Kami tiba di rumah pada jam
sembilan malam akibat kesesakan jalan raya. Kami berhenti seketika di masjid
berhampiran untuk menunaikan solat maghrib selepas menyedari jam sudah
menunjukkan pukul 8.15 dan kami masih berada di Kuala Lumpur. Usai solat
maghrib, sempat pula aku duduk sekejap dan mengurut kaki Iza yang pegal-pegal
akibat berkali-kali menekan brek.
“Aku dah kata jangan ke KL hari Sabtu. Kau degil. Siapa
yang penat sekarang?”
Iza sengih.
“Kalau aku tak keluar hari Sabtu, aku nak keluar hari
apa? Aku bukan macam kau, suri rumah sepenuh masa.”
Suri rumah sepenuh masa. Memang itulah gelaran yang
diberikan oleh rakan-rakan serumahku, selain ‘Amah’, ‘Mak Labu’ dan suatu masa
dahulu, ‘Cendawan Tumpang’. Semuanya disebabkan aku sentiasa berada di rumah
dan sentiasa menjadi tukang masak untuk mereka yang bekerja di pejabat. Aku
juga tukang basuh baju dan kemas rumah. Adakalanya aku juga mengemas bilik Jis
dan Masni kerana kebosanan. Bukannya aku tak ada kerja. Tapi jika anda bekerja
di rumah seperti aku, anda juga mudah bosan dan rasa terperangkap.
Aku pernah meminta mereka memberikan aku gelaran yang
lebih menarik daripada ‘Amah’ atau ‘Mak Labu’, seperti ‘Sexy French Maid’atau ‘The
Nanny’. Masni dan Jis pandang aku dengan wajah yang hambar dan menyambung
perbualan mereka tanpa mempedulikan apa yang aku cadangkan.
Tak ada semangat perpaduan langsung. Mana perginya
semangat1RumahSewa?
“Aku nak mintak maaf,” ujar Iza tiba-tiba.
“Ha? Apa dosa kau?” aku bertanya.
Ucapan kemaafan mendadak ala-ala drama TV tak berkualiti ini
sangat menggelikan.
“Yela, aku tak beritahu kau dari awal yang aku dan Helmi
akan kahwin. Tiba-tiba je kitorang buat pengumuman hari tu. Sepatutnya aku
cakap dengan kau dulu, womano-a-womano.”
“Ha?”
“Macam mano-a-mano,
tapi versi perempuan.”
Aku mengeluh sekali lagi. Aku tidak tahu sejak bila Iza
mula mencuba untuk menggunakan analogi dan istilah yang entah apa-apa dalam
perbualan sehariannya. Aku rasa aku patut salahkan Helmi. Mungkin dia
penyebabnya.
“Iza, mano-a-mano
tu maksudnya bukan ‘Man to man’. It’s
Spanish, bermaksud ‘Hand in Hand’.
Hanya boleh dijadikan rujukan kalau kau ajak aku bergaduh. Lebih baik kau guna
saja perkataan biasa. Macam ‘bersemuka’, atau ‘depan-depan’, atau ‘face to face’ kalau nak mat saleh
sangat.”
“Aku bencilah kau ni. Suka hati akulah nak cakap apa
pun,” dia mencebik lagi.
Aku ketawa. Ketawa yang dikekang kerana berada dalam
kawasan masjid. Dan entah kenapa ia mengingatkan aku pada zaman persekolahan
kami.
“Tiba-tiba aku teringat zaman sekolah,” ujarku, ketika
kami keluar dari kawasan masjid.
“Kenapa dengan zaman sekolah?” tanya Iza.
“Ingat tak masa zaman sekolah dulu? Kalau kita berborak
dalam musolla, mesti kena marah dengan Ustaz Bosnia tu sebab bercerita hal
dunia.”
“Aku ingat dia. Ustaz Muhammadi. Handsome gila. Putih melepak macam orang Bosnia,” dia tersenyum
mengingati guru agama idaman ramai itu.
“Kau syok kat dia dulu, kan?” aku mengusik Iza.
“Eh, excuse me.
Kau yang syok kat dia.”
“Sorry sikit.
Aku tak layan lelaki kulit putih yang akan bertukar jadi belon pink bila kena cahaya matahari. Tak
cukup kelelakian.”
“Yelah, kau cuma suka lelaki mata sebelah merah. Kalau
kena ketumbit pun masih nampak bergaya.”
Aku menendang kakinya, tapi dia sempat mengelak. Iza
ketawa besar.
“Aku tak tahu kenapa, tapi aku memang paling suka time
kuliah maghrib dekat musolla masa zaman sekolah dulu. The whole ambience memang best,”
ujar Iza, menoleh ke arah masjid buat kali terakhir.
“Maksud kau sebab boleh top-uptidur sementara Ustaz Zaidi bagi kuliah?” aku mengejeknya.
Iza memang sentiasa tertidur pada waktu kuliah maghrib. Jika anda lihat betapa
bersungguh-sungguhnya dia memenuhi saf depan pada waktu kuliah, anda sangka dia
memang mahu mendengar dengan khusyuk. Tapi Iza bergegas ke saf depan supaya dia
boleh duduk di sudut musolla, di mana tabir terselak yang memisahkan muslimin
dan muslimat dapat menutup bahagian kepalanya dan Ustaz Zaidi tidak akan nampak
dia tidur dalam keadaan bersila.
“Aku bukan tidur. Dah berapa kali aku kata. Aku khusyuk,”
balas Iza selamba.
Kami memasuki kereta. Iza meletakkan beg tangannya di bawah
tempat duduknya dan mula memasang tali pinggang keledar. Aku juga melakukan hal
yang sama sebelum menyedari dia sedang memandang aku dengan wajah sayu.
“Apahal lagi ni?”
“Kau janji dengan aku tau, Safi.”
“Janji apa? Kau ni melankoliklah.”
“Janji dengan aku, lepas aku kahwin pun kita akan masih
berkawan baik macam sekarang.”
Aku menarik nafas panjang. Wajah Iza ku tenung. Terlalu
ramai rakan-rakan kami yang sudah hilang khabar berita dan sukar hendak diajak
bertemu selepas berkahwin atau memiliki kerjaya sendiri. Seri, Najihah, Liza,
Rashidi, Chaq. Mereka antara rakan karib kami di sekolah dahulu. Namun kini,
kami hanya dapat berbual dengan mereka di Facebook sahaja. Malah ada di antara
mereka yang langsung tak dengar cerita. Aku tahu Iza tidak mahu hubungan kami
jadi seperti itu.
“Ya, Iza. Kita masih kawan. Helmi pun kawan aku jugak.
Aku akan terus menjadi si penyibuk yang masuk campur dalam kehidupan korang,”
ujarku. Aku tak pasti sama ada itu satu pujukan atau janji yang menyeramkan.
Tapi kata-kataku tetap membuat Iza tersenyum.
Keretanya terus memecut meninggalkan kawasan masjid.
Kegembiraan Iza hanya bertahan selama 30 minit.
***********************************************************************************
Kenapa hanya bertahan 30 minit?
Kerana kami sampai ke rumah 30 minit kemudian dan menyedari
si pemanggil yang ingin menyewa bersama kami sudah pun sampai. Ada sebuah
kereta Proton Saga FLX berwarna hitam dengan jalur kuning menghiasi bahagian
sisi dan bahagian kanan bonet kereta diletakkan di tepi jalan berdekatan rumah
kami.
“Menepati janji. Ciri yang baik untuk seorang penyewa
baru,” ujar Iza, sekalipun ada nada semacam pada suaranya.
Aku tahu mengapa. Dia berharap tempatnya tidak akan
diganti dengan segera. Mungkin juga dia mengharapkan si pemanggil tadi tidak
akan muncul seperti yang dijanjikan. Aku juga mengerti kerana sekalipun aku
yang membuat iklan tersebut, aku juga tidak begitu bersedia untuk menerima
rakan baru dalam rumah kami. Aku cuma melakukannya kerana kami perlukan seseorang
untuk membantu membayar bil dan sewa!
Dia turut mengekori aku masuk ke rumah kerana ingin
melihat rupa penyewa berpotensi ini.
“Assalamualaikum.”
Jis yang sedang duduk di sofa kegemarannya menoleh dan
menjawab salamku.
“Ha, cik novelis dah sampai dah. Bekas penyewa pun ada
sekali?” tanya gadis itu.
“Ya, saja nak menyibuk,” celah Iza.
“Bagus. Bagus. Ni, potential
housemate datang,” dia mengisyaratkan kepalanya ke arah seseorang yang
sedang duduk di sofa yang membelakangi kami.
Seorang gadis berambut pendek bangun dan memalingkan
badannya ke arah kami untuk memperkenalkan diri.
Kami bertiga terpempan seketika.
“Chaq?” Iza bersuara.
“Safi! Iza!” dia datang memeluk kami.
Aku rasa dunia bagaikan membuka lembaran baru. Semua rasa
tidak selesa yang membungkam dalam fikiranku untuk menyambut orang baru terus
hilang apabila aku melihat wajah yang dikenali ini, wajah yang sudah lebih
kurang sepuluh tahun tidak aku temui. Dia mungkin lebih kurus dari dulu dan
lebih bergaya, namun tatkala dia memeluk aku dan menjerit kegembiraan, aku tahu
ini gadis yang sama yang aku kenali di sekolah dahulu.
Aku langsung tidak sedar wajah Iza yang tidak teruja
seperti aku.
“Shisseriously!
Aku tak sangka rupa-rupanya aku bercakap dengan kau kat telefon tadi,” ujar
Chaq sambil menolak anak rambut yang gugur menutupi dahi. Dia tampak lebih
kurus dari dulu. Dengan gaya rambut potongan concave dan jumpsuit
berwarna ungu, dia begitu berbeza dengan Chaq yang dulu.
Chaq
merupakan seorang daripada rakan karib aku ketika aku di sekolah menengah. Dia
yang dilahirkan di Singapura telah berpindah kembali ke Malaysia selepas
ayahnya ditawarkan untuk bekerja dengan kerajaan. Dia memasuki sekolah kami
kerana ibu saudaranya merupakan pengetua kami.
Tidak
seperti aku dan Iza yang saling mengenali kerana kami datang dari kampung yang
sama, aku dan Chaq menjadi rakan karib ketika kami di tingkatan empat. Pada
waktu itu, aku dan Iza terpisah apabila dia mengambil bidang teknikal sementara
aku berpuas hati menjadi pelajar sastera ikhtisas.
Bukan
sastera. Tapi sastera ikhtisas.
Ugh,
prinsip akaun...
Kami
mula berbual panjang dan berkenalan lebih baik ketika sedang beratur pada waktu
perhimpunan. Disebabkan Iza berada dua barisan jauhnya dari aku, aku habiskan
masa dengan mendengar celoteh Chaq berbanding ucapan selamat yang membosankan
Penolong Ketua Hal Ehwal Murid. Aku suka dengar celoteh Chaq. Dia sentiasa ada
sesuatu yang lucu untuk diperkatakan. Dia juga amat pantas dalam memberi
gelaran kepada orang lain. Siapa lagi yang memberikan gelaran Ustaz Bosnia itu
kepada Ustaz Muhammadi kalau bukan dia?
Kerana
itulah aku memilih untuk duduk di sebelahnya di dalam kelas. Disebabkan Iza
memasuki kelas yang memiliki bidang berlainan, kami juga tidak bertemu pada
waktu Pendidikan Jasmani dan juga waktu rehat. Jadi waktu-waktu tersebut aku
habiskan bersama Chaq. Kami cuma berpisah ketika tamat waktu persekolahan
harian, kerana Chaq tinggal bersama ibu saudaranya sementara kami tinggal di
asrama.
“Kau
pun sama, Che Iza. Korang ni masih berkawan sampai sekarang rupa-rupanya. Jealous okay?” ujarnya, menggenggam
tangan Iza dengan kuat.
“Ya.
Lama tak jumpa,” ujar Iza dengan nada perlahan.
Chaq
kembali memberikan perhatiannya kepada aku.
“Kau
orang kenal?” tanya Jis yang agak terkejut melihat kami berteriak bersama-sama
tadi.
“Yes! Aku dengan Safiah ni BFF sejak
sekolah menengah kot,” ujar Chaq dengan ceria.
“Masa,”
ujar Iza tiba-tiba.
Kami
bertiga memandangnya, tidak faham.
“MASA
sekolah menengah, bukan SEJAK sekolah menengah. Kita dah tak jumpa lepas
sekolah,” jelas Iza, membetulkan kata-kata Chaq.
Chaq
ketawa seraya menepuk manja bahu Iza.
“Oh,
po-tay-to, poh-tah-to,” ujarnya,
menggawang-gawangkan tangannya menunjukkan dia tidak peduli dan tidak nampak
bezanya. Dia kembali memberi perhatiannya kepada aku.
“Oh
Safi. Aku tak sangka akan jumpa kau. Aku ada baca pasal kau dalam paper dan aku selalu berlagak dengan
kawan-kawan ofis aku yang kau ni kawan aku. Tapi aku tak sangka kita akan jadi
kawan serumah!” ujarnya lagi.
“Kau
dah setuju nak tinggal di sini?” Iza terkejut.
“Mestilah.
Shisseriously aku akan setuju. BFF
aku ada kat sini kot!” dia memeluk tubuhku dengan lebih erat.
Iza
pandang aku. Aku tidak perlu menterjemah pandangannya apabila dia mengajuk
dengan mulutnya.
Shisseriously? Itu yang bibirnya
mimikkan dengan wajah yang menyampah.
Namun
pada ketika itu, aku sudah terlalu gembira kerana dapat bertemu kembali dengan
sahabat lama sehinggakan aku tidak nampak reaksi sarkastik yang diberikan oleh
Iza. Tuhan itu Maha Adil. Iza pergi dan Chaq pula datang. Aku pasti tak akan
kesunyian.
“Bukan
housemate saja. Roommate aku,” ujarku.
“Oh my oh!” dia menjerit lalu memeluk
aku dengan penuh kegembiraan.
Iza
di sebelah aku buat muka.