“Gua ingat Lulu masih marah
dengan gua,” dia tersengih-sengih sambil bersandar di pintu bengkel lukisannya.
Ada berpuluh buah kanvas yang disusun secara melintang di tepi dinding dan ditutup dengan kain
putih. Seluruh ruang bahagian dalam galeri dipenuhi lukisan dinding yang Roul,
Zulu dan dua rakan mereka yang lain hasilkan. Beberapa batang pen penanda yang
sudah tidak berdakwat masih berselerak di atas lantai sementara komputer
ribanya berada di atas bangku berwarna merah yang dipenuhi contengan dan kesan
calitan. Sebuah bekas abu rokok terletak di atas lantai bersebelahan bangku
tersebut dan ada putung rokok masih berasap dicucuh di atasnya, tanda Roul
sedang merokok ketika aku muncul di galerinya.
Galeri ini tidak mendapat keuntungan sebanyak yang Roul
inginkan, tetapi dia tetap tidak mahu melepaskannya. Cukuplah tempat tersebut
menjadi kenangan antara dia dan bapanya. Dia lebih banyak mendapat keuntungan
dari projek seni dengan majlis perbandaran atau tempahan orang lain, berbanding
hasil yang dijual di galeri. Paling tidak pun, dia gunakan galerinya sebagai
lokasi untuk membuat acara bertema moden. Itu pun kalau dia sudah tidak punya
wang langsung untuk membayar bil-bil yang bersangkutan galeri tersebut.
Tapi selain itu, hidupnya masih stabil. Tidaklah hebat
seperti orang lain, tetapi masih stabil.
Aku menghubungi dia sejurus selepas panggilan kepada
Helmi ku tamatkan. Aku tahu kami memang ada janji untuk keluar bersama-sama untuk
melawat Zara di kampusnya esok. Satu-satunya adik perempuan kesayangan Roul itu
tertinggal komputer ribanya di rumah dan Roul berjanji untuk menghantar
komputer tersebut sebaik sahaja urusan kerjanya selesai.
Namun begitu, aku tidak mahu menunggu sampai esok. Aku
perlu berbual dengan seseorang dan dia sahaja yang boleh ku ganggu pada waktu
begini. Jadi selepas aku menghubungi Zulu (selepas panggilan ku tidak dijawab
Roul), dan Zulu memberitahu aku bahawa Roul berada di studio, aku pun terus
mengambil teksi untuk ke sana.
Itulah masalahnya bila lingkungan sosial terlalu sempit
dan memiliki rakan-rakan yang kebanyakannya sudah berkahwin atau bekerja tetap.
Anda tidak punya banyak medium pilihan untuk meluahkan perasaan. Mujur aku juga
punya teman lelaki yang tidak mempunyai kerjaya tetap. Walaupun fakta itu bukan
sentiasa mengarah kepada kebaikan, dalam hal ini, ketidaktentuan gaya hidup
Roul memudahkan aku.
“Nah,” ku hulur bebola daging yang sudah pun sejuk. Kalau
Iza sudah terlupa dan Helmi terlalu sibuk dengan percintaannya, lebih baik aku
berikan pada satu-satunya insan yang pasti akan makan apa saja yang aku bawa, sama
ada sejuk atau tidak.
Dia mengambil bekas makanan tersebut, masih tersenyum.
“Cool. Ada
makanan free,” ujar Roul sebelum
memberi aku laluan supaya aku boleh masuk ke dalam bengkel.
“Aku tak masuk. Aku nak balik rumah,” ujarku.
Memang benar. Angin aku tidak baik hari ini. Angin aku
hari ini adalah angin monsoon pengkhianatan.
“Lulu kenapa? Lulu masih marah gua lagi ke?” tanya Roul
dengan nada lembut.
Aku menggelengkan kepala. Hatiku sedikit terpujuk
mendengar nada suaranya. Tentu amat sukar untuk Roul menggunakan ton suara yang
sangat lembut itu. Lelaki itu bukan seseorang yang dicipta dengan keupayaan
menjadi pendengar atau penasihat yang baik.
“Baguslah. Gua ingat gua yang salah. Tapi janganlah blah
dulu. Duduk sini, teman gua,” ajak Roul.
Aku melihat ke dalam.
“Tak apalah, Roul. Aku nak balik jelah,” ujarku.
Roul faham. Aku tidak mahu bersendirian di dalam bengkel
tersebut dengannya. Mungkin bunyinya aneh kerana kami selalu ke mana-mana
bersama. Tetapi aku masih tidak berasa selesa untuk berada di dalam bengkel
tersebut berdua-duaan dengan Roul. Tiada orang lain selain kami berdua dan
keadaan itu canggung. Ini agak berbeza jika kami berada dalam kenderaan, kerana
sekurang-kurangnya ada kenderaan lain di sekeliling.
Roul hanya mengangguk-angguk. Pintu bengkelnya ditutup
dan dia mengajak aku untuk duduk di pintu cermin hadapan, di mana kami boleh
nampak kereta lalu-lalang.
“At least Lulu
beritahu gua apa masalah Lulu,” pinta Roul.
Aku menarik nafas panjang.
“Iza,” ujarku.
“Iza?”
“Dengan Helmi,”
“Dengan Helmi?” Roul mengulang, teranguguk-angguk
sendiri. Aku tahu yang dia sebenarnya tidak faham apa-apa.
Sebenarnya apa yang sedang bermain di kepalaku ini
terlalu banyak dan terlalu rumit untuk diluahkan dengan kata-kata. Kalau aku
ingin nyatakan semuanya, aku mungkin akan mengambil masa yang panjang. Aku
tidak mahu melakukannya dan membazirkan masa Roul. Aku tahu Roul sedang
mengerjakan sesuatu. Puntung rokok yang masih bernyala di bekas abu tadi pun
jelas menunjukkan dia sedang bekerja.
“Iza lupa janji dia kat aku. Hari ni sepatutnya kita orang
makan sama-sama. Tapi dia tak datang-datang. Aku duk risau takut apa-apa jadi
kat dia, rupa-rupanya dia keluar dengan Helmi. Kalau dia tahu dia ada janji
dengan Helmi, janganlah ajak aku keluar. Banyak benda lain aku boleh buat.
Dahlah susah nak call dia sejak
akhir-akhir ni. Lepas tu bila dah boleh keluar sama-sama, dia lupa pulak,”
ujarku.
Roul terangguk-angguk.
“Yalah. Dia kan dah nak kahwin. Gua rasa Lulu sebagai
perempuan patut fahamlah peragai perempuan bila nak kahwin.”
“Apa maksud Roul tu?” aku rasa seperti dihina pula.
Bukankah terlalu klise untuk mengatakan wanita akan jadi gila bila merancang
perkahwinan? Atau maksud Roul, jika mereka hendak berkahwin, tiada apa yang
lebih penting lagi? Semua perkara lain wajib ditinggalkan? Macam tu, kah?
“Gua tak maksudkan apa-apa. Gua cuma rasa Lulu besarkan
hal yang kecil,” kata Roul. Kemudian dia mengetap bibirnya dan matanya dipejam.
Dia tahu dia telah mengatakan sesuatu yang tidak patut dikatakan dan kini dia
akan menerima akibatnya.
“Besarkan hal yang kecil?” aku memandangnya dengan rasa
tidak percaya.
Roul mengeluh.
“Gua bukan cakap macam tu. Gua cuma rasa Lulu patut
maafkan Iza untuk hal macam ni. Dia ada hal yang lebih penting daripada
borak-borak biasa ni, kan?”
Aku mendengus geram.
“Roul, masa dia ada masalah dulu, aku selalu ada dengan
dia. Masa dia sibukkan mangkuk Hisham tu...”
“Mangkuk Hisham?” Roul mencelah dengan persoalan, tapi
aku tak pedulikan.
“...aku layankan je. I
was there for her 24/7. Sekarang bila aku ada masalah, bila aku perlukan
dia untuk dengar masalah aku, dia tak ada. Dia sibuk dengan hidup dia walhal
aku masih kat sini dan tak berubah,” ujarku dengan rasa bengang.
Roul tidak menjawab. Aku tidak memandang wajahnya, jadi
aku tidak perasan yang dia sedang memandang aku dengan kerutan di dahinya.
“Masalah? Apa masalah Lulu?” tanya Roul.
Tet! Kesilapan teknikal. Aku tidak sepatutnya menyuarakan
hal tersebut kepada si mata hantu ini. Macam
mana aku nak jawab? Masalah aku adalah Roul.
“Gua, kan? Masalah Lulu gua, kan?” dia dapat menekanya.
“Jangan mengarutlah,” aku berdecit.
“Selama ni kalau Lulu ada masalah, Lulu mesti bagitau gua
punya. Tapi Lulu bagi noktah macam ni kat gua. Surely, gua masalah Lulu, kan?” tanya Roul bertalu-talu.
“Roul, ini bukan isunya.”
“Bukan isu? Gua.....”
“Aku tak mintak Roul dengar, kan? Aku tak mintak Roul
tanya dan aku tak mintak Roul bagi pendapat. Tapi Roul masih cuba nak jadi Mr. Good Listener dan sekarang Roul nak
mulakan isu baru pulak?” aku membentaknya.
Roul pandang aku dengan wajah yang merah padam sambil
mengurut-urut tengkuknya. Kemudian dia memandang bebola daging dalam bekas
tersebut. Aku tidak tahu apa yang diproses otak Roul, tetapi tiba-tiba sahaja
dia menarik nafas panjang dan reaksi bengangnya tadi berkurangan. Bukan hilang,
cuma berkurangan.
“Aku nak balik,” ujarku dengan keras.
Aku rasa marah pula apabila Roul enggan bergaduh. Mungkin
kami perlu bergaduh dan mengamuk. Mungkin dengan cara itu, semua isu yang
mungkin ada atau tidak ada akan dibangkitkan dan dapat diselesaikan. Namun
begitu, Roul memilih untuk tidak menghadapi hal tersebut. Dia memilih untuk
bersabar dan itu cuma menambahkan kejengkelanku.
Beberapa tapak langkahku, tiba-tiba dia bersuara.
“Kejap.”
“Apa?” aku bertanya. Hanya menoleh sedikit.
“Esok nak keluar lagi ke, kalau marah-marah macam ni?”
tanya Roul, suaranya ditahan-tahan.
“Kalau nak keluar, keluar jelah,” balasku dengan nada
kelat.
“Ok, fine. Esok
kita keluar. Gua jemput Lulu.”
“Fine,”
balasku.
“Fine,” dia
tetap mahu menjadi orang terakhir yang bersuara.
Aku sangka aku ada tempat untuk mengadu, rupa-rupanya aku
cuma menambah isu pertengkaran.
Ini semua salah emak dan abah yang menjadikan
pertengkaran sebagai sukan ekstrim mereka!