Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 13: Dora the Explorer

Aku menemui Roul di restoran mamak kegemarannya, tempat di mana kami keluar makan bersama-sama kali pertama aku menyedari lelaki yang pernah berambut merah itu sudah melekat dalam fikiranku. Kalau diikutkan hati aku, aku mahu duduk menjaga lukisannya dan biarkan Roul menghilangkan diri seketika. Roul akan kembali bila saja dia mahu.

Tapi kata Zulu, “Baik lu pergi cari dia, kak.”

Aku ingin sekali bertanya pada Zulu tentang gadis tadi dengan lebih lanjut, tetapi dari cara Zulu pandang aku pun aku sudah tahu. Perempuan itu adalah kisah Roul. Kalau aku ada soalan, aku patut tanya pada Roul sendiri.

Tidak susah mencari Roul apabila anda betul-betul kenal dengan lelaki ini. Dia bukan seperti hero filem melayu yang akan pergi menghadap laut sambil membuat unggun api di tepi pantai semata-mata mahu berfikir. Dia tidak akan memandu kereta tanpa arah tujuan, dengan tangan kiri di stereng dan tangan kanan menongkat dagu sambil radio memainkan lagu ‘The One that Got Away’ nyanyian Katy Perry. Dia tidak akan memberhentikan keretanya di puncak bukit dan menjerit ke arah pemandangan Kuala Lumpur yang berada nun jauh di bawah sana.

Ketika aku sampai ke restoran mamak tersebut, Roul sedang minum kopi susu kambing sambil merokok sementara khusyuk menonton televisyen yang dipasang di dinding. Kakinya disilangkan sementara tangan kirinya dimasukkan ke dalam poket.

Santai.

Aku menarik nafas panjang lantas datang mendekati lelaki itu.

Dia mengerling ke arah aku sekali sebelum senyuman lebar terukir di bibirnya. Dia melambaikan tangan kirinya dan menepuk kerusi yang berada di sebelahnya, isyarat biasa Roul untuk meminta aku duduk di sampingnya.

Sementara aku mengambil tempat di sebelahnya, Roul mengangkat tangannya untuk memanggil pelayan yang sedang bersandar di tepi meja, yang menunggu untuk dipanggil oleh pelanggannya.

“Minum apa, Lulu?” tanya Roul.

Cuaca yang panas di luar ini membuatkan aku dahaga.

“Tembikai laici, bai.”

Si pelayan tidak mengiyakan mahupun mengangguk. Dia hanya menoleh ke belakang dan bercakap dalam bahasa yang aku tidak faham, tapi cukup mengerti yang ia bermaksud “Tembikai laici satu”.

“Makan?” tanya si pelayan yang pelat berbahasa melayu.

“Roul tak makan?” aku pandang si mata merah itu.

“Gua dah order.”

Order apa?”

“Awek cun satu. Dah sampai dah,” gombal lagi.

“Pfft. Ayat poyo.”

Pelayan import dari Bangladesh itu berdehem.

“Naan cheese. Dua,” kataku.

Sekali lagi dia terus meninggalkan kami tanpa mengangguk mahupun mengiyakan.

Kami kembali bersendiri. Roul tidak mengatakan apa-apa, sekadar menghirup kopi susu kambingnya. Rokoknya di tangan tidak dihisap dan terus membara memakan batangnya. Matanya masih di kaca televisyen, tetapi aku tahu dia tidak menontonnya. Roul tidak akan menonton rancangan “Dora The Explorer” dan meneka apakah makanan kegemaran seekor beruang koala dan menerima pujian daripada animasi gadis kenit dengan potongan rambut helmet itu.

“Good job!” kata si Dora.

“So,” aku memulakan.

Anak matanya dialihkan dari televisyen ke arahku yang berada di sebelahnya. Badannya tetap pada kedudukan. Hanya matanya yang melirik ke arahku.

“Ingat tak masa kita pergi tengok ‘Mamma Mia!’ Kat Istana Budaya?”

“Mhm,” matanya dialihkan kembali ke kaca televisyen.

“Lepas tu Iza suruh aku naik kereta Roul untuk pergi makan kat KLCC tapi kita stuck dalam jam?”

“Mhm.”

“Aku tengok semua CD lagu Roul dan jumpa CD lagu Raihan?”

Rokok di tangan disua ke mulut dan dia menyedutnya. Hembus. Ketuk rokok di tempat abu rokok.

“Mhm.”

Air tembikai laici sampai.

“Ingat tak aku tanya pasal CD tu dan Roul kata itu ex Roul punya dan dia cuba ubah minat Roul? And that she failed miserably?”

“Mhm.”

Aku renung matanya yang masih fokus saat aku bertanya soalan yang seterusnya.

“Dia ke tadi tu?”

Roul senyum.

“Gua suka cara Lulu pusing-pusing sebelum tanya soalan. Seksi. Macam Angelina Jolie.”

“Aku suka cara Roul elak soalan aku dengan cara memuji aku dengan pujian yang memang tak masuk akal. Spit it out, son.”

Roul ketawa besar, terangguk-angguk sendiri.

Dia masih tidak menjawab soalanku sekalipun selepas pinggan berisi dua keping nan keju muncul di depan aku. Aku minta satu lagi piring untuk Roul dan meletakkan sekeping nan keju di atas piring tersebut. Aku tahu dia belum makan tapi aku juga tahu dia tidak ada selera makan. Kenapa dia tidak berselera? Itu aku tak pasti alasannya, kerana Roul masih belum menjawab soalan aku.

Dia masih tidak menyentuh roti nan keju itu.

“Makanlah, Roul.”

“Gua merajuk sebab Lulu tanya gua soalan yang gua tak nak jawab.”

Aku cuba merenung matanya tetapi tiada apa-apa emosi di dalamnya. Sepasang mata redup yang sebelah hitam sebelah merah menyala itu kosong tak bermakna.

“Tak nak jawab sudah. Nak merajuk suka hati. Tapi isi perut yang kosong tu,” ujarku akhirnya.

Dia merenung piring tersebut.

“Suapkan?”

“Nak kena belasah?”

Dia tersenyum semata. Rokoknya dimatikan di atas tempat abunya. Kemudian dia memandang aku. Senyuman biasa tadi perlahan-lahan berubah menjadi senyuman jahanam. Senyuman yang mengingatkan aku pada sekumpulan serigala yang berjaya mengepung mangsanya. Ada helah dalam senyuman tersebut.

“Lulu betul-betul nak tahu?” tanya Roul.

Aku mengangguk. Aku tak dapat nafikan yang sememangnya aku tertanya-tanya. Aku lebih tertanya-tanya tentang gadis tadi berbanding mana-mana persoalan aku selama ini. Malah aku lebih tertanya-tanya tentang gadis tadi berbanding keputusan SPM, peperiksaan tahun terakhir aku di universiti, bahkan ulasan novel terbaruku di dada akhbar. Suatu hari nanti bila aku dah berkahwin dan hamil, aku rasa keinginan untuk tahu siapa gadis tadi lebih kuat daripada keinginan untuk tahu jantina anakku.

Baik, itu dah melebih-lebih.

Roul terangguk-angguk lagi.

“Gua bagi tawaran. Kalau Lulu terima, bukan saja gua akan cerita dengan lengkap pasal perempuan tadi. Malah sebagai bonus tambahan, gua akan habiskan roti nan ni dan hantar Lulu balik. Lulu tak payah habiskan masa lagi kat gerai.”

Uuu... tawaran menarik, lebih-lebih lagi bahagian “balik” itu. Aku tak sanggup hendak mendengar cerita Arfah lagi. Kalau aku dengar perkataan surrealism dan multi-culturalism lagi, aku akan muntah seni. Bukannya aku seorang yang berfikiran cetek. Aku juga belajar semua -isme tersebut. Dulu aku juga ambil subjek tambahan dalam bidang sosiologi. Cuma kita tidak perlu menggunakan istilah-istilah tersebut sepanjang masa demi membuktikan kebijaksanaan kita. Aku dulu belajar Sastera Inggeris. Tapi pernah tak sesiapa dengar aku menggunakan perkataan Jacobian, Victorian, Paraprosdokian atau Anachronism setiap masa?

Oh, cara awak bercakap sangat bertentangan dengan nilai imagisme dalam gerakan penulisan modernisme. Bak kata Stein dalam Sacred Emily, “Rose is a rose is a rose is a rose!”... It is indeed, the epitome of the Law of Identity. How enlightening!

Rasa menyampah nak dengar, kan?

“Setuju tak?” tanya Roul lagi.

“Okay,” jawabku dengan yakin.

“Gua akan cerita semuanya dan makan roti nan Lulu ni dengan satu syarat.”

“Syarat apa?”

“Gua nak kenal dengan family Lulu.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.