“NAH,
aku belikan mi goreng mamak ni untuk kau.” Hidayah meletakkan bungkusan plastik
berisi bekas makanan ke atas meja Maira. Maira
tercengang. Fail yang sedang ditelitinya itu bingkas ditolak ke tepi. Dia
menoleh ke arah Hidayah. “Apa ni?”
“Kau
ada masalah pendengaran ke, Mai? Ni mi goreng mamak, aku belikan untuk kau. Mi
ni aku beli kat kedai mamak kegemaran kau tu,” sindir Hidayah.
“Oh,
kau beli untuk aku, ya?” tanya Maira dengan muka hairan.
Aduh!
Dahinya ditepuk. “Aku beli untuk kaulah, takkanlah aku belikan untuk Pak Mat
Jaga tu kot?” Sekali lagi Hidayah menyindir Maira.
Maira
menayang sengihan kerang busuk. “Ala janganlah marah, Dayah. Aku betul-betul
rasa terharu. Yalah, kau ingat juga dekat aku, kan?” balasnya.
“Takkanlah
aku tak ingat kat kau pulak? Kita kan kawan baik, Mai. Aku ni kira baik hati
tau sebab belikan mi goreng mamak ni untuk kau,” balas Hidayah. Masuk bakul
angkat sendiri.
“Terima
kasih, Dayah,” balas Maira terharu.
“Hmm…
sama-sama,” balas Hidayah ringkas. “Dah, pergi makan mi goreng mamak kegemaran
kau ni. Aku tahu, perut kau mesti dah berdendang lagu lapar, kan?”
“Err…
aku memang nak makan mi goreng mamak ni, tapi…”
Dahi
Hidayah berkerut. “Tapi apa?”
Maira
tersenyum. “Aku dah kenyang.”
Hidayah
terlongo. “Apa, kau dah kenyang? Kau makan apa tadi? Kau telan peti ais ke
apa?” balasnya dengan muka terkejut biawak.
Maira
menjeling. “Hisy, ada pula cakap macam tu? Apa, kau ingat aku ni raksasa dalam
cerita kartun Ultraman tu ke? Sengal punya manusia!” bebelnya geram.
“Dah
tu, kau makan apa tadi?” desak Hidayah tidak sabar.
Bawah
bibir diketap rapat. “Sebenarnya…” Teragak-agak dia hendak berterus-terang
perihal sebenar pada Hidayah. Kalaulah Dayah tahu Mr. singa tu belikan aku nasi
bungkus, apa agaknya reaksi dia, ya? Terkejut badak tak? desis hatinya
sendirian.
“Sebenarnya
apa, Mai?” Hidayah segera memotong apabila tiada tanda-tanda untuk Maira
bersuara.
“Kalau
aku berterus-terang nanti, kau jangan terkejut pulak. Kalau boleh, perlahankan
nada suara kau tu. Aku bukannya apa, takut terkantoi satu pejabat nanti. Naya
aje,” pesan Maira beria-ia.
Hidayah
semakin tercengang. “Kau ni, buat aku saspen aje. Cepatlah cakap!” Dia terus
mendesak.
“Janji
dulu!” arah Maira tegas.
Hidayah
berdecit geram. “Ya, aku janji!”
“Okey,
aku pegang janji kau!” balas Maira tegas.
“Hmm…
cepatlah bagitahu, Mai! Apa dia?” Hidayah berterusan mendesak. Tidak sabar
hendak mengetahui perkara sebenar.
“Sebenarnya,
Encik Iqram… dia belikan nasi bungkus untuk aku tengah hari tadi,” balas Maira
teragak-agak. Bimbang dengan reaksi Hidayah. Agak-agaknya, dia menjerit bak
hantu langsuir tak?
“Haa?”
Tepat jangkaan Maira, Hidayah sememangnya menjerit. Gadis itu benar-benar
terkejut mendengar cerita kawan baiknya itu.
“Oii!”
Serta-merta Maira menekup mulut Hidayah. “Diamlah! Kantoi nanti!” marahnya.
Hidayah
spontan menepis tangan Maira. “Okey, sorry!
Tapi aku rasa peliklah, Mai. Kenapa tiba-tiba aje dia belikan nasi bungkus
untuk kau, ya? Tiba-tiba aje dia nak buat amal jariah ni, kenapa ya?” katanya dengan muka hairan.
Maira
menjungkit bahu. “Entah, manalah aku tahu! Mungkin dia serba salah sebab tak
benarkan aku keluar makan tengah hari kot.” Dia membuat andaian sendiri.
Hidayah
terdiam sejenak. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Tidak semena-mena,
bibirnya terukir senyuman penuh makna. “Jangan-jangan…”
Maira
tercengang. “Jangan-jangan apa?”
“Mr.
singa tu sukakan kau, tak?” balas Hidayah sambil menjungkitkan kedua-dua belah
keningnya berulang kali.
Maira
ternganga luas. Bulat biji matanya. “Apa yang kau merepek ni, Dayah? Tolong
jangan nak buat lawak antarabangsa kat sini, okey. Serius, aku tak rasa kelakar
pun! Bila masa pula Mr. singa tu sukakan aku? Dia tu mana ada perasaan, asyik
nak marah orang 24 jam 7 hari aje.” balasnya, berusaha menangkis kata-kata
Hidayah.
Hidayah
tersenyum lebar. “Manalah tahu, kot-kot dia tersangkut hati kat kau. Kau juga
yang untung tau. Kepak kepak kebum… kepak kepak kebum… wah, dapatlah aku merasa
nasi minyak kawan baik aku ni!”
Maira
menjeling geram. “Sengal! Malaslah aku nak layan orang yang biul macam kau ni.
Pergi buat kerja kau! Aku banyak kerja lagi ni!” marahnya dengan suara geram.
Aku dengan Mr. singa? Ha ha ha… bak pinang dibelah kapak aje.
Hidayah
bangun, seraya bersedia untuk melangkah. “Wah, seronoknya hati aku ni! Tak lama
lagi, aku dapat merasa nasi minyak kawan baik aku ni. Hisy, tak dapat nak
bayangkan macam mana rupa Mr. singa dan Miss selamba bila bersanding di atas
pelamin. Syoknya!” Serentak itu, dia berjalan pergi meninggalkan Maira
sendirian di mejanya.
“Aku
dengan Mr. singa? Haa… memang taklah! Minta simpang empat puluh empat malaikat.
Tak hingin aku!” ucap Maira, seraya meneruskan kembali kerjanya yang
terbengkalai tadi.
“BISMILLAH…”
Sekali
lagi Maira cuba menghidupkan enjen keretanya, namun tetap juga gagal.
Dia
berdecit geram sambil menggosok kepalanya. “Kenapa nasib aku malang hari ni?
Dahlah lewat ke pejabat, siap kena denda tak boleh makan tengah hari lagi.
Sekarang, kereta pulak buat ragam,” bentaknya.
Sekali
lagi dia cuba menghidupkan enjen kereta, namun tetap tidak menemui hasil.
Argh!!! Dia menjerit geram.
“Apa
masalah kereta ni hah? Hisy, aku ni dahlah tak berapa pandai pasal kereta.
Bawak kereta pandailah,” bebelnya lagi.
Beg
tangan berwarna merah jambu di seat sebelah dicapai. Dia menyeluk tangan ke
dalam beg. Hendak mencari telefon bimbitnya. Setelah jumpa barang yang dicari,
dia segera membawa keluar barang itu.
Demi
melihat telefon bimbitnya yang berjenama Samsung Galaxy 5s itu, mulutnya
ternganga luas. Matanya pula sudah membuntang. “Alamak, memang suweila hari ni! Telefon aku dah habis
baterilah pulak. Wahai telefonku sayang, kenapa masa-masa macam nilah kau buat
perangai hah? Kau tahu tak, tuan kau ni memerlukan khidmat kau tau,” bebelnya.
Maira
berdecit. “Hisy, nak buat macam mana ni?”
“Cuba
sekali lagilah,” katanya.
Seraya
itu, dia mencucuk kunci kereta ke tempat pencucuh kunci. Sekali lagi dia cuba
menghidupkan enjen kereta. Hasilnya? Hmm… gagal lagi!
Maira
menjerit geram. Dia menghentak kaki. “Lebih baik campak kau ni masuk lombong,
lagi bagus tau! Tak adalah menyakitkan hati aku aje. Kau ni, menyusahkan aku
tau tak? Masa-masa kritikal macam nilah, kau nak buat perangai tau,” bentaknya.
Dia
mengusap kepala. Wajahnya kelat. “Nak buat macam mana ni?”
Iqram
yang kebetulan baru sahaja keluar dari lobi, berkerut dahi melihat figura Maira
yang sedang terkial-kial seorang diri di kereta Perodua Myvinya. Dahinya
berkerut tanda hairan. “Kenapa dengan Miss selamba tu?”
Lantas,
dia berjalan ke arah gadis itu. Dia berdehem kecil. “Kenapa ni?” tanyanya
dengan riak muka ingin tahu.
Maira
tersentak kecil demi mendengar teguran itu. Dia spontan menoleh ke arah si
empunya suara yang menegurnya. Dia tersenyum hambar. “Oh, bos rupanya. Err… bos
belum balik lagi ke? Bos buat apa kat sini?”
Iqram
pamer senyum sinis. “Saya? Hmm… saja nak meronda kat sini. Manalah tahu,
kot-kot ada staf saya yang curi tulang,” sindirnya dengan muka selamba.
Maira
mencebik. Ha ha ha… sarkastik alasan kau tu ya? Nak meronda konon? Sekarang ni
bukan waktu kerja lagi tau. Janganlah nak berlagak poyo pulak, kutuknya dalam
hati.
Iqram
mengerling ke arah kereta Maira. “Kenapa dengan kereta awak?” tanyanya ingin
tahu.
“Kereta
saya?” Soalan berbalas dengan soalan. Dia senyum sinis. “Saja, nak buat show kereta kat sini.” Apa punya soalan
daa? Dah nampak kereta aku tersadai kat sini, lagi nak tanya. Agak-agaknya,
mata kau ni dah buta kot. Maira mengutuk dalam hati.
Iqram
menggigit bibir. Geram mendengar sindiran Maira. Aduh, aku terkena lagi! “Err…
kereta awak rosak ya?”
“Ya
bos, kereta saya rosak.” Maira membalas lemah.
“Oh,”
jawab Iqram. “Err… boleh saya tengok kereta awak?” Dia memohon keizinan.
“Bos
nak tengok kereta saya?” Maira menjungkit kening. “Err… bos pandai ke dalam
bab-bab macam ni?” Teragak-agak dia hendak memberi keizinan. Kurang yakin
dengan kebolehan lelaki itu.
Iqram
tersenyum. “Jangan pandang saya sebelah mata tau.”
Serentak
itu, dia berjalan ke bonet hadapan. “Bukak bonet ni. Saya nak tengok apa
masalah kereta awak,” arahnya.
Maira
segera menarik picu untuk membuka bonet kereta. Seraya itu, Iqram membuka
bonet, lalu menampannya.
Iqram
mengetuk dagu. “Hmm… apa masalah ni ya?” desisnya sendirian.
Maira
yang agak bingung melihat gelagat Iqram, hanya berdiam diri dan membiarkan lelaki
itu meneruskan kerjanya. Namun hatinya sudah berdetak memainkan irama lagu
resah. Aduh, janganlah dia rosakkan kereta aku ni.
Sesudah
melihat enjen, Iqram berjalan ke seat pemandu. Dia membolos masuk ke dalam
perut kereta. Serentak itu, dia cuba menghidupkan enjen kereta. Dia melihat ke
skrin. “Oh, masalah bateri rupanya,” desisnya.
Dia
menoleh ke arah Maira. “Kereta awak ni masalahnya bateri, Maira. Awak tak
pernah bawak kereta awak ni pergi servis ke?” tanyanya.
Buntang
biji mata Maira. “Haa… masalah bateri? Tapi, saya bawak kereta ni pergi servis
ikut masa yang ditetapkan. Tak tahu pula saya yang kereta ni ada masalah dengan
bateri,” balasnya dengan muka tercengang.
Kening
Iqram terjungkit sebelah. “Dah berapa tahun, awak guna kereta ni?”
“Dua
tahun,” jawab Maira.
Iqram
senyum. “Oh, patutlah! Untuk pengetahuan awak, bateri kereta perlu ditukarganti
bila tiba masanya. Kereta awak ni dah lama. Jadi, baterinya perlu ditukar,”
terangnya.
“Oh…”
Maira mengangguk tanda faham. Dia tersengih. “Saya baru aje tahu. Yalah, saya
ni tak berapa arif pasal kereta. Saya tahu bawak kereta aje.”
“Hmm…
lepas ni, awak kena belajarlah. Yalah, kita ni kenalah tahu serba sedikit pasal
kereta. Tak adalah terkial-kial sangat.” Sempat lagi Iqram menyindir Maira.
Maira
hanya berdiam diri.
Bonet
hadapan kereta segera ditutup rapat. “Err… jom saya hantar awak balik,” kata
Iqram sambil mengibas-ngibas kekotoran di tangan dan bajunya.
Maira
tergamam. “Haa… bos nak hantar saya balik?” Matanya teralih memandang
keretanya. “Habis tu, macam mana dengan kereta saya? Takkanlah nak biarkan kat
sini aje?”
“Takkanlah
saya nak tarik kereta awak ni sampai ke rumah? Biar ajelah kereta awak ni kat
sini. Lagipun, tak ada siapapun yang nak curi,” sindir Iqram.
“Tapi…”
Iqram
berdecit. “Awak tak perlu risau, Maira. Kereta awak ni selamat aje kat sini.
Nanti saya minta tolong Pak Mat Jaga tu tengok-tengokkan kereta awak,” balasnya
beria-ia. “Dah, jom saya hantar awak balik!”
“Tapi…”
Maira masih lagi teragak-agak hendak menerima pertolongan yang dihulurkan
Iqram.
“Kalau
pasal kereta awak ni, awak jangan risau. Saya kenal dengan seorang mekanik ni.
Dia kawan seuniversiti dengan saya. Nanti saya telefon dia ya. Saya minta
tolong dia repair kereta awak. Dah,
jom!” celah Iqram.
“Tapi…”
Aduh,
dia ni banyak bunyilah! “Awak nak balik ke atau terus nak bertapa kat sini?
Kalau awak tak nak balik, tak apa. Tak berkudis pun kat saya. Haa… awak tidur
ajelah kat sini ya. Kalau ada hantu, awak tanggunglah sendiri.” Sengaja Iqram
hendak menakut-nakutkan Maira.
Membuntang
terus mata Maira. “Hantu?” Dia jadi gerun demi mendengar perkataan itu. Gulp!
Dia meneguk liur. “Ada hantu ke kat sini?”
Iqram
pamer senyum sinis. “Ha’ah, ada bermacam-macam jenis hantu kat sini tau. Ada
hantu pocong, pontianak, langsuir, macam-macamlah. Hantu overseapun ada tau,” balasnya dengan muka suspen.
Maira
bertambah takut. “Haa… hantu oversea?”
“Ha’ah…
ada dracula dan hantu cina kat sini
tau,” tambah Iqram.
Maira
terus menggigil ketakutan. Erk, banyaknya hantu? Apa, pejabat ni tempat
pembiakan hantu ke? “Err… kalau macam tu, saya ikut bos balik ajelah.”
Iqram
senyum sindir. “Okey, jom!” Ha ha ha… tahu takut? Hmm… pengecut juga Miss
selamba ni ya?
SUDAH naik kematu jari Mak Uda Harlina
mendail nombor telefon bimbit Maira, namun langsung tidak berjawab. Asyik
jawapan yang sama sahaja diterimanya.
“Maaf, nombor yang anda dail tidak dapat
dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.”
Mak Uda Harlina
mendengus. Dia meletakkan ganggang telefon di tempatnya semula. Silih berganti dia
memandang wajah Encik Azmil dan Puan Fadillah. “Hmm… masih tak berjawab jugak.”
Puan
Fadillah mengeluh. “Ya ALLAH… mana budak Maira ni pergi? Dia dah lupa jalan
pulang ke rumah ke?” Dia semakin dilanda risau.
“Sabarlah
Illa, Lina, kejap lagi budak Maira tu baliklah. Jangan risau ya, tahulah dia
menjaga diri. Dia bukan kecil lagi, dah besar panjang,” celah Encik Azmil
beria-ia.
Puan
Fadilah menoleh ke arah suaminya. “Saya ni bukannya apa bang, saya risau. Maira
tu perempuan tau. Kalau apa-apa berlaku pada dia, macam mana?”
Mak
Uda Harlina mengangguk. “Betui tu, bang. Lina pun dah makin risau ni. Maira tak
pernah buat perangai lagu ni tau.
Awal-awal lagi dia akan bagitahu kita kalau nak balik lambat,” celahnya
beria-ia.
Encik
Azmi tersenyum. “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Sama-samalah kita
doakan yang terbaik untuk Maira.” Dia sedaya upaya cuba menenangkan hati dua
wanita itu.
Dua
wanita itu hanya mengangguk lemah.
Sesekali
dua wanita itu memanjangkan leher mereka ke luar rumah. Mengharapkan kepulangan
Erena, namun langsung tiada tanda-tanda gadis itu akan muncul. Ya ALLAH…
dimanakah gadis itu?