

“Aku nak mintak maaf,” ujar Iza tiba-tiba.

“Ha? Apa dosa kau?” aku bertanya.

Ucapan kemaafan mendadak ala-ala drama TV tak berkualiti ini sangat menggelikan.

“Yela, aku tak beritahu kau dari awal yang aku dan Helmi akan kahwin. Tiba-tiba je kitorang buat pengumuman hari tu. Sepatutnya aku cakap dengan kau dulu, womano-a-womano.”

“Ha?”

“Macam mano-a-mano, tapi versi perempuan.”

Aku mengeluh sekali lagi. Aku tidak tahu sejak bila Iza mula mencuba untuk menggunakan analogi dan istilah yang entah apa-apa dalam perbualan sehariannya. Aku rasa aku patut salahkan Helmi. Mungkin dia penyebabnya.

“Iza, mano-a-mano tu maksudnya bukan ‘Man to man’. It’s Spanish, bermaksud ‘Hand in Hand’. Hanya boleh dijadikan rujukan kalau kau ajak aku bergaduh. Lebih baik kau guna saja perkataan biasa. Macam ‘bersemuka’, atau ‘depan-depan’, atau ‘face to face’ kalau nak mat saleh sangat.”

“Aku bencilah kau ni. Suka hati akulah nak cakap apa pun,” dia mencebik lagi.

Aku ketawa. Ketawa yang dikekang kerana berada dalam kawasan masjid. Dan entah kenapa ia mengingatkan aku pada zaman persekolahan kami.

“Tiba-tiba aku teringat zaman sekolah,” ujarku, ketika kami keluar dari kawasan masjid.

“Kenapa dengan zaman sekolah?” tanya Iza.

“Ingat tak masa zaman sekolah dulu? Kalau kita berborak dalam musolla, mesti kena marah dengan Ustaz Bosnia tu sebab bercerita hal dunia.”

“Aku ingat dia. Ustaz Muhammadi. Handsome gila. Putih melepak macam orang Bosnia,” dia tersenyum mengingati guru agama idaman ramai itu.

“Kau syok kat dia dulu, kan?” aku mengusik Iza.

“Eh, excuse me. Kau yang syok kat dia.”

Sorry sikit. Aku tak layan lelaki kulit putih yang akan bertukar jadi belon pink bila kena cahaya matahari. Tak cukup kelelakian.”

“Yelah, kau cuma suka lelaki mata sebelah merah. Kalau kena ketumbit pun masih nampak bergaya.”

Aku menendang kakinya, tapi dia sempat mengelak. Iza ketawa besar.

“Aku tak tahu kenapa, tapi aku memang paling suka time kuliah maghrib dekat musolla masa zaman sekolah dulu. The whole ambience memang best,” ujar Iza, menoleh ke arah masjid buat kali terakhir.

“Maksud kau sebab boleh top-uptidur sementara Ustaz Zaidi bagi kuliah?” aku mengejeknya. Iza memang sentiasa tertidur pada waktu kuliah maghrib. Jika anda lihat betapa bersungguh-sungguhnya dia memenuhi saf depan pada waktu kuliah, anda sangka dia memang mahu mendengar dengan khusyuk. Tapi Iza bergegas ke saf depan supaya dia boleh duduk di sudut musolla, di mana tabir terselak yang memisahkan muslimin dan muslimat dapat menutup bahagian kepalanya dan Ustaz Zaidi tidak akan nampak dia tidur dalam keadaan bersila.

“Aku bukan tidur. Dah berapa kali aku kata. Aku khusyuk,” balas Iza selamba.

Kami memasuki kereta. Iza meletakkan beg tangannya di bawah tempat duduknya dan mula memasang tali pinggang keledar. Aku juga melakukan hal yang sama sebelum menyedari dia sedang memandang aku dengan wajah sayu.

“Apahal lagi ni?”

“Kau janji dengan aku tau, Safi.”

“Janji apa? Kau ni melankoliklah.”

“Janji dengan aku, lepas aku kahwin pun kita akan masih berkawan baik macam sekarang.”

Aku menarik nafas panjang. Wajah Iza ku tenung. Terlalu ramai rakan-rakan kami yang sudah hilang khabar berita dan sukar hendak diajak bertemu selepas berkahwin atau memiliki kerjaya sendiri. Seri, Najihah, Liza, Rashidi, Chaq. Mereka antara rakan karib kami di sekolah dahulu. Namun kini, kami hanya dapat berbual dengan mereka di Facebook sahaja. Malah ada di antara mereka yang langsung tak dengar cerita. Aku tahu Iza tidak mahu hubungan kami jadi seperti itu.

“Ya, Iza. Kita masih kawan. Helmi pun kawan aku jugak. Aku akan terus menjadi si penyibuk yang masuk campur dalam kehidupan korang,” ujarku. Aku tak pasti sama ada itu satu pujukan atau janji yang menyeramkan.

Tapi kata-kataku tetap membuat Iza tersenyum.

Keretanya terus memecut meninggalkan kawasan masjid.

Kegembiraan Iza hanya bertahan selama 30 minit.

***********************************************************************************

Kenapa hanya bertahan 30 minit?

Kerana kami sampai ke rumah 30 minit kemudian dan menyedari si pemanggil yang ingin menyewa bersama kami sudah pun sampai. Ada sebuah kereta Proton Saga FLX berwarna hitam dengan jalur kuning menghiasi bahagian sisi dan bahagian kanan bonet kereta diletakkan di tepi jalan berdekatan rumah kami.

“Menepati janji. Ciri yang baik untuk seorang penyewa baru,” ujar Iza, sekalipun ada nada semacam pada suaranya.

Aku tahu mengapa. Dia berharap tempatnya tidak akan diganti dengan segera. Mungkin juga dia mengharapkan si pemanggil tadi tidak akan muncul seperti yang dijanjikan. Aku juga mengerti kerana sekalipun aku yang membuat iklan tersebut, aku juga tidak begitu bersedia untuk menerima rakan baru dalam rumah kami. Aku cuma melakukannya kerana kami perlukan seseorang untuk membantu membayar bil dan sewa!

Dia turut mengekori aku masuk ke rumah kerana ingin melihat rupa penyewa berpotensi ini.

“Assalamualaikum.”

Jis yang sedang duduk di sofa kegemarannya menoleh dan menjawab salamku.

“Ha, cik novelis dah sampai dah. Bekas penyewa pun ada sekali?” tanya gadis itu.

“Ya, saja nak menyibuk,” celah Iza.

“Bagus. Bagus. Ni, potential housemate datang,” dia mengisyaratkan kepalanya ke arah seseorang yang sedang duduk di sofa yang membelakangi kami.

Seorang gadis berambut pendek bangun dan memalingkan badannya ke arah kami untuk memperkenalkan diri.

Kami bertiga terpempan seketika.

“Chaq?” Iza bersuara.

“Safi! Iza!” dia datang memeluk kami.

Aku rasa dunia bagaikan membuka lembaran baru. Semua rasa tidak selesa yang membungkam dalam fikiranku untuk menyambut orang baru terus hilang apabila aku melihat wajah yang dikenali ini, wajah yang sudah lebih kurang sepuluh tahun tidak aku temui. Dia mungkin lebih kurus dari dulu dan lebih bergaya, namun tatkala dia memeluk aku dan menjerit kegembiraan, aku tahu ini gadis yang sama yang aku kenali di sekolah dahulu.

Aku langsung tidak sedar wajah Iza yang tidak teruja seperti aku.

“Shisseriously! Aku tak sangka rupa-rupanya aku bercakap dengan kau kat telefon tadi,” ujar Chaq sambil menolak anak rambut yang gugur menutupi dahi. Dia tampak lebih kurus dari dulu. Dengan gaya rambut potongan concave dan jumpsuit berwarna ungu, dia begitu berbeza dengan Chaq yang dulu.

Chaq merupakan seorang daripada rakan karib aku ketika aku di sekolah menengah. Dia yang dilahirkan di Singapura telah berpindah kembali ke Malaysia selepas ayahnya ditawarkan untuk bekerja dengan kerajaan. Dia memasuki sekolah kami kerana ibu saudaranya merupakan pengetua kami.

Tidak seperti aku dan Iza yang saling mengenali kerana kami datang dari kampung yang sama, aku dan Chaq menjadi rakan karib ketika kami di tingkatan empat. Pada waktu itu, aku dan Iza terpisah apabila dia mengambil bidang teknikal sementara aku berpuas hati menjadi pelajar sastera ikhtisas.

Bukan sastera. Tapi sastera ikhtisas.

Ugh, prinsip akaun...

Kami mula berbual panjang dan berkenalan lebih baik ketika sedang beratur pada waktu perhimpunan. Disebabkan Iza berada dua barisan jauhnya dari aku, aku habiskan masa dengan mendengar celoteh Chaq berbanding ucapan selamat yang membosankan Penolong Ketua Hal Ehwal Murid. Aku suka dengar celoteh Chaq. Dia sentiasa ada sesuatu yang lucu untuk diperkatakan. Dia juga amat pantas dalam memberi gelaran kepada orang lain. Siapa lagi yang memberikan gelaran Ustaz Bosnia itu kepada Ustaz Muhammadi kalau bukan dia?

Kerana itulah aku memilih untuk duduk di sebelahnya di dalam kelas. Disebabkan Iza memasuki kelas yang memiliki bidang berlainan, kami juga tidak bertemu pada waktu Pendidikan Jasmani dan juga waktu rehat. Jadi waktu-waktu tersebut aku habiskan bersama Chaq. Kami cuma berpisah ketika tamat waktu persekolahan harian, kerana Chaq tinggal bersama ibu saudaranya sementara kami tinggal di asrama.

“Kau pun sama, Che Iza. Korang ni masih berkawan sampai sekarang rupa-rupanya. Jealous okay?” ujarnya, menggenggam tangan Iza dengan kuat.

“Ya. Lama tak jumpa,” ujar Iza dengan nada perlahan.

Chaq kembali memberikan perhatiannya kepada aku.

“Kau orang kenal?” tanya Jis yang agak terkejut melihat kami berteriak bersama-sama tadi.

“Yes! Aku dengan Safiah ni BFF sejak sekolah menengah kot,” ujar Chaq dengan ceria.

“Masa,” ujar Iza tiba-tiba.

Kami bertiga memandangnya, tidak faham.

“MASA sekolah menengah, bukan SEJAK sekolah menengah. Kita dah tak jumpa lepas sekolah,” jelas Iza, membetulkan kata-kata Chaq.

Chaq ketawa seraya menepuk manja bahu Iza.

“Oh, po-tay-to, poh-tah-to,” ujarnya, menggawang-gawangkan tangannya menunjukkan dia tidak peduli dan tidak nampak bezanya. Dia kembali memberi perhatiannya kepada aku.

“Oh Safi. Aku tak sangka akan jumpa kau. Aku ada baca pasal kau dalam paper dan aku selalu berlagak dengan kawan-kawan ofis aku yang kau ni kawan aku. Tapi aku tak sangka kita akan jadi kawan serumah!” ujarnya lagi.

“Kau dah setuju nak tinggal di sini?” Iza terkejut.

“Mestilah. Shisseriously aku akan setuju. BFF aku ada kat sini kot!” dia memeluk tubuhku dengan lebih erat.

Iza pandang aku. Aku tidak perlu menterjemah pandangannya apabila dia mengajuk dengan mulutnya.

Shisseriously? Itu yang bibirnya mimikkan dengan wajah yang menyampah.

Namun pada ketika itu, aku sudah terlalu gembira kerana dapat bertemu kembali dengan sahabat lama sehinggakan aku tidak nampak reaksi sarkastik yang diberikan oleh Iza. Tuhan itu Maha Adil. Iza pergi dan Chaq pula datang. Aku pasti tak akan kesunyian.

“Bukan housemate saja. Roommate aku,” ujarku.

“Oh my oh!” dia menjerit lalu memeluk aku dengan penuh kegembiraan.

Iza di sebelah aku buat muka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.