Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 8: Si Novelis Pergi Pameran Perkahwinan Part Deux

Walau bagaimanapun, harus aku katakan bahawasanya pendapat aku tentang pameran perkahwinan masih tidak berubah. Semuanya tidak memberi sebarang makna kepada seseorang yang belum berkahwin. Pameran ini juga tidak ada bezanya.

“Pelik betul,” kata Iza.

“Kenapa pulak?” tanyaku.

Sebentar tadi dia tanya sama ada idea aku tentang pameran sebegini sudah berubah. Aku kata aku masih mengantuk, sepertimana aku sentiasa mengantuk bila menemani dia ke kedai jual kain atau ke kedai kasut. Sebagai pengukuhan kata-kata aku, aku menguap dengan besar sekali sampai sepasang kekasih yang sedang berjalan di depan kami menoleh ke belakang.

“Yelah, dulu aku fahamlah kenapa kau tak suka buat benda ni semua. Dulu kau single. Tapi sekarang kau ada Roul,” jelas Iza.

“Apa bezanya?”

Iza mengerut dahi memandangku.

“Kau tak terfikir pasal perkahwinan kau? Kau tak ada ke perasaan tu?”

“Perasaan apa?” soalan Iza ini merimaskan. Aku tak tahu apa yang cuba dia sampaikan.

“Yela, bila kau nampak pelamin-pelamin contoh, atau baju-baju kahwin yang terpamer ni, kau tak terbayang apa-apa? Tak terbayang kau pakai baju tu dan Roul kat sebelah kau? Tak terbayang korang duduk atas pelamin yang tu,” dia menuding ke arah pelamin contoh berwarna merah hati.

“Atau pelamin yang tu,” dia menuding ke arah bunting yang memaparkan gambar pelamin yang sudah pastinya sangat mahal.

“Roul pakai baju melayu merah yang sedondon dengan mata kanan dia? Tak.” Jawab aku dengan mudah.

Mujur rambut Roul yang sudah mula panjang mencecah bahu itu dibiarkan hitam selepas dicukurnya akibat insiden dihentak botol suatu masa dahulu. Bayangkan kalau rambutnya masih merah? Tentu dia akan nampak seperti peti pos sedang bersanding.

“Safi!” Iza menumbuk bahuku.

“Apa?” aku mengurut-ngurut bahu yang tidak bersalah dalam hal ini.

“Tak logik untuk kau tak bayangkan semua tu,” dia tidak puas hati dengan jawapan aku.

Aku pun pasti tidak puas hati dengan jawapan aku kalau aku berbohong. Masalahnya aku memang bercakap benar. Aku tidak membayangkan semua itu. Adakah setiap pasangan perlu ada perasaan romantika-di-tampoi apabila melihat pelamin? Adakah setiap pasangan perlu sentiasa tampil ke mana-mana dengan pakaian sedondon? Adakah setiap pasangan perlu kata “Awwwh...” bila nampak bayi dan mula merancang nama anak mereka, nama yang pastinya digabungkan daripada nama mereka sendiri atau diambil dari buku nama-nama anak yang kemudiannya diubah ejaannya menjadi lebih sukar, seperti Hafiz yang menjadi Hafeedzth atau Khadijah yang menjadi Qhadieja supaya tujuh tahun kemudian semua guru-guru sekolah akan mengalami kesukaran untuk memanggil nama mereka untuk tanda buku kedatangan?
“Kenapa aku mesti ada pemikiran macam tu hanya sebab aku ada Roul?” aku tak puas hati.

“Sebab itulah tujuannya being in a relationship, Fi,” ujar Iza.

“Untuk apa? Berangan tentang pelamin? Which is actually somethingyang aku tak sokong. Aku tak sokong perbuatan bersanding. So, no pelamin for me, thank you. See? The very first item in my dream wedding list,” aku sarkastik.

Iza sekadar mengeluh. Dia tidak akan kecil hati. Dia sudah biasa dengan aku. Dia tahu sikap aku. Tapi aku tetap rasa bersalah kerana bersikap sarkastik dengan Iza. Aku sepatutnya menjadi rakan karib yang mulia ala-ala filem ‘Sisterhood of the Travelling Pants’. Nampaknya aku gagal.

Oleh itu aku mencuba sekali lagi. Bahu Iza ku peluk dengan kuat.

“Toksahlah cerita pasal aku dengan Roul. Kita ke sini untuk survey benda untuk majlis kau. Jom.”

Iza ketawa.

“Kau sangat cheesy bila cuba jadi kawan baik. Tak payah peluk bahu aku,” dia menolak tangan aku. Namun senyumannya jelas menunjukkan dia sangat lega aku berada bersamanya di kala ini.

Kami terus melakukan misi yang sepatutnya. Kami memantau setiap gerai yang dibuka dan Iza akan bertanya soalan-soalan umum tentang harga, konsep, tarikh dan tempat. Kemudian dia akan cuba menghubungi Helmi untuk meminta pendapat lelaki itu di Singapura. Apabila Helmi gagal dihubungi, dia akan meminta kad perniagaan dan mengambil flier mereka dan meneruskan misi pemantauan tersebut ke gerai lain pula. Tiga jam selepas itu, barulah kami berhenti. Itu pun kerana kami perlu solat Asar. Usai solat Asar pula, kami membuat keputusan untuk makan tengah hari yang tertunda tadi di Kenny Rogers.

Iza mengeluh buat kesekian kalinya sambil memasukkan Blackberry kesayangan ke dalam beg.

“Helmi masih tak call?”

Dia menggelengkan kepala.

“Dia sibuk sangat sejak naik pangkat ni,” kata Iza.

Aku tidak meminta penjelasan itu. Dia yang memberikannya kepada aku. Aku ingin sekali bertanya sama ada perkahwinan ini satu keputusan yang bijak di saat Helmi seringkali harus berjalan jauh atas tujuan kerja. Namun begitu, aku simpan soalan itu dalam benakku.

“Mungkin dia dalam meeting.”

Itu saja alasan yang dapat aku fikirkan untuk Helmi.

“Mungkin,” ujar Iza, tidak memikirkannya dengan lebih lanjut.

Dua pinggan berisi hidangan tambahan diletakkan di atas meja kami. Dulu biasanya kami akan memesan set quarter chicken dengan hidangan tambahan. Namun selepas menyedari bahawa tidak pernah sekali pun kami berjaya habiskan semuanya, kami membuat keputusan untuk memesan hidangan tambahan sahaja mulai hari itu. Dapat jimat RM7.

Kemudian pelayan datang sekali lagi dengan satu piring berisi dua biji muffin berperisa pisang, segelas air kosong dan segelas winter drink, yang mana sebenarnya hanyalah air Sprite dengan aiskrim Vanila di atasnya.

“Macam mana kau dengan Roul?” tanya Iza.

Oh, agak pelik. Roul minta aku sahkan yang kami tak akan jadi pasangan yang cuma akan tahan selama dua tahun. Lepas tu dia tanya aku bila aku nak perkenalkan dia pada ibu bapa aku. Aku boleh ceritakannya pada Iza, tapi aku rasa tiada keperluan untuk dia tahu tentang hal itu.

“Macam biasa. Mundane,” jawabku.

Dia tersenyum.

“Aku tak dapat bayangkan kau dengan Roul sebagai mundane couple. Aku selalu bayangkan kau orang buat benda-benda yang exciting. Macam panjat gunung bersama-sama atau skydive atau...”

“Belasah semua orang yang kita orang rasa menjengkelkan?”

Dia ketawa sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kau rasa patut tak aku ajak mak Fakri? Aku tanya ni sebab aku takut mak dia tak ingat kat aku. Maklumlah, kali terakhir jumpa dia masa kita sekolah menengah dan sebelum keluarga aku pindah KL,” tanya Iza, lepas tawanya lerai.

Fakri. Nama yang sangat bermakna dalam hidup aku. Lelaki pertama yang pernah menjadi sebahagian dari hati dan hidupku sebelum pemergiannya disebabkan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada seorang lelaki mabuk yang tidak sedar diri. Disebabkan tragedi tersebut, aku menyimpan rasa benci kepada semua pemabuk, semua insan yang menghabiskan masa mereka di kelab malam, semua orang yang pernah menjadi sebahagian daripada dunia hedonisme itu.

Termasuk Roul.

Aku masih ingat lagi. Kalau bukan kerana Roul menghubungi aku dan meminta aku datang mengambilnya di lokasi yang sama di mana Fakri menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa tahun sebelum itu, kalau bukan kerana Roul cedera kerana dihentak botol arak, kalau bukan kerana dia mencetus kembali ingatan aku terhadap tragedi yang pernah berlaku pada Fakri, mungkin aku tidak akan meninggalkan dia.

Mungkin aku tidak akan kembali ke kampung dan tinggal bersama ibu Fakri tanpa mendengar penjelasan Roul tentang apa yang telah berlaku sebenarnya. Mungkin aku tidak akan sedar bahawa sepanjang masa aku di sana, aku terus memikirkan Roul dan sedar bahawa aku perlu teruskan hidup dan tidak menyeksa diri aku untuk bersendiri selepas pemergian Fakri. Peristiwa itulah yang menyebabkan aku sedar bahawa aku harus teruskan hidup dan aku hanya dapat melakukan hal tersebut dengan Roul sebagai sokonganku.

Aku baru terfikir hendak mengatakan sesuatu tentang hal tersebut apabila lagu tema drama “Boardwalk Empire” berkumandang di dalam beg tangan, tanda ada panggilan masuk.

Nombor tidak dikenali. Aku terus menjawab.

“Helo?”

Iza hanya memandang aku, menantikan saat panggilan itu dimatikan supaya kami boleh menyambung perbualan.

“Ha’ah, ya. Sayalah orangnya tu.”

Ku lihat Iza mengangkat sebelah keningnya, tanda dia menyedari bahawa panggilan itu bukan datang dari Roul.

“Oh, boleh. Tapi saya kat The Mall sekarang. Tapi awak boleh saja pergi ke sana sebab ada dua orang lagi di rumah sekarang ni.”

Iza mengangguk sendiri, pastinya sedar apa topik perbualan tersebut.

“Oh, really? Okay jugak tu.”

Iza mula bermain-main dengan salad pastanya.

“Ok. Jumpa malam nanti ya? Assalamualaikum.”

Aku matikan panggilan.

Potential roommate?” tanya Iza.

Aku mengangguk.

“Dia nak datang malam nanti dan jumpa semua orang sekali. Katanya dia tak kisah pasal tempat. Dia nak tahu ciri-ciri rakan serumahnya,” jelasku.

“Mesti jenis susah nak percayakan orang,” ujar Iza dengan nada perlahan, rasa kecil hatinya sudah kembali. Jelas sekali dia tidak sangka secepat ini seseorang akan menghubungiku dan menggantikan tempatnya.

“Agaknya. Tapi suara dan cara dia bercakap tu macam biasa aku dengar.”

“Mungkin orang yang kau kenal kot. Nama dia apa?”

“Dia cuma suruh aku panggil dia Icha. Aku mana ada kawan atau kenal sesiapa nama Icha seumur hidup aku. Mungkin cara dia bercakap tu yang bunyinya familiar. Voice doppelganger,” aku ketawa sendiri.

Iza sekadar mengangkat kening. Dia memeriksa Blackberry sekali lagi dan mengeluh buat kesekian kalinya bila tiada sebarang SMS atau panggilan dari Helmi.

“Aku nak join kau orang,” ujar Iza, akhirnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.