MAIRA
merenung
lama cincin belah rotan yang sudah pun tersarung di jari manisnya. “Hisy, tak
pasal-pasal aku kena bertunang dengan Mr. singa tu tau!” bentaknya dengan suara
geram. Sedang ralit melayani perasaan marahnya, tiba-tiba kedengaran satu suara
menegurnya di belakang.
“Sayang?”
Iqram menegur dengan suara romantis.
Terjungkit
kening Maira demi mendengar panggilan itu. Dia mencebik. Tekaknya terasa mual,
bagaikan hendak memuntahkan segala isi yang ada di dalam perutnya. Sayang?
Uwerk-uwerk! “Tak payah panggil saya macam tu. Geli geleman, tau tak?” herdiknya
dengan suara kasar.
Iqram
tertawa. “Kenapa pula awak nak rasa macam tu? Salah ke kalau saya panggil awak
‘sayang’?” balasnya lembut.
“Hee…
tolonglah, tak hingin tau! Awak dengar ya, saya terima lamaran awak ni pun
sebab keluarga saya aje tau! Kalau ikut hati saya ni, memang saya tak nak
kahwin dengan awak tau!” Maira mengherdik tajam.
“Kenapa
awak tak nak kahwin dengan saya, sayang? Saya ni tak cukup kacak ke?” usik
Iqram.
“Tak!”
Maira membalas dengan muka tak ada perasaan.
Iqram
tersenyum. Tak apa, sabar Iqram! Hari ni dia menolak kau, tapi esok lusa dia
akan tergila-gilakan kau. Hatinya memujuk sendiri. Aku akan suburkan cinta di
hati kau, Maira!
“Sebelum
kita bernikah, saya ada satu permintaan!” Suara Maira kedengaran begitu serius
sekali.
Berkerut
dahi Iqram. “Apa dia?”
Wajah
Iqram ditenung tajam. “Saya nak perkahwinan kita ni dirahsiakan dari
pengetahuan semua staf di Hakim Holdings!” tegas Maira.
Iqram
tergamam. “Haa?” Sungguh, dia berasa terkejut dengan permintaan tidak masuk
akal itu. “Awak dah gila ke apa? Apa salahnya kalau mereka tahu tentang
hubungan kita? Perkara yang baik tak elok disembunyikan, Maira. Hubungan kita
ni sah tarafnya di sisi undang-undang dan hukum Islam.” Dia mula berceramah
panjang lebar.
Maira
berdecit geram. “Kalau awak betul-betul nak kahwin dengan saya, awak kena
penuhi semua permintaan saya!” tegasnya lagi.
Iqram
terus terdiam. Berfikir dua kali sama ada hendak memenuhi permintaan gila itu
ataupun tidak.
“Iqram?”
tegur Maira apabila tiada tanda-tanda untuk lelaki itu membalas. “Awak boleh
penuhi permintaan saya ni kan?”
“Tapi…”
Agak keberatan dia hendak memenuhi permintaan Maira.
“Awak
nak saya jadi isteri awak kan? Jadi, awak kena ikut semua permintaan saya!”
Sekali lagi Maira memaksa Iqram.
Iqram
mengeluh. “Tapi…” Dia berusaha hendak membantah.
“Saya
tak peduli, awak tetap kena penuhi permintaan saya!” Sekali lagi Maira bertegas
dengan keputusannya. “Kalau tak, awak lupakan ajelah niat awak tu!” ugutnya.
“Baiklah,
Maira. Saya setuju,” jawab Iqram perlahan.
Maira
terus tersenyum lebar. “Terima kasih!”
“Tapi…”
Wajah Iqram berubah serius. “Ada syaratnya.”
Maira
terkedu. “Apa syaratnya?” balasnya ingin tahu.
“Awak
kena ingat satu perkara, Maira. Sebaik sahaja lafaz akad nikah terucap di bibir
saya, awak adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Jadi, saya nak awak jaga
batas-batas pergaulan awak kat pejabat. Awak wajib menjaga maruah saya sebagai
suami awak. Saya tak nak dengar sebarang gosip melibatkan awak di pejabat,”
terang Iqram satu per satu. “Boleh ke awak ikut semua syarat saya?”
“Boleh!”
jawab Maira dengan yakin.
“Good!” jawab Iqram.
Maira
tersenyum lebar. Ah, setakat nak jaga nama baik dia tu, kecik punya hallah!
Tahulah aku nak menjaga maruah dia sebagai suami, ngomel hatinya.
Iqram
mengeluh. Tak apalah, Am. Ikut ajelah permainan dia. Sabar, berikan dia masa
untuk adapt situasi ni, pujuk
hatinya.
MAIRA menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Dia keresahan. “Kalau tak payah pergi kursus kahwin tu, tak boleh ke?
Saya malaslah!” bentaknya.
Iqram
mendengus geram. “Awak jangan nak mengada-ngada, Maira! Setiap pasangan yang
bakal berkahwin diwajibkan untuk mengikuti kursus pra-perkahwinan tau!”
herdiknya dengan suara geram.
Maira
berdecit geram. “Saya malaslah! Awak ajelah yang pergi kursus kahwin tu, saya
tunggu dalam kereta aje.”
Iqram
semakin geram dengan telatah Maira. Dia nilah… “Kenapa awak ni degil sangat
hah? Susah sangat ke nak ikut cakap saya? Tolong berikan kerjasama pada saya,
Maira! Kita nak uruskan majlis kita ni tau!”
Maira
tayang muka toya. Langsung tidak terkesan di hatinya dengan rayuan itu.
Iqram
mengeluh. “Maira, jomlah kita turun!” pujuknya dengan suara lembut.
“Tak
nak!” protes Maira.
“Jom
kita turun sekarang!” Dia semakin hilang sabar dengan gadis itu. Argh, memang
sengaja mencabar aku tau!
“Tak
nak!” protes Maira lagi.
Iqram
mendengus geram. “Okey, tak apa! Saya bagi awak dua pilihan! Awak nak turun
sendiri atau nak saya tarik awak keluar dari kereta?” ugutnya.
Maira
terkesima. “Awak ugut saya?”
Iqram
pamer senyum sinis. “Suka hati awaklah nak fikir apapun, Maira. Saya tak
peduli!” herdiknya. “So, make your
choice! Nak keluar dari kereta secara rela atau paksa?” Dia mengugut lagi.
“Awak…”
“Jom!”
Iqram segera memotong sebelum sempat Maira menghabiskan bicara.
Maira
mendengus geram. “Yalah… yalah… saya turun!” Akhirnya dia mengalah dan
bersetuju untuk menuruti kemahuan Iqram.
“AWAK, cantik tak beg tangan ni?” tegur
Iqram sambil menayang beg tangan berjenama Prada di hadapan Maira.
“Hmm…
cantik!” balas Maira tanpa menoleh sedikit pun ke arah beg tangan itu.
Iqram
mendengus geram. “Oii orang di sana, orang di sini tanya baik-baik kan?
Tolonglah jangan baik-baik!” bentaknya.
Maira
tayang muka sepuluh sen. “Ada orang di sini kisah? Dahlah orang di sana tu
paksa orang di sini kahwin. Bila orang di sini buat tak peduli, tahu pulak
orang di sana tu rasa sakit hati.” Dia memulangkan paku buah keras.
“Maira!”
Maira
pamer senyum sinis. “Kenapa, awak sakit hati ke sebab saya buat tak peduli
aje?” Begitu sinikal sekali ayat yang terpacul keluar dari bibirnya.
“Dahlah,
tak payah nak jadi lalat! Bising aje tau!” bebel Iqram. “Meh sini cepat, saya
nak tunjuk sesuatu kat awak,” arahnya.
“Malas!”
Maira membalas acuh tak acuh.
Iqram
menjeling geram. “Janganlah mengada-ngada, Maira! Kita nak beli barang hantaran
perkahwinan kita tau. Takkanlah kita nak beli barang cincai-boncai aje?”
herdiknya bengang.
“Awak
pilihlah apapun, saya tak kisah! Cantik di mata awak, cantik jugalah di mata
saya.” Sekali lagi Maira membalas acuh tak acuh.
“Maira
Qaisarah!” seru Iqram dengan suara kasar. Terpalit sinar ketegasan di wajah
kacak itu. “Sebelum saya tarik tangan awak, lebih baik awak datang sendiri!”
ugutnya bersama segaris senyum sinis di bibir.
Maira
pura-pura tak dengar. Dia tetap berdiri tegak di situ.
“Maira!”
bentak Iqram.
Maira
mendengus geram. “Yalah… yalah…” Akhirnya, Maira akur juga dengan kehendak
Iqram.
Iqram
tersenyum kemenangan.