Malam itu, tatkala Chaq
tertidur dengan nyenyaknya sambil memeluk bantal Pororo yang rupa-rupanya merupakan hadiah harijadi yang diberikan oleh teman lelakinya, aku pula
sibuk menyiapkan artikel yang tergendala sebentar tadi kerana perbualan kami mengenai
lelaki bernama Zaniel tadi. Namun tidak sampai sejam aku bekerja, komputer
ribaku berbunyi.
Bukan komputer ribaku. Tapi Yahoo Messenger yang
tersembunyi di balik ikon kuning yang tersenyum lebar di bahagian kanan taskbar komputerku. Ada tetingkap yang
bercahaya memaparkan nama “Izayoi”.
Iza. Perempuan yang mengkhianati janjinya padaku.
Ku lorotkan tetikus ke tetingkap tersebut dan mengklik.
Izayoi:
Safiiii!!! Sorry sangat sangat sangat. Aku lupa nak call ko balik!
BUZZ!!!
Aku paling pantang bila orang gunakan butang baz tersebut
untuk mendapatkan perhatian. Mujur aku tidak memakai fon telinga, kalau tidak
pasti telingaku berdesing dibuatnya.
Lantas aku menjawab teguran yang tidak bermoral itu.
Safiblurlicious:
Kau memang tak ada kesedaran sivik.
Izayoi:
Ala, kau masih marahkan aku ke? Sowiiiii.
Safiblurlicious:
Ejaan sorry yang salah dan perasan comel tu cuma buat aku yang tadi sebenarnya cool
je terus rasa nak marah.
Izayoi:
Aha. Ok. Ok.
Izayoi:
Aku tak eja macam tu dah.
Izayoi:
Tapi aku memang betul2
Izayoi:
nak mintak maaf ni.
Izayoi:
aku bukannya apa
Izayoi:
tadi aku
Safiahblur:
Boleh tak cakap sekaligus dalam satu box je? Rimaslah aku baca tulisan yang
terpotong2 ni.
Izayoi:
Sorry!!!
Izayoi:
Ha, aku nak cakap yang tadi aku dengan Helmi pergi dinner kat rumah parents
dia. Jadi macam tak sopanlah kalau aku berbual dengan kau kat telefon. Lepas tu
sampai rumah pulak, ayah aku ajak Helmi berborak sambil minum2 pulak dulu, tak
bagi Helmi balik rumah terus. Tu yang aku lupa nak call ko balik.
Sementara dia menulis semua itu, aku pula menyambung
kerjaku menulis artikel. Tidak ada gunanya aku menunggu dia menaip semua
alasannya tanpa melakukan sesuatu yang lebih berfaedah. Namun akibatnya, sekali
lagi bilik yang sunyi itu dikejutkan dengan bunyi yang menyakitkan telinga,
hasil kreatif pencipta Yahoo Messenger.
BUZZ!!!
Izayoi:
Mana kau menghilang? Pesal tak balas apa2? Ko marah ke?
Safiblurlicious:
Aku tengah menulislah. Sabor la sikit.
Safiblurlicious:
Tak, aku tak marah. Buat apa aku nak marah bende kecik macam ni. Cuma jangan
guna buzz tu lagi boleh tak? Sakit telinga woh.
Izayoi:
Teehee. K. Alhamdulillah!
Safiblurlicious:
Helmi apa khabar? Kalau kau jumpa dia lagi, beritahu dia yang aku kata he has
not been a good friend lately. Menghilang tanpa khabar berita. Sejak dah nak
berbini ni, terus lupa kawan. Jantan tak guna.
Izayoi:
Ahahaha. Aku mintak maaflah bagi pihak dia. Dia busy sangat. Masa dia borak
dengan ayah aku tu pun, aku rasa dia paksa diri dia bukak mata. Next week dah
nak kena fly Sabah pulak.
Safiahblurlicious:
Sabah? Busy memanjang. Nak kahwin ke tak nak tu?
Izayoi:
Haih, tataula aku. Tapi tak best la citer sini. Kita jumpa esok la. Lunch
sama-sama nak?
Safblurlicious:
Ok. Kau belanja. Aku tak nak bawak wallet. Haha.
Izayoi:
Teruk btol. Okay. Fine. Kalau macam tu, kau datang kedai mamak area ofis aku ni
esok time lunch.
Safiahblurlicious:
Orait.
Izayoi:
Set. Jumpa esok ya? Aku nak tidur dulu. Assalamualaikum.
Safiahblurlicious:
Wsalam.
Tetingkap kecil muncul di bahagian kanan taskbar mewar-warkan yang ‘Izayoi’ sudah
meninggalkan perbualan. Tetingkap perbualan tadi terus ku tutup dan kerja yang
tergendala sebentar tadi ku sambung semula.
Hmm.....
Dah hilang idea.
Iza sudah mengganggu momentum kerjaku dan menyebabkan
idea yang aku simpan dalam laci ingatan aku sudah hilang. Lalu aku membuat
keputusan untuk memeriksa Facebook.
Ada beberapa mesej peribadi yang dihantar oleh pembaca
tetapi belum sempat ku balas. Esok saja aku akan uruskan hal tersebut. Ada
gambar yang mahukan kebenaran aku untuk dilepaskan ke dinding Facebookku.
Gambar aku dan Roul di Galeri Annexe, sejam sebelum kejadian yang melibatkan ‘bekas’
teman wanitanya berlaku. Roul yang tersengih besar sedang berdiri di sebelahku,
kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket.
Lelaki yang sebenarnya tidaklah sekacak mana itu nampak
segak sekalipun gayanya yang agak selekeh. Segak kerana Roul berada dalam
elemennya. Mana-mana lelaki pun akan nampak segak dan bergaya bila mereka
berada di tempat yang mereka selesa atau melakukan sesuatu yang menjadi
kepakaran. Kekacakan seorang lelaki itu diukur dari fokusnya, saat mereka
serius melakukan sesuatu, saat mata mereka merenung dan dahi mereka berkerut,
saat peluh membasahi leher mereka ketika mereka khusyuk melakukan kerja.
Gambar itu menunjukkan Roul yang fokus dan menyukai
setiap saat dia di sana. Hal itu membuatkan aku bangga kerana menjadi
sebahagian dari hidupnya. Itu juga membuatkan aku rasa bersalah kerana tidak
begitu memberi perhatian padanya.
Aku terus menatal skrin newsfeed Facebook ku ke bawah dan terhenti bila aku terpandangkan
gambar Iza. Gambar dia yang baru saja dimuatnaik oleh adik Helmi, Maria. Gambar
tersebut menunjukkan Iza yang dipeluk oleh Maria dan seorang lagi gadis yang
tidak aku kenali. Ada seorang lagi insan yang aku tidak kenal di belakang
mereka dan memberikan tanda peace dengan jarinya.
Gambar yang seterusnya memaparkan Iza dan Helmi dengan
dua pasangan lain. Seorang wanita Tionghoa yang sedang sarat mengandung bersama
seorang pemuda yang aku pasti adalah suaminya, manakala satu lagi gambar
seorang gadis melayu dan pasangannya yang memakai pakaian sedondon. Di sebelah
gambar itu tertulis, “Jia Huey and Danny,
Hell and ZaZa at Beebee & Johan’s nikah event.” Ada beberapa komen di
gambar tersebut, termasuk pengantin yang dikenali sebagai BeeBee itu.
Komen BeeBee tertulis: “Lepas ni giliran Helmi dan Jaja
pulak. Yay!”
Komennya dibalas oleh Jia
Huey: “Yay, lepas ni lengkaplah trio couple!
Barulah I dengan Danny tak boring!”
BeeBee menyambung: “Jangan risau. Kita semua dah janji,
kan? We will move to the same
neighbourhood, dan anak-anak kita akan pergi sekolah yang sama!
Kemudian giliran Helmi memberi komen: “Zaza kata dia tak
nak anak awal.”
Jia Huey balas: “Ala, you tu yang tak nak anak cepat2.
Nak honeymoon lama2 kan?”
Johan
balas: “LOL”
Danny balas: “Burn!!”
Iza balas: “Helmi pandai2 buat plan sendiri. Tanak kawin kang, baru tau.
BeeBee balas: “Aiyok tatayok! Macam mana ni? I dah nominate Zaza as our couples even manager.Kalau
dia tanak kawin dengan Hell, susahlah nak cari manager baru! Helmi, mintak maaf cepat kat BFF kitorang.”
Helmi: “Okaaay. Sorry
BFF Jia Huey n BeeBee.”
Aku tidak menyambung bacaanku. Aku tidak patut memiliki
perasaan ini, namun entah kenapa aku rasa terasing. Terasing dalam dunia Iza
dan Helmi yang bakal menjadi suami isteri dan bergaul dengan pasangan suami
isteri yang lain. Terasing dari dunia mereka di mana Helmi dipanggil Hell dan Iza dikenali sebagai Zaza.
Terasing dari dua sahabat karibku, hanya berdasarkan perbualan pendek di dalam
kotak komen Facebook. Itu pun mereka masih belum berkahwin.
Entah bagaimana agaknya lepas berkahwin nanti.