DARI
arah tangga, kelihatan satu figura lelaki kacak sedang menuruni anak tangga
sambil memegang briefcasenya. Dia
yang kelihatan begitu kacak dengan pakaian serba korporat itu mengatur langkah
menuju ke ruang makan. “Haa
Iqram, jom kita bersarapan dulu,” ajak Datin Marina apabila melihat figura anak
tunggal lelakinya itu.
Iqram
Fattah senyum. “Tak apalah, mama,” Cawan berisi teh O dicapai. “Am minum air
teh ajelah. Lagipun Am dah lambat ni. Kejap lagi Am ada meeting dengan staf-staf di bahagian operasi.”
“Laa…
kenapa pulak? Makanlah sikit! Nanti perut Am masuk angin, tak pasal-pasal kamu
kena gastrik. Janganlah skip waktu
makan, Am. Kamu tak ingat dulu, betapa teruknya penyakit kamu tu, sampai kena
masuk hospital?” Datin Marina membebel.
“Tapi
mama, Am banyak kerja kat pejabat. Makan tu bila-bila masa pun boleh. Yang
penting, Am nak habiskan kerja yang bertimbun kat office tu,” tolak Iqram bersungguh-sungguh.
“Kerja
tu tak pernah habis, Am,” tegur satu suara dari belakang.
Seisi
keluarga itu memalingkan wajah mereka ke belakang. Kelihatan Datuk Hakim
berjalan ke meja makan, lalu duduk di sebelah Datin Marina.
“Betul
tu, dik,” Erika mencelah. “Makanlah dulu!”
Iqram
agak keberatan hendak memenuni permintaan itu. “Tapi…”
“Duduk
dulu, Am!” tegas Datuk Hakim.
“Am
ada meeting dengan staf-staf Am,
papa. Lagipun papa sediri tahu kan, setiap hari rabu Am akan bermesyuarat
dengan mereka. Lagipun Am kenalah sentiasa memantau prestasi kerja mereka. Am
tak nak ada staf Am yang buat kerja ala kadar aje.” Iqram membalas tegas.
“Mesyuarat
Am tu pukul berapa?” celah Erika ingin tahu.
“9.00
pagi,” jawab Iqram.
Jam
tangan berjenama Gucci yang terikat kemas di pergelangan tangan kanannya
dikerling. “Sekarang baru pukul 7.50. Lambat lagilah, dik. Lagipun office kita tu bukannya jauh pun, 20
minit aje dari rumah kita,” ujar Erika beria-ia.
“Tapi…”
Datin Marina berdehem keras. “Duduk
dulu, Am! Sarapan dulu! Mama tak nak apa-apa perkara buruk menimpa diri kamu!”
Hisy, susah betul anak aku yang seorang ni nak dengar cakap. Kepala keras macam
batu. Agaknya, ketuk dengan kuali baru nak okey kot?
“Tapi…” Iqram berkeras hendak
menolak, namun deheman keras papa membuat niatnya untuk bersuara terus
terbantut.
“Duduk dulu, Iqram Fattah!” tegas
Datuk Hakim. “Papa tahulah kamu tu workaholic.
Tapi janganlah bekerja keras sangat. Kesihatan pun kena jaga jugak.” Dia
menambah lagi.
“Yalah, Am duduk.” Dia akhirnya
mengalah. Dia melabuhkan duduk di sebelah Erika yang sedang menikmati hidangan
sarapan paginya itu. Sekeping roti sosej dicapai, lalu disuap ke dalam mulut.
Laju sahaja roti sosej itu mencecah masuk ke dalam mulutnya.
Datin Marina hanya menggeleng melihat
telatah Iqram. Sakit hatinya dengan gelagat anak terunanya itu. Teruk bebenor
perangainya! Iqram… Iqram…
SESUDAH selesai bersarapan, Iqram
bingkas bangun. Briefcase yang ada di
bawah meja makan dicapai. Cepat-cepat dia berjalan pergi meninggalkan ruang
makan.
Tiga
beranak itu hanya menggeleng melihat telatah Iqram. Workaholic! Itulah istilah tepat yang menggambarkan sikap Iqram.
“Cuba
awak tengok anak awak tu, Mar. Bab kerja nombor satu! Pejabat tu dah jadi rumah
kedua buat dia,” bebel Datuk Hakim dengan muka geram.
“Nak
buat macam mana, bang? Makin kita tegah, makin dia buat. Biarkan ajelah dia tu,
balas Datin Marina sambil tersenyum kecil.
“Betul
tu, papa!” Erika mencelah. “Lagipun Am kan dah besar. Tahulah dia menjaga
dirinya.” Sedaya upaya dia cuba merungkaikan kerisauan di benak papa. Tidak
mahu papanya itu berfikir yang bukan-bukan.
“Harap-harap
macam tulah, Rika. Risau papa melihat sikap dia. Dia asyik sibuk memanjang aje,
sampaikan masa untuk diri sendiri pun tak ada,” balas Datuk Hakim dengan
harapan yang menggunung tinggi.
Erika
tersenyum. “Papa dan mama jangan risau ya? Nanti Rika nasihat dia. Tahulah Rika
nak slow talkdengan si kepala batu tu.”
Datin
Marina menarik nafas lega. “Baguslah kalau macam tu, Rika. Lega hati kami bila
mendengarnya,” balasnya.
Sementara
di ruang garaj, kelihatan Iqram membolos masuk ke dalam perut kereta BMW 3
Series miliknya. Briefcaseyang
sedang dipegangnya itu diletakkan ke seat sebelah. Enjen kereta dihidupkan.
Poket seluar diseluk, hendak mencari telefon bimbitnya. Sesudah menjumpai
telefon bimbitnya, dia bingkas mencari nombor telefon bimbit Sonia,
setiausahanya di ruangan phonebook.
Punat dial bingkas ditekan. Seminit dua, akhirnya nada bersambut.
“Hello?” Begitu manja kedengaran suara
Sonia. Gedik pun ada. Iyuu!!!
“Kumpulkan
semua staf di bilik mesyuarat, Nia. Bila I sampai aje, kita akan terus mula
bermesyuarat. Make sure semua ada. I
tak nak seorang pun tercicir. Faham?” arah Iqram dengan suara tegas.
BOLA mata Iqram tidak ralit dari
merenung kerusi yang masih lagi kosong. Sesekali dia mengerling ke muka pintu.
Menanti figura pemilik kerusi kosong itu. Wajah kacak bak pelakon Syarul
Ridzwan itu kelihatan begitu serius sekali. Langsung tidak tercalit sebarang
senyuman di bibirnya.
Gulp!
Seisi staf bahagian operasi Hakim Holdings meneguk liur. Masing-masing jadi
gerun melihat wajah serius Iqram. Hati mereka mengutuk maha hebat kerana bayang
si empunya kerusi kosong itu masih lagi tidak kelihatan.
“Mana
dia ni? Dia tak tahu ke hari ni kita bermesyuarat?” tanya Iqram dengan suara
tegas.
“Err…”
Masing-masing menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak tahu jawapan apa yang
harus diberikan pada Iqram.
Iqram
mendengus geram. “Apa err-err?” bentaknya. “Saya paling pantang kalau ada orang
yang tak pandai nak tepati masa. Dia ingat dia tu bos ke? Saya pulak yang kena
tunggu dia. Saya ni bukan tunggul kayu tau.”
Bisu!
Tiada seorang pun yang berani mencelah. Gerun! Bila Mr. singa naik angin, haru
biru jadinya! Silap hari bulan, bangunan ini pun boleh tumbang juga.
Iqram
memalingkan wajahnya ke muka Sonia. “Sonia?” tegurnya.
Sonia
spontan menoleh ke arah Iqram tatkala mendengar namanya dipanggil. “Ya, bos?”
“I
nak you call dia sekarang jugak! Gesa
supaya dia cepat datang ke bilik mesyuarat,” arah Iqram mula hilang sabar.
“Baik,
bos,” jawab Sonia.
Ganggang telefon
diangkat lalu diletakkan ke telinga. Satu nombor telefon bimbit ditekan.
Seminit dua berlalu, namun hampa. Hanya suara operator yang menjadi peneman
setia walau di mana berada itu yang menjawabnya.
“Maaf,
nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.”
Sonia
mendengus geram. “Tak dapat, bos.”
“Cuba
sekali lagi!” arah Iqram lagi.
Sonia
mencuba lagi, namun sekali lagi jawapan sama yang diterimanya. “Masih juga tak
dapat, bos!”
Iqram
berdecit geram. “Tak apalah, Sonia. Kita tunggu aje.”
“Baik,
bos.” Sonia menjawab ringkas. Tidak berani hendak jawab panjang-panjang.
Bimbang kalau-kalau mengundang kemarahan majikannya itu. Angin majikannya itu
bukan boleh diagak. Angin puting beliung!
Sementara
itu, Hidayah berterusan menghantar whatsapp dan mesej pada sahabatnya, namun
langsung tidak berbalas. Sakit pula hatinya apabila mengenangkan kecuaian gadis
itu. Alasannya seperti biasa, terlupa! Yang geramnya, gadis itu siap boleh
menayang muka selamba dan sengihan di bibir. Bak tidak melakukan apa-apa
kesalahan.
“Err…
bos, saya minta izin nak keluar sebentar. Nak ke tandas.” Hidayah bersuara meminta
keizinan.
“Hmm…”
balas Iqram tanpa menoleh ke wajah Hidayah.
Hidayah
bingkas bangun lalu menghayun kaki keluar dari bilik mesyuarat itu. Sesudah
sampai di tandas, dia bingkas meletakkan beg tangan berwarna putihnya ke tepi
sinki. Telefon bimbit dibawa keluar, lalu nombor telefon bimbit seseorang
didail. Seminit dua, akhirnya kedengaran nada bersambut.
“Hello?” sapa satu suara gadis di hujung
talian. Sayu-sayup kedengaran bunyi kenderaan. Seolah-olah gadis itu sedang
memandu.
“Hoi
nenek sihir, kau kat mana sekarang ni hah? Apasal lambat sangat ni? Mr. singa
tu dah nak angin tau. Kau memang sengaja nak buat pejabat kita ni jadi tunggang
terbalik ke?” bidas Hidayah keras.
Maira
terkesima. Eh? “Kau ini apahal, hah? Yang nak marah aku tanpa sebab tu, kenapa?
Aku buat salah apa?”
“Kau
ni ingat ke buat-buat tak ingat? Sejak bila pulak kau ada sindrom hilang ingatan
ni hah?” bidas Hidayah keras. Mula hilang sabar dengan telatah Maira.
Berkerut
dahi Maira. “Apa yang kau merepek ni, Dayah? Hilang ingatan apa bendanya ni?”
tanyanya dengan muka terpinga-pinga.
Hidayah
mula hilang sabar dengan telatah Maira.
“Hari ini hari apa?”
“Rabu.
Kenapa?” tanya Maira bersama kerutan di dahi.
Hidayah
menepuk dahi. “Apasal la kau ni lembab sangat hah? Setiap hari Rabu kan kita
ada meeting dengan Mr. singa.
Takkanlah kau dah lupa hal sepenting ni kot?”
Buntang
biji mata Maira. Terkedu dengan jawapan itu. “Hah, apa?” Kepalanya
diketuk-ketuk berulang kali apabila menyedari ketelajuran diri. “Macam mana aku
boleh terlupa hal sepenting ni? Aduh! Habislah aku kena marah dengan Mr.
singa.”
Tulah,
selalu sangat cuai. Tengok, tak pasal-asal satu office huru-hara disebabkan kelewatan kau, marah hatinya.
“Hoi!”
jerkah Hidayah. “Diam pulak dia, jawablah!”
Maira
terkejut mendengar jerkahan itu. Pergh, kuss semangat! “Tak payah menjerit! Kau
bukannya tengah pegang mikrofon pun. Aku dengarlah, mak cik!” bentaknya geram.
“Haa…
kau ada kat mana sekarang ni?” tanya Hidayah bersama cebikan di bibir. Malas
dia hendak berlembut dengan Maira. Sorryla…
itu bukan style dia!
“Aku
tengah parking kereta ni. Kau tolong cover aku kejap. Dalam masa dua minit,
aku sampai okey,” balas Maira sekali gus mematikan talian.
Hidayah
tercengang. Erk, dia matikan talian pulak? Huhh! ngomel hatinya geram.