Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 20

DEMI melihat beribu mata staf di Jabatan Operasi yang memandangnya tidak kira sama ada wanita ataupun lelaki, membuat Maira terus tercengang. Dahinya berkerut seribu. Eh, kenapa semua orang tengok aku ni? Ada apa-apa yang tak kena kat muka aku ke? Ke, ada anak toyol ikut aku dari belakang? desis Maira dengan muka hairan.

Dengan muka terpinga-pinga, Maira berjalan menuju ke mejanya. Sebaik sahaja tiba di meja, matanya terus membuntang luas demi melihat segerombolan fail di atas meja. Dia mengeluh berat. “Aduh, banyaknya kerja aku! Hmm… alamatnya, aku balik lambatlah hari ni. Hisy, suwei betullah!” Dia membebel geram.

“Ni semua kau punya pasallah, Mr. singa! Kalau kau tak gatal-gatal nak bawak aku pergi Kedah, tak adalah berduyun-duyun kerja aku.” Sekali lagi dia membebel dengan suara geram. Sebuah fail berwarna biru diambil lalu dibuka. Baru sahaja dia hendak memulakan kerja, tiba-tiba bahunya ditepuk kasar dari belakang.

“Maira!” jerkah satu suara dari belakang.

Maira terkejut. Serta-merta, dia memusingkan kerusinya ke belakang. Demi melihat figura Hidayah, dia terus mencebik. “Hmm… kau nak apa?” Dia bertanya dengan acuh tidak acuh.

Hidayah terus duduk di sebelah Maira. “Aku nak bergosip dengan kau, Maira!” Beria-ia dia membalas.

“Aku malaslah nak bergosip sekarang ni, Dayah! Aku banyak kerja tau! Daripada aku bergosip tak ingat dunia dengan kau, baik aku settlekan kerja aku dulu. Lagi bagus!” tolak Maira.

Hidayah berdecit geram. “Ah, aku tak peduli! Aku tetap nak bergosip dengan kau jugak!” bentaknya.

Maira mengeluh geram. Dia menoleh ke arah Hidayah. “Hisy, kau nak apa sebenarnya ni hah? Kau tak nampak ke, aku tengah buat kerja ni tau!” Dia membebel. Mula hilang sabar dengan tingkah laku Hidayah.

“Betul ke kau dengan Encik Iqram ada hubungan cinta, Maira?”

Maira terkujat. Fail yang sedang dibeleknya itu segera ditolak ke tepi meja. Dia memusingkan kerusinya ke arah Hidayah. “Apa yang kau merepek ni, Dayah?” soal Maira dengan muka tercengang. “Bila masa pulak kita orang ni bercinta?” tambahnya lagi.

Hidayah terlongo. “Habis tu, gosip…”

“Gosip apa?” potong Maira sebelum sempat Hidayah menghabiskan bicara.

“Kalau kau nak tahu, satu pejabat dah kecoh pasal kau dan Encik Iqram tau.”

“Apasal pulak?” Sekali lagi Maira mencelah.

Hidayah berdecit. “Hisy, bagilah aku habis cakap dulu! Tak payahlah nak mencelah!” bentaknya.

“Okey… okey… cakap!” balas Maira. “Cepatlah, aku dah tak sabar nak tahu ni!” desaknya lagi.

“Sonia…”

“Kenapa dengan Sonia?” Maira mencelah lagi.

Hidayah mendengus geram. “Hisy, kau nak tahu ke tak?” protesnya, geram dengan telatah Maira.

“Sorry, sorry!Haa… cakap cepat!” desak Maira.

Hidayah membetulkan duduknya. “Sonia sebarkan gosip antara kau dengan Encik Iqram tau. Dia cakap, kau dengan Encik Iqram tu sebenarnya pasangan kekasih. Sebab tulah Mr. singa tu bawa kau pergi Kedah.” Dia bercerita panjang berjeda.

Membuntang terus mata Maira demi mendengar cerita Hidayah. Sungguh, dia terkejut dengan cerita yang tidak masuk akal itu. “Apa, aku ada hubungan cinta dengan Encik Iqram? Semua tu fitnah semata-mata, Dayah! Kami pergi Kedah atas urusan kerja tau. Aku ikut dia pun atas arahan Datuk Hakim!” tegasnya.

Hidayah tercengang. “Ya ke?”

“Yalah!” balas Maira.

Hidayah terus terdiam. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Erk, mana satu nak percaya ni?

Maira menyinsing lengan bajunya sehingga ke paras siku. Api kemarahan mula mencanak naik. Kau memang dah melampau, Sonia! Berani kau sebarkan fitnah pasal aku dengan Encik Iqram? Siap kau! Lebam biji mata kau, aku kerjakan!

Seraya itu, dia bingkas bangun. Namun baru sahaja dia hendak melangkah pergi, lengannya disentuh Hidayah. Dia menoleh ke arah kawan baiknya itu. “Kau nak apa lagi?” herdiknya dengan suara kasar.

Gulp! Hidayah meneguk liur. Dia jadi takut apabila melihat raut wajah Maira. “Kau nak pergi mana tu?”

Maira pamer senyum sinis. “Aku nak pergi cili mulut orang yang pandai-pandai sebarkan fitnah pasal aku dengan Encik Iqram!” Serentak itu, dia terus berjalan pergi meninggalkan Hidayah yang termanggu sendirian di situ.

Hidayah terkedu. Dia menepuk dahi. Habislah, perang besar bakal tercetus tak lama lagi. Oh, tidak!!!

IQRAM menghirup sedikit air milo panasnya. Sesudah itu, mug berisi minuman panas itu segera diletakkan ke atas meja. Kuih koci kegemarannya di piring nipis dicapai satu. Bungkusan itu dibuka. Lalu, dia terus menyuap kuih kegemarannya itu ke dalam mulut. “Hmm… sedapnya!” pujinya.

Datin Marina yang kebetulan baru sahaja keluar dari dapur, berkerut dahi demi melihat figura Iqram. Dia terus melangkah menuju ke arah figura anak terunanya itu. “Am?” tegurnya dengan suara lembut.

Iqram segera menoleh demi mendengar suara mama. Dia tersenyum. “Eh, mama? Selamat pagi! Jom kita sarapan bersama-sama,” ajaknya beria-ia.

Datin Marina terus melabuhkan duduk di hadapan Iqram. “Kamu tak pergi kerja ke hari ni, Am?” tanyanya sambil mencedok mi goreng basah ke dalam pinggan.

“Tak, mama. Am ambil cuti hari ni. Penatlah driving dari Kedah ke KL,” balas Iqram ringkas.

“Oh!” Datin Marina mengangguk. “Kesian anak mama. Hmm… memang patutlah kamu berehat, Am.” Dia membalas dengan suara lembut. Sifat ibunya jelas terserlah melalui sinar matanya dan tingkah laku yang ditonjolkan kepada Iqram.

Iqram hanya tersenyum. Dia mengambil kuih koci di piring nipis, seraya membuka bungkusan itu.

“Am?” tegur Datin Marina.

“Ya, mama?” jawab Iqram sambil tangannnya lincah membuka bungkusan kuih koci.

“Boleh mama tanya sesuatu?” tanya Datin Marina.

“Apa dia?” balas Iqram. Kuih koci yang sudah pun dibuka itu, terus disuap ke dalam mulut.

“Am ada apa-apa hubungan dengan staf Am yang bernama Maira tu ke?” balas Datin Marina ingin tahu.

Demi mendengar soalan itu, Iqram terus tersedak. Tekaknya yang terasa pedih diusap perlahan. Cepat-cepat dia mencapai cawan minumannya.

“Eh Am, panas tu!” tegur Datin Marina.

Iqram tidak mempedulikan teguran itu, dia terus menghirup air milo panas itu. Pruhh!!! Lidahnya terasa pijar. Dia mengipas-ngipas mulutnya. Ternganga-nganga mulutnya. “Panas… panas…”

Datin Katrina cepat-cepat menyua gelas berisi air kosong ke arah Iqram. “Nah.”

Iqram terus menyambar gelas itu, lalu meneguk air kosong itu sehingga habis. Sesudah itu, dia menarik nafas lega,

“Dah okey?” tegur Datin Marina.

Iqram mengangguk. Apabila teringatkan soalan mama sebentar tadi, Iqram bingkas menyoal, “Kenapa mama tanya soalan macam tu pada Am?”

Datin Marina tersenyum. “Semalam mama ada berbual dengan Erika kat dapur. Masa tu, kebetulan tunang Erika baru aje pulang. Dia adalah cerita pasal Am di pejabat. Yang buat mama terkejut, dia cakap kamu digosipkan dengan Maira.” Dia memulakan ceritanya.

Dahi Iqram berkerut. “Gosip yang mengatakan Am bercinta dengan Maira?” Dia mahukan kepastian.

Datin Marina mengangguk. “Betul ke ni, Am?”

Iqram terus bersandar ke belakang. Sukar hendak percaya dengan cerita itu. “Siapa yang pandai-pandai menjaja cerita tu, mama?”

“Ikut kata Erika, Sonia,” balas Datin Marina.

Membuntang mata Iqram. “Sonia?”

“Hmm… setiausaha kamu tu.”

Iqram terus terdiam. Api kemarahan mula menyerbu keluar dari atas kepala. Bagaikan gunung berapi yang baru sahaja memuntahkan lavanya. Rasa geram membuak-buak di dada. Argh, Sonia betul-betul dah melampau!

“Am?”

Iqram tersentak kecil. “Hmm?”

“Betul ke apa yang Erika cakapkan tu?” Datin Marina menginginkan penjelasan.

Iqram membuang keluhan. “Mama percaya ke dengan fitnah tu? Mama tak percayakan Am?” balasnya dengan suara lemah.

Datin Marina terkesima. “Apa maksud Am? Jadi, fitnah tu…”

“Sama sekali tidak benar, mama,” potong Iqram bersama segaris senyuman hambar di bibir.

Datin Marina terdiam. Dia terkedu demi mendengar jawapan itu.

“Am tak sangka, Sonia boleh bertindak sejauh tu, mama. Dia betul-betul dah melampau!” gumam Iqram dengan nada marah. Kau memang sengaja mencari penyakit dengan aku, Sonia! Siaplah kau lepas ni! Dia mula menyimpan dendam di hati.

“Apa masalah setiausaha kamu tu, Am? Berani dia sebarkan fitnah tu ya?” balas Datin Marina, juga merasa geram dengan perbuatan Sonia.

“Sonia dengan Maira memang tak pernah sebulu, mama. Pantang aje bersua muka, mulalah nak bertekak macam anjing dengan kucing. Si Sonia tu suka cari pasal dengan Maira. Maira pun apa lagi? Pantang orang perli-perli dia, mulalah nak jadi baran,” cerita Iqram. “Tapi, Am tak sangka pulak si Sonia tu sanggup sebarkan fitnah palsu tentang kami berdua, mama.” Dia menambah dengan suara kcewa.

Datin Marina tersenyum. “Manusia, Am. Memang tak pernah lari dari sifat hasad dengki pada orang lain,” balasnya. “Jadi, kamu nak buat apa dekat Sonia? Kamu tak boleh biarkan aje, Am. Kamu kena ambil tindakan.”

Iqram pamer senyum penuh makna. “Mama jangan risau. Tahulah Am nak mengajar si Sonia tu. Dia fikir, Am nak berdiam diri macam tu aje? Dia belum kenal siapa Iqram Fattah, mama,” katanya dengan penuh tekad.

“Hmm… molek sungguhlah tu! Orang macam tu memang patut diberikan pengajaran, Am,” sokong Datin Marina seratus-peratus.

ALADDIN termenung jauh, bak sedang meramal masa depan. Raut wajahnya kelihatan masam mencuka, bak baru tertelan sebakul limau masam. Apabila teringatkan gosip antara Maira dan Iqram, spontan dia mengeluh. “Betul ke Maira bercinta dengan Encik Iqram?” Dia bermonolog sendirian.

Sementara di sudut hujung, kelihatan figura Maira sedang berjalan menuju ke satu tempat. Langkahnya begitu laju sekali, seolah-olah dikejar hantu. Gaya gadis itu pula seperti seorang samseng yang menanti masa untuk menyerang si mangsa. Raut wajah gadis itu kelihatan kelat.

Demi melihat figura Maira, cepat-cepat Aladdin menerpa ke hadapan gadis itu. Tangannya didepakan ke kiri dan kanan, menghadang jalan gadis itu. “Maira?” Dia tersenyum manis.

Langkah Maira serta-merta mati. Dia mendengus keras demi melihat figura Aladdin. Hati aku ni dahlah tengah menggelegak bak air panas sekarang ni. Bila tengok muka mamat tak faham bahasa ni, lagi panas hati aku! Kau ni memang menyibuklah! Masa-masa macam nilah kau nak muncul kan? bentak hatinya. “Hmm… kau nak apa?” Suaranya keras.

“Aku ada sesuatu nak tanya kat kau, Maira,” balas Aladdin beria-ia.

“Apa dia?” tengking Maira dengan suara keras.

Aladdin merenung wajah Maira. Seakan sedang menilik sesuatu di wajah itu. “Betul ke kau bercinta dengan Encik Iqram, Maira?” tanyanya, tidak sabar hendak mendengar jawapan gadis itu.

Membuntang terus biji mata Maira demi mendengar soalan cepumas itu. Dia berdecit geram. Kau ni, tanya soalan tak kena time la. Memang nak kena sembur ni! “Yang kau sibuk-sibuk nak tahu tu, kenapa? Hal ni tak ada kena-mengena dengan kau tau! Tak payah sibuk nak jaga tepi kain orang!” herdiknya dengan suara garang.

Demi melihat telatah Maira, serta-merta membuat Aladdin menjadi gerun. Hisy, garangnya! “Err… aku bukan nak masuk campur urusan kau, Maira. Aku cuma nak dapatkan kebenaran aje,” balasnya bersungguh-sungguh.

Maira mendengus. “Kebenaran apa, hah? Tolonglah jangan semakkan kepala otak aku ni lagi, boleh tak?” herdiknya.

“Salah ke kalau aku nak tahu perkara sebenar? Kau memang bercinta dengan Encik Iqram ke?” Sekali lagi Aladdin menyoal.

Berdebar rasanya hati hendak mengetahui jawapan Maira. Seandainya jawapan ‘ya’ yang terucap di bibir Maira, pasti dia akan berasa kecewa. Bunga-bunga cinta yang sekian lama disemai dan dibaja dengan baja kasih dan sayang akan musnah begitu sahaja. Oh janganlah, dia tidak sanggup!

Maira pamer senyum sinis. “Kalau betul pun aku bercinta dengan Encik Iqram, kenapa? Apa kena-mengena dengan kau? Hati kau tu naik kudis buta ke?” Dia mengherdik dengan suara geram.

Aladdin mengeluh. Kenapa kau tak pernah sedar cinta aku yang begitu mendalam buat diri kau, Maira? “Aku… aku…” Ah, sukar rasanya dia hendak meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Kau apa?” tengking Maira.

“Baik kau berterus-terang, Maira. Kau memang ada hubungan cinta dengan Encik Iqram ke?” Aladdin segera mengubah topik perbualan. Tidak betah rasanya hendak berterus-terang perihal sebenar pada Maira.

Maira menjeling. “Tak ada kena-mengena dengan kau!”

Dia hendak mengorak langkah, namun cepat-cepat dihalang oleh Aladdin. “Kau belum jawab soalan aku lagi, Maira,” katanya beria-ia.

Maira berdesis geram. “Aku dengan Encik Iqram tak ada apa-apa hubungan! Faham?” herdiknya keras. Dia terus menepis kasar tangan Aladdin lalu berjalan pergi meninggalkan lelaki itu.

Aladdin hanya memerhati lenggok Maira melalui ekor matanya sehingga hilang di sebalik dinding. Dia menarik nafas lega. “Syukurlah… Maira tak ada apa-apa hubungan dengan Encik Iqram.”

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.