“MAI,
boleh
mak uda tanya sesuatu?” tanya Mak Uda Harlina.
Maira
yang sedang meniarap di atas katil sambil membaca Majalah Remaja, terus bangun lalu
duduk bersila. Figura Mak Uda Harlina menjadi habuan matanya. “Tanyalah.” Dia
membalas ringkas.
Segaris
senyum penuh makna tercalit di bibir Mak Uda Harlina. “Kalau mak uda tanya ni,
hang jangan marah na.”
Berkerut
dahi Maira. Hairan dengan gelagat ibu saudaranya itu. “Hisy, mak uda ni…
merepek aje tau! Mak uda belum tanya lagi, macam mana Mai nak marah?” balasnya
dengan muka hairan.
“Bila
hang nak kahwin, Mai?” tanya Mak Uda Harlina bersungguh-sungguh.
Maira
terkesima. Membuntang terus biji matanya demi mendengar soalan yang baru sahaja
terpacul keluar dari mulut ibu saudaranya itu. Dush! Dush! Tak pasal-pasal dia
ditembak soalan sebegitu rupa. “Kenapa mak uda tanya soalan macam tu? Mak uda
kan tahu, Mai cukup anti kalau ada orang tanya soalan macam tu pada Mai. Mai
tak sukalah!” bentaknya dengan muka tidak puas hati.
“Laa…
pasaipa pulak hang nak anti, Mai? Hang tak mau hidup bekeluarga ka? Hang tak
mau ada suami, ada anak-anak sendiri?” balas Mak Uda Harlina beria-ia.
Kening
Maira terjungkit sebelah. “Kenapa mak uda tanya soalan macam tu pada Mai?
Sepatutnya, Mai yang kena tanya soalan macam tu pada mak uda. Mak uda tu… bila
nak kahwin?”
Mak
Uda Harlina mula bercekak pinggang. “Aku tanya kat hang ni, Mai. Yang hang
tanya kat aku balik, pasaipa? Hang sendiri kan tahu, aku tak mau kahwin! Lepas
arwah Abang Meon meninggal dunia, hati aku belum terbuka untuk siapa-siapa
sampailah ke la ni,” tegasnya dengan suara keras.
“Sampai
bila mak uda nak dera perasaan sendiri? Mak uda layak hidup bahagia macam orang
lain jugak. Mak uda layak hidup berkeluarga.” Beria-ia Maira membalas.
Mak
Uda Harlina mengeluh. “Mak uda dah tak mau nak fikir hal tu lagi. Mak uda
bahagia dengan hidup mak uda. Mak uda dah ada keluarga. Mak uda ada Kak Illa,
Abang Mil. Dan yang penting, mak uda ada hang. Hang kan anak buah kesayangan
mak uda,” balasnya.
Maira
tersenyum. “Tapi…”
“Dah,”
Mak Uda Harlina segera memotong percakapan Maira. “Mak uda tak mau dengar
apa-apa lagi!” tambahnya. “La ni… mak uda cuma nak tengok hang bahagia di
samping seorang lelaki yang boleh bahagiakan hang. Bila hang nak kahwin, Mai?”
Sekali lagi soalan cepumas itu terpacul keluar dari mulutnya.
Maira
terus terdiam.
“Mai?”
Mak Uda Harlina menegur apabila tiada tanda-tanda untuk Maira bersuara.
“Mai
tak nak kahwin, mak uda!” bentak Maira tiba-tiba.
Mak
Uda Harlina terkesima. Buntang biji matanya demi mendengar jawapan itu. “Apa,
hang tak mau kahwin? Pasaipa pulak?” Dia menayang muka terkejut.
“Mai...”
Tiba-tiba dia memeluk figura Mak Uda Harlina. “Tak nak kahwin sebab Mai nak
jaga mak udalah!” sambungnya dengan muka selamba.
Mak
Uda Harlina mendengus geram. “Hisy, aku pulak yang kena!” bentaknya.
Maira
hanya tersengih.
“Tapikan…”
Mak Uda Harlina pamer senyum penuh makna.
Dahi
Maira berkerut. “Tapi apa?”
“Kalau
tiba-tiba aje ada orang datang meminang, hang nak terima ndak?” tebak Mak Uda
Harlina.
Mata
Maira terus terbeliak luas demi mendengar soalan itu. “Mak uda!”
“Haa…
jawab cepat soalan aku ni!” Mak Uda Harlina berterus-terusan mendesak.
“Kalau
ada orang datang meminang Mai, awal-awal lagi Mai dah reject! Mai tetap tak nak kahwin!” balas Maira dengan suara tegas.
Kening
Mak Uda Harlina terjungkit sebelah. “Kalau orang yang meminang hang tu, orang
yang hang kenal. Hang nak terima tak?” Sekali lagi wanita itu menduga.
“Mai
tetap tak akan terima dia! Kalau dia datang jugak, dia akan dapat satu ‘hadiah
istimewa’ dari Mai,” jawab Maira bersama seulas senyum penuh makna di bibir.
Mak
Uda Harlina tercengang. “Hang nak buat apa?”
“Mai
nak tumbuk muka dia! Biar muka dia jadi penyet macam nasi ayam penyet!” balas
Maira dengan muka selamba badak. Lalu, dia ketawa jahat. Haa… berani nak buat
kerja gila dengan aku? Sorry!
Mak
Uda Harlina terkejut. Ternganga mulutnya. “Haa?” jeritnya.
DEMI melihat figura Hajah Sakinah di
muka pintu, mata Datuk Hakim dan Datin Marina terus terbeliak besar.
Serta-merta mereka meluru ke arah figura wanita tua itu lalu memeluk kejap
figura itu.
“Mak,
rindunya Mar kat mak!” luah Datin Marina dengan suara sebak. Hampir menitis air
matanya tatkala bersua wajah dengan insan yang bergelar ibu itu. Alangkah
rindunya dia pada wanita itu.
Hajah
Sakinah tersenyum, lalu dia meleraikan pelukan mereka. “Mak pun rindukan hang,
Mar! Hang la… jarang balik Ipoh. Hampa balik pun masa raya aje.”
Datuk
Hakim tersenyum. Haa kau… kan dah kena sebijik, rasakan! “Bukan kami tak nak
balik, mak. Kalau boleh, hari-hari kami nak balik. Tapi, kami semua terikat
dengan kerja,” balasnya beria-ia.
“Tak
apa, mak faham. Mak bergurau aje,” balas Hajah Sakinah.
“Eh,
jomlah kita masuk dalam!” ajak Datin Marina, lalu menarik lembut tangan maknya.
Seberanak
itu berjalan seiringan masuk ke dalam rumah.
Erika
yang kebetulan sedang menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah, spontan
tersenyum lebar demi melihat figura toknya. “Tok!” teriaknya kuat. Bagaikan
lipas kudung, gadis itu berlari anak ke arah figura itu. “Rindunya Rika kat
tok,” ucapnya sambil mencium tangan wanita tua itu bertubi-tubi.
Hajah
Sakinah tertawa. Pipi lembut cucunya itu diusap dengan penuh rasa sayang. “Tok
pun rindu kat hang, Rika.”
Figura
Iqram yang sedang menarik beg roda berisi pakaian milik Hajah Sakinah berjalan
ke arah keluarganya. Seraya itu, dia berdehem kecil. “Oh, seronok sangat
berbual ya?” usiknya.
Mereka
hanya tergelak, geli hati mendengar gurauan itu.
Hajah
Sakinah tersenyum. Bahagia rasanya hati demi melihat kegembiraan yang terpancar
di wajah anak, menantu dan cucunya itu. Sungguh, dia berasa rindu dengan
suasana itu.
Tiba-tiba,
bait-bait kata yang terluncur keluar dari bibir Iqram tempoh hari mengetuk
gegendang telinganya. “Am nak minta
tolong tok pergi meminang Maira.”
Spontan,
bibirnya terukir senyuman lebar. “Am?” tegurnya.
Iqram
seraya menoleh demi mendengar namanya dipanggil. “Ya, tok?”
Hajah
Sakinah masih lagi tersenyum lebar. Berkali-kali dia menjungkit keningnya ke
atas. “Apa lagi, Am? Cakaplah!” desaknya tidak sabar.
Datin
Marina berkerut dahi. Hairan melihat dua beranak itu. “Cakap apa?” celahnya
dengan muka ingin tahu.
“Sebenarnya...”
Iqram menarik nafas panjang. “Am ada sesuatu nak beritahu pada semua orang,”
tambahnya dengan muka serius.
“Apa
dia, Am?”
Semua
mata kini tertumpu ke arah Iqram. Menanti sebaris ayat yang bakal terluah dari
bibir lelaki itu.
“APA yang bakal Am katakan sebentar lagi
akan buat papa, mama dan Kak Erika terkejut,” kata Iqram dengan suara serius.
Figura
Hajah Sakinah yang sedang duduk di sebelah Iqram, hanya tersenyum lebar.
Sebetulnya, dia sudah tahu apa yang bakal terkeluar dari mulut cucunya itu. Dia
mahu membiarkan cucunya itu sahaja yang berterus-terang perihal sebenar.
Dahi
Erika berkerut seribu. Eh, kenapa dengan adik aku ni? Lain macam aje ni…
Tiba-tiba, wajah Maira menerpa ruang matanya. Spontan, dia tersenyum penuh
makna. Hmm… mesti ada kaitan dengan Maira ni. Hatinya membuat andaian sendiri.
“Apa dia, Am?” Walaupun
dia mampu mengagak apa yang bakal dikatakan Iqram, namun dia mahu mendengarnya
dari mulut lelaki itu sendiri.
Iqram
menarik nafas panjang. Memujuk hatinya yang sedang bergetar maha hebat itu supaya
menjadi tenang. “Sebenarnya… sebenarnya…” Ah, mulutnya seakan terkunci rapat
untuk menyuarakan niat hatinya. Isyh, kenapa ni? Dia mula jadi tidak keruan.
Dia
mengerling figura toknya. Seakan mahu meminta pertolongan dari wanita tua itu.
Namun, wanita tua itu terus-terusan membisu. Dia mengeluh berat. Nampaknya, aku
kena kuatkan hati untuk berterus-terang, desis hatinya sendirian.
Datuk
Hakim semakin hairan dengan telatah Iqram. “Kamu nak cakap apa sebenarnya ni,
Am?” celahnya ingin tahu.
Erika
hanya menggeleng. Tak payah nak gelabah sangat, dik oit. Nak berterus-terang
pun, takut ke? Tak gentleman la kalau
macam ni. Sempat lagi dia mengutuk dalam hati.
Iqram
tersenyum payah. “Am… Am…”
“Am
apa?” potong Datin Marina dengan muka geram.
Iqram
menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan-lahan. “Am… Am dah jatuh
cinta,” akuinya jujur.
Mata
pasangan suami isteri itu terus membuntang luas demi mendengar pengakuan Iqram.
Hampir terjojol keluar biji mata mereka. Namun lain pula reaksi Erika dan Hajah
Sakinah. Mereka berdua itu tersenyum penuh makna. Seolah-olah langsung tidak
berasa terkejut dengan pengakuan itu.
“Am
dah jatuh cinta?” Datin Marina mahukan kepastian.
Iqram
tersenyum. Seraut wajah Maira yang bisa menggetarkan hati lelakinya menghiasi
kotak fikirannya. Ah, rindu pula rasanya pada Miss selamba itu. “Ya, mama,
papa, Am dah jatuh cinta.”
“Dengan
siapa?” celah Datuk Hakim pula.
“Dengan
Maira Qaisarah.”
Datin
Marina tercengang. “Siapa dia, Am?”
Datuk
Hakim senyum lebar. “Maira?” Dia ketawa gembira. “Jadi, kamu dah jatuh cinta
kat dia? Ya ALLAH… syukur Alhamdulillah! Papa gembira, Am. Dia seorang gadis
yang baik, memang secocok sangat dengan kamu,” balasnya beria-ia. Tidak sabar
rasanya hendak bermenantukan gadis comel itu.
Datin
Marina semakin tercengang. “Saya semakin tak faham. Siapa Maira?” celahnya
dengan muka terpinga-pinga.
Iqram
tersenyum. “Dia staf di jabatan Am, mama. Dia yang Am bawa pergi Kedah hari
tu,” balasnya bersungguh-sungguh.
“Oh…”
Datin Marina tersenyum. “Budak tu rupanya,” Kotak memorinya sudah berjaya
mengscan sebaris nama itu.
“Akak
memang dah agak, Am! Kau memang dah jatuh cinta pada Maira. Tengok dari gaya
kau pun, akak dah tahu!” Erika mencelah beria-ia.
“Amboi,
akak ni macam ahli Nujum Pak Belalang pulak. Pandai betul akak baca isi hati Am
ya?” Iqram memuji.
Erika
tersenyum lebar. “Akak dah masak sangat dengan perangai kau, Am!”
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba Hajah Sakinah berdehem kecil. “Hmm… tok pun suka sangat kat budak
Maira tu!” Bersungguh-sungguh dia mencelah.
“Haa?”
Bulat mata tiga beranak itu. Hairan dengan kata-kata yang baru sahaja terucap
di bibir Hajah Sakinah.
Datuk
Hakim memandang Iqram. “Am dengan Maira singgah Ipoh ke hari tu?” tebaknya
dengan muka ingin tahu.
Iqram
tersenyum, seraya mengangguk. “Ya!” Dia menjawab ringkas.
Datin
Marina tersenyum lebar. Hmm… nampaknya, anak aku ni betul-betul dah berkenan
dengan budak Maira tu. Kalau tak, takkanlah dia boleh bawak budak tu singgah
Ipoh? desis hatinya sendirian.
“Kau
ni, Am… berani kau bawak Maira balik Ipoh ya?” Erika mengusik.
Iqram
hanya tersengih, sambil mengusap belakang kepalanya.
Sejenak
mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.
Tiba-tiba,
lengan Iqram disiku seseorang dari arah tepi. Spontan dia menoleh ke tepi.
Berkerut dahinya demi melihat telatah Hajah Sakinah.
“Bagitahulah
cepat!” bisik Hajah Sakinah ke telinga Iqram.
Iqram
hanya tersenyum, lalu mengangguk. “Sebenarnya, ada sesuatu yang Am nak bagitahu
pada semua,” katanya setelah agak lama berdiam diri.
“Apa
dia?”
“Am
nak minta tolong hantarkan rombongan meminang ke rumah Maira,” balas Iqram
dengan muka serius.
“Apa?”
Pasangan suami isteri itu terkejut.
“Maira
tahu ke Am nak hantar rombongan meminang ni?” celah Erika ingin tahu.
Iqram
menggigit bibir. “Sebenarnya… sebenarnya… Maira langsung tak tahu menahu, kak.
Am nak buat kejutan kat dia,” jawabnya.
Tiga
beranak itu terus terkejut demi mendengar jawapan itu. “Apa?”