Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 22

SEJADAH disidai di ampaian, lalu Iqram berjalan ke katil. Dia melabuhkan duduk di situ. Songkok di atas kepala bingkas dicabut lalu diletakkan ke atas riba.

Tiba-tiba, daun pintu biliknya diketuk dari luar. Membuat Iqram tersentak kecil. Serta-merta dia menoleh ke muka pintu. “Siapa pulak tu?” gumannya sendirian. Lalu, ringan bibirnya menyebut perkataan ‘masuk’.

Daun pintu bilik terkuak dari luar. Tersembul figura Erika di muka pintu. “Boleh akak masuk?”

Iqram tersenyum. “Masuklah, kak.”

Erika berjalan masuk ke dalam, lalu dia melangkah ke arah katil. Dia melabuhkan duduk di sebelah Iqram. “Kenapa Am tak masuk office hari ni? Am tak sihat ke?” tanyanya ingin tahu.

Iqram tersenyum. “Am penat, kak. Driving dari Kedah ke KL. Tu yang Am ambil cuti, nak rehat,” jawabnya.

“Oh!”

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Wajah Maira singgah ke kotak fikiran Iqram. Membuat dia tersentak kecil. Erk, kenapa wajah dia boleh muncul dalam fikiran aku ni?

“Am?” tegur Erika sambil tersenyum penuh makna.

Iqram tersentak. Lamunannya segera menghilang. Dia memandang wajah Erika dengan muka terpinga-pinga. “Haa… apa dia, kak?”

Kening Erika terjungkit sebelah. “Jauhnya Am termenung. Am tengah fikirkan buah hati ke?” usiknya.

Iqram menyengih. “Hisy akak ni, merepek ajelah! Am ni manalah ada buah hati, kak. Am ni single-mingle lagi tau.” Dia tertawa geli hati.

Erika mencebik. “Yalah tu?”

“Yalah!” Iqram menafi keras.

“Kalau betul Am tak ada buah hati, macam mana boleh timbul gosip tu kat pejabat?” balas Erika, masih lagi tersenyum penuh makna.

Rona wajah Iqram terus berubah. “Am dah tahu apa yang berlaku, kak. Ni semua kerja Sonia kan? Esok lusa, siaplah dia! Am tak akan lepaskan dia, kak!” katanya dengan suara geram.

“Tak payahlah Am nak jatuhkan hukuman kat si Sonia tu. Dia dah terkena dengan budak Maira tu,” cerita Erika.

Iqram terpana. “Haa… apa maksud akak?”

“Pagi tadi, Maira bergaduh dengan Sonia tau. Kecoh satu pejabat dibuatnya, Am. Nasib baik bangunan kita tu kukuh. Kalau tak, mahu tunggang terbalik bangunan tu dikerjakan mereka,” cerita Erika lagi.

“Maira bergaduh dengan Sonia?” Membuntang terus matanya. “Lepas tu, apa yang berlaku, kak?” Iqram rasa tertarik hati untuk mendengar cerita selanjutnya.

“Sonia kan sengaja cari pasal dengan budak Maira tu. Ada ke patut dia sebarkan fitnah tentang Am dan Maira? Maira apa lagi, mengamuklah si Miss selamba tu! Padan dengan muka Sonia, Am! Tak pasal-pasal dia kena tumbuk dengan Maira.” Beria-ia Erika cerita.

Tawa Iqram meletus demi mendengar cerita Erika. “Ya ke, kak? Hmm… memang patut pun Maira buat macam tu!”

Erika tergelak. “Tahu tak apa, Am. Masa akak dengar cerita Maira, akak rasa macam nak tergelak aje. Yalah… si Sonia tu kena tumbuk sebab menjaja cerita yang bukan-bukan kat pejabat. Padan muka! Baru buku bertemu dengan ruas!” balasnya.

Tergeleng-geleng kepala Iqram mendengar cerita Erika. Maira… Maira… selamba badak aje awak tumbuk muka setiausaha saya tu ya?

“Am dengan Maira tu memang ada apa-apa ke?” soal Erika tiba-tiba.

Demi mendengar soalan itu, Iqram terus tergamam. “Akak!” Merah padam mukanya. “Hisy, ke situ pulak! Kami tak ada apa-apa hubunganlah, kak. Hubungan kami ni tak lebih dari hubungan majikan dengan pekerjanya tau!” Beria-ia Iqram menafi keras. Aku dengan Miss selamba tu? Ha ha ha… lucunya!

Tapi… mengapa wajah Maira sentiasa membayangi dirinya sejak dua menjak ini? Malah, setiap mimpi-mimpi indahnya juga ditemani oleh gadis itu. Senyuman yang sentiasa menghiasi bibirnya sedikit sebanyak telah berjaya menggetarkan hati lelakinya. Anehnya, terbit satu rasa di hati. Ah, sukar dia hendak mentafsir rasa itu? Rasa apakah ini? Aku dah terjatuh cinta ke?

Demi melihat gelagat Iqram, dahi Erika berkerut seribu. “Am?” tegurnya.

Iqram tersentak kecil. “Haa… apa dia, kak? Akak cakap apa tadi?” Terpinga-pinga dia menyoal.

Garis senyum penuh makna semakin melebar di bibir. Dia semakin yakin dengan nalurinya. Wah, aku akan dapat adik ipar tak lama lagi! Syoknya! “Jauhnya Am termenung. Am tengah fikirkan Maira ke?” Sekali lagi Erika menebak Iqram.

Iqram tergamam. “Mana ada!” Dia segera menafi keras.

Kening Erika terjungkit sebelah. “Ya ke ni?” tebaknya lagi.

“Yalah!” balas Iqram dengan suara tegas.

Erika tidak membalas. Dia hanya tersenyum penuh makna. Kau tak payah nak tipu akaklah, dik! Dari mata kau pun, akak mampu mengesan api cinta kau yang semakin membara-bara buat diri Maira. Akak tahu, hati kau dah mula dug dag dug dag kan?

Berkerut dahi Iqram. Hairan dengan telatah Erika. Hisy, kakak aku ni menakutkan! Tapi… betul ke aku dah jatuh cinta pada Maira?

“DAHLAH tu, Izz. Aku penatlah! Dah lama aku tak main badminton. Lutut aku ni dah lenguh, kaki aku ni rasa macam nak patah aje,” kata Iqram dengan termengah-mengah.

Muiiz tertawa lucu demi mendengar kata-kata Iqram. “Kau nilah, Am… awal-awal lagi dah pancit? Bukan ke badminton ni sukan kegemaran kau? Dulu siap jadi wakil universiti lagi, lawan sana sini. Sekarang apa dah jadi?” Sempat lagi dia memperli Iqram.

Iqram menjeling. Geram dengan sindiran pedas kawan baiknya itu. “Mulut kau tu jaga sikit, ya! Aku bukannya cepat mengalah, tapi aku dah penat. Kau sendiri pun dah tahu, aku dah lama tak main benda alah ni?” protesnya dengan muka tidak puas hati.

“Yalah tu?” Muiiz berterus-terusan mengejek.

Iqram tidak membalas. Dia menarik muka cemburut. Puiih, hantu punya kawan! Sedap mulut kau aje mengata aku kan? Argh!

Mereka berjalan keluar dari dewan, lalu berjalan menuju ke arah kerusi panjang. Mereka melabuhkan duduk di situ.

Beg galas berwarna hitam di bawah kerusi itu diambil, lalu dia membawa keluar sehelai tuala berwarna putih jernih. Lalu, dia mengelap peluh yang sedang meleleh di dahi. Sebotol air mineral kecil di tepi beg dicapai. Penutup botol dibuka, lalu dia terus meneguk air mineral itu dengan rakus.

Muiiz menggeleng apabila melihat telatah Iqram. “Wei, minumlah perlahan-lahan! Nanti tersedak pulak,” tegurnya.

Apabila tekaknya terasa lega setelah dibasahi dengan air mineral itu, dia menutup botol mineral lalu meletakkannya ke tepi beg. Dia menoleh ke arah figura Muiiz. “Aku hauslah, Izz,” balasnya sambil tersengih-sengih.

“Kot iya pun haus, janganlah minum cepat sangat! Kalau tersedak, padan dengan muka! Tak pasal-pasal berair mata kau,” perli Muiiz.

“Yalah, Dr. Muiiz!” balas Iqram. Malas dia hendak berdebat dengan lelaki itu. Buang karan aje!

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Benak fikiran Iqram mula dihiasi seraut wajah comel milik Maira. Dia terkedu. Erk, kenapa tiba-tiba aje muka kau tersesat kat kepala otak aku ni?

Muiiz berkerut dahi apabila melihat gelagat Iqram. Eh, dah kenapa pulak dengan mamat ni? Spontan dia menegur, “Am?”

Iqram yang sedang ralit melayani perasaannya, tersentak kecil apabila mendengar teguran itu. Dia menoleh ke arah Muiiz. “Haa… apa dia?” tanyanya dengan muka tercengang.

“Amboi, jauhnya kau termenung! Kau ni dah kenapa, Am? Apa yang kau tengah fikirkan tu?” tanya Muiiz ingin tahu.

Iqram terkedu. “Err… tak ada apa-apalah, Izz.”

Terdetik sesuatu di benak fikiran Muiiz. Spontan, bibirnya terukir senyuman penuh makna. “Aku rasa… aku tahu apa masalah kau, Am,” balasnya beria-ia.

Sekali lagi Iqram terkedu. “Haa?”

“Kau ni sebenarnya tengah jiwa kacau kan?” tebak Muiiz beria-ia.

Iqram tergamam. “Eh, mana ada! Hisy, kau ni merepek aje tau!” Beria-ia dia menafi keras. Tidak mahu Muiiz mengesan gelodak rasa yang sedang dialaminya kala ini.

Kening Muiiz terjungkit sebelah. “Ya ke ni?” tebaknya. “Haa… kau tengah teringatkan Maira kan?” Sekali lagi dia menebak.

Iqram terkedu. “Err…” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Garis senyum di bibir Muiiz semakin melebar. “Mengaku ajelah, Am!”

“Mana ada!” Sekali lagi Iqram menafikan kebenaran.

“Ya ke ni, hmm? Habis tu, macam mana boleh timbul gosip kau dengan Maira kat pejabat? Kau orang berdua memang bercinta kan?” tebak Muiiz lagi.

Iqram terus terdiam.

“Kenapa kau diam, Am? Jadi, memang betullah kau orang berdua bercinta?” teka Muiiz.

Membuntang terus mata Iqram. “Hisy, apa yang kau merepek ni, Am? Aku tak ada apa-apa hubungan dengan Mairalah!” nafinya.

Kening Muiiz terjungkit sebelah. “Betul ke ni, Am? Kau jangan nak tipu aku! Aku debik kau sekali, naya aje,” bebelnya.

Iqram merengus. “Betullah! Kenapa aku nak tipu kau pulak?” nafinya lagi. “Cuma…” Ayatnya mati di situ. Teragak-agak dia hendak berterus-terang.

“Cuma apa?” potong Muiiz.

Iqram membuang keluhan. “Sebenarnya… sebenarnya…”

“Sebenarnya apa?” Sekali lagi dia memotong apabila tiada tanda-tanda untuk Iqram meneruskan bicara.

Iqram berdecit. “Macam mana aku nak cakap ya?” Dia menarik nafas panjang, lalu menghembusnya keluar secara perlahan-lahan. “Sejak dua menjak ni, aku asyik terbayangkan wajah Maira aje. Senyuman dia, tingkah laku dia, wajah dia, buat aku jadi serba tak kena. Setiap malam aku asyik mimpikan dia,” ceritanya panjang lebar. Dia memandang Muiiz. “Kenapa ya, Izz?” sambungnya dengan muka keliru.

Muiiz menjungkit keningnya berkali-kali. “Apa yang kau rasa bila kau tiba-tiba aje teringatkan dia?” duganya.

“Hati aku berdebar-debar, Izz. Jantung aku berdegup kencang. Bila aku sebut nama dia, tubuh aku ni rasa menggigil. Macam… macam… pelik kan?” balas Iqram.

“Tak ada yang peliknya, Am,” balas Muiiz selamba.

Iqram tercengang. “Haa… kenapa pulak?”

Wajah Iqram direnung penuh makna. “Kalau seseorang tu jadi serba tak kena terutamanya bila melibatkan hal perempuan, apa maksudnya?” tebak Muiiz.

Iqram menjungkit bahu. “Manalah aku tahu!”

Muiiz menepuk dahi. “Kau ni… Takkan benda macam tu pun, kau tak boleh nak fikir hah? Kau sebenarnya dah terkena panah cinta Maira Qaisarah, Iqram. Sebab tulah hati kau berdebar-debar dan jantung kau berdegup kencang bila kau teringatkan dia. Kau dah jatuh cinta pada Maira, Am,” balasnya bersungguh-sungguh.

Bulat mata Iqram apabila mendengar hujah Muiiz. Dia tergelak. “Apa yang kau merepek ni, Izz? Maira tu bukan jenis perempuan idaman aku tau. Lagipun, takkanlah aku boleh jatuh cinta pada staf sendiri? Nonsense!” balasnya beria-ia.

“Kau pernah dengar istilah ni, cinta itu buta? Cinta tak mengenal sesiapa, Am. Cinta hadir tanpa kita duga, tanpa kita jangka bahawa sebenarnya ia sudah ditawan oleh seorang gadis yang tak pernah terlintas di fikiran kita. Percayalah cakap aku, Am. Kau dah jatuh cinta pada Maira,” balas Muiiz beria-ia.

Iqram terkedu. “Tapi…”

“Terimalah kenyataan ni, Am. Kau cintakan Maira. Sedarlah, Iqram Fattah!” potong Muiiz.

Iqram segera menggeleng laju. Berusaha menangkis persepsi Muiiz. “Tak mungkin aku jatuh cinta pada Maira, Izz!” nafinya beria-ia.

Muiiz tersenyum. Bahu Iqram ditepuk perlahan. “Kadang-kadang, kita tak sedar apa sebenarnya yang bertapak di hati kita. Kita tak sedar yang sebenarnya hati kita ni dah pun terisi. Muhasabah, fikir sedalam-dalamnya. Percayalah, Am. Kau dah jatuh cinta pada Maira.”

Iqram terpana. Aku… aku cintakan Maira Qaisarah ke?”

BEG sandang dicampak ke seat sebelah, lalu dia membolos masuk ke dalam perut kereta. Sesudah enjen kereta dan penghawa dingin dihidupkan, dia bersandar ke belakang. Dia mengeluh. “Apa sebenarnya yang aku sedang rasakan ni, ya ALLAH?” desisnya, semakin keliru dengan perasaan sendiri.

Kata-kata Muiiz menampar gegendang telinganya. “Kau pernah dengar istilah ni, cinta itu buta? Cinta tak mengenal sesiapa, Am. Cinta hadir tanpa kita duga, tanpa kita jangka bahawa sebenarnya ia sudah ditawan oleh seorang gadis yang tak pernah terlintas di fikiran kita. Percayalah cakap aku, Am. Kau dah jatuh cinta pada Maira.”

“Tak mungkin aku akan jatuh cinta pada Maira. Impossible! Hisy, merepek aje si Muiiz ni.” Beria-ia dia menafi keras.

“Tapi…” Dia mengeluh. “Kenapa sejak dua menjak ni bayangan wajah kau sentiasa menerjah masuk ke dalam kepala aku, Maira? Setiap malam, wajah kau yang akan menemani mimpi-mimpiku, sebaris nama kau juga sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinga aku. Apa sebenarnya yang dah berlaku pada aku?” Timbul soalan itu di benak fikiran. Namun, dia tidak punya jawapan yang pasti untuk soalan itu. Dia sendiri pun keliru dengan perasaannya.

Sekali lagi kata-kata Muiiz menjengah ke kotak fikirannya. “Kadang-kadang, kita tak sedar apa sebenarnya yang bertapak di hati kita. Kita tak sedar yang sebenarnya hati kita ni dah pun terisi. Muhasabah, fikir sedalam-dalamnya. Percayalah, Am. Kau dah jatuh cinta pada Maira.”

Sekali lagi Iqram mengeluh lemah. “Apa sebenarnya yang ada dalam hati aku ni?” Dia semakin keliru. “Takkanlah aku dah jatuh cinta pada Maira kot?”

Bayangan wajah comel Maira menerjah ke layar matanya. Sekali gus, mengundang senyuman di bibir. “Maira Qaisarah…” serunya.

Tidak semena-mena jantungnya berdegup kencang tatkala sebaris nama itu meniti di bibirnya. Membuat Iqram tersentak. “Eh, kenapa dengan aku ni?”

“Maira Qaisarah…” Sekali lagi Iqram menyeru sebaris nama itu.

Jantungnya semakin kuat berdetak memainkan irama lagu cinta tatkala sebaris nama Maira meniti di bibir. Bunga-bunga cinta mula tumbuh di hatinya. Dia tersenyum. Mula menyedari perasaan cinta yang sedang dirasainya kala ini. “Betul cakap Muiiz, aku memang dah jatuh cinta pada Maira,” ucapnya, semakin yakin dengan perasaannya.

Dia tergelak, lalu menggeleng. “Maira… Maira… macam mana saya boleh jatuh cinta pada awak, ya? Dalam diam, awak dah cuti hati saya. Awak memang hebat, Maira!”

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.