Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 14: Macam Christopher Nolan

Aku tenung wajahnya.

Satu saat... lima saat... sepuluh saat...

Roul tidak ketawa. Bermakna dia tidak bergurau.

Bukankah aku seorang novelis yang sepatutnya paling pakar dalam mengesan twist dalam plot cerita? Malah aku seringkali dapat meneka semua twist dalam filem, baik genre romantik komedi mahupun seram. Akulah orangnya yang telah merosakkan keseronokan cerita ‘Sixth Sense’ ketika menonton filem itu di panggung wayang dengan Iza suatu masa dahulu. Sementara semua orang lain terkejut apabila mendapati watak Bruce Willis itu sebenarnya hantu, Iza memandang aku dengan rasa bengang kerana aku telah menekanya terlebih dahulu.

Senang kata, aku dan Sherlock Holmes tidak banyak bezanya. Kalau Sherlock Holmes itu memang wujud dan aku pula hidup zaman Victorian, mungkin aku yang berada di tempat Dr. Watson.

Helmi juga pernah mengharamkan aku daripada menyertai sesi menonton wayang bersama rakan-rakan sekerjanya selepas aku berjaya meneka dari mana hantu akan muncul dalam setiap babak filem seram Thai yang bertajuk ‘Shutter’ itu.

Helmi kata, “Kau ni party pooperla.”

Aku kata, “Itulah tujuan tengok filem seram. Meneka dari mana hantu akan muncul.”

Helmi jawab, “Tak, objektif filem seram adalah untuk menakutkan penonton.”

Aku balas, “Pfft, kalau nak takutkan penonton, pihak produksi patut guna plot yang lebih complicated dan innovative, macam Christopher Nolan.”

Roul bagaikan Christopher Nolan dalam hidup aku. Aku tahu perangai Roul, aku tahu ke mana hendak mencari dia dan aku tahu apa yang dia akan katakan. Namun begitu, sebaik sahaja aku tidak berwaspada dan mula merasa tenang bersamanya, dia membalas dengan satu twist kepada plot hubungan kami. Aku cuma nak tahu lebih lanjut tentang teman wanitanya, tetapi dia menggunakan rasa ingin tahuku itu dengan permintaan yang sebelum ini aku dengar tapi buat-buat tak dengar.

Orang putih kata “leverage”.

Ya, aku boleh berpura-pura tidak berminat dengan ceritanya sehingga dia sendiri akan menceritakannya kepadaku. Tapi bukan itu yang aku bimbangkan. Apa yang aku risaukan ialah fakta yang satu ini. Roul sedar yang aku ingin tahu kisah tentang bekas teman wanitanya, jadi dia menggunakan syarat ingin bertemu keluargaku sebagai balasannya. Itu membawa kepada beberapa dilema.

1. Sekiranya aku buat-buat tidak kisah dan menolak untuk mendengar kisah teman wanita lamanya, dia pasti akan membuat tuduhan mengatakan aku tidak mahu dia berjumpa dengan ibu bapaku.

Ya, tidak mungkin Safiah Shuhaimi ini tidak mahu tahu kisah teman wanita lama teman lelakinya. Safiah Shuhaimi sentiasa mahu tahu. Itu sikap Safiah Shuhaimi. Sekiranya Safiah Shuhaimi menolak tawaran itu, pasti ada sesuatu yang cuba diselindunginya.

2. Aku tidak boleh berfikir lama. Itu menunjukkan seolah-olah aku mencari alasan untuk menghalang Roul bertemu keluarga aku. Dia pasti akan membuat tuduhan sedemikian juga.

Ugh, tak guna punya Zairul. Kau corner aku.

“Okay,” jawabku dengan selamba.

Roul sengih. Dia tahu dia menang dan dia tahu yang aku tahu dia menang.

“Janji?”

“Ya.”

Dia puas hati.

“Dia memang bekas awek gua,” Roul memulakan.

Aku tak suka. Aku tak suka Roul menggunakan istilah ‘awek gua’ dengan wanita lain. Terminologi itu hanya sah untuk aku saja!

“Nama dia Noor.”

“Nor?”

“Noor. Ala-ala sebutan arab, sebab dia ada keturunan Arab.”

“Roul nak berlagak dengan aku la, ex Roul dulu ada darah keturunan Arab?”

“Rasa jealous tak?”

“Sikit pun tak.”

“Walaupun dia sangat cantik?”

“Masih tak.”

Tipu. Aku cemburu melampaui kepanasan lava gunung berapi. Berani dia bercinta dengan perempuan keturunan Arab dan berlagak dengan aku.

“Gua tipu je bab dia sangat cantik tu.”

“Jadi dia tak cantik la?”

“Cantik. Cuma taklah sampai ‘sangat’. Nak gua rate dia dengan Lulu?”

“Tak nak.”

Memang sah, inilah lelaki paling tidak sensitif dalam dunia.

“Mesti sebab Lulu jealous. Kalau tak jealous, mesti Lulu tak kisah gua rate Lulu dengan dia.”

Aku buat muka menyampah sementara dia ketawa. Aku rasa menyesal kerana cuba untuk memujuk dia, menyangka ada sesuatu yang mengganggu perasaannya selepas bertembung dengan wanita bernama Noor itu. Kalau dia cuma nak buat aku bengang, baik tak payah.

“Gua kenal dia masa kat Toronto.”

“Bila masa Roul pergi Kanada?”

Seingat aku, lelaki ini tidak pernah ke luar negara.

Benarkah? Atau aku yang tidak pernah bertanya tentang masa lampaunya?
“Bukan Toronto itulah. Tronoh, Perak. Students UTP panggil Tronoh tu Toronto. Gua kenal dia kat sana.”

“Roul belajar kat UTP?” pelik lagi.

“Bila masa gua belajar kat UTP? Lulu ni amnesia la. Gua pergi sana sebab hantar member yang sambung buat Masters kat sana. Noor pun belajar kat sana dulu. Budak engineering. Mula-mula gua saja-saja je ngorat. Gua fikir mesti tak dapat punya. Dia educated, rupa pun boleh tahan. Gua pulak...”

“Hantu api.”

Exactly,” kata Roul, menghirup airnya sebelum menyambung.

“Tapi entah macam mana, boleh lekat. Gua syak mungkin sebab gua hensem dan menawan.”

“Cis.”

“Lulu ciskan gua? Lulu pun lekat jugak kan?” dia mengusikku.

Aku tersenyum. Tidak tahu bagaimana hendak menentang hujah tersebut. Bukanlah aku mengaku yang dia kacak lagi menawan, kerana itu sama saja seperti mengakui monyet capuchin seekor haiwan yang macho (sebab adakalanya bila aku tengok Roul, aku terbayangkan seekor monyet capuchin, dengan perangainya yang suka mencangkung sambil tangan kanan menggaru-garu leher dan tangan kiri memegang sebatang rokok. Bezanya monyet capuchin tak merokok).

Roul menyambung ceritanya.

“Gua dengan dia tak berkawan lama pun. Terus jadi awek. Cuba Lulu bayangkan, kalau ada perempuan yang berkulit putih gebu dan berhidung mancung nak pada kita, adakah kita patut menunggu dengan lebih lama atau terus menjadikan dia awek?”

Aku memandangnya dengan wajah kosong. Dia terangguk-angguk sendiri, faham maksud renunganku itu.

Makhluk tak guna. Adakah soalan itu layak ditanyakan kepadaku?

“Jadi dia pun jadi awek gua. Sampailah kita orang break.”

Dia mengoyak secebis nan keju dan terus dimasukkan ke dalam mulut.

“Itu je cerita Roul?”

Dia mengangguk.

“Tak best pun.”

“Habis tu, Lulu nak apa?”

“Kenapa Roul break dengan dia?”
“Sebab dia baik sangat dan dia nak ubah gua. Masa tu gua bodoh.”

“Itu je?”

Dia mengangguk.

“Gua tak ada masalah dengan dia atau ada konflik apa pun. Dia nak sambung belajar kat US, so...” dia hanya mengisyaratkan dengan tangannya maksud kata-kata yang tidak dihabiskan itu.

Ini lebih teruk! Aku lebih suka kalau Roul dan Noor bergaduh besar atau dia ditinggalkan gadis itu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang menyakitkan antara mereka. Namun begitu, cerita Roul tadi tidak menjelaskan kenapa dia perlu beredar selepas bertembung dengan gadis itu. Jadi itu yang aku tanyakan padanya.

“Jadi kenapa buat macam tu?”

“Kenapa apa?” dia tidak dengar, kali pertama aku menanyakan soalan itu.

“Kenapa Roul blah lepas jumpa Noor? Apa masalahnya?” aku mengulang.

Yalah, bila difikirkan semula keadaan tadi memang aneh. Bukan sahaja dia terus beredar sahaja dari Galeri Annexe itu, malah dia beredar meninggalkan gerai pamerannya. Roul tidak pernah melakukan hal sedemikian. Dia sangat sayangkan hasil karyanya. Senang kata, kalau tiba-tiba ada orang mencuri duitnya dan dibawa lari pun dia tidak akan kejar. Dia akan tetap menunggu di gerainya. Namun begitu, dia telah meninggalkan gerai itu sebaik sahaja gadis itu menamatkan perbualan.

“Lulu tak nak tahu.”

“Kenapa pulak aku tak nak tahu? Aku nak tahulah. Sebab tu aku tanya.”

Seriously, Lulu tak nak tahu punya.”

“Roul!” aku jadi kurang sabar.

Dia memandangku sejenak sebelum mengeluh, seolah-olah berat untuk dia memberitahuku. Apa yang susah sangat? Aku tidak kisah. Kalaupun mereka pernah bercinta hatta hampir berkahwin sekalipun, itu kisah dulu. Aku bukan wanita yang akan cemburu membabi buta. Mereka dah berpisah dan kini Roul bersama aku.

“Masa dia nak sambung belajar kat luar negara, gua ada bagi dia zippo gua tanda gua dengan dia break. Hari ni dia pulangkan balik,”ujar Roul lagi, menunjukkan pemetik api tersebut, yang dikeluarkan dari poketnya.

“Apa masalahnya kalau dia pulangkan balik? Janganlah delay apa Roul nak cakap,” geram betul aku dengan lelaki ni.

Roul mengeluh.

“Masalahnya gua je yang break dengan dia. Dia tak tahu gua dengan dia dah tak ada apa-apa. Dia ingat bila gua kata nak break, maksudnya nak break sekejap sementara dia sambung belajar. Dia datang tadi untuk beritahu yang dia dah habis belajar dan gua dengan dia boleh sambung balik. Zippo ni tandanya.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.