Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 15: Dramatik

“Lulu!”

Aku tak peduli. Aku terus mempercepatkan jalan.

“Lulu, tak maulah buat drama. Nanti gua explain la,” ujar lelaki itu yang mengekoriku dari belakang. Dia berjalan dengan tenang sekalipun aku di depannya menghentak bagaikan gajah mengamuk. Gayanya yang tenang itu membuatkan aku rasa lebih bengang. Sudahlah dia yang buat salah, lepas tu aku pula yang dituduhnya buat drama.

Sasaran aku cuma satu. Kalau aku sampai ke LRT dan menggunakan kad Touch N Go untuk memasuki kawasan pengguna, Roul tidak boleh mengejar aku lagi. Dia tidak punya kad Touch N Go mahupun duit kecil untuk membeli token.

“Dengarlah dulu,” pintanya dari belakang.

Dengar dulu? Apa penjelasan lelaki ini?

Nama gua Roul. Gua ada mengurat novelis seorang ni sampai dapat tapi gua tak beritahu dia yang gua belum putus dengan awek lama gua.

Salah.

Nama gua Roul. Gua bercinta dengan awek Arab bernama Noor tapi gua lupa nak beritahu dia yang gua dah break dengan dia. Haha. Haha. Haha. Gua memang lawak, kan?

“Lulu, gua ingat dia dah tahu...” dia sudah penat mengekoriku.

“Lulu!” dia meneriak namaku. Aku memberhentikan langkahku dan menoleh ke arahnya.

“Apa!”

Dia memasukkan tangannya dalam poket.

“Janji Lulu nak bawak gua jumpa family Lulu masih sah, kan?” tanya lelaki itu.

Cendawan punya jambatan! Aku sudah beri dia peluang untuk jelaskan kedudukannya, dia tanya soalan itu pula.

“Dah janji kena tepati,” ujar Roul.

Aku tidak menjawab soalannya. Tengok muka Roul pun aku rasa sakit hati.

“Uruskan masalah Roul tu dulu. Uruskan your end of the bargain before you’re asking me for mine.”

“Lulu...”

Sudah lama aku tidak buat drama sebegini. Aku tidak suka babak drama di mana watak heroin tidak mahu mendengar penjelasan hero atau memberikan peluang kepadanya dan terus melangkah pergi. Klise. Tapi disebabkan hari ini Roul sengaja nak buat drama dengan aku, jadi memang itulah yang aku lakukan.

***

Walau bagaimana marah pun aku terhadap lelaki yang memiliki tahap kebodohan yang amat dahsyat itu, aku sedar yang aku telah berjanji padanya. Dalam janji aku, aku tidak kata bahawa aku akan membatalkan pertemuan sekiranya jawapan Roul tidak memuaskan hati aku. Janji tetap janji. Aku tidak kisah kalau Roul buat sesuatu yang bodoh. Itu masalah dia dengan bekas/bukan bekas teman wanitanya. Apa pun keputusan kepada masalah mengarut yang telah dia lakukan, terpulang padanya. Aku tetap perlu menunaikan janjiku.

Aku cuba ceritakan hal itu kepada Iza malam itu. Hanya mencuba, kerana Iza tidak menjawab panggilan pertamaku. Kali kedua aku menghubunginya, telefonnya dimatikan dan hanya wanita operator yang menjengkelkan sahaja yang menjawabnya.

“Your call has been forwarded to an automated voice mes...”

Aku tamatkan panggilan.

Tak guna. Habis 20 sen kredit pra-bayar aku.

Roul.

Lelaki bermata merah yang bodoh lagi bengap melebihi tahap maksima bernama Roul.

Aku tidak tahu siapa lebih bodoh dalam masalah ini. Adakah insan tersebut Roul, yang telah memutuskan hubungannya dengan seorang wanita tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apakah maksud break yang dia katakan? Adakah dia menggunakan perkataan ‘break’ dan bukan ‘breakup’, menyebabkan gadis yang mungkin memiliki pemahaman Bahasa Inggeris yang agak tinggi itu memahaminya sebagai “cuti” dan bukan “putus”?

Adakah insan tersebut Noor, kerana masih setia kepada seorang lelaki yang pernah memiliki rupa tidak semenggah ni, dan mengharapkan sekembalinya dia ke Malaysia, mereka akan kembali bersama? Tidak kiralah lebih ramai manusia yang tampak lebih berguna di mata masyarakat dan pastinya boleh jatuh cinta kepada gadis yang berdarah kacukan itu?

Atau adakah insan yang bodoh itu aku, yang menerima seorang lelaki seperti Roul dan tersepit dalam masalah bodohnya? Itu pun kalau dia anggap satu masalah. Melihatkan gayanya yang bersahaja, mungkin Roul menganggap isu ini satu perkara yang tidak perlu dibahaskan pun.

Aku duduk sekejap. Aku cuba menulis sesuatu. Aku bangun semula dan termenung melihat ke luar tingkap. Chaq masih belum pulang dari tempat kerja. Masni juga begitu. Cuma ada Jis sahaja di rumah tetapi dia juga nampaknya sibuk berbual di telefon. Hal ini perlu aku luahkan. Hal ini memerlukan telinga pendengar terutamanya rakan karib sendiri. Namun rakan karib sendiri telah mematikan telefon bimbitnya.

Inilah masalah percintaan. Inilah! Anda mungkin sibuk di telefon dengan teman lelaki sehingga tidak dapat menjawab panggilan kawan baik anda, atau anda sibuk mencari kawan baik anda untuk mendengar masalah, yang suatu masa dahulu anda anggap mengarut dan tidak penting.

Percintaan menyusahkan. Aku tidak syorkan kepada sesiapa pun.

Sejam kemudian, aku cuba menghubungi Iza buat kesekian kalinya.

Nada dial berbunyi dan beberapa saat kemudian, panggilan berjawab.

“Helo.”
“Iza, ada masa tak? Aku ada masalah tak normal nak cerita kat kau.”

“Oh, Safi. Sorry. Aku tak boleh nak bercakap sekarang. Aku dengan Helmi ni. Nanti aku call kau balik ya?”

“Tak boleh? Walaupun aku sanggup bagi upah RM10 untuk setiap sepuluh minit bebelan aku?”

Sanggup merasuah teman anda dengan wang untuk dengar masalah cinta anda. Ya, percintaan tu bodoh dan menyusahkan.

Sorry sangat sangat, Safi. Nanti aku call kau. Bye.”

Panggilan dimatikan.

Apa? Tak guna punya budak debab tahun 1991. Berani dia lebihkan Helmi dan letak panggilan aku? Sanggup dia lebihkan Helmi berbanding rakan karibnya yang mengenalinya sejak dia masih kecil dan menjadi kawan baiknya bermula sekolah menengah? Siapa Helmi berbanding aku? Dia cuma bakal suami Iza yang akan menjadi sumber utama pahala Iza untuk masuk syurga dan menjadi lelaki yang akan sehidup semati dan menghasilkan keturunan bersama Iza demi menyumbang kepada tamadun manusia.

Oh, fine then!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.