Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 35

DIA berdandan agak cantik dari biasa. Telinga yang selama ini tidak pernah tersarung dengan anting-anting kini terlihat manis dengan anting-anting berlian milik ibunya yang dipinjam. Itupun Puan Bahyah seperti tidak ikhlas sahaja memberinya pinjam anting-anting tersebut. Tak habis-habis dia dipesan agar menjaga anting-anting itu dengan baik, jangan sampai tercicir.

“Ayah awak yang hadiahkan umi anting-anting ni” Ujar ibunya seraya merenung anting-anting yang sudah tertenggek di cuping telinganya. Barangkali sedang mengimbang kekesalan yang bertapak dalam diri.

“Ala umi ni, nak pinjam pun berkira. Cika janji yang Cika takkan hilangkan anting-anting ni. Kalau hilang pun Cika ganti yang lain. Yang lagi besar dari yang ini.” Dia tersenyum nakal.

Puan Bahyah mencebik. “Niat dalam hati tu dah terserlah nak hilangkan anting-anting umi. Jangan harap! Anting-anting ni umi sayang sangat. Memori manis antara umi dengan babah awak Kalau hilang benda kat telinga awak tu, siap awak umi kerjakan nanti.” Ugut Puan Bahyah.

Cika terkedu. Amboi! Lagi sayang anting-anting dari anak sendiri!

Diam-diam Puan Bahyah merenung wajah si anak melalui permukaan cermin. Meraut teliti wajah manis Cika yang sudah dewasa. Timbul pula rasa bangga di hatinya kerana wajah Cika saling tak tumpah seperti dirinya sewaktu dia muda-muda dahulu. Cantik!

“Mak oi, cantiknya adik abang ni.” Terjenguk kepala Ubek dari luar. Ubek tersenyum penuh erti tatkala memandang wajah si adik yang kelihatan berseri-seri dengan solekan tipis dan dresslabuh berwarna merah muda. Rambut Cika sengaja diikat ekor kuda dan dihias dengan hiasan skarf rambut yang berwarna senada. Gaya yang nampak freshtetapi sweet. Tidak terlalu matang dan tidak terlalu kebudak-budakan. Just nice! Bisik hati kecil Ubek.

Cika sekadar mencebik mendengar pujian Ubek. Padahal dalam hati sudah kembang semangkuk. Ingat senang ke Ubek mahu memujinya? Kalau lelaki yang asyik bercinta dengan ikan itu memujinya, memang sah dan confirm, malam ni dia terlebih lawa. Bagus! Memang pun itu kehendaknya!

Malam ini dia mahu kelihatan cantik dan menawan di majlis perjumpaan pelajar sekolah lamanya. Biar semua orang yang mengejinya dahulu buka mata dan memandangnya dengan mata terbuka luas. Cika The Loser akan menyerang sekolah lamanya malam ini dan bikin havoc! Perang dah nak bermula!

“Yuhu..Gina dah sampai ni.” Tiba-tiba jeritan ayahnya dari tingkat bawah kedengaran. Cika dan Ubek saling berpandangan. Umi mereka pula hanya mampu menarik nafas panjang. Suaminya kalau sudah menjerit, pasti suara ‘girlie’ tu akan keluar. Dah larang banyak kali, nak juga tayang suara orkestra tu! Keluh Puan Bahyah seraya menonong keluar dari bilik Cika.

“Tunggu apa lagi? Pergi rock and roll dekat majlis tu. Tayang muka adik tu kut-kut ada kawan sekolah adik yang masih single and available.” Usik Ubek seraya ketawa kecil.

“Banyaklah abang punya single and available.” Ejek Cika lalu mencapai tas tangannya. Dia keluar dari biliknya sambil diekori Ubek dari belakang. Mereka beriringan menuruni anak tangga lalu terpandang kelibat Gina yang turut berpakaian cantik, sedang bercakap-cakap dengan ayah dan ibu mereka.

Ubek tersenyum-senyum memandang ke arah Gina. Gina juga begitu. Masing-masing memang saling pemalu jika bertemu. Ubek yang tidak makan saman akan jadi mamat skema, manakala Gina yang selalu bising akan berubah lebih bersopan santun jika menghadap Ubek. Nak satukan kedua-dua mereka? Oh no! No way!

Dulu dia ada terfikir juga mahukan Gina menjadi sebahagian ahli keluarganya. Tapi setelah ditimbang tara dari pelbagai sudut, ditambah pula dengan sikap Ubek yang sukar dijangka, dia terpaksa cut off perancangan ala-ala mission impossiblenya. Tak mungkin! Nanti tak fasal-fasal aje Gina bermadu dengan ikan siakap, ikan tioman, ikan buntal dan ikan selayang..isk tak sanggup! Ubek tu bukan boleh pakai sangat. Asyik lebihkan ikan sahaja dari pelbagai segi.

Ready to go?” Tanya Gina mematikan lamunan singkat Cika.

Dia hanya mengangguk. Gina bersalaman dengan ibubapanya, meminta diri sebelum mereka beredar dengan menaiki kereta Nissan Skyline Gina yang cantik gebu itu.

* * * *

KETIKA mereka sampai di perkarangan Hotel Palace of the Golden Horses, kawasan hotel itu sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis kereta. Ada yang mewah dan ada yang biasa-biasa sahaja.

“Eh itu bukan Salim ke?” Gina bersuara, menunjukkan ke arah seorang lelaki yang pernah sekelas dengan mereka dahulu.

Cika memanjangkan lehernya. Meninjau gerangan lelaki yang dimaksudkan Gina. Lelaki itu sedang menuruni sebuah van putih sambil membukakan pintu untuk seorang perempuan yang perutnya memboyot. Melihat perempuan itu, Cika dan Gina saling berpandangan. Alamak! Mimi ke? Salim yang mulut laser itu kahwin dengan minah paling poyo dalam kelas mereka?

“Dia bawa mini van la. Kau agak-agak dia kerja apa ya? Dulu bukan main berlagak lagi si Salim tu dengan kita.” Gina mencebik. Bukan bermaksud mahu menghina mini van Salim yang tidak berdosa. Cuma menyampah bila mengingatkan lelaki itu suatu ketika dahulu. Cakap asyik nak membesarkan diri. Sekarang dapatlah jugak bini besar! Padan muka! Gina menyumpah dalam hati.

Cika hanya tersenyum. Gelihati mengenangkan betapa beria-ria Gina mengutuk Salim. Dia masih ingat lagi dahulu Salim cuba memikat Gina. Tapi ketika itu Gina sedang kemaruk dengan Idham Hariz. Bengang kerana tidak dilayan, Salim mula membuat pelbagai onar dan sentiasa cuba menyakiti hati Gina di dalam kelas.

“Kalau kau jumpa dia nanti, jangan nak cari gaduh pulak.” Larang Cika.

Gina mengerling. “Buat apa aku nak jumpa si Landak tu? Kau tak nampak bini kat sebelah dia tu?”

Cika ketawa kecil. Ketika dia mengalihkan pandangan, matanya terpandang beberapa wajah yang amat dikenali. Dia terdiam jadinya. Jantungnya berdebar-debar tidak keruan. Dia cam beberapa pelajar kelas 5A yang sering mengejeknya dahulu. Sama seperti dia mengecam Hasrul, teman baik Idham Hariz yang kebetulan berkahwin dengan kakak sepupunya Lily.

Ketika dia bertemu dengan Hasrul dahulu dia memang terkejut besar. Tak menyangka lelaki yang sering menjadi PA tak bergaji Idham Hariz akan menjadi salah seorang anggota keluarganya. Dia tahu Hasrul mengecamnya, tapi sengaja dia berpura-pura tidak kenal dengan Hasrul. Pernah beberapa kali lelaki itu cuba mengajaknya berbual, tapi setiap kali juga dia melarikan diri.

Agak-agak Hasrul pun ada datang jugakah malam ini? Cika tertanya-tanya. Dalam hati dia berdoa, minta-mintalah lelaki itu tidak datang. Kalau datang pun janganlah si isteri dibawa bersama. Dia tidak mahu Lily tahu apa yang berlaku padanya suatu ketika dahulu. Ah! Bodohlah kalau Hasrul membuka pekung lama. Silap-silap haribulan Kak Lily boleh naik angin satu badan kalau tahu adik sepupunya pernah dibuli suaminya sendiri di alam persekolahan.

Mereka menjengah masuk ke lobi hotel. Dari situ sudah ramai yang berpusu-masuk ke dewan utama. Malah ada beberapa kakitangan hotel yang membantu menunjukkan jalan.

“Nama siapa?” Soal gadis bertubuh gempal yang duduk di meja urusetia.

Cika mengerling ke arah Gina. Gina hanya tersengih seraya mengangkat bahunya. Wajah gadis di hadapannya ditilik agak lama. Dua belas tahun tak jumpa, bukan makin kurus. Makin tembam macam guni beras adalah! Detik hati kecil Gina.

“Syarifah Suhana Syed Mokhtar.” Ujar Gina.

Serentak si gadis gempal itu mendongak wajah. Terkelip-kelip sedang memandang Gina yang tersengih lebar.

“Syarifah Suhana? Gina?” Soal si gadis hampir tidak percaya.

“Akulah ni badigol. Gina yang duduk kat depan kau dalam kelas.” Ujar Gina ketawa kecil. Sarah tiba-tiba terjerit. Benar-benar teruja melihat Gina. Tubuh teman itu segera dirangkul dan dipeluk erat. Maklumlah sudah agak lama mereka tidak bertemu muka. Hanya sesekali menegur di dalam Facebook sahaja. Itupun Facebook masing-masing ada atas nama sahaja. Status terakhir kadang-kadang diupdatesebulan sekali.

“Aku ingat kau tak nak datang. Tak ada reply pun dari kau samaada nak hadir atau tak.” Ujar Sarah.

“Aku nak datang, tapi dia ni yang kejap nak datang kejap tak nak.” Gina melirik ke arah Cika. Ekor mata Gina segera diekori Sarah. Cika hanya tersenyum. Dahi Sarah berkerut. Terkelip-kelip dia memerhatikan wajah yang kelihatan asing di matanya. Budak sekolah ni jugak ke dia ni? Hati Sarah tertanya-tanya.

“Gina, ini siapa?” Soal Sarah ingin tahu. Matanya tak berganjak langsung dari wajah Cika.

Pertanyaan Sarah membuatkan Gina ketawa besar. Lucu! Macamanalah si Sarah badak ni boleh tak kenal Cika? Tapi lojik jugak. Dulu Cika ni nerd, dengan bracesgigi, ditambah rambut kerinting ekor kuda dan cermin mata tebal. Sekarang Cika si nerditu dah jadi wanita berkerjaya yang anggun dan comel. No more cermin mata, no more braces, no more the curly style, diganti dengan dressberjenama, kasut bertumit tinggi serta rambut yang sudah lurus. Mata pula disolek dengan eyelinerdan maskara yang tebal. Bibir pula merah menyala dengan lisptick berwarna terang.

“Sarah, inikan Cika. Tak ingat lagi?” Gina berbisik perlahan.

Wajah Sarah berubah. Cika? Betul ke? Sarah masih tidak percaya. Dia melangkah lebih dekat, merapati Cika di hadapannya. Wajah teman itu dibelek-belek, direnung dan ditatap agak lama.

“Sarah, ini akulah. Cika!” Ujar Cika seraya ketawa kecil.

“Tapi apasal kau lain sangat ni? Kau buat plastic surgery ke?” Terkeluar juga apa yang berada di fikiran Sarah. Mulutnya melopong memandang ke arah Cika.

Serentak Cika dan Gina ketawa besar. Plastic surgery? Ada-ada sahaja Sarah ini. Mentang-mentang saiz badan dia tak pernah berubah!

“Serius cakap, aku memang takkan cam kau Cika kalau Gina tak beritahu siapa kau. Kau nampak cantik.” Sarah terharu sambil bercakap dengan nada sebak. Cika menjeling ke arah Gina. Apa tak kena dengan minah ni? Emosi pulak tiba-tiba!

“Err Sarah, mana tempat duduk kami?” Pintas Gina, sebelum gadis itu lebih panjang bermadah dengan mereka. Such a drama queen! Bisik hati kecil Gina hendak tergelak.

Menyedari dia memegang kedua gadis itu agak lama, barulah Sarah menyedari kealpaannya. Orang semakin ramai di meja urusetia, dia sedap-sedap pula bersembang dengan Cika dan Gina.

“Sebab kau orang tak reply invitation card tu, meja depan pentas dah penuh.” Keluh Sarah.

“Tak apa, kami boleh duduk di mana-mana sahaja.” Cika membalas.

“Rasanya aku boleh arrangetempat duduk korang kat depan-depan sikit. Jom ikut aku.” Ujar Sarah lalu melangkah ke suatu arah. Hendak tak hendak, Cika dan Gina terpaksa berusaha mengejar kelibat gadis itu.

“Kau tak kisahkan duduk kat meja ni?” Sarah menunjukkan ke sebuah meja kosong, betul-betul di hadapan pentas utama. Cika dan Gina serentak mengangguk.

“Meja ni kosong ke?” Tanya Gina apabila dilihatnya tidak ada sesiapa pun di situ selain mereka berdua.

“Ada, tapi mereka belum sampai lagi. Kejap lagi penuhlah tu.”

Sarah meninggalkan mereka berdua di situ. Gina tersenyum-senyum. Gembira kerana berada di situ. Cika pula asyik memerhatikan persekitarannya. Mencari-cari wajah yang dikenalinya. Ada beberapa orang teman sekelasnya lewat di hadapannya. Dia cuba tersenyum tapi tidak berbalas. Sebaliknya kerutan di wajah pula yang diterimanya. Mereka semua tak cam aku kah? Hei aku Cika The Loser lah! Bisik Cika di dalam hati

“Mereka macam tak cam aku langsung.” Keluh Cika.

“Habis? Kau nak sangat ke mereka cam kau tu siapa? Beginilah bagus. Kita boleh hadir reunion tanpa ada gangguan.” Pendapat Gina.

“Yalah, tapi aku dah siap punyalah semangat macam ni semata-mata nak tunjuk pada mereka. Tapi kalau mereka tak cam muka aku, buat apa aku bersusah payah?”

“Ya tak ya jugak.” Gina mengangguk. Ada benarnya kata-kata Cika.

“Aku ambil mikrofon kat depan then announce untuk kau. Nak?” Tanya Gina.

Cika menjeling gadis itu. Ni perli ke apa ni?

Gina ketawa kecil. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Cika terpinga-pinga.

“Nak ke mana?”

“Sekejaplah. Aku nak ambil minuman kat sebelah sana. Dahaga!” Gina terus beredar pergi. Cika mengeluh panjang. Terasa macam tidak kena pula berada di meja itu sendirian.

Cika? Is it you?” Muncul suatu suara tak diundang. Cika berpaling. Dari tempat duduknya dia melihat kelibat Hasrul dan salah seorang lelaki bertubuh agak gempal.

Melihat Hasrul tersenyum memandangnya, darah gemuruhnya mula datang kembali. Aduh! Datang juga lelaki itu. Lelaki di sebelah Hasrul dia tidak berapa cam pula. Maklumlah dah lama sangat.

“Cika duduk di sini ke?” Hasrul bertanya.

Dia hanya mengangguk seraya memalingkan wajahnya ke arah lain. Tapi melihat Hasrul dan temannya tiba-tiba menempati meja yang sama dengannya, dia terkedu. Takkan mereka duduk di sini! Hati Cika mula tidak sedap hati.

“Siapa ni Rul?” Lelaki di sebelah Hasrul bertanya.

“Sepupu wife aku, Jeff.” Ujar Hasrul tersenyum.

Cika bangkit dari kerusi yang didudukinya. Dia tidak mampu lagi duduk di situ lebih lama. Kenapa Hasrul memperkenalkannya sebagai sepupu isterinya? Kenapa tidak diberitahu sahaja pada temannya bahawa dia adalah gadis yang sering dibuli di sekolah dua belas tahun yang lalu?

Melihat Cika tiba-tiba bangkit dari kerusi yang didudukinya, Hasrul tercengang.

“Cika, nak ke mana tu?”

Cika menoleh. “Rasanya saya salah tempat duduk. Maaf menganggu.”

“Cika, duduklah kat situ. Jangan ke mana-mana. Please.” Rayu Hasrul, turut bingkas bangun. Cika menarik nafas panjang. Hasrul kelihatan serba salah.

“Abang tahu abang salah waktu itu. Tapi kita dah jadi keluarga bukan? Abang tahu Cika kenal abang, tapi Cika pura-pura tak ingat. I’m so sorry Cika. Abang patut minta maaf dengan Cika sejak dulu lagi.” Ujar Hasrul tanpa mempedulikan Jeff yang tercengang-cengang tidak mengerti drama apakah yang sedang mereka mainkan sekarang.

Cika mengeluh. Senangnya mereka semua nak minta maaf. Yang sakitnya aku, bukan mereka! Dia masih berfikir, berkira-kira apakah dia patut meninggalkan meja itu atau duduk sahaja di situ bersama Hasrul dan temannya yang bernama Jeff itu.

Telinganya tiba-tiba mendengar bunyi alunan piano yang merdu dari pentas utama. Pandangan mata Cika beralih arah. Memerhatikan ke arah sekujur tubuh di atas pentas yang entah sejak bila berada di situ, menghadap ke arah sebuah piano. Kelibat itu menarik perhatian. Bukan sahaja kerana irama yang dimainkan itu menyejukkan hatinya, tapi juga kerana dia seperti pernah melihat…

Wajah itu menoleh seketika ke arah tetamu, sebelum kembali menumpukan perhatiannya pada key hitam putih yang dimainkannya. Cika terkedu dibuatnya. Nadim Ammar lagi! Tak ada muka lain lagikah? Dah elok-elok main piano di Jumbo Jeep, di sini pun lelaki itu kerja jugakah?

Cika semakin pening kepala. Dia mahu beredar mencari Gina. Mungkin dia akan mengikut jejak Gina mencari minuman di hujung sana, buat melegakan bahang di hatinya yang semakin menular. Ketika dia mahu berpaling, tubuhnya hampir melanggar seseorang. Cika mengetap bibir. Damn it!

Dia mendongak wajah. Memerhatikan orang yang nyaris-nyaris bertembung dengannya. Tapi sebaik anak matanya menjamah wajah di hadapannya, airmukanya langsung berubah. Sepasang mata Idham Hariz kini asyik merenung wajahnya, membuatkan dia menelan liur. Buat seketika, Cika menyumpah diri sendiri. Aku tak sepatutnya ke mari. Aku hanya membuang masa kononnya mahu membuktikan sesuatu pada orang yang dahulunya membuli aku. Hakikatnya, aku masih macam dulu. Aku masih Cika The Loser! Bicara Cika terus berladung di kelopak fikiran.

Previous: BAB 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh